Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Oktober 2011

Larangan memotong rambut dan kuku pada yang berhasrat untuk berkorban

Posted by epondok di Oktober 25, 2011

Oleh: tazkirah

Nabi bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. (HR Muslim)

Nabi bersabda, “Sesiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali dia memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (HR Muslim)

Menurut Imam Nawawi rahimahullah: “Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Syarah Muslim 13/138)

Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Sesiapa yang tidak megerjakan haji tapi berhasrat untuk melakukan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Berkorban dan bersyukur

Posted by epondok di Oktober 25, 2011

Oleh MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB

Ibadat korban adalah sebagai tanda bersyukur kepada Allah di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. – Gambar hiasan

PENGORBANAN adalah kalimah mulia dan keramat bagi mana-mana budaya dan masyarakat. Namun erti sebenar sebuah pengorbanan tidak semudah mengungkapkannya atau menyeru orang lain berkorban.

Pengorbanan dalam konteks semasa menuntut kepada pemahaman yang menyeluruh dan melampaui tafsiran konvensional bagi merasai matlamat sebenar di sebalik saranan berkorban yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). (al-Kauthar: 1-3).

Sekiranya difahami maksud ayat di atas, segala nikmat yang diterima sama ada kebaikan yang banyak atau segala bentuk kelebihan yang dimiliki sewajarnya dizahirkan kesyukuran ke atas nikmat dan kelebihan tersebut dengan bersembahyang dan menyembelih korban untuk-Nya.

Malah untuk cakupan makna yang lebih luas, pengorbanan untuk menegakkan agama Islam di atas muka bumi merupakan tugas utama umat Islam. Ini kerana kita diberi oleh Allah SWT nikmat agama Islam, nikmat kehidupan yang bersyariat dan juga petunjuk serta bimbingan Allah SWT.

Umum memahami dan mengaitkan pengorbanan dengan bulan Zulhijjah dan Hari Raya Aidiladha yang disambut saban tahun.

Ini kerana ibadah korban yang disyariatkan khusus pada bulan tersebut dan berlakunya peristiwa perhimpunan berjuta-juta tetamu Allah di Mekah bagi menzahirkan kehambaan kepada-Nya pada tanggal 10 Zulhijjah. Sekali gus menandakan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh umat Islam di dunia.

Pensyariatan ibadah korban bukan hanya sekadar melaksanakan aktiviti dan ritual keagamaan dengan penyembelihan binatang atau menunaikan haji di Mekah semata-mata. Namun maksud sebenar pensyariatan ibadah korban itu lebih luas.

Intisari dan pengajaran daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail mengungkap seribu makna dalam memahami erti sebuah pengorbanan.

Dengan memahami intipati dan maksud yang sebenar di sebalik pensyariatan ibadah korban, ia mampu menjadi titik tolak kearah perubahan diri yang sempurna serta mampu mendorong manusia ke arah mempersiapkan diri dengan azam dan matlamat yang lebih jitu dalam mendepani kehidupan yang lebih mencabar.

Rumusan mudah yang diperolehi dari intipati maksud pengorbanan ialah bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi dan sedia berkorban demi kebaikan dan kebahagiaan bersama.

Semakin banyak nikmat yang diterima sepatutnya semakin banyak ungkapan kesyukuran meniti di bibir manusia.

Semakin kita bersyukur maka Allah SWT pasti akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Ibrahim: 7).

Di sini kepentingan antara kesyukuran dengan pengorbanan jelas kelihatan apabila Allah SWT menjanjikan tambahan nikmat sekiranya kita bersyukur. Sekiranya kita bersyukur dengan menterjemahkannya dalam bentuk pengorbanan. Semakin kita berkorban maka semakin banyak kenikmatan yang bakal kita perolehi.

Perjuangan menegakkan syariat Allah SWT juga merupakan pengorbanan terbesar kerana ia adalah usaha menjadikan seluruh manusia dan makhluk di muka bumi dapat merasai nikmat keadilan dan kesejahteraan ajaran agama Islam. Ia menjadi manifestasi kesyukuran kita kepada Allah SWT yang dicerminkan melalui pengorbanan.

Contoh terbaik bagi umat Islam dalam memahami erti sebenar pengorbanan, tidak lain adalah junjungan mulia Rasulullah SAW. Baginda sentiasa berkorban demi kesejahteraan umatnya walaupun diri baginda terpaksa menanggung derita.

Pengorbanan baginda yang suci dalam memastikan Islam tertegak di muka bumi melambangkan pengorbanan teragung seorang utusan Allah.

Baginda bukan sahaja sanggup berkorban berjuang di medan perang bagi mempertahankan Islam, malah dalam urusan kehidupan seharian baginda penuh dengan pengorbanan bagi memastikan umatnya mendapat manfaat yang terbaik.

Pengorbanan Nabi

Sekiranya umat Islam menelusuri serta menghayati perit jerih pengorbanan nabi, pastinya umat Islam akan mampu mengembalikan kegemilangan ketamadunan Islam yang pernah mengalami zaman keemasannya suatu ketika dahulu.

Kegemilangan yang dikecapi suatu ketika dahulu merupakan manifestasi pengorbanan yang diasaskan oleh baginda dan kemudiannya disambung oleh para sahabat, tabien dan ulama-ulama selepasnya yang akhirnya membuahkan natijah kecemerlangan kepada umat Islam.

Sekiranya ditekuni dengan mendalam, sentiasa bersyukur dan rela berkorban sebenarnya adalah formula utama kepada kebahagiaan umat sejagat yang sering tidak kita sedari.

Segala masalah yang berlaku di sekeliling kita berpunca daripada kegagalan kita untuk bersyukur serta hilangnya kesanggupan untuk mengorbankan sesuatu yang kita sayangi walaupun sedikit.

Begitu juga keadaannya dengan realiti yang berlaku dalam dunia kini. Pelbagai masalah yang berlaku seperti peperangan, penindasan, kemusnahan dan huru-hara adalah akibat daripada tiadanya sifat untuk memberi atau dalam erti kata lain untuk berkorban.

Apatah lagi rasa syukur dilihat seolah-olah tiada lagi dalam sanubari manusia kerana masing-masing saling berusaha memenuhi keinginan diri walaupun terpaksa mengambil hak orang lain tanpa izin. Perasaan syukur hilang dan diganti dengan perasaan haloba kepada keuntungan dunia semata-mata.

Manusia lebih suka menuntut haknya daripada menunaikan hak orang lain. Justeru, pelbagai masalah timbul kesan akibat kegagalan kita memahami matlamat dan hikmah di sebalik sebuah pengorbanan.

Jika manusia sentiasa bersyukur dan sedia berkorban, natijahnya pasti menghasilkan keadaan dunia yang lebih aman dan damai. Bayangkan dunia di mana setiap orang sentiasa bersyukur dan sanggup berkorban demi kebaikan orang lain. Pada masa yang sama, orang lain pula dengan hati terbuka berkorban untuk saudaranya. Pastinya keamanan dan keharmonian akan mereka nikmati bersama.

Realiti manusia

Bagaimanapun, realitinya manusia sering alpa dengan nikmat dunia serta mementingkan diri sendiri. Manusia menjadi tamak haloba dan rakus dengan runtunan hawa nafsunya.

Masalah sosial yang menghimpit umat Islam akan selesai jika setiap anggota masyarakat menghayati makna pengorbanan dan kesyukuran dengan erti yang sebenarnya.

Ibu bapa dan keluarga sanggup berkorban mengawasi dan mengambil tahu keadaan anak-anak mereka. Masyarakat berkorban untuk bersama-sama mencegah kemungkaran dan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan para pemimpin negara sanggup berkorban bagi memastikan keamanan dan kedaulatan dalam negara sentiasa terpelihara.

Suatu kerugian yang amat besar jika saban tahun menjelang bulan Zulhijjah kita memperkatakan persoalan pengorbanan secara tersurat namun gagal memahami maksud sebenar di sebaliknya.

Justeru, seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa, keturunan dan warna kulit diseru untuk memahami dan menghayati sedalam-dalamnya erti sebuah pengorbanan agar kesan yang diperoleh menyeluruh.

Hikmah pengorbanan bukan hanya untuk dihayati oleh orang Islam sahaja malah sesuai dan relevan kepada seluruh umat manusia.

Jangan hanya demi kepentingan sendiri kita sanggup menuntut hak kita dan menafikan hak orang lain. Pasti orang lain sudah banyak berkorban untuk kita dan kita harus bersyukur dengan berterima kasih dan sedia berkorban untuk orang lain pula.

Semangat dan penghayatan yang mendalam tentang erti kesyukuran dan pengorbanan akan merintis ke arah suasana dan keadaan yang lebih aman dan harmoni.

Marilah kita bersama-sama membuka lembaran baru sempena Bulan Pengorbanan yang bakal menjelang dengan bersyukur atas segala nikmat yang dikecapi, serta menanam azam baru yang didasari semangat dan kesediaan kita untuk berkorban demi kepentingan bersama.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Setiap manusia diuji dengan pelbagai cara

Posted by epondok di Oktober 25, 2011

Oleh Mohd Hasan Adli

ALHAMDULILLAH, bertemu lagi kita di ruangan ini dan diharap pembaca sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Dalam ruangan kali ini, saya ingin menyentuh mengenai ujian dalam hidup kita. Ujian ini bermacam-macam bentuk dan pastinya ada yang ringan dan ada pula terasa berat untuk dipikul.

 

Sebagai manusia, kita pasti diuji Allah SWT dan ia juga berlaku ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW walaupun diketahui bahawa baginda seorang yang maksum iaitu bersih daripada dosa.

Malah, dinyatakan juga bahawa Firaun yang mengaku dirinya tuhan akhirnya tewas dengan ujian Allah dan mati dalam kekufuran.

 

Perlu kita ingatkan diri, ujian yang kita hadapi dengan penuh kesabaran itu sebenarnya untuk memantapkan iman dan keyakinan seseorang terhadap Allah SWT.

 

Namun hendaklah kita sedari, walaupun ujian itu bagi memantapkan iman dan keyakinan kepada-Nya, adalah salah jika kita memohon kepada-Nya supaya diberikan ujian.

Ia tidak dianjurkan dalam Islam dan sebagai contoh, Rasulullah SAW sentiasa memohon kepada Allah supaya dilindungi daripada bencana dan musibah.

 

Yang penting, kita hendaklah memohon perkara baik dan bersabar dengan ujian diberikan-Nya. Sabar itu sifat yang sangat penting dan perlu ada dalam diri umat Islam.

Di dalam al-Quran, banyak disebut mengenai sifat sabar seperti diperjelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” Sifat sabar turut disebut acap kali dalam hadis Rasulullah SAW, antaranya seperti diriwayatkan Abu Naim dan Kahtib yang bermaksud: “Sabar sebahagian daripada iman.” Jika kita diuji dengan ujian yang sangat berat untuk dipikul, jangan bersungut, sebaliknya hadapilah ia dengan penuh tawakal dan kesabaran. Ini kerana jika kita berjaya menempuhi ujian itu, akhirnya kita akan mengecapi kenikmatan di sebalik ujian itu yang juga diberikan dalam pelbagai bentuk.

 

Imam al-Ghazali menyatakan, jika ditimpa musibah, ada lima cara bagaimana seseorang itu perlu berdepan ujian supaya tidak kecundang.

 

Imam Al-Ghazali menyebut, bahawasanya: Setiap kemiskinan, kesakitan, ketakutan dan semua bencana di dunia ini, di dalamnya ada lima perkara yang patut dijadikan bahan untuk bergembira bagi setiap orang yang berakal, bahkan perlu sama sekali untuk disyukuri kerana ia dapat dianggap sebagai kenikmatan.

 

Pertama: Jika menerima musibah atau ujian yang terlalu besar dan berat bagi dirinya, seseorang itu perlu bayangkan bahawa ada ujian lebih besar dan lebih teruk menimpa orang lain berbanding apa dialaminya.

 

Sedarilah bahawa setiap sesuatu itu dalam kekuasaan Allah. Jadi, bayangkan bagaimana jika bencana atau sakitnya dilipatgandakan Allah SWT, dan adakah kita akan dapat menolak atau menghalangnya.

 

Oleh yang demikian, seseorang itu perlu bersyukur kepada Allah kerana Dia tidak menguji kita dengan ujian lebih berat, lebih parah dan lebih menyedihkan di dunia ini.

 

Jika semuanya ditangani dengan kesabaran, pahalanya akan berlipat ganda, sedangkan keburukannya dapat dikurangkan berkat kesabaran ketika menerima ujian.

 

Kedua: Datangnya bencana itu mungkin sekali sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama.

 

Dalam beberapa hadis, dinyatakan doa diajar Nabi Isa AS bermaksud: “Ya Allah, jangan menjadikan musibah kami ini disebabkan oleh kelalaian kami dalam mengerjakan agama.” Jadi, doa ini boleh ambil dan kita amalkan dalam kehidupan kita.

 

Ketiga: Takutilah jika musibah itu menimpa secara berterusan di dunia hingga akhirat. Oleh itu, terimalah ujian itu dengan sabar kerana lebih baik diseksa di dunia saja dengan harapan semoga Allah tidak melanjutkan ujian itu hingga semua makhluk dihidupkan semula di akhirat.

 

Ujian diberi Allah SWT masih dapat diringankan dengan melakukan hal lain berbanding perihal sewaktu akhirat.

 

Jika Allah memberikan azabnya di akhirat, pasti kita tidak dapat lari daripada melakukan pekerjaan lain kerana azab yang diberikan oleh-Nya pasti secara berterusan.

 

Oleh itu, bersabar dengan ujian Allah sewaktu di dunia dengan berharap ia sebagai seksaan yang disegerakan oleh-Nya sebagai pengganti seksaan di akhirat.

 

Bersyukurlah kerana musibah dan azab yang kita terima menyelamatkan kita daripada seksaan di akhirat.

 

Keempat: Setiap bencana atau musibah ditentukan secara pasti dan tercatat tanpa ada kuasa mampu mengubahnya selain Allah SWT.

 

Ketentuan dan catatan itu ada sejak azali di Ummul-kitab (buku amalan) yang ada di sisi Allah SWT dan tetap perlu ditempuh oleh seseorang itu.

 

Jika seseorang itu menghadapi ujian yang ditetapkan Allah, bersyukurlah dengan berdoa tanpa jemu kepada Allah SWT.

 

Ingatkan diri bahawa apabila ujian itu berakhir, dia terlepas juga daripada bencana.

 

Kelima: Ketahuilah bahawa pahala diterima seseorang lebih besar sewaktu mereka ditimpa musibah.

 

Ingatlah, ujian yang diterima bukan beban, sebaliknya nikmat bagi manusia sebagai bekalan di akhirat. Musibah itu hanya sebagai ubat pahit yang harus ditelan bagi memberi kebaikan pada masa depan.

 

Inilah lima cara bagaimana seseorang itu harus mengatasi musibah yang mendatang, sekali gus bersyukur dengan ujian diberi Allah SWT.

 

Jika disingkap nas atau dalil al-Quran, secara nyata banyak diterangkan bahawa mereka yang sabar menerima ujian di dunia akan mendapat pahala.

 

Sekalipun kita tahu betapa besarnya pahala orang yang sabar memperoleh ujian dan musibah, jangan sekali-kali meminta Allah memberikan kita musibah kerana ia bertentangan dengan agama Islam.

 

Rasulullah SAW yang mengetahui nikmat tersembunyi di sebalik musibah juga tetap memohon kepada Allah dalam doanya supaya dilindungi daripada bencana dunia dan akhirat.

 

Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasaie menyatakan bahawasanya: “Mintalah kamu semua kepada Allah akan kesihatan (keselamatan daripada musibah), kerana tidak seorang yang diberi kurnia oleh Allah yang lebih daripada itu, melainkan keyakinan.” Yang dimaksudkan dengan keyakinan (keimanan) ialah keselamatan hati daripada segala macam penyakitnya seperti bodoh atau gelisah. Ini kerana keselamatan hati lebih utama daripada keselamatan tubuh badan

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »