Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Oktober 2011

Bahaya cinta nafsu

Posted by epondok di Oktober 18, 2011

 

Oleh Ustaz Zawawi Yusoh

 

CINTA itu adalah anugerah daripada Allah kepada semua makhluk ciptaannya. Allah menciptakan segala sesuatu itu secara berpasangan-pasangan (lihat Surah Ar-rum ayat 21) iaitu lelaki dengan perempuan dengan tujuan agar mereka saling mengisi kekurangan dan kelebihan di antara mereka yang pada akhirnya akan tumbuh cinta dalam hati mereka.

 

Cinta dapat membawa keberkatan jika kita boleh mengarahkannya ke jalan yang diredai oleh Allah s.w.t, tetapi cinta juga boleh membawa kepada petaka, malah menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan dan jauh daripada norma Islam.

 

Bercinta janganlah mengiku nafsu semata, tetapi ia perlu berasas kepada agama dan batas Islam. Cinta nafsu adalah cinta yang tidak mengikuti aturan Islam. Ia bebas berbuat apa saja.

 

Ada beberapa kerosakan akibat cinta nafsu ini. Pertama, lupa mengingati Allah kerana mereka lebih sibuk mengingati makhluk-Nya yakni orang yang dicintainya.

 

Contohnya jika dia lebih kuat mengingati Allah, insya-Allah mengingati makhluk pasti terkendali. Tapi jika lebih kuat mengingat makhluk-Nya maka mengingati Allah akan dikalahkan.

 

Kedua, melupakan agama. Tiada orang yang paling mensia-siakan agama dan dunia melebihi orang yang sedang dirundung cinta nafsu.

 

Ia mensia-siakan maslahat agamanya kerana hatinya lalai untuk beribadah kepada Allah s.w.t.

 

Ketiga, mengundang bahaya. Bahaya dunia dan akhirat lebih cepat menimpa kepada orang yang dirundung cinta nafsu melebihi kecepatan api membakar kayu kering.

 

Ketika hati berdekatan dengan orang yang dicintainya secara buta itu, ia akan menjauh dari Allah s.w.t. Jika hati jauh daripada Allah, semua jenis bahaya mengancam dari segenap sudut kerana syaitan sudah menguasai dirinya.

 

Jika syaitan sudah menguasai diri, mereka berada dalam keadaan bahaya.

 

Cukuplah dengan fakta masalah perzinaan dan penularan penyakit seksual berlaku dalam dunia hari ini. Begitu juga dengan gejala buang bayi yang tidak berdosa amat menggerunkan.

 

Keempat, syaitan akan menguasai. Jika kekuatan syaitan menguasai seseorang, ia akan merosakkan akalnya dan memberikan rasa was-was.

 

Akal kadang-kadang sudah tidak terkendali ibarat seperti meletakkannya di kepala lutut. Padahal yang paling berharga bagi manusia adalah akalnya yang membezakannya manusia dan haiwan.

 

Jadi jangan hairan jika ramai yang terjerumus melakukan maksiat kerana fikiran mereka menjadi singkat. Apa yang sentiasa mereka fikirkan adalah hawa nafsunya iaitu mahu sedap dan seronok saja.

 

Kelima, kurang kepekaan. Cinta nafsu akan merosak indera atau mengurangi kepekaannya. Apabila diri penuh dengan dosa maka hati akan rosak. Jika hati sudah rosak maka organ lain, seperti mata, lisan, telinga juga turut rosak.

 

Ertinya, ia akan melihat yang buruk pada diri orang yang dicintainya secara nafsu itu sebagai sebuah kebaikan atau sebaliknya.

 

Imam Ahmad menyebut: “Cintamu kepada sesuatu membutakanmu dan membuatmu tuli.”

 

Ibnu Abbas pernah mendengar berita ada seorang lelaki yang sangat kurus sehingga yang tinggal hanya kulit dan tulang.

 

Ibnu Abbas berkata, “Kenapa ia? “Ia terkena jatuh cinta, isyq (cinta buta),” jawab seseorang.

 

Kemudian Ibnu Abbas berdoa dan berlindung kepada Allah s.w.t sepanjang hari daripada penyakit isyq. Kita perlu berfikir secara lebih dewasa dalam apa jua tindakan akan kita akan lakukan. Jangan main-main dalam menangani masalah serius itu.

 

Jangan sampai terbius oleh gemerlap kehidupan yang menawarkan kenikmatan sementara. Jika kita belum mampu untuk berkahwin maka janganlah berkahwin lagi kerana perkahwinan bukan urusan main-main.

 

Kita mesti rela untuk membuang fikiran murahan mengenai pertunangan adalah segala-galanya. Sebab, bercinta adalah salah satu bahagian ekspresi cinta nafsu.

 

Wahai remaja, mulai sekarang tumbuhkan dahulu kecintaan kita kepada ilmu agama sehingga kita memahaminya serta mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian. Semoga pula kita tidak tergoda dengan cinta nafsu semata.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

6 Tempat Boleh Mengumpat

Posted by epondok di Oktober 18, 2011

Firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat :

…..وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ……..

Maksudnya : …dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya….

 

قال الرسول e  : إِيَّاكُمْ وَالغِيْبَةَ فَإِن َّالغِيْبَةَ أَشَدُّ مِنَ الزِّنَا. قِيْلَ لَهُ كَيْفَ؟ قَالَ : إِنَّ الرَّجُلَ قَدْ يَزْنِي وَ يَتُوْبُ فَيَتُوْبُ اللهُ عَلَيْهِ وَإِنَّ صَاحِبَ الغِيْبَةِ لاَ  يُغْفَرُ لَهُ حَتَّى يَغْفِرَ لَهُ صَاحِبُهُ

Maksudnya : Jauhkan oleh kamu akan dirimu dan takut oleh kamu akan mengumpat kerana bahawasanya mengumpat itu lebih bersangatan daripada zina. Dikatakan bagi Rasulullah s.a.w : Betapa? Ertinya, kerana apa mengumpat itu lebih besar daripada zina?. Bersabda baginda : Bahawasanya seorang lelaki itu terkadang dia berzina dan lantas bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan bahawasanya orang yang mengumpat itu tiada diampuni baginya sehingga memaaf baginya oleh orang yang diumpatnya.

( Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan Abu Asy-Syeikh dari Jabir dan Abi Sa’id )

 

Hukum mengumpat itu haram dengan ijma’ melainkan pada 6 tempat yang diharuskan mengumpat padanya iaitu :

 

  1. Orang yang mengadu pada penguasa tentang kezaliman seseorang dengan menyebut nama orang zalim itu dan perbuatannya bertujuan untuk menghentikan kezalimannya

 

  1. Orang meminta tolong bagi menghilang maksiat pada sesuatu tempat kepada yang berkemampuan dengan menyebut nama pelaku maksiat dan kesalahannya bertujuan untuk menghentikan maksiat itu

 

 

  1. Orang yang meminta fatwa daripada yang berkelayakan tentang sesuatu masalah yang terpaksa menyebut nama dan kelakuan seperti seorang isteri bertanya tentang hal suaminya dan sikapnya yang buruk

 

  1. Orang yang menakutkan orang Islam lain tentang kejahatan seseorang supaya terselamat daripada keburukan orang itu seperti menyebut kelakuan jahat seseorang perempuan yang diingini untuk dikahwini bila ditanya agar bakal suaminya tidak tertipu dan selamat

 

 

  1. Menyebut nama seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Amin Tempang dan sebagainya

 

  1. Menyebut nama orang yang menzahirkan kejahatannya bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »