Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 Oktober 2011

Remaja dan isu akidah

Posted by epondok di Oktober 24, 2011

Oleh NURUL IZZAR SIDEK

ISU akidah adalah perkara pokok bagi remaja Islam. Di tengah-tengah simpang siur aliran pemikiran yang pelbagai, landasan akidah adalah amat penting bagi remaja. Akidah diambil daripada akar kata aqa’id iaitu tautan atau ikatan diri terhadap Allah.

Akidah tauhid memberi landasan ikatan kepada Allah yang satu. Terdapat banyak aliran ideologi yang berkembang dalam hidup manusia sejak dahulu sehingga kini. Terdapat juga pemikiran falsafah dan silang budaya yang terkait dengan isu akidah.

Fahaman liberal dan pluralis umpamanya mempunyai kesan langsung kepada isu akidah.

Usaha-usaha agama lain terutama Kristian melakukan pemurtadan adalah sesuatu yang bercanggah dengan akidah tauhid.

Akidah bukan sekadar pernyataan mengesakan Allah dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya. Sebaliknya, yang amat penting adalah pemahaman dan aplikasi terhadap Allah yang satu dalam keyakinan, kata-kata, amalan dan juga manifestasi ilmu.

Para remaja tidak sahaja menjadi penganut Islam berasaskan warisan keturunan tetapi hendaklah memahami ilmu tentang akidah tauhid, mengukuhkan ibadah, memahami jalur syariah dan fikah di samping memiliki akhlak yang mulia.

Asas ini sangat penting bagi remaja kerana keyakinan tanpa pemahaman boleh membawa jiwa remaja kepada kekosongan. Keyakinan tanpa didukung oleh ilmu tidak akan memberi kekuatan, memahami hakikat kewujudan dan kaitan dengan penciptaan.

Memahami Islam bukan sekadar memahami hal-hal yang nyata dan tampak, tetapi ia terhubung dengan faktor-faktor ghaibiyat. Di sini pentingnya para remaja memahami al-Quran sebagai sumber petunjuk kepada yang nyata dan kaitannya dengan yang ghaib.

Sekiranya para remaja diberi fahaman Islam dan tauhid secara ilmu, ia bakal memantapkan lagi keyakinan remaja terhadap perkara tauhid.

Berlakunya kelonggaran dan ketidakfahaman remaja terhadap isu akidah ini adalah akibat daripada kekosongan ilmu dan kelompangan keyakinan yang menyebabkan anutan terhadap agama menjadi tidak teguh dan kukuh.

Keteguhan dan kekukuhan akidah bersumberkan pemahaman yang jelas terhadap pencipta dan juga pemahaman yang nyata terhadap kaitan wahyu Allah dengan penciptaan-Nya sebagai contoh.

Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas tentang faktor ghaibiyat yang terhubung dengan faktor yang nyata supaya keyakinan kita terhadap wujudnya Allah dan kaitannya dengan alam ini menjadi teguh.

Dalam surah Al-Alaq, Allah menyebutkan khalaqal insanamin alaq… membawa makna bahawa kejadian manusia itu bermula daripada seketul darah beku.

Dalam surah Al-Mukminun pula, Allah menyatakan bahawa punca kejadian manusia adalah daripada sari pati tanah. Apakah kaitannya sari pati tanah dengan pokok-pokok dan buah-buahan yang menyumbang terhadap kejadian air mani?

Ia adalah sesuatu yang saintifik. Apabila kromosom X dan kromosom Y bertemu, ia menghasilkan zigot. Ia disebut dalam bahasa al-Quran sebagai nutfah.

Apabila proses pembenihan itu subur menghasilkan susuk dan bentuk, Allah tiupkan roh ke dalam embrio tersebut. Ia menghasilkan manusia dalam rahim yang mempunyai kekuatan. Roh walaupun tidak nampak, tetapi bagi yang hidup merasakan ia ada.

Al-Quran menyebutkan roh itu adalah milik Allah dan yang diketahui oleh manusia hanyalah sedikit sekali. Adanya roh (yang ghaib) menyebabkan akal berfikir, hati merasa dan daya melakukan amal. Tanpa roh, seluruh jasad dan potensi yang ada pada manusia akan kaku dan tidak boleh berbuat apa-apa.

Asas berfikir seperti ini boleh menanamkan landasan akidah yang teguh di kalangan remaja. Mengkaji benda dan fenomena tidak terputus dengan hakikat Penciptaan. Daripadanya lahir hikmah yang tinggi memahami yang nyata dengan ghaib.

Pertimbangan saintifik tidak hanya dalam batas akal, uji kaji dan hasil tetapi merentasi terhadap hikmah di sebalik kejadian dan manfaatnya kepada manusia.

Kelemahan akidah remaja, kelonggaran pemahaman ilmu, kealpaan melakukan reflektif terhadap kekuatan tamadun silam menyebabkan para remaja mudah terpengaruh dengan fahaman popular Barat yang menyesatkan.

Apabila kekaguman terhadap Barat sifatnya melampaui, pemahaman secara ritual dan berkala terhadap Islam tidak boleh menyebabkan para remaja memiliki kekentalan akidah tauhid.

Keadaan seperti ini mendedahkan remaja kepada kerosakan akhlak, kemuflisan ilmu Islami dan akhirnya mudah terjebak kepada fahaman hedonisme (berpoya-poya), melupakan agama, terjebak dengan ajaran sesat dan juga boleh menjadi murtad.

Ilmu dan amal

Oleh itu, amat penting para remaja Islam memahami agamanya secara ilmu dan amal. Kadangkala para remaja memiliki kekuatan rohani yang tinggi, tetapi lemah dalam amal Islamnya. Islam sebagai sistem kepercayaan perlu diperlihatkan dengan kekuatan amal.

Keindahan Islam sejak dahulu zaman tamadunnya hingga kini terlihat daripada pekerti dan amal manusia. Ini yang menyebabkan orang lain tertarik dengan Islam bukan sahaja kerana kebenaran yang terdapat dalam al-Quran dan agama ini, tetapi keindahan peribadi pemeluknya memiliki daya tarik yang tinggi.

Cabaran yang mendatangi zaman ini memerlukan remaja untuk sentiasa mencari jalan mempertingkatkan ilmu dan pemantapan iman di samping keupayaan diri untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.

Pelbagai pergolakan serta perubahan yang berlaku dalam masyarakat ada kalanya menguji tahap ketahanan diri. Tanpa asas serta pemahaman yang betul terhadap akidah tauhid, remaja boleh terjebak dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat agama.

Justeru, para remaja harus bertitik tolak dengan pemahaman akidah yang mantap atas dokongan ilmu yang benar dan akhirnya bakal mampu menjadi agen perubahan terhadap kebaikan dan kesejahteraan umat manusia.

Menjadi pengagum kepada kemajuan Barat adalah tidak salah sekiranya remaja sendiri berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk umat Islam dan manusia.

Di Barat sendiri, krisis agama menjadi suatu yang meruncing. Fahaman liberal, pluralis serta fahaman tidak beragama juga menjadi pegangan hidup masyarakat Barat.

Hampir 700 tahun Barat membina tamadun kebendaan, ia memikat umat Islam dan setengahnya menjadi penciplak setia tanpa melihat keperluan manfaat berbanding.

Ada di kalangan umat membeku dalam lingkungan tradisi dan hilang keupayaan untuk melakukan perubahan yang mampu merintis perubahan dalam kerangka Islam.

Malah, wujud secara rakus melulu dalam menciplak Barat sehingga faktor jati diri tidak menjadi pertimbangan lagi.

Inilah krisis mendepani umat yang memerlukan kepemimpinan berkualiti, responsif dan kreatif pada segenap lapangan.

Remaja sewajarnya reflektif terhadap puncak kepemimpinan Islam tatkala Tamadun Andalusia berkembang di Sepanyol, di mana orang Kristian dan Yahudi berasa terlindung di bawah kepemimpinan Islam yang berasaskan kepada akidah tauhid.

Islam tidak hanya dilihat sebagai suatu agama, tetapi digarap hasilnya sebagai sumber tamadun. Islam mendukung risalah alamiah yang tidak saja menjadikan Islam dan umatnya sejahtera, tetapi pada masa sama memberi erti mengenai kemanusiaan itu sendiri.

Pemikiran dan tradisi keilmuan umat Islam menyumbang kepada kebangkitan Barat dan Eropah.

Justeru, para remaja dalam berfikir tidak harus berfikir secara ringan dan mudah terhadap Islam. Sebaliknya, pemikiran Islam harus ditunjangi dengan kefahaman ilmu Islami dan tamadunnya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

7 perkara tak boleh diubah dalam hidup

Posted by epondok di Oktober 24, 2011

Oleh Zawawi Yusoh

 

DALAM hidup ini ada tujuh hal yang tidak boleh kita ubah iaitu:

Jenis kelamin dan jantina

Memang boleh buat pembedahan untuk mengubah kelamin. Tetapi tidak mampu mengubah roh (spirit) orang berkenaan. Terimalah dirimu, sama ada engkau wanita atau lelaki.

Orang tua

Kamu mesti menghormati ibu bapa apa cara sekalipun! Jika orang tuamu seorang pemabuk, kaki judi atau pelacur, hormati mereka! jika tidak situasi itu bakal terjadi dalam kehidupan kamu kelak. Nasihat dan teguran memang tidak boleh berhenti.

Hari kelahiran

Sudah ditetapkan Allah, sebelum dunia dijadikan kita tidak boleh memilih tarikh lahir kita. Ia memang sudah ditentukan dan jangan sesekali kita menyesalinya.

Bentuk Fizikal

Jika anda mempunyai rambut keriting, terima sajalah. Jika hidung kamu kurang menarik atau kulit sawa matang terimalah seadanya. Memang kita lihat ramai orang ingin mengubah bentuk wajahnya, sama ada memancungkan hidung atau alis matanya dicukur habis tetapi tetap kelihatan aneh dan tidak semula jadi.

Masa lalu

Ini juga sudah ditetapkan Allah. Jangan menyesali masa yang sudah berlalu melainkan untuk menjadikannya sebagai pengajaran.

Justeru, ‘berdamailah’ dengan masa lalu demi membina masa depan.

Kedudukan dalam keluarga

Kedudukan kita sebagai anak bongsu, sulung, atau tengah, tidak boleh diubah dan terimalah seadanya.

Suku bangsa

Jangan sekali menyesal menjadi orang Melayu, Jawa atau Cina. Sebenarnya perkara yang kita boleh dan mampu ubah adalah cara kita berfikir. Jika berubah maka berubahlah hidup kita.

Ada lima resipi untuk melakukan perubahan diri antaranya:

Mulalah berubah supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga lebih yakin dengan diri anda.

Tidak mungkin jika kita mahu mengajak orang lain berubah padahal diri sendiri masih berada pada takuk lama.

Lakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan, sememangnya sukar untuk terus melakukan perubahan dalam masa yang singkat atau dalam tempoh sekelip mata.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah kita dapat berubah seperti yang diinginkan. Walaupun perlahan, kita pasti dapat mengalami perubahan besar dalam diri.

Lakukan perubahan pada masa sekarang. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lama. Ini kerana semakin lama kita bertangguh, ia menjadi semakin melarat dan susah untuk melakukannya.

Perkara kecil jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa depan.

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu memaksa diri untuk berubah dengan sepenuh hati.

Jika diri kita tidak dipaksa seolah-olah memanjakan diri untuk berubah. Nafsu kita juga menjadi semakin degil jika tidak dipaksa.

Kawal nafsu dan jangan biarkan ia mengawal diri kita.

Apabila kita sudah berjaya melakukan perubahan diri, kita perlu mengulangi perubahan itu hingga ia sebati dengan diri kita.

Jika perubahan itu hanya dibiarkan begitu saja, kita hanya berjaya untuk berubah seketika saja dan selepas itu kembali ke takuk lama.

Jangan sia-siakan perubahan dan perlu sentiasa melakukannya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »