Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Oktober 2011

16 Keburukan Zina

Posted by epondok di Oktober 19, 2011

BUAT dosa siang malam tidak kira masa. Apa sudah jadi dengan umat Islam kini? Bersolat tetapi berzina. Ketika umat Islam berpuasa dia pula buat kerja laknat.

Ini yang diberitahu kepada saya seorang ibu yang mengadu mengenai anaknya dan aduan seorang isteri dengan perangai suami yang bermalam dan mengaku berzina dengan “kekasih baru.”

Saya masih ingat lagi kata-kata datuk saya ketika beliau mengajar di rumahnya dengan katanya, berzina seronok sekejap tetapi derita sampai ke neraka.

Tazkirah kali ini ingin saya menulis mengenai akibat berzina yang nampaknya sudah menjadi perkara biasa dan semacam tidak ada apa-apa perasaan pada pasangan sama ada remaja, dewasa atau tua.

Percayalah, kalau Allah marah mesti ada azab sama ada azab sementara di dunia dan apa lagi di akhirat. Di antara akibat buruk dan bahaya terbabit ialah:

1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan iaitu berkurangnya agama si penzina, hilanga sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.

2. Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu adalah suatu yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.

3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.

4. Membuatkan hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan sehingga tidak pernah berasa cukup dengan apa yang diterimanya.

6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.

8. Penzina akan dipandang manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki qalbun salim (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.

10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi penzina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya.

Ini kerana orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan sebaliknya dari apa yang dia inginkan dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan serta kebahagiaan.

11. Penzina mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari jelita di syurga kelak.

12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan.

Bahkan, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.

13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih meninggalkan kesan dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya.

Tetapi dosa zina akan benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku itu bertaubat dan membersihkan diri, dia masih berasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya?

Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkannya. Dia berzina dan membunuh jiwa yang tidak berdosa.

Sekiranya dia ialah seorang wanita yang bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir, dia memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Na’udzubillahi min dzaalik.

15. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit seperti Aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.

16. Di antara azab di akhirat nanti penzina akan dibesarkan kemaluan, baik lelaki atau perempuan sebesar Bukit Uhud. Anda tahu besar mana Bukit Uhud? Semoga kita dan anak keturunan kita terselamat dari bencana durjana ini.

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Balasan Allah tidak boleh dielak

Posted by epondok di Oktober 19, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

ALLAH SWT menyebut pada ayat yang lepas bahawa orang yang mempunyai harta benda dan anak-anak telah kafir, bersikap derhaka dan menyelewengkan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

Allah SWT menambahkan penjelasan apa yang diberikan kepadanya itu hanya cubaan dan ujian semata-mata agar Dia melihat sama ada orang itu taat dan bersyukur kepada Allah SWT sehingga ditambahkan kenikmatan kepadanya. Atau orang itu akan menggunakannya untuk menimpakan kepadanya dengan pelbagai bencana dan seksaan.

Contohnya para pemilik kebun ketika mereka menjalankan sedikit kederhakaan, kebun mereka dibinasakan oleh Allah SWT. Oleh itu, bagaimana pula dengan orang yang menentang Allah SWT dan rasul-Nya yang tetap bersikap keras berada dalam kekafiran dan mengerjakan maksiat.

Al-Sabuni berkata: Kami telah uji ahli Mekah dengan kemarau dan kelaparan supaya mengikut dakwah Rasulullah SAW sebagaimana kami menguji pemilik-pemilik ladang yang mempunyai pelbagai jenis buah-buahan.

Kami taklifkan ahli Mekah supaya bersyukur kepada Tuhan mereka atas segala nikmat sebagaimana kami taklifkan pemilik ladang-ladang untuk bersyukur dengan memberi kepada fakir miskin akan hak mereka.

Sebahagian ahli tafsir berkata ia berkenaan seorang lelaki muslim dan tinggal berhampiran Sana’a yang mempunyai pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan.

Apabila sampai waktu menuai dan memetik buah-buahan dia memanggil fakir miskin serta memberi hak masing-masing dengan banyak. Di samping itu memuliakan mereka.

Sebaliknya apabila mati si kaya yang bersyukur ini, anak-anak mereka yang bertiga mewarisi harta bapa mereka seraya berkata: “Keluarga kita ramai dan harta kita sedikit. Tidak mungkin kita boleh bagi kepada fakir miskin seperti yang dilakukan oleh ayah kita. Mereka berbincang sesama mereka untuk tidak memberi kepada seorang pun fakir miskin. Justeru, mereka berpakat untuk memungut buah-buahan pada waktu pagi ketika fakir miskin tidak menyedari.”

Tiba-tiba pada waktu malam tersebut Allah turunkan api membakar tanaman dan buah-buahan. Apabila waktu pagi, mereka pergi ke kebun dan mendapati tidak ada pohon kayu dan buah-buahan.

Mereka menyangka tersilap jalan apabila mereka memastikan hal tersebut mereka tahu ini hukuman Allah dengan niat jahat mereka lantas mereka sesal dan bertaubat. (antara terjemahan ayat 17-20 surah al-Qalam)

Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat-ayat lalu menyebut beberapa sifat buruk dari al-Mukazzibin iaitu para pengingkar ayat Allah (baca ayat 8 dan seterusnya) kini dijelaskan bahawa apa yang dialami oleh mereka itu serupa dengan kisah sekelompok pemilik kebun yang agaknya pengalaman mereka telah dikenal luas oleh masyarakat Mekah ketika itu.

Di sisi lain, ayat yang lalu juga menghuraikan sebab sifat-sifat buruk oleh kelompok orang derhaka disebabkan sikap angkuh mereka kerana memiliki harta yang banyak.

Ayat di atas mengingatkan keangkuhan dengan pemilikan harta yang melampau dan hakikatnya ia adalah ujian Tuhan kepada manusia. Ujian Allah tidak sama dengan ujian oleh manusia sehinggakan apabila diuji mereka tidak dapat mengelak sama sekali.

Firman Allah SWT: Lalu mereka panggil memanggil di pagi hari. Pergilah diwaktu pagi (ini) ke kebunmu jika kamu hendak memetik buahnya.

Al-Maghari berkata: Sesetengah mereka menyeru kepada sesetengah yang lain. Marilah kita ke kebun pada awal pagi untuk memetik buah dari kebun kamu jika kamu hendak melakukannya.

Mereka menyembunyikan urusan itu sehingga tidak ada seorang pun yang mendengar perancangan mereka sebagaimana firman Allah SWT.

Firman Allah SWT: Maka pergilah mereka saling berbisik-bisik. Pada hari Ini janganlah ada seorang miskinpun masuk ke dalam kebunmu.

Sayid Qutub berkata: Seolah-olah kita yang mendengar atau membaca al-Quran tahu apa yang tidak diketahui oleh tuan-tuan kebun tentang malapetaka yang telah menimpa kebun itu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »