Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Remaja dan jurang generasi

Posted by epondok di Oktober 8, 2011


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

ANTARA perkara yang berbangkit di kalangan remaja kini ialah isu jurang generasi. Jurang generasi bermaksud tidak wujud mata rantai atau kesinambungan antara generasi terdahulu dengan generasi kini.

Generasi terdahulu berada dalam lingkungan zaman dan persekitaran yang berbeza. Sementara generasi kini berada dalam zaman dan lingkungan yang serba kompleks. Oleh itu berlaku jurang sama ada dalam pengalaman, pengetahuan, pemikiran dan juga persepsi.

Generasi terdahulu dibangunkan dalam suasana yang susah dan payah. Sebelum kemerdekaan mereka berjuang membebaskan tanah air dari belenggu penjajahan.

Selepas merdeka, mereka terpaksa mengurus kemenangan dan kemerdekaan dengan hasil peninggalan penjajah. Perkara asas yang ingin diubah ialah pembangunan prasarana, corak pemikiran dan sikap hidup yang ada pada orang-orang terdahulu.

Hasil pembangunan pendidikan yang dinamik membolehkan anak-anak mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi.

Peluang-peluang ke arah kemajuan dan perubahan terbuka luas. Selepas 54 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan banyak perubahan yang telah berlaku dalam semua bidang kehidupan.

Ia adalah hasil perjuangan pemikiran dan perancangan generasi sebelum dan selepas merdeka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

Sejak sebelum merdeka lagi, sejarah telah merakamkan perjuangan dan pengorbanan orang Melayu dan masyarakat Malaysia berdepan dengan pengaruh komunis dan juga penjajahan Jepun.

Zaman-zaman ini amat mencabar kerana komunis ingin menjadikan Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada Tanah Besar China. Sementara Jepun cuba merubah cara berfikir orang-orang Melayu supaya membina keyakinan Asia untuk orang Asia.

Sayangnya pada hari ini, sebahagian generasi muda tidak mampu menilai dengan tepat kesan sejarah yang berlangsung sebaliknya cuba membawa perspektif baru dalam sejarah silam.

Sejarah sifatnya sambung menyambung dan cenderung mengulangi jejak. Mempelajari sejarah silam membolehkan remaja memahami suatu zaman di mana mereka belum lagi lahir. Yang berlaku pada masa lalu boleh berlaku semula pada hari ini, tetapi dalam bentuk yang lain.

Penjajahan Barat pada masa lalu sudah menjadi sejarah tetapi penjajahan pemikiran akibat globalisasi sedang dihadapi oleh generasi muda. Oleh itu amat penting remaja memahami sejarah silam supaya ia dijadikan sumber teladan memahami masa kini dan memberi unjuran terhadap masa depan.

Jurang generasi ini boleh dirapatkan sekiranya para remaja mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk belajar dan reflektif terhadap sejarah silam, jika tidak remaja akan menghadapi kekosongan makna dan kekontangan fikir memahami yang silam dan mampu dihubungkan dengan zaman kini.

Perkara kedua yang menyebabkan berlakunya jurang generasi ialah jurang berfikir. Antara yang menyebabkan jurang berfikir ini berlaku adalah akibat pendidikan yang berjalan tidak mampu memberi kesan penghayatan kepada generasi muda.

Contohnya, mata pelajaran sejarah yang diajar kepada remaja lebih tertumpu kepada mengingat fakta dan menghafal data untuk keperluan peperiksaan.

Jika ia diberi orientasi penghayatan, maka jurang dapat dirapatkan. Generasi muda selepas merdeka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Mereka amat terdedah dengan pengaruh semasa yang terdapat di luar negara, sama ada mereka terpesona dengan kehidupan Barat yang lepas bebas ataupun terpaut dengan pelbagai aliran gerakan Islam menyebabkan dua pengaruh ini bertembung.

Pertembungan ini menyebabkan faham liberal dan materialistik dan suasana berpoya-poya (hedonisme) berkembang.

Budaya Barat dikagumi dan model Barat dikatakan model maju. Sementara kelompok yang terdedah dengan aliran gerakan Islam dan jemaah menerima tempias pengaruh kelompok tabligh, Ikhwan dan juga Iran. Ia menyebabkan tarbiah yang mereka terima berdepan dengan realiti beragama yang berbeza di Malaysia.

Apa lagi sesetengah di kalangan mereka terlibat dengan politik kepartian yang sering membawa isu-isu yang melampau tanpa memahami realiti politik Malaysia. Jurang generasi akan menjadi semakin tajam akibat persepsi generasi muda yang tidak lagi berakar kepada faktor tempatan.

Faktor-faktor Barat cuba diambil dalam memahami realiti masyarakat Malaysia yang berbilang dan banyak juga pendekatan yang keras dan melampau diambil sedangkan dakwah dan gerakan Islam di Malaysia memerlukan pendekatan yang sederhana dan bijaksana.

Jurang ini boleh diatasi sekiranya komunikasi daripada dua generasi boleh berlaku. Umpamanya generasi terdahulu harus bersedia berkongsi pengalaman dan pemikiran terhadap cabaran dan perjuangan orang yang terdahulu.

Dalam masa yang sama generasi muda harus menjadi pendengar yang baik dan mampu mengolah situasi zaman ibarat suatu mata rantai kehidupan.

Sejarah jangan dilupa

Para remaja tidak boleh mencemuh kekurangan yang ada pada generasi terdahulu kerana jika itu berlaku, generasi akan datang bakal mencemuh kita pula.

Anggaplah perkongsian pengalaman, sejarah dan kisah sebagai legasi yang amat bernilai untuk dipelajari sekiranya remaja hari ini melupakan sejarah orang yang terdahulu, tidak mustahil generasi akan datang meremehkan sejarah kini yang sedang kita bina.

Oleh sebab itu dalam tradisi Islam mengkaji kitab lama adalah dituntut. Mengenang ilmuwan dan pejuang-pejuang silam sangat diutamakan.

Dalam masa yang sama, generasi muda hari ini dituntut merujuk yang silam secara reflektif, bukan nostalgik. Ia bermaksud bagaimana prinsip perjuangan lalu dijadikan asas dan landasan kemudian diolah dengan corak dengan keperluan hari ini.

Apa pun zaman yang kita lalui perubahan yang bakal terjadi tidak semestinya menolak prinsip-prinsip silam yang baik dan budaya masa lalu yang terbina.

Jika asas ini dijadikan formula terbaik bagi generasi lama dan generasi terkini, para remaja bakal mendukung asas perubahan dengan mengambil aspek positif dari silam dan masa kini untuk mengolah kemajuan dan perubahan pada masa hadapan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: