Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 Oktober 2011

Ikhlas beribadat hindar perbuatan maksiat

Posted by epondok di Oktober 11, 2011

UMAT Islam diingatkan oleh Allah SWT bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

Saidina Ali berkata: “Hai dunia, tipulah orang lain selain aku. Aku telah menceraimu dengan talak tiga. Umurmu pendek, perhiasanmu sulit dan bahayamu sangat besar. Betapa sedikit bekalku, betapa panjang perjalananku dan betapa sunyi jalanku.”

Justeru, dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, manusia dapat digolongkan kepada dua golongan. Pertama, mereka yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah SWT dan kedua, mereka yang ingkar dengan ketentuan serta ketetapan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan dua golongan itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya, maka tidakkah kamu mengambil peringatan.” (Surah Hud, ayat 24)

Orang yang beriman menyerahkan kehidupan kepada Allah SWT. Mereka lebih mementingkan keredaan Allah SWT daripada bermewah dengan kehidupan dunia, menjaga solat, menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tidak berguna.

Menafkahkan harta mereka ke jalan Allah SWT, menjaga kemaluan atau kehormatan daripada kemungkaran, tidak melampaui batas dalam bertindak dan sentiasa menjaga amanah. Sebaliknya bagi yang ingkar dan maksiat, mereka berpegang teguh dengan tali syaitan yang menguasai kehidupan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah, bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.” (Surah al-Mujadalah, ayat 19)

Musuh Allah SWT iaitu syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ke lembah maksiat, dengan lisan ataupun perbuatan. Cara lisan lebih penting daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa.

Saidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW amalan yang dapat memasukkan ke syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda: “Hendaklah kamu menjaga ini. Selanjutnya Baginda bersabda: Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita perkatakan.”

Allah SWT menyingkap rancangan musuh-Nya sebagai pintu masuk yang merosakkan manusia antara lain, ajakan kepada kejahatan, menanam rasa takut miskin, menyemai nilai dusta, menanamkan permusuhan antara individu, keluarga dan masyarakat.

Mencegah daripada mengingati Allah SWT dengan kesenangan atau kesulitan, menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT, menanam rasa putus asa, takjub, ego, takbur, memperbanyakkan harta untuk sekadar disimpan bukan kepentingan umum.

Hasil daripada Allah SWT menyingkap pintu musuh Allah ini, maka lahirlah manusia terpaut dengan ajakan serta bisikan yang mendatangkan kerosakan pada kehidupan manusia itu sendiri. Dengan godaan, akhirnya ramailah manusia bergabung menjadi pengikut kemaksiatan ini.

Bagi menutup pintu maksiat, hendaklah kita sedar dan insaf bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Mereka yang ingin bertaubat dan hidup tanpa maksiat hendaklah ikhlas serta menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT untuk mengelak diperhambakan hawa nafsu.

Dalam kehidupan hari ini ramai menghadapi penyakit hidup bermaksiat. Ingatlah, kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes jenayah, pembunuhan, penindasan, membunuh diri, kejahatan, kezaliman adalah perbuatan yang dipengaruhi hawa nafsu.

Mereka yang menjadikan nafsu sebagai petunjuk kehidupan akan gagal, resah kerana diburu rasa bersalah kepada Allah dan diri sendiri.

Marilah kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menutup pintu maksiat dan mengingati akhirat supaya kita sedar hakikat kehidupan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Zulhijjah bulan pelengkap sistem ibadat ummah

Posted by epondok di Oktober 11, 2011

Oleh Sharifah Haayati

Naik haji penuh dengan pengajaran, suntik semangat masyarakat Islam seluruh dunia

SYAWAL bulan meraikan kemenangan sudah pun melabuhkan tirainya, kini Zulkaedah menjelma dengan suasana yang mampu mencetuskan pemikiran, menggerakkan hati keinsafan serta membangkitkan semangat beramal apabila melihat jemaah haji mula berlepas ke Tanah Suci.

Kewajipan Zulhijjah ini bakal melengkapkan rukun Islam yang kelima dan diari setahun amalan umat Islam. Ibadah haji penuh dengan pengajaran bukan saja kepada bakal jemaah, malah semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan. – Surah Al-Taubah, Ayat 105

Semangat tinggi jemaah haji walaupun dalam keadaan ada yang bertongkat, berkerusi roda, sudah berusia dan uzur atau masih muda, meninggalkan anak masih kecil serta ahli keluarga memerlukan semata-mata menunaikan kewajipan serta pengabdian, mampu menyuntik semangat kita semua.

Maha Suci Allah yang panggilan-Nya tidak mengira usia, rupa, jantina, kekuatan, pangkat mahupun darjat. Hakikatnya, yang mereka hajati walau jauh beribu batu dan dengan segala macam ujian yang akan ditempuh adalah rahmat, keampunan dan keredaan-Nya.

Sememangnya perjalanan itu suatu pengembaraan ujian seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perjalanan atau bermusafir itu adalah sebahagian daripada azab (penderitaan).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Dengan sebab itulah, kejayaan bermusafir dalam ibadat haji dan mengambil roh daripada ibadat itu iaitu pengorbanan diraikan pula dengan Aidiladha.

Namun, di sebalik itu ada faktor dorongan atau tarikan luar biasa yang menyebabkan Tanah Suci tidak pernah lengang dan sunyi. Justeru, pengamatan terhadap kelebihan terkandung dalam Zulhijjah yang bakal tiba, mengukuhkan semangat beramal pada akhir tahun dalam takwim Islam.

Allah memberikan pelbagai keistimewaan dan kelebihan Zulhijjah antaranya, kemuliaan 9 Zulhijjah iaitu hari Arafah. Kelebihan itu pula terletak pada penilaian dan ganjaran Allah yang menjadi faktor dorongan luar biasa untuk beriman, beramal dan berakhlak.

Justeru, jika dikaji dengan mendalam, kita akan mendapati Allah menganugerahkan bagi umat Islam dengan aturan sistem, proses penilaian dan ganjaran yang tiada tolok bandingnya.

Pertama, sistem penilaian dan ganjaran Allah itu Maha Adil meliputi setiap yang baik di sisi-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105)

Kedua, penilaian-Nya Maha Menyeluruh sehinggakan tiada apapun yang terkecuali seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8)

Ketiga, penilaian-Nya Maha Halus dan akan dicatat sementara keempat, penilaian dan ganjaran Allah sesuai dengan kemampuan hamba-Nya. Oleh sebab itu, hukum wajib menunaikan haji itu hanya disyaratkan kepada mereka yang berkemampuan dari sudut material, kesihatan mahupun keselamatan diri atau ahli keluarga yang ditinggalkan.

Kelima, penilaian dan ganjaran itu memberikan kepuasan. Bahkan, semakin tinggi darjat dan kesukaran melaksanakan sesuatu kewajipan itu semakin tinggilah ketenangan dan kepuasan diperolehnya.

Keenam, ganjaran Allah Maha Tinggi meliputi sesuatu yang tidak boleh diberi oleh makhluk serta amat dihajati atau diingini manusia termasuklah ganjaran suci daripada dosa dan dijanjikan syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara fasik, nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim)

Ketujuh, dalam penilaian dan ganjaran-Nya, Allah SWT menyediakan suasana persekitaran penuh dengan rahmat dan keberkatan khasnya di Tanah Suci Makkah.

Beginilah istimewanya sistem penilaian dan ganjaran Allah SWT yang menjadi pendorong keimanan hamba-Nya. Justeru, prinsip dan bentuk asas dalam sistem ini dijadikan panduan dalam mewujudkan dorongan dan kepuasan bekerja hari ini, walaupun dalam pelbagai keterbatasan manusia.

Namun, apa yang sangat mustahak untuk diambil pengajaran adalah usaha mengambil pertimbangan yang seadil-adilnya dalam mengatur sistem penilaian dan menyediakan imbuhan serta penghargaan yang wajar dan setimpal.

Ia mestilah diusahakan sebaiknya oleh manusia dalam segenap urusan mereka bagi membuahkan kepuasan kerja dan keberkatan bagi pekerja serta majikan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »