Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 6 Oktober 2011

Keimanan benteng kukuh hindar diri daripada syaitan

Posted by epondok di Oktober 6, 2011

Oleh Lokman Ismail

SYAITAN ialah musuh manusia sepanjang hayat. Peringatan ini dinyatakan Allah dalam al-Quran mendedahkan sumpah syaitan ingin memperdayakan manusia supaya dimasukkan bersama ke dalam neraka.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya bermaksud mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6)

Syaitan tidak menetapkan siapa menjadi musuhnya dan tidak seorangpun terlepas daripada digoda syaitan. Hanya mereka memiliki tahap ketakwaan dan keimanan tinggi sukar dipengaruhi oleh syaitan.

Untuk menghasut manusia yang memang sudah berperangai seperti syaitan, maka syaitan yang ditugaskan adalah yang berkedudukan rendah. Tugas itu mudah kerana dengan sedikit bisikan, manusia mudah terpengaruh. Malah, perbuatan jahat sudah jadi kebiasaan.

Syaitan bijak menjalankan niat jahat malah syaitan diberi kelebihan oleh Allah dapat hidup lama. Jadi, syaitan mempunyai pengalaman luas menyesatkan manusia sejak dari satu generasi ke satu generasi.

Namun, manusia beriman tidak mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan selagi berpegang kepada al-Quran dan hadis. Biar apapun tipu daya dilakukan syaitan, keimanan menjadi benteng yang kukuh menghindarkan diri menjadi hamba syaitan.

Sesungguhnya tidak ada kebaikan yang diperoleh daripada janji syaitan yang membawa kesesatan dan keburukan. Bagaimana janji syaitan dapat membawa kepada kebaikan, sedangkan syaitan itu sendiri sudah sesat dan dijanjikan pembalasan pedih di akhirat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: “Syaitan itu memberi janji dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain tipu daya belaka.” (Surah an-Nisa, ayat 120)

Antara tipu daya syaitan paling berkesan ialah usia. Syaitan berjaya mempengaruhi kebanyakan orang muda untuk melakukan perbuatan ditegah. Faktor usia dan kecetekan pengalaman hidup menjadikan golongan muda mudah terpengaruh hasutan syaitan.

Syaitan mempengaruhi golongan muda melakukan perkara menyeronokkan berbentuk maksiat, melalaikan dan kebebasan menjadi ikutan golongan muda. Alasannya, usia muda hanya sekali dan rugi jika melepaskan peluang itu.

Masa muda sepatutnya diisi dengan menuntut ilmu dan mempersiapkan diri menghadapi alam dewasa penuh cabaran. Masa depan negara dan ummah bergantung kepada golongan muda hari ini. Jika rosak golongan muda hari ini, maka hancurlah negara pada masa depan.

Golongan muda perlu ditarbiah dan dibina jati diri supaya terhindar pengaruh syaitan. Ketika muda inilah peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk menuntut ilmu, mempersiapkan diri dengan kemahiran dan membina kekuatan diri.

Mereka yang terpengaruh ajakan syaitan hendaklah sedia bertaubat dan berusaha mengelak daripada terjebak hasutan dengan melakukan suruhan Allah. Malang bagi mereka yang terus lalai dan dilembutkan hatinya menurut ajakan syaitan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisa, ayat 60)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibadat sunat tampung kekurangan solat fardu

Posted by epondok di Oktober 6, 2011

Oleh Muhammad Abdullah

KERIUHAN pasar malam dimulai sejak petang lagi mengajak manusia berduyun-duyun melakukan jual beli. Kewujudan pasar malam di pelbagai lokasi sudah menjadi keperluan mustahak bagi penduduk mendapatkan barang keperluan asas juga ruang peniaga kecil tempatan meraih rezeki halal.

Bagaimanapun, apabila pintu senja akan beralih kepada malam, dari suasana cerah bertukar gelap, ada tuntutan yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kegelapan malam tiba, iaitu waktu petang, tahan anakmu, sesungguhnya syaitan bertebaran pada waktu itu. Apabila malam mula berlalu, maka lepas mereka, tetapi tutup pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah. Sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang tertutup, tutup makanan dan minuman serta sebut nama Allah SWT, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Agak malang, bagi yang beranggapan sudah memadai melakukan ibadat fardu sehingga tidak mempedulikan solat sunat lain

Umat Islam mesti sedar dalam keasyikan keriuhan pasar malam atau di mana saja berada, ada amalan penting perlu dilaksanakan antara ruang Maghrib ke Isyak. Keutamaan menunaikan solat sunat antara Maghrib ke Isyak dijelaskan Hudzaifah dengan katanya yang bermaksud: “Aku solat Maghrib bersama Rasulullah SAW, sesudah beliau berdiri melakukan solat berterusan hinggalah masuk waktu Isyak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Menunaikan solat sunat selepas waktu Maghrib seperti solat sunat awwabin mungkin agak asing bagi sesetengah umat Islam yang dilalaikan dengan urusan dunia. Agak malang, bagi yang beranggapan sudah memadai melakukan ibadat fardu sehingga tidak mempedulikan solat sunat lain.

Antara kelebihan menunaikan solat sunat seperti dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan pertama manusia yang akan diperiksa pada hari akhirat ialah solatnya, berkata Tuhan kepada malaikat pada hal Dia Maha Mengetahui: Periksalah pada solat hamba-Ku sama ada dia menyempurnakannya atau tidak, kalau didapati dia telah menyempurnakan solatnya, maka tuliskanlah dengan sempurna, sebaliknya apabila didapati solat yang dilakukan tidak sempurna maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Lihatlah kalau hamba-Ku itu ada melakukan solat sunat? Kalau memang ada solat sunat yang pernah dilakukan maka Allah berfirman lagi, sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian semua amalannya yang lain diterima kerana kesempurnaan solatnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang benar-benar beriman dan yakin dengan balasan serta janji Allah pada hari akhirat sudah pasti menjinakkan hatinya merebahkan dahi tunduk sujud kepada Allah melalui solat fardu dan solat sunat seperti solat sunat dua rakaat sebelum dan sesudah solat fardu, tahajud, hajat, istikharah, taubat, tasbih dan witir.

Mengikut Ibnu Umar: “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat seusai Isyak (juga di rumah) dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kehidupan beragama, dari waktu Maghrib hinggalah Isyak adalah ruang beribadat kepada Allah SWT. Mengkhususkan ruang beribadat bersama ahli keluarga dengan menghidupkan proses menyampaikan ilmu dari ibu bapa kepada anak-anak dan sesama pasangan suami isteri.

Keutamaan menjaga waktu Maghrib perlu diberi perhatian sekurang-kurangnya menitikberatkan anak pulang sebelum Maghrib dapat menghindarkan mereka dengan fitnah. Anak belasan tahun yang masih perlu bimbingan dan kawalan ibu bapa tidak wajar dibiarkan berkeliaran melepasi waktu Maghrib.

Jika dibiarkan anak masih remaja bebas berkeliaran meskipun sudah melewati Maghrib, akan mendedahkan mereka kepada gejala dan penyakit sosial seperti merempit, meragut, pecah rumah atau penyalahgunaan dadah.

Mendekatkan diri kepada Allah SWT dapat melindungi diri dan ahli keluarga daripada fitnah dan bergelut dengan kemelut sosial. Apabila mendekatkan diri kepada Allah, nescaya perlindungan daripada-Nya mengatasi segala kesulitan dan bencana

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »