Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 Oktober 2011

Ibadah haji, kongres satukan umat Islam

Posted by epondok di Oktober 14, 2011

 

Oleh Ibrahim Abdullah

 

IBADAH haji rukun Islam kelima difardukan kepada setiap Muslim yang mukalaf, mampu, berkuasa dan memenuhi syaratnya, hanya sekali seumur hidup, manakala adalah sunat bagi umat Islam menunaikannya berulang kali.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan corak rantau) yang jauh, supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.” (Surah al-Hajj, ayat 27-28)

 

Ibadah haji menarik jutaan umat manusia seluruh dunia untuk beribadah di tanah suci Makkah. Kita dapat menyaksikan jutaan umat Muhammad berkumpul mengucapkan kalimah ‘Labbaikallah, Humma Labbaik’ (aku dengar panggilan-Mu Ya Allah).

 

Ketika Nabi Ibrahim membina bangunan sebagai tempat ibadah kepada Allah, mungkin saat itu tidak ada yang mengira ia akan menjadi pusat beribadah dan jalinan persaudaraan paling tulus dari jutaan umat manusia yang ingin mendekatkan diri kepada Allah Taala.

 

Ulama besar Lubnan, menyatakan falsafah ibadah haji sebagai kongres kaum Muslimin sedunia adalah gerakan ummah untuk menyatu padukan langkah dan hati kaum Muslimin sedunia berjuang menegakkan agama mulia ini.

 

Salah satu tugas penting kaum Muslimin adalah memahami hakikat haji dengan bertanya mengapa kita harus menunaikan ibadah haji yang pelaksanaannya menelan belanja sangat besar.

 

Haji adalah muktamar kaum Muslimin dalam bentuk mempamerkan kekuatan spiritual. Ulama dan cendekiawan Muslim harus berupaya memahami dan memberi kefahaman kepada orang lain, mengenai mutiara hidayah, hikmah dan kebebasan terkandung dalam ibadah ini.

 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW ditanya: “Amalan manakah yang lebih utama? Baginda menjawab: Beriman kepada Allah dan juga kepada Rasulnya.

 

Kemudian Baginda ditanya lagi, Selepas itu apa lagi? Baginda berkata: Berjihad di jalan yang diredai Allah. Kemudian apa lagi? Baginda menjawab: Mengerjakan ibadat haji yang diterima oleh Allah (haji mabrur).”

 

Justeru, mereka yang mengerjakan haji dengan ikhlas dan sempurna, menjauhi diri daripada melakukan maksiat serta dosa, nescaya bersih dari segala dosa seperti mana dia baru dilahirkan.

 

Ibadat haji adalah amalan suci yang menguji kekuatan iman seseorang hamba kerana ia berkait rapat dengan pengorbanan harta benda, tenaga serta nyawa. Umat Islam yang mengerjakan ibadat haji hendaklah mengerjakannya dengan penuh ikhlas kerana Allah.

 

Abu Hurairah berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan haji, kemudian tidak mengerjakan dosa dan maksiat, nescaya ia bersih daripada dosa seperti mana ia baru dilahirkan oleh ibunya.”

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »