Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Oktober 2011

Memahami tabarruk

Posted by epondok di Oktober 26, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ANTARA usaha bagi mendapat keberkatan Allah adalah melalui beribadat dan bermunajat kepada-Nya.

BERMULA minggu ini, ruang ini akan membahaskan persoalan tabarruk atau perbuatan mengambil berkat daripada seseorang atau sesuatu. Kefahaman atau salah faham tentang persoalan ini juga timbul dalam masyarakat kita.

Ramai umat Islam yang tidak memahami hakikat tabarruk sama ada dengan Nabi SAW atau pun kesan-kesan pusaka peninggalan Baginda SAW, keluarganya, ulama pewaris nNabi dan para wali, rahimahumullah.

Mereka menganggap orang yang mengambil jalan tabarruk, melakukan kesyirikan dan kesesatan lantaran kerana penelitian mereka yang sempit dan pemahaman akal mereka yang senteng.

Sebelum dijelaskan dalil-dalil dan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa tabarruk diharuskan, bahkan juga disyariatkan, sewajarnya kita ketahui bahawa tabarruk itu tidak lain dan tidak bukan, hanyalah amalan tawassul kepada Allah SWT melalui perantaraan makhluk yang diambil berkat daripadanya itu; sama ada berupa kesan peninggalan, tempat atau seseorang manusia.

Adapun benda-benda yang mulia; dijadikan sebagai alat bertabarruk kerana dipercayai mempunyai kelebihan dan pendekatan dengan Allah SWT. Namun, tetap dipercayai mereka itu lemah untuk mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, kecuali dengan iizin Allah SWT.

Sementara, barang-barang peninggalan; dijadikan alat bertabarruk kerana disandarkan kepada individu atau orang-orang yang mulia tersebut. Maka ia menjadi mulia kerana kemuliaan mereka. Ia juga menjadi agung, besar dan dikasihi kerana mereka, sama ada para nabi, rasul, ulama dan wali.

Begitu juga dengan tempat. Ia menjadi tempat yang berkat bukan semata-mata kerana tempat tersebut, tetapi kerana berlaku di tempat tersebut perkara-perkara kebaikan dan kebajikan; seperti solat, puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan oleh hamba-hamba Allah yang soleh.

Dengan kebaikan yang mereka lakukan di tempat tersebut, maka di situ diturunkan rahmat, dihadiri oleh malaikat dan diliputi ketenangan. Inilah keberkatan yang dituntut daripada Allah di tempat-tempat yang dimaksudkan.

Keberkatan ini boleh didapati di tempat-tempat tersebut melalui tawajjuh (menghadapkan permohonan) kepada Allah, berdoa kepada-Nya, beristighfar dan mengingati peristiwa-peristiwa penting dan mulia yang berlaku di tempat tersebut.

Dengan mengingati peristiwa mulia tersebut, akan menggerakkan jiwa-jiwa, membangkitkan keazaman dan semangat mencontohi insan-insan yang telah berjaya dan soleh.

Di bawah dipersembahkan nas-nas ini yang dipetik daripada risalah khusus Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki yang bertajuk al-Barakah (keberkatan).

Bertabarruk dengan rambut dan ludah baginda SAW

Daripada Ja’far ibn Abdullah ibn al-Hakam, meriwayatkan: Bahawa Khalid ibn al Walid r.a kehilangan kopiah pada hari peperangan Yarmuk.

Dia berkata: “Carilah kopiah itu” Tetapi, para tentera tidak menemuinya. Khalid r.a berkata lagi, “Carilah lagi!” Akhirnya mereka menemuinya. Ternyata kopiah yang dicarinya itu hanyalah kopiah yang sudah usang.

Khalid r.a berkata: “Rasulullah SAW pernah mengerjakan umrah, lalu mencukur rambutnya. Orang ramai pun berebut-rebut hendak mendapatkan rambut Baginda SAW yang telah terpotong itu. Aku mendahului mereka untuk mendapatkan rambut daripada bahagian ubun kepala Baginda SAW.

Setelah mendapatnya, aku menyimpannya di dalam kopiah ini. Maka tidak ada peperangan pun yang aku ikuti dengan membawa kopiah ini bersamaku, melainkan aku diberikan kemenangan”. (Berkata al Haithami: Telah meriwayatkan hadis ini al Tabrani dan Abu Ya’la juga meriwayatkan riwayat yang sama. Rijal kedua-duanya adalah sahih. Majma’ al Zawaid 9:349. Hadis ini disebut oleh Ibnu Hajar di dalam al-Matolib al-‘Aaliah 4:90)

Diriwayatkan daripada Malik ibn Hamzah ibn Abu Usaid al-Sa’idi al-Khazraji, daripada ayahnya, daripada datuknya Abu Usaid, dia mempunyai sebuah perigi di Madinah yang dikenali dengan Telaga Budha’ah.

Nabi SAW pernah berludah ke dalam perigi itu. Maka dia meminum air dari perigi itu, seraya memohon keberkatan dengannya. (Riwayat al-Tabrani dan rijalnya adalah dipercayai).

Keadaan sahabat bersama Rasulullah SAW

‘Urwah ibn Mas’ud pernah menggambarkan keadaan para sahabat r.a bersama Nabi Muhammad SAW.

Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya kepada al-Masur ibn Makhramah dan Marwan, kedua-duanya berkata: ‘Urwah pun kembali kepada kaumnya. Dia berkata, “Wahai kaumku! Demi Allah! Sesungguhnya aku telah beberapa kali diutus kepada raja-raja; aku pernah diutus kepada Qaisar, Kisra, dan Najasyi. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Muhammad SAW.

“Demi Allah! Tidaklah Baginda SAW berludah, kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu, dia menggosok ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika Baginda SAW menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya.

“Apabila Baginda SAW berwuduk, hampir saja mereka saling berbunuhan kerana merebut air wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka merendahkan suara di sisi Baginda SAW. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepadanya kerana membesarkannya”. (riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab al-Syurut, bab: ‘Syarat-syarat Jihad’.)

Ulasan Al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai kisah ini

Di dalam kisah di atas menunjukkan ludah (kahak) dan rambut yang telah terpisah dari jasad adalah suci, dan terdapatnya amalan tabarruk dengan sisa-sisa atau lebihan yang suci daripada orang-orang soleh.

Boleh jadi, para sahabat r.a melakukan perbuatan tersebut disebabkan kehadiran ‘Urwah, dan mereka berlebih-lebihan melakukannya, sebagai isyarat untuk menolak anggapan ‘Urwah yang khuatir para sahabat akan melarikan diri daripada Nabi SAW.

Mereka seolah-olah berkata dengan lisan hal (ujaran sikap): Orang yang mengasihi imam atau pemimpin mereka dengan kasih yang sebegini rupa dan membesarkannya dengan kemuliaan seperti ini, bagaimana boleh adanya sangkaan bahawa ia akan lari daripada pemimpinnya itu dan menyerahkannya kepada musuhnya?

Bahkan, para sahabat r.a tersebut sangat mencintai Baginda SAW, dan juga terhadap agamanya, serta kuat membantunya lebih kuat daripada kabilah-kabilah Arab yang saling memberikan perhatian di antara satu sama lain semata-mata kerana ikatan kasih (kekeluargaan).

Daripada riwayat tersebut juga dapat diambil kesimpulan, bahawa harus menggunakan pelbagai cara dan alat untuk mencapai tujuan melalui pelbagai jalan yang dibolehkan. (Lihat Fath al-Bari, 5: 341)

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »

Islam tidak benarkan membunuh kerana maruah

Posted by epondok di Oktober 26, 2011

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

LAPORAN akhbar mengenai kes gadis Pakistan berusia 17 tahun, Shafiela, yang hilang pada September 2003 dan mayatnya dijumpai Februari 2004 sangat menyedihkan. Beliau dilaporkan hilang dari rumah di Britain selepas membuat aduan dipaksa berkahwin tanpa kerelaan dalam satu perkahwinan diatur kedua ibu bapanya.

Siasatan polis mendapati sebelum kehilangannya, gadis itu dibawa ke Pakistan atas alasan melawat keluarga tetapi dipaksa berkahwin tanpa persetujuannya. Beliau cuba membunuh diri dengan meminum racun pencuci tetapi kemudian kembali ke United Kingdom untuk menamatkan pengajian. Beberapa minggu kemudian, beliau dilaporkan hilang.

Selepas lapan tahun berlalu, kedua ibu bapa mangsa ditangkap dan akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh anak mereka. Pembunuhan itu dipercayai bermotifkan maruah. Kes sebegini banyak dilaporkan berlaku di kalangan umat Islam di beberapa buah negara terutama Pakistan, India, Jordan dan Maghribi.

Pembunuhan kerana maruah atau ‘honour killing’ merujuk kepada pembunuhan dilakukan anggota lelaki dalam keluarga sama ada suami, ayah, abang atau adik lelaki terhadap ahli keluarga wanita yang melakukan tindakan dianggap mencalar maruah keluarga.
Ada kalanya pembunuh bertindak sendirian seperti ayah membunuh anak perempuannya dan ada kalanya berkumpulan seperti ayah melakukannya dengan bantuan ibu atau abang.

Dalam kajian Nesheiwat (2004) berdasarkan kes dilaporkan, ada beberapa sebab wanita dibunuh antaranya kerana enggan dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga, berkahwin dengan lelaki dari suku berbeza, bercakap dengan lelaki bukan suami, menuntut cerai walaupun atas alasan suami melakukan penderaan, tidak menutup aurat dan tidak pandai melakukan kerja rumah tangga.

Ada kes mangsa dibunuh bukan kerana melakukan kesalahan tetapi disebabkan beliau dirogol dan keluarga berasa malu. Lebih menyedihkan apabila abang membunuh adik perempuan kerana ayah merogol adik (sumbang mahram). Adik perempuan dianggap bersalah kerana kewujudannya menyebabkan ayah merogolnya.
Asas pembunuhan ialah kerana pelakunya percaya maruah keluarga sudah tercemar kerana perbuatan ahli keluarga perempuan. Maruah tidak akan dapat diubah kecuali dengan darah perempuan itu. Ruane (2000) menyebut: ‘Apabila maruah tercalar, darah mengalir. Apabila darah mengalir, maruah terbela’.

Islam tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana orang untuk membuat undang-undang sendiri, apatah lagi membunuh atas alasan apa sekali pun. Hukuman sama ada penjara, dibunuh dan sebagainya hanya boleh dijatuhkan mahkamah atas dasar undang-undang.

Membunuh atas alasan maruah tidak boleh dilakukan. Ini ditunjukkan Nabi Muhammad SAW ketika berdepan ujian besar seperti dinyatakan dalam surah al-Nur, tatkala isterinya Aisyah dituduh melakukan perkara sumbang.

Baginda tidak pernah mengambil tindakan keganasan terhadap Aisyah sehinggalah terbukti gosip itu salah. Baginda juga memuji suami yang berlaku lembut kepada isteri dan anak serta melarang perlakuan ganas terhadap anak atau isteri.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik dengan isterinya.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan Tirmizi)

Islam menekankan konsep mahram sebagai pelindung, pemberi didikan, pembela sehingga anggota perempuan dalam keluarga berasa selamat berada bersama mahram mereka. Apabila anggota perempuan melakukan kesalahan, maka tugas mahram menegur dan membetulkan mereka.

Jelas sekali Islam melarang perbuatan membunuh kerana maruah. Justeru, amalan itu perlu dihentikan dan mahram ditegaskan tanggungjawab memelihara kebajikan setiap ahli keluarga. Pada masa sama, usaha berterusan perlu untuk memperbetulkan salah anggap bahawa Islam membenarkan pembunuhan atas alasan menjaga maruah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hindari sifat tamak, megah miliki harta

Posted by epondok di Oktober 26, 2011

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

 

ISLAM tidak menghalang umatnya mencari dan memiliki harta benda yang banyak, malah amat digalakkan demi mencukupi keperluan hidup asalkan halal di sisi agama.

Usaha melengkapi keperluan hidup yang halalsatu kewajiban setiap individu Muslim seperti mana pernah diingatkan oleh Rasulullah yang bermaksud: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa, dan lain-lain).” (Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi)

Pada zaman serba canggih ini masih ada yang enggan bekerja dan lebih suka hidup menganggur serta hanya mengharapkan belas kasihan orang lain. Golongan ini biasanya mencetuskan kekeruhan dalam masyarakat seperti kes penagihan dadah, mencuri dan meragut. Di samping itu terdapat juga manusia yang bekerja namun tidak menitikberatkan sumber rezeki sehingga sanggup menempuh jalan yang jelas diharamkan agama lantaran mementingkan gemerlap kemewahan duniawi.

Orang seperti ini sebenarnya dihinggapi penyakit hati yang berupa tamak dan paling malang lalai daripada mengingati Allah, pada hal kita sedia maklum Islam telah menetapkan garis panduan yang harus dipatuhi dalam mencari dan mengurus harta benda. Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya) dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah Al-Munafiqun, ayat 9)

Tidak dinafikan sesetengah orang memandang harta benda itu sebagai lambang kemewahan dan kemegahan. Pada hal sifat tersebut mampu menjerumuskan kita ke cerun kelalaian (daripada ketaatan kepada Allah) sepanjang hayat. Firman Allah SWT bermaksud: “Bermegah-megahan melalaikan kamu sampai kamu masuk dalam kubur.” (Surah at-Takatsur, ayat 1-2)

Lantaran itu golongan yang tidak berada selalu tersisih daripada masyarakat. Demikianlah sebagaimana yang sering terjadi dalam masyarakat kita.

Anggapan yang salah ini bukan saja perlu diperbetul, tetapi hanya akan mencipta jurang antara orang kaya dengan golongan tidak bernasib baik yang seterusnya mewujudkan perpecahan dan putusnya tali silaturahim. Bukankah persaudaraan dalam Islam itu diajar oleh Nabi Muhammad SAW?

“Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya.

Ketakwaan itu di sini sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali – Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Seharusnya kekayaan yang dimiliki disalurkan ke jalan yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat mengikut syariat, diiringi dengan keyakinan bahawa sesuatu yang dikeluarkan itu tetap tidak berkurangan bahkan bertambah.

Keinsafan dapat menghindarkan seseorang daripada sifat sombong, tamak dan bakhil. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah saw: “Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »