Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 Oktober 2011

Kehidupan manusia sombong sia-sia, hilang harga diri

Posted by epondok di Oktober 22, 2011

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

SOMBONG adalah sifat sering melanda masyarakat kita yang berpunca daripada kurangnya penghayatan asas agama dalam kehidupan sekali gus mengakibatkan keinsafan terhapus di dalam jiwa.

Mereka yang memiliki perasaan sombong menganggap dirinya melebihi segala-galanya dengan merendahkan dan meremehkan orang lain.

Sifat sombong seharusnya perlu segera disingkirkan daripada kehidupan seorang Muslim.

Rasulullah SAW menjelaskan yang bermaksud: Takbur itu adalah menolak kebenaran dan menghina orang lain. (Hadis riwayat Muslim)

Kita juga biasa mendengar orang yang enggan menerima nasihat dan teguran malah sanggup pula mencerca orang yang memberi nasihat.

Seharusnya, kita berterima kasih jika dinasihati dan menghargai teguran yang pasti membawa kepada kebenaran serta tidak terus berada dalam keadaan alpa.

Ada juga berbangga dengan kecantikan, kedudukan serta kekayaan sehingga terlupa semua itu anugerah Allah yang wajib disyukuri.

Bukankah ini menunjukkan kesombongan hati orang yang kufur nikmat Allah SWT yang pasti mendapat balasan setimpal daripada-Nya.

Di samping itu ada lagi yang hanya mahu bergaul dan berkawan orang setaraf dengannya, tidak pernah memikirkan kesusahan orang lain kecuali mementingkan diri serta keluarga sendiri.

Tingkah laku seumpama ini sudah jauh tergelincir daripada ajaran Islam yang menekankan persamaan taraf, persaudaraan sesama Muslim dan semangat tolong-menolong.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kalian kepada Allah, sesungguhnya Allah amat keras seksa-Nya. (Surah Al-Ma`idah, ayat 2)

Apabila kita membaca kisah Qarun, dia menjadi sombong terhadap Allah SWT dengan kekayaan yang diperoleh.

Beliau terlena dan alpa dalam gemerlapnya harta kekayaan dimiliki sehingga sanggup berkata-kata begitu takbur.

Kisah Qarun itu terakam dalam ayat bermaksud: Qarun berkata: Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku dan apakah ia tidak mengetahui, bahawa Allah membinasakan umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta dan tidaklah perlu ditanya kepada orang yang berdosa itu, mengenai dosa mereka. (Surah Al-Qasas, ayat 78)

Kita harus menerima hakikat orang yang sombong selalu diliputi kekurangan dan kelemahan menyebabkan hidupnya mundur.

Orang yang sombong akan berasa dirinya serba cukup dan sempurna, tidak perlu lagi muhasabah diri atau menerima nasihat.

Akhirnya tinggallah dia dalam kekurangan dan sia-sia seperti maksud firman Allah SWT: Katakanlah: Apakah akan Kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya. (Surah Al-Kahfi, ayat 103-104).

Di samping itu, bersifat sombong akan dipulau masyarakat dan lebih malang lagi dibenci serta dimurkai Allah SWT.

Di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam neraka bersama orang yang sombong seperti Abu Lahab, Qarun, Firaun, Iblis dan lain-lain.

Firman-Nya yang bermaksud: Janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Surah Luqman, ayat 18)

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah selalu berusaha mengikis sifat sombong dengan selalu ingat kepada Allah (zikrullah), mentaati segala perintah dan menjauhi larangan-Nya, zuhud dengan dunia, serta insaf kejadian diri yang lemah, tidak lupa meminta pertolongan kepada Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Niat penanda aras dorong usaha capai kejayaan

Posted by epondok di Oktober 22, 2011

Oleh Sharifah Hayaati

BARU-BARU ini beberapa universiti tempatan mengadakan majlis konvokesyen. Majlis yang secara rasminya bertujuan mengumumkan, mengiktiraf dan menganugerahkan ‘skrol kejayaan’ kepada graduan dalam pelbagai bidang.

 

Penganugerahan dalam majlis ini membuka minda kita bahawa kejayaan hakiki dalam apa juga bentuk, tidak akan dapat dicapai tanpa usaha berterusan, semangat jitu dan komitmen tinggi graduan, ibu bapa, ahli keluarga, pensyarah dan pentadbir universiti.

Usaha, semangat dan komitmen ini disemat dalam diri walaupun berhadapan pelbagai cabaran, kesulitan serta kepayahan. Kesannya, individu yang kelainan upaya, mempunyai masalah kesihatan dan masalah peribadi juga berjaya menerima ijazah mereka.

Kejayaan ini mampu membakar semangat semua pihak termasuk mahasiswa dalam pengajian untuk mengikut jejak langkah mereka yang berjaya. Bahkan, Allah SWT memberikan janji balasan-Nya kepada setiap usaha mencari kejayaan.

 

Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) tidak akan membiarkan segala usaha yang telah dilakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)

 

Di samping itu, masyarakat diingatkan dengan pepatah Melayu, ‘yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.’ Pepatah Arab juga menyebut, ‘Siapa yang berusaha, dia akan dapat (apa yang diusahakan)’.

 

Usaha, semangat serta komitmen mahasiswa secara berterusan boleh dijadikan penguat usaha dalam berorganisasi dan kehidupan apabila nilai itu dibantu sistem terancang meliputi pembelajaran, pengajaran dan penilaian bersistematik.

Yang utama adalah penentuan hala tuju dan setiap mahasiswa ditentukan hala tuju pengajian berdasarkan tawaran program yang membentuk komponen kursus, tempoh pengajian, syarat lulus, keperluan latihan praktikal dan ilmiah bagi melayakkan mahasiswa memperoleh ijazah dalam bidang atau program masing-masing.

 

Semua sistem dan proses yang dirancang itu bukan sekadar memberikan kelayakan dalam bidang ditawarkan tetapi supaya graduan ada asas kelayakan bagi memenuhi permintaan pihak industri serta keperluan masyarakat.

 

Dengan kata lain, mereka boleh memasarkan diri selepas tamat pengajian. Semua ini adalah satu ‘pakej usaha’ bersifat berterusan dan bersepadu serta boleh diguna pakai atau jadikan panduan dalam bekerja serta menjalani kehidupan seharian.

 

Usaha, semangat dan komitmen berteraskan penentuan hala tuju amat ditekankan Baginda SAW dalam peristiwa hijrah. Usaha Baginda SAW dan kaum Muhajirin berhijrah dari Makkah ke Madinah berasaskan niat memperoleh kejayaan yang diredai Allah SWT.

 

Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan Saidina Umar bin al-Khattab yang bermaksud: “Segala amal hanya dengan niat dan hanya bagi setiap seseorang itu apa yang ia niatkan. Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehnya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Menurut Imam Syafie, hadis ini mengandungi satu pertiga Islam kerana usaha seseorang itu ada kala dengan hatinya, lidahnya dan anggotanya. Maka, niat yang maksud tujuan dan kehendak hati adalah satu dari usaha yang tiga.

 

Imam al-Ghazali dalam kitabnya menyatakan, hati itu ibarat raja dan seluruh anggota adalah tenteranya. Oleh itu, hati yang tetap dengan niat atau hala tuju yang baik dan betul akan mudah menggerakkan usaha oleh anggota.

 

Justeru, untuk mencapai kejayaan, hadis ini menekankan kepentingan meletakkan niat sebagai pemandu arah kepada setiap usaha atau amal yang akan dilaksanakan, manakala ganjaran pahala yang akan diperoleh adalah sesuai dengan niat ditetapkan.

 

Niat atau hala tuju yang baik akan memberi nilai terhadap fokus usaha seperti kata-kata ulama tasauf, Fadil bin ‘Iyad: “Meninggalkan amal kerana manusia adalah riak; beramal kerana manusia adalah syirik. Niat yang ikhlas itu ialah Allah SWT menyelamatkan kamu daripada keduanya-duanya.”

 

Usaha berasaskan hala tuju yang baik akan mengelakkan seseorang daripada niat buruk seperti sombong dan bangga diri. Oleh itu, perlu ditekankan bahawa niat dalam Islam bukan saja penentu matlamat, juga penentu kepada nilai kerja dan nilai diri pelakunya.

 

Paparan kejayaan graduan dan penerima dalam Majlis Konvokesyen jangan sekadar dilihat sebagai satu majlis, sebaliknya apa yang membawa mereka kepada kejayaan itulah yang wajar dikutip serta dijadikan panduan, pembakar azam ke arah usaha, semangat serta komitmen berterusan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »