Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Wanita dan ibadat haji

Posted by epondok di Oktober 4, 2011


Oleh MAZNAH DAUD

HAJI adalah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia fardu ke atas setiap muslim yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya, sama ada lelaki mahupun wanita.

Meskipun semua syarat, rukun, wajib dan sunat haji itu dituntut ke atas semua jemaah lelaki dan wanita, terdapat beberapa perkara yang berbeza sesuai dengan keadaan dan fitrah kejadian masing-masing.

Justeru, terdapat beberapa permasalahan yang biasa dihadapi oleh jemaah wanita sahaja dan permasalahan yang berkait dengan hubungan wanita dan lelaki.

Permasalahan-permasalahan tersebut dapat dipecahkan seperti berikut:

1. Haid dan istihadah serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

2. Aurat.

3. Perhubungan suami isteri.

4. Pergaulan dengan rakan sebilik atau semaktab.

Haid dan Istihadah

Haid merupakan permasalahan utama yang menjadi kerisauan para jemaah haji wanita. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk mengelak kedatangan haid semasa berada di tanah suci.

Tujuannya supaya mereka dapat memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah haji dan amalan-amalan yang dituntut ketika berada di tanah suci khususnya ibadah solat, tawaf dan iktikaf di sisi Kaabah di dalam Masjid al-Haram.

Kedatangan haid sedikit sebanyak menjadi penghalang kepada pelaksanaan ibadah tersebut. Hal ini telah dirasai sama oleh Saidatina Aisyah r.a.

Ketika rombongan haji yang dipimpin oleh Rasulullah SAW pada tahun 10 hijrah tiba di Sarif yang terletak lebih kurang 16 kilometer (km) dari kota Mekah, Saidatina Aisyah r.a didatangi haid. Beliau sangat risau tidak dapat melaksanakan haji yang merupakan satu-satunya tujuan beliau mengikuti rombongan itu.

Rasulullah SAW menenangkan hati beliau dan secara tidak langsung menerangkan hukum bagi wanita haid menunaikan haji. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Ini adalah satu ketentuan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam. Tunaikan hajimu sebagaimana orang lain menunaikannya. Cuma kamu jangan tawaf di Baitillah sehingga kamu mandi (bersuci daripada haid). (riwayat Muslim)

Nabi SAW memujuk dan menenangkan hati isteri baginda dan kaum wanita umumnya bahawa haid adalah sesuatu yang ditentukan sejak azali ke atas mereka. Jadi haid tidak boleh dijadikan sebab tidak sempurnanya ibadah haji.

Haid tidak menghalang wanita menunaikan semua rukun dan wajib haji kecuali tawaf di Baitillah.

Sehubungan itu jemaah haji wanita dinasihatkan supaya tidak berusaha menghalang kedatangan haid secara normal dengan cara mengambil ubat-ubatan tanpa merujuk atau panduan doktor yang pakar.

Tindakan sedemikian sering menjadi punca timbulnya berbagai-bagai masalah yang tidak diduga. Niat asal untuk membanyakkan ibadah di Masjid al-Haram tidak kesampaian. Malah berlaku sebaliknya, haid yang hendak disekat telah datang dalam keadaan yang membingungkan. Maka berhati-hati dan berhati-hati.

Aurat

Ramai wanita yang masih keliru tentang aurat. Aurat bermaksud keaiban atau sesuatu yang memalukan apabila didedahkan. Anggota tubuh badan kita adalah suatu amanah yang perlu dijaga dan dipelihara daripada perkara-perkara yang mendatangkan keaiban dan kemudaratan.

Lantaran itu Allah perintahkan kita agar berpakaian dengan kemas dan cantik supaya kita terpelihara daripada perkara-perkara keji dan mungkar. (rujuk al-A’raf ayat 26)

Menutup aurat adalah selari dengan tuntutan fitrah. Lantaran itu syaitan amat suka manusia mendedahkan aurat dan berusaha dengan pelbagai cara serta menghasut agar manusia tidak menutup aurat dengan sempurna.

Hal ini difahami daripada firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 20 hingga 22.

Aurat wanita terbahagi kepada aurat yang wajib ditutup di dalam solat dan ketika tawaf, dan aurat yang wajib ditutup di luar solat dan ketika tawaf.

Aurat yang wajib ditutup di dalam solat dan ketika tawaf adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan dua tapak tangan.

Aurat yang wajib ditutup di luar solat dan ketika tawaf terbahagi kepada:

l Di hadapan suami, tidak ada aurat yang wajib ditutup. Suami harus melihat seluruh tubuh badan isterinya tanpa kecuali.

l Di hadapan kaum wanita muslimah adalah antara pusat dan lutut.

l Di hadapan lelaki mahram atau orang yang haram berkahwin dengannya ialah antara pusat dan lutut. Maksudnya wanita boleh membuka anggotanya selain daripada bahagian antara pusat dan lutut di hadapan lelaki mahram dengan syarat tidak menimbulkan fitnah. Jika boleh menimbulkan fitnah maka haram membukanya.

l Di hadapan lelaki ajnabi, iaitu lelaki bukan mahram adalah seluruh tubuhnya. Menurut pandangan mazhab Shafie, wanita tidak harus membuka anggota tubuhnya di hadapan ajnabi walaupun sedikit kecuali kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Berdasarkan penjelasan di atas, tidak ada aurat semasa ihram. Sebaliknya ia tertakluk kepada semua keadaan di atas. Umpamanya ketika berada di dalam bilik bersama teman-teman wanita walaupun ketika berada di dalam ihram, tidak wajib berpakaian menutup seluruh tubuh, kecuali bahagian antara pusat dan lutut. Bila jemaah hendak keluar dari bilik yang kemungkinan besar akan bertembung dengan lelaki ajnabi, jemaah mestilah berpakaian menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan, sama ada ketika itu dia berada dalam ihram atau tidak.

Perhubungan suami isteri

Kebanyakan jemaah haji wanita ditemani oleh suami. Kesempatan berada di tanah suci sebagai tetamu ar-Rahman sewajarnya menggunakan kesempatan itu untuk memupuk kasih sayang dan mengeratkan ikatan cinta yang telah terbina.

Perbaiki segala kesilapan yang lalu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Namun adab-adabnya perlu dijaga agar tidak menyinggung atau mengganggu jemaah lain.

Suami janganlah memasuki bilik isteri dan isteri jangan memasuki bilik suami kecuali dalam keadaan terpaksa seperti merawat sakit dan sebagainya kerana boleh mengganggu ketenteraman dan keselesaan rakan-rakan sebilik masing-masing. Jika ada urusan yang perlu dibincang, carilah tempat yang bersesuaian.

Pergaulan dengan rakan sebilik atau semaktab.

Allah SWT menjadikan semua mukmin tanpa mengira bangsa adalah bersaudara. Firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara…(al-Hujurat: 10)

Justeru, jemaah mestilah memandang para hujjaj dari pelbagai pelosok dunia itu adalah saudara mereka. Saudara yang diikat oleh tali iman.

Semuanya beriman kepada Allah yang satu, mengikuti Nabi yang satu, berpandukan kitab yang satu dan mengadap kiblat yang satu.

Sebagai saudara mereka mempunyai hak serta kewajipan terhadap satu sama lain.

Allah dan Rasul SAW telah menggariskan beberapa perkara yang wajib dilaksanakan demi menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam.

Apa lagi ketika berada di Tanah Suci di mana setiap muslim membawa niat yang sama, iaitu menunaikan ibadah haji yang merupakan kemuncak pengabdian hamba terhadap Tuhan Yang Maha Esa, Pencipta dan Pemilik alam semesta

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: