Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Oktober 2011

Akal tanpa suluhan wahyu punca celaru

Posted by epondok di Oktober 21, 2011

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

AKAL fikiran adalah naluri serta cahaya kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada hamba-Nya bagi membezakan kebenaran dan kebatilan. Akal juga dapat mencerna maklumat diterima sama ada benar-benar menepati cita rasa syariat yang menjurus kepada natijah pahala dan dosa.

 

Oleh sebab itulah syariat Islam diturunkan dengan misi untuk menyelamatkan beberapa perkara asas dalam kehidupan manusia antaranya menyelamatkan akal dengan melarang umat mengambil minuman memabukkan.

Menyelamat keturunan manusia dengan melarang mereka berzina seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu hampiri zina kerana ia adalah perkara buruk dan keji.” (Surah Al-Israk, ayat 32)

Menyelamatkan harta benda dengan larangan mencuri, menyelamatkan kehidupan manusia dengan larangan membunuh tanpa sebab munasabah, menyelamatkan keharmonian masyarakat dengan larangan mengumpat dan menyelamatkan kehormatan dengan mengharamkan tuduhan palsu terhadap seseorang.

 

Akal yang bertapak di hati manusia akan sentiasa diberi pilihan oleh Allah SWT dalam menentukan hala tuju serta keputusan dibuat sama ada dapat memberi manfaat atau mudarat kepada seseorang.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak pernahkah mereka berjalan di bumi sehingga hati mereka memahami, telinga mereka dapat mendengar. Sebenarnya bukan buta di mata tetapi yang buta ialah hati di dalam dada.” (Surah Alhaj, ayat 46)

 

Mereka yang tidak menggunakan akal dengan sebaiknya akan menerima kehinaan Allah SWT sehingga disamakan kedudukan mereka seperti binatang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami isikan neraka dengan jin dan manusia kerana tidak menggunakan akal sebaiknya. Mereka mempunyai mata dan telinga tetapi tidak menggunakannya dengan baik. Mereka diumpamakan seperti binatang bahkan lebih dahsyat dari itu lagi.” (Surah Al-A’raf, ayat 179)

 

Akal, pendengaran, pandangan mata dan hati adalah neraca penimbang kepada ilmu dan makrifah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah melahirkan kamu dalam keadaan bingung dan tidak mengerti apa-apa. Lalu dikurniakan pendengaran, penglihatan dan hati nurani semoga kamu bersyukur kerananya.” (Surah An-Nahl, ayat 78)

 

Pancaindera dikurniakan kepada manusia bermula dari pendengaran sebelum penglihatan dan perasaan. Kita melihat anak dilahirkan akan menggunakan pancaindera ini sebelum mata mereka dapat melihat sesuatu dan seterusnya akan melalui proses mengenal mengikut turutan kurniaan Allah.

 

Mereka juga dapat membezakan antara petunjuk Ilahi dan kesesatan dicetuskan oleh syaitan. Mereka yang mendapat petunjuk akan meraih dua keuntungan iaitu di dunia dan akhirat. Begitu juga balasan sebaliknya bagi mereka yang sesat.

 

Firman Allah SWT bermaksud: “Bagi mereka yang menyahut seruan Allah SWT, mereka disediakan balasan baik. Dan bagi mereka yang ingkar, jika mereka memiliki segala khazanah alam ini sekalipun dan ditambah lagi satu lagi kekayaan, nescaya tidak dapat menebus segala keingkaran itu di akhirat kelak.” (Surah Ar-Ra’du, ayat 18)

 

Mereka yang gagal menggunakan fungsi akal akan menerima padah di dunia dan melahirkan penyesalan di akhirat.

 

Peristiwa sedih di Arab Saudi baru-baru ini mencabar kewibawaan akal kita di mana seorang bernama Muhammad bin Hasan al-Askari mendakwa beliau Imam Mahdi dan salah seorang dari Khalifah Abbasiyah muncul kembali.

 

Beliau mendakwa dari keturunan Baginda SAW dan al-Quran pada hari ini bertentangan dengan yang dibawa sahabat Baginda Nabi SAW.

 

Beliau juga mendakwa melihat perkara ghaib serta dapat menunaikan hajat seseorang. Malangnya masih ramai percaya dakwaan ini dan akhirnya menjadikan beliau sembahan yang jelas menyengutukan Allah SWT. Kini mereka pencetus kepada kacau bilau serta huru-hara dalam masyarakat Islam di sana.

Marilah bersama menghayati firman Allah SWT: “Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah selain dari Allah SWT yang tidak dapat memberi apa-apa kepadanya di hari kiamat dan mereka lalai dari perkara itu semasa di dunia. Segala sembahan mereka akan menjadi musuh pada ketika itu walaupun mereka mengingkarinya.” (Surah Al-Ahqaf, ayat 5-6)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »