Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Oktober 2011

Pentingnya sihat semasa haji

Posted by epondok di Oktober 9, 2011

Oleh DR. AZAH ABDUL SAMAD

Semua maklum bahawa perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan haji adalah salah satu perkara yang ditunggu oleh semua orang Islam. Ia merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba terhadap Allah, Maka sudah tentu mempunyai ganjaran dan hikmah yang besar. Tetapi ganjaran itu pasti tidak mampu dicapai jika niat suci itu terhalang oleh beberapa faktor terutama kesihatan.

Bakal-bakal haji perlu memahami keadaan di Tanah Suci kerana berbeza dengan persekitaran di negara kita. Hawanya berdebu dan kering berbanding dengan keadaan cuaca di Malaysia yang lembap.

Perbezaan paling ketara adalah perubahan cuaca yang sangat ekstrem antara malam dan siang. Suhu waktu siang adalah lebih 30darjag celsius dan pada waktu malam serendah 18 darjah celsius.

Suhu sejuk dan keadaan berdebu mendedahkan jemaah kepada jangkitan saluran pernafasan. Sebab itu mereka dinasihat menyemak keadaan suhu di media massa sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pada musim haji kali ini, ia dijangka bertembung dengan musim panas. Maka bakal jemaah diingatkan jangan berjemur di tengah panas dan perlu minum banyak air serta tidak berpakaian tebal di waktu siang.

Lagi pula ibadah haji itu sendiri memerlukan kekuatan fizikal untuk melakukan saie, tawaf dan melontar. Jemaah terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut selain perlu bermalam di Arafah, Mina dan Mudzalifah dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas. Pasa masa sama mereka perlu berjalan untuk ibadah melontar empat hari berturut-turut.

Jemaah juga terpaksa berulang-alik ke masjid yang jaraknya dengan tempat penginapan adalah antara 50 meter ke 700 meter. Ringkasnya jemaah haji memerlukan kekuatan fizikal sama ada untuk menunaikan ibadah atau urusan peribadi ketika di Tanah Suci.

Disebabkan bilangan jemaah yang ramai, maka masa untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu lebih panjang. Jemaah yang ramai itu juga banyak masalah kesihatan disebabkan virus atau bakteria yang dibawa oleh jemaah negara lain.

Kepentingan kesihatan

Lulus pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor merupakan salah satu dari peraturan haji kerajaan Arab Saudi sebelum visa haji diluluskan.

Pemeriksaan kesihatan yang sempurna bagi melakukan pengesanan awal dan memastikan jemaah yang mengidap penyakit tertentu mendapat rawatan yang sepatutnya sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pada masa ini, semua bakal jemaah telah lulus pemeriksaan kesihatan. Semua perihal kesihatan telah dicatit di dalam Buku Rekod Rawatan (BRR) yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).

Pastikan buku rekod rawatan lengkap diisi oleh doktor dan segala tambahan atau perubahan dos ubat-ubatan dicatatkan.

Ini penting kerana hanya buku itu yang menjadi penghubung antara doktor di Malaysia dan doktor yang bertugas di tanah suci.

Jika buku itu tidak mempunyai maklumat lengkap maka doktor yang bertugas di Tanah Suci akan menghadapi kesulitan dalam memberi rawatan terbaik.

Buku rekod rawatan hendaklah sentiasa berada dalam beg galas jemaah dan sentiasa di bawa bersama-sama di Tanah Suci.

Jemaah dinasihat membawa bekalan ubat yang mencukupi sepanjang musim haji. Walaupun rombongan perubatan TH turut membawa bekalan ubatan, mungkin ada ubat yang tiada dalam senarai. Bagi bakal jemaah haji yang memerlukan ubat khas dari doktor pakar swasta atau Institut Jantung Negara, ia hendaklah dibawa secukupnya.

Vaksinasi

Vaksinasi boleh membantu menyediakan ketahanan badan terhadap penyakit. Untuk bakal jemaah, vaksinasi yang diwajibkan adalah vaksinasi meningococcal.

Ia untuk ketahanan badan terhadap jangkitan selaput otak. Vaksinasi pilihan yang digalakkan adalah untuk influenza dan pneumococcal untuk ketahanan badan terhadap jangkitan paru-paru.

Vaksinasi wajib

Pada musim haji 1987 (1407 Hijrah), musim haji 2000 dan 2001, wabak penyakit meningitis berlaku di Tanah Suci. Berikutan itu, kerajaan Arab Saudi mewajibkan vaksinasi meninggococcal (suntikan vaksin Quadrivalent meningokokus ACWY-135) kepada semua jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Tanpa suntikan itu, pihak Arab Saudi tidak membenarkan jemaah haji masuk ke Tanah Suci. Vaksinasi ini akan beri perlindungan ketahanan imuniti selama dua hingga tiga tahun.

Vaksinasi pilihan

Vaksinasi juga boleh membantu menyediakan ketahanan terhadap kuman yang menyebabkan radang paru-paru. Vaksinasi pilihan yang disyorkan adalah suntikan influenza (selesema bermusim) dan suntikan pneumococcal.

Kedua-dua suntikan itu adalah pilihan yang boleh didapati di klinik-klinik swasta. Ia bagi memberi perlindungan imuniti untuk tempoh setahun.

Mereka yang digalakkan mendapat vaksinasi pilihan adalah:

l Jemaah yang berumur 65 tahun ke atas.

l Pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, diabetes dan sakit paru-paru.

l Pesakit yang mempunyai ketahanan badan yang rendah.

Vaksinasi yang diambil juga mesti dicatit dalam buku rekod rawatan kerana tanpa vaksinasi wajib iaitu vaksinasi meningococcal, jemaah tidak dibenarkan masuk ke tanah suci.

Penyakit sering dihidapi

Oleh kerana perubahan suasana, suhu dan aktiviti di Tanah Suci seperti hawa yang panas dan berdebu, kesesakan tempat tinggal dan tempat ibadat dan keletihan badan, maka jemaah sering menghidap penyakit ringan seperti:

l Batuk dan demam selsema. Pada kebiasaannya hampir 90 peratus dari jemaah haji menghidap batuk. Mereka perlulah mendapat rehat yang cukup. Banyakkan minum air, tiha ke empat liter sehari terutama selepas menggunakan tenaga berlebihan dan penting bagi mereka mendapatkan rawatan awal dari klinik sebelum keadaan bertambah teruk.

l Pecah-pecah kulit, tumit dan bibir (khususnya di Madinah). Cara mengatasinya adalah dengan menyapu krim pelembap sejurus berada di Tanah Suci untuk mengelakkan kulit dan bibir pecah. Keadaan cuaca yang kering menyebabkan kulit, bibir dan tumit pecah. Kurangkan penggunaan sabun mandi untuk mengelakkan kekeringan kulit dan jangan berjalan tanpa alas kaki. Lain-lain penyakit ringan adalah sakit kerongkong, hidung berdarah, sembelit dan cirit-birit.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pakaian, percakapan cerminan peribadi

Posted by epondok di Oktober 9, 2011

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

UMAT Islam diperintahkan Allah dan Rasul-Nya sentiasa menjaga maruah diri, keluarga, jiran dan masyarakat seluruhnya daripada perbuatan bercanggah ajaran Islam yang suci serta perkara mengundang kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai orang beriman pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Gambaran masyarakat Islam hari ini sungguh membimbangkan dengan corak kehidupan yang sudah renggang dari nilai Islam sebenar seperti cara berpakaian, pergaulan serta percakapan yang tidak mencerminkan ciri Islam. Semakin hari semakin bertambah tenat dan ini memerlukan usaha terancang serta kesungguhan semua pihak untuk menyekat gejala tidak sihat dari terus berleluasa. Mereka perlu dibimbing supaya kembali kepada ajaran Islam yang menggalakkan kita berbuat kebaikan dalam kehidupan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jangan kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baik kerana sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Maruah seseorang dapat dinilai dalam tiga aspek iaitu cara berpakaian, percakapan dan pergaulan. Jika elok ketiga-tiga ini, maka dikatakan kita ada harga diri dan bermaruah pada pandangan masyarakat serta mulia di sisi Allah SWT.

Islam selalu menekankan soal berpakaian dan cara berpakaian turut digariskan supaya kelihatan sopan, tidak jarang menampakkan susuk badan, tidak menyerupai pakaian lelaki atau sebaliknya selain mengelak pakaian mempunyai simbol merujuk kepada agama lain.

Perkembangan fesyen tidak boleh dielak atau dinafikan tetapi umat Islam perlu bijak memilih fesyen yang sesuai mencerminkan keperibadian mereka sebagai Muslim yang mementingkan kebersihan, kemas dan menutup aurat.

Jika aurat didedahkan maka jatuh maruah seseorang itu, bukan satu kemegahan seperti tanggapan sesetengah orang.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengingati-Nya (dan bersyukur).” (Surah Al-‘Araf, ayat 26)

Selain itu, Islam menyuruh kita berbicara atau bertutur dengan sopan seimbang tuntutan syarak. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang menampilkan kata-kata baik, lemah-lembut dan sopan dalam berinteraksi.

Sesiapa mendengarnya pasti akan berasa senang dan sejuk hati. Perkataan dikeluarkan jauh daripada sia-sia malah penuh dengan manfaat seperti menyeru ke arah kebenaran yang diperintahkan Allah. Orang yang menjaga lidahnya akan diredai Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada kebaikan dalam segala urusan yang mereka tempuhi melainkan menyeru ke arah kebenaran atau melakukan segala kebajikan ataupun mendamaikan di antara manusia bergaduh dan sesiapa melaksanakan demikian adalah untuk menuntut keredaan Allah, semoga Allah berikannya pahala yang berlipat ganda.” (Surah An-Nisa’, ayat 114)

Seseorang yang tidak dapat mengendalikan lidahnya seperti suka membuat fitnah, berbohong serta mencela, mencerminkan kerosakan hatinya dikuasai luapan nafsu dan bisikan syaitan. Orang seperti ini me

Dalam pergaulan sehari-hari kita perlu menjauhi hal boleh menyakiti hati orang lain. Membudayakan sikap dan tindakan yang boleh menyenangkan hati orang lain seharusnya menjadi amalan setiap Muslim.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

34 digantung kerja kerana solat

Posted by epondok di Oktober 9, 2011

 

ZAINAB AWEIS, 20, yang merupakan orang Islam Somalia bergambar di hadapan bendera Amerika Syarikat di Seattle.

SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) – Seramai 34 pemandu syarikat sewa kenderaan tempatan Hertz digantung kerja kerana bersolat semasa waktu bertugas.

Pihak pengurusan Hertz sebaliknya memberitahu, tindakan disiplin itu diambil kerana mereka menyalahgunakan waktu rehat.

Disokong kesatuan sekerja, semua pemandu terbabit mengadakan protes di luar kaunter syarikat Hertz di Lapangan Terbang Seattle-Tacoma di sini bagi membantah tindakan majikan mereka.

“Penggantungan ini merupakan pencabulan terhadap hak para pekerja terbabit sekali gus satu diskriminasi agama,” kata setiausaha perbendaharaan sebuah kesatuan sekerja tempatan, Tracey A. Thompson.

Menurutnya, penganut agama Islam dituntut melakukan solat sebanyak lima kali sehari.

Namun, pihak pengurusan Hertz ketika mengulas isu penggantungan kerja itu memberitahu, mereka yang terlibat melanggar perjanjian hak pekerjaan saksama yang dipersetujui dua tahun lalu.

“Isu ini tiada kaitan dengan agama. Beberapa pekerja Islam lain tidak digantung kerja kerana mereka mematuhi masa rehat 10 minit yang diberikan untuk bersolat. Mereka yang digantung kerja sebaliknya mengambil rehat lebih panjang,” kata seorang jurucakap syarikat Hertz, Rich Broome.

Menurutnya, kakitangan yang ingin melakukan solat perlu merekodkan waktu rehat mereka dengan menggunakan kad perakam waktu.

Kenyataan tersebut bagaimanapun disangkal oleh seorang pemandu syarikat berkenaan, Zainab Aweis.

Dalam wawancara bersama akhbar The Seattle Times Zainab memberitahu, beberapa pengurus syarikat Hertz memberitahunya bahawa beberapa kakitangan wanita yang ingin mengerjakan solat telah diarahkan supaya pulang.

“Dia (pengurus berkenaan) berkata, jika anda mahu solat lebih baik anda pulang dan tidak bekerja di sini lagi.

“Saya bertanya kepadanya, adakah ini peraturan baru syarikat, di seterusnya menjawab, ya,” kata Zainab.

– Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »