Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for September 2011

Cara kesan remaja hamil

Posted by epondok di September 27, 2011

Oleh Hidayah Mohammad
Ibu bapa perlu peka, elak kes buang bayi berleluasa

WANITA hamil begitu mudah dikenal pasti dari segi bentuk badan dan cara mereka berjalan apatah lagi wanita hamil sering mengalami alahan, membuktikan ada ‘isi dalam perutnya’. Gejala seperti muntah-muntah, loya, pening, rasa teringin makan sesuatu, tidak tahan pada setengah bau atau makanan, sering berlaku pada wanita mengandung pada peringkat awal.

Perbezaan fizikal susuk tubuh berlaku ketika hamil. Buah dada dan puting kian membesar selain kulit sesetengah wanita menjadi gelap, terutama pada bahagian muka serta sering terasa hendak kencing, timbul jerawat dan menjadi letih.

Remaja mengandung lebih cergas dan bertenaga jika dibandingkan dengan wanita dewasa. Selepas bersalin, mereka lebih cepat kembali kepada keadaan asal sebelum mengandung. – Dr Ani Amelia Zainuddin, Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Unit Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Obstetrik Selain itu, wanita hamil juga ada kalanya mengalami keputihan pada faraj yang lebih daripada biasa selain tidak datang haid. Emosi menjadi tidak menentu, sering merajuk dan mudah melenting.

Semua tanda ini agak ketara dan hampir sesiapa saja boleh mengesan atau mengenal pasti jika seseorang wanita itu hamil. Ini juga yang menyebabkan banyak pihak musykil bagaimana ramai ibu bapa, keluarga, guru dan masyarakat sekeliling tidak dapat `mengesan’ apabila remaja, termasuk di bawah umur, hamil.

Baru-baru ini, seorang remaja berusia 14 tahun dilaporkan dirogol teman lelakinya mengadu sakit pinggang kepada keluarga. Pemeriksaan yang dilakukan di klinik mengesahkan kesakitan yang dialami remaja itu adalah disebabkan ingin bersalin.

Laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 juga menganggarkan 2.2 peratus daripada 8.7 juta remaja di Malaysia atau lebih kurang 190,000 orang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin sehingga ada yang mengandung sehingga menyebabkan kes pembuangan bayi.
Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Unit Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr Ani Amelia Zainuddin menjawab dan berkongsi maklumat mengenai isu wanita muda hamil.

Memulakan Klinik Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja di PPUKM sejak 2008 bersama Profesor Madya Dr Nur Azurah Abdul Ghani, beliau mengakui 20 peratus mereka yang dirujuk ke klinik itu adalah remaja hamil luar nikah dan ibu bapa hanya mengetahui keadaan itu apabila kehamilan melebihi empat bulan.

Mengapa ibu bapa sukar mengesan anak remaja mereka mengandung?

Anak remaja ini sendiri tidak sedar yang mereka mengandung. Mungkin juga mereka mengandaikan perkara itu berlaku tetapi menafikannya. Dalam kebanyakan kes mereka berkelakuan seperti biasa, tambah pula jika tidak begitu rapat dengan ibu bapa dan tidak selalu berada di rumah. Oleh itu, kehamilan mereka tidak dapat dikesan dan disedari ibu bapa dari awal lagi.

Ada remaja yang badan mereka sedikit besar atau berisi. Walaupun sudah dalam bulan ke empat atau lebih kehamilan, dalam kebanyakan kes, badan remaja tidak begitu menampakkan beza dengan keadaannya sebelum ini.

Gejala seperti muntah-muntah dan loya tidak sama sekali dikaitkan dengan kemungkinan anak hamil, lebih-lebih lagi apabila anak remaja itu dianggap sebagai anak yang baik dalam keluarga. Hubungan seks luar nikah adalah sesuatu yang dianggap ibu bapa perkara terakhir dilakukan anak. Ramai ibu bapa beranggapan masalah kesihatan itu disebabkan penyakit lain seperti gastrik atau tersalah makan dan sebagainya.

Ada juga remaja yang tahu mereka mengandung tetapi takut, berusaha menutup rahsia itu dengan memakai pakaian besar dan labuh supaya boleh melindungi keadaan perut yang kian membesar.

Ramai remaja yang kitaran haidnya tidak teratur dan jarang datang haid disebabkan paksi aliran ‘hormone hypothalamus-pituitari-ovari’ mereka tidak matang dengan lengkap lagi. Oleh itu, apabila mereka tidak mengalami haid, mereka tidak menyangka ia disebabkan kehamilan.

Bagaimana untuk memastikan jika anak remaja mengandung? Perbezaan wanita dewasa hamil dan remaja hamil?

Tiada perbezaan ketara antara wanita dewasa dan remaja mengandung dari segi tanda kehamilan. Ada yang mengalami alah teruk dan ada juga yang langsung tidak mengalami alah. Cuma mungkin pada usia muda, mereka tidak banyak berfikir dan berasa runsing kerana tidak ada tanggungjawab lain.

Remaja mengandung selalunya lebih cergas dan bertenaga jika dibandingkan dengan wanita dewasa yang lebih tua. Jarang mereka berasa letih. Selepas bersalin, mereka lebih cepat kembali kepada keadaan asal sebelum mengandung.

Dari segi emosi pula, ada remaja yang murung dan suka berseorangan jika mereka berada dalam keadaan ketakutan dengan kehamilan itu. Mereka perlukan banyak sokongan dan bimbingan ibu bapa, keluarga dan doktor. Ramai yang memerlukan khidmat kaunseling. Jangan abaikan keperluan ini kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada remaja mengandung, anak yang dilahirkan serta keluarganya.

Ibu bapa perlu memikirkan yang anak mereka mengandung jika anak mereka menunjukkan tanda biasa dialami wanita hamil. Selain itu, pada peringkat pertengahan kehamilan pula, perut kian membesar dan terdapat perubahan pada warna kulit di bahagian perut, kulit renggang di perut dan buah dada.

Lebih jelas ialah sakit pada di bahagian ari-ari atau di bahagian bawah perut sebelah kanan atau kiri, sakit belakang mula dirasai dan ia menjadi lebih kuat apabila usia kehamilan semakin lanjut.

Bagi memastikan sama anak remaja mengandung atau tidak, boleh belikan alat mengesan mengandung dari farmasi atau bawa anak berjumpa doktor. Remaja mengandung lebih tinggi risikonya berbanding wanita dewasa dan disyorkan supaya mendapatkan rawatan antenatal seawal mungkin serta sepanjang kehamilan mereka. Pastikan juga bersalin di hospital dan bukan di rumah.

Cara terbaik menghadapi anak remaja yang hamil

Jangan terus memarahi anak jika mendapat ‘berita buruk’ itu. Tanya mereka mengenai kesihatan mereka. Berlembut dulu kerana remaja memerlukan bimbingan yang betul tak kira dalam apa juga situasi, bukan cemuhan dan keganasan. Ramai remaja mengandung yang berada di bawah jagaan klinik hamil bukan disebabkan mereka ‘jahat’ sebaliknya menjadi mangsa, dirogol, ditipu, diperdaya, kadang kala oleh ahli keluarga sendiri menyebabkan mereka turut mengalami masalah psikologi.

Walaupun badan mereka seperti wanita dewasa, pemikiran dan perkembangan psikologi mereka masih belum matang. Bila mereka mengandung, ketika itulah mereka memerlukan bimbingan, sokongan dan kesabaran supaya masalah itu bijak diatasi.

Bertenang
Minta anak menceritakan keadaan sebenar
Jika hubungan dengan anak tidak rapat, dapatkan bantuan teman rapat untuk anak menerangkan perkara yang berlaku.
Bawa berjumpa doktor untuk mengesahkan kehamilan.
Buat laporan polis.
Mendapatkan bantuan dan rujukan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika perlu.
Jika remaja itu sudah melakukan kesalahan dari segi agama yang menyebabkannya hamil, ajaklah dia bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar dengan cara lemah lembut dan kasih sayang.
Beri kata-kata positif dan semangat supaya mereka tidak mengalami masalah kemurungan.

INFO

Remaja adalah mereka yang berusia dari 10 tahun hingga 24 tahun.

Remaja muda berusia dari 13 tahun hingga 19 tahun.

Keadaan fizikal remaja yang berusia 11 tahun hingga 14 tahun seperti tulang pinggulnya yang belum bersedia untuk bersalin boleh mendatangkan risiko ketika proses kelahiran. Apabila ia terjadi, pembedahan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan bayi dan ibu.

Wanita digalakkan melahirkan anak dari usia 21 tahun hingga 35 tahun.

Bersalin dalam lingkungan usia 36 tahun hingga 45 tahun dianggap berisiko tinggi.

Apabila mencapai usia 45 tahun, wanita dinasihatkan tidak bersalin lagi kerana risikonya begitu tinggi.

Risiko kelahiran pada usia remaja
Keadaan sakit mahu bersalin pramatang atau proses kelahiran yang lebih cepat daripada waktu yang sepatutnya
Anemia (kekurangan zat besi dalam darah)
Penyakit tekanan darah tinggi
Preklamsia/preeclampsia.

Tanda penyakit ini ialah bengkak pada muka, kaki dan badan, rasa pening dan muntah-muntah, penglihatannya kabur dan sakit di ulu hati. Doktor akan mengenal pasti penyakit itu jika tekanan darah tinggi dan boleh juga menyebabkan kehadiran protein dalam air kencing. Penyakit ini amat berbahaya dan memerlukan rawatan segera untuk menstabilkan dan menyelamatkan ibu serta anak dalam kandungan

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tuan Guru Abdul Hamid Pondok Seligi masuk wad kena angin ahmar

Posted by epondok di September 27, 2011

27 SEPTEMBER Kuala Krai – Tuan Guru Abdul Hamid b Daud Mudir Pondok Seligi dimasukkan ke wad tingkat 2 Hospital Kuala Krai malam tadi akibat serangan angin ahmar (stroke) dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur. Sama-sama kita doa dan solat hajat semoga Allah sembuhkan beliau sebagaimana biasa dalam meneruskan khidmat pada agama dan kita semua

Posted in Pondok Seligi | 4 Comments »

Perkara tumpuan ketika tunai umrah

Posted by epondok di September 27, 2011

Oleh NUKMAN FADZIL
Tempat permulaan saie adalah di Bukit Safa.

UMRAH daripada segi bahasa adalah ziarah sementara dari segi istilahnya ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram di Mekah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Ia merupakan di antara ibadat yang penting selain solat, zakat, puasa dan haji malahan Rasulullah SAW melakukan umrah sebanyak empat kali sepanjang umur baginda.

Ibadat umrah bukan sahaja dilakukan sepanjang musim haji malahan turut dilakukan sepanjang tahun. Bagi rakyat Malaysia ia merupakan satu ibadat yang tidak asing malahan kian popular sejak akhir-akhir ini.

Justeru, mereka yang hendak mengerjakan umrah perlu mengetahui rukun dan wajib umrah supaya tiada permasalahan yang timbul setelah balik daripada mengerjakan umrah.

Umrah mengandungi lima rukun iaitu niat ihram, tawaf, saie, bercukur atau bergunting serta tertib.

Sementara itu wajib umrah ada dua iaitu niat di miqat dan menjaga larangan ihram.

Terdapat beberapa isu atau perkara yang perlu diambil perhatian dan perlun dijaga oleh bakal-bakal haji atau mereka yang mengerjakan umrah.

1. Niat ihram

Mereka yang mengerjakan umrah tidak boleh berniat atau membatalkan niat sesuka hati. Apabila bakal haji telah berniat maka secara langsung mereka telah berada dalam ihram dan perlu mematuhi larangan Ihram.

Mereka juga tidak boleh membatalkan niat ihram sesuka hati kerana bagi membatalkan niat ihram, mereka perlu melakukan Dam Ihsar iaitu dengan menyembelih seekor kambing.

Terdapat implikasi besar jika kita tidak menyempurnakan umrah. Mereka yang masih di dalam ihram berkemungkinan melakukan larangan ihram kerana menyangka telah selesai umrah sedangkan umrah mereka telah rosak. Sebagai contoh ada yang melakukan mukadimah persetubuhan yang mengakibatkan mereka dikenakan dam yang lebih besar walhal umrah belum sempurna ataupun rosak (fasad).

Kadang-kadang ada yang berkahwin selepas pulang ke tanah air maka perkahwinan itu tidak sah.

2. Wuduk dan aurat

Semasa melakukan tawaf, bakal haji perlu menjaga wuduk dan aurat mereka semasa mengerjakan tawaf. Wuduk yang terbatal atau aurat yang terbuka boleh menyebabkan tawaf tidak sempurna maka umrah tidak sah.

3. Was-was semasa tawaf atau saie

Ada keadaan di mana semasa tawaf atau saie, bakal haji ragu-ragu tentang jumlah pusingan tawaf atau saie.

Jika berlaku sedemikian, ambil jumlah yang paling rendah. Contohnya, kita tidak pasti pusingan Tawaf yang ke 6 atau ke 7 maka kita ambil yang yakin iaitu 6 pusingan kemudian tambah satu pusingan.

Jika bakal haji telah selesai melakukan tawaf dan saie kemudian bercukur dan balik tempat penginapan mereka, lalu datang keraguan tentang jumlah pusingan tawaf maka tidak harus kita ulangi tawaf tadi kerana keraguan yang datang setelah selesai ibadat adalah was-was dan was-was itu daripada syaitan.

4. Tempat mula dan berhenti tawaf

Bakal haji hendaklah memulakan tawaf di tempat permulaannya dan berakhir di depan sedikit dari tempat permulaan tadi supaya perkiraan itu lebih tepat.

Jika kita berhenti semasa tawaf di tengah-tengah perjalanan, kemudian kita perlu mulakan dari tempat kita berhenti ke belakang sedikit supaya lebih yakin dan tiada keraguan.

Selain perkara di atas, semasa tawaf pastinya ramai jemaah haji daripada negara lain turut sama mengerjakan umrah maka bertolak ansurlah supaya ibadat kita menjadi lebih sempurna dan menepati syariat umrah itu sendiri.

Akhirnya, bakal haji jagalah kesihatan dan lakukanlah umrah sekadar mampu serta tidak memaksa diri. Pilihlah waktu yang sesuai dan bergerak dalam kumpulan.

Mudah-mudahan umrah tuan-puan diterima Allah sebagai umrah makbul dan kembali dari mengerjakan umrah seolah-olah seperti hari dilahirkan oleh ibunya kerana suci daripada noda dan dosa.

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Filem seram beri kesan negatif dalam masyarakat

Posted by epondok di September 26, 2011

Oleh Muhammad Abdullah

 

KECENDERUNGAN masyarakat pelbagai usia terhadap cerita hantu dapat digambarkan dengan kehadiran jutaan penonton di pawagam menjadikan angka kutipan tiket sangat tinggi berbanding filem genre lain. Kelahiran filem berasaskan hantu mula menjadi sebutan selepas kejayaan filem seram seperti Jangan Pandang Belakang (JPB).

Pemikiran generasi muda makin disempitkan dengan kisah hantu dan seram meniti ruang hidup dari kantin sekolah hingga ke dalam pejabat dan dari ruang tamu hingga ke bilik kosong semua dilihat berhantu. Kejayaan luar biasa filem berasaskan hantu menjadikan penerbit di negara saling merebut peluang mengeluarkan filem seram dengan pelbagai tajuk hebat meskipun jalan ceritanya karut marut.

Maka tidak hairanlah, filem hantu seperti Jangan Pandang Belakang Congkak, Karak, Hantu Kak Limah Balik Kampung dan yang terkini Hantu Bonceng mengisi keluaran filem negara. Malah ada pengarah sanggup mengorek kisah dongeng lama atau mereka cipta jenis hantu lalu memberi nama baru seperti kuntilanak, pocong, sundel bolong, hantu penanggal, hantu susu, hantu gigi dan sebagainya.

Dalam kerakusan menerbitkan filem, penerbit, pengarah, penulis skrip serta pelakon tidak lagi mempersoalkan kesan negatif kepada masyarakat khususnya masyarakat muda dan kanak-kanak. Babak melapah daging manusia, menghisap darah atau sebagainya dilakonkan dengan cukup berkesan.

Masih segar babak bagaimana lakonan Ruminah Sidek dalam filem (JPB) sedang makan di ruang dapur dalam keadaan sangat menyeramkan, atau lakonan Putri Mardiana melapah darah di lantai dalam filem Santau. Pelbagai babak ngeri yang berjaya menjelmakan unsur seram yang jelas dan hidup kepada masyarakat.

Bayangkan anak kecil sudah diserapkan akal dengan kewujudan hantu yang berada di merata tempat.

Kekuatan kepercayaan kepada hantu tahyul ini sebenarnya mengancam akidah umat Islam. Syaitan boleh bertepuk tangan kerana ramai manusia lemah pegangan agama dan ilmunya dipesongkan kepada ketakutan terhadap hantu menyelimuti dalam rutin kehidupan dari memikirkan kebesaran Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa selain itu bagi orang yang Dia kehendaki, dan sesiapa yang syirik kepada Allah, maka sesungguhnya mereka sudah melakukan dosa sangat besar. (Surah an-Nisa, ayat 48)

Remaja akan takut bangun pagi semata-mata takut bertemu pocong di bilik bacaan.

Anak kecil menahan kencing kerana takut ke tandas dipercayai adanya momok. Begitu juga masyarakat yang ditutup pemikirannya dengan kisah hantu untuk membenarkan kewujudannya meskipun kehadiran makhluk ini bukan bersifat nyata dan benar.

Kekuatan media sudah pasti mempengaruhi corak kehidupan generasi muda. Lambakan drama di televisyen berkisar cerita hantu disiarkan saban malam. Lebih mendukacitakan sempena Aidilfitri lalu, banyak filem seram ditayangkan.

Kekuatan kepercayaan kepada hantu boleh menggugat keharmonian negara. Lebih ramai pelajar akan mengalami histeria. Lebih ramai umat Islam terdedah kepada amalan sihir semata-mata untuk menghalau hantu jembalang yang dipercayai mengganggu kehidupan. Akhirnya segala jenis penyakit manusia pun dikatakan gangguan momok.

Lebih parah, apabila bomoh, dukun atau peramal perubatan tradisional akan lebih berpengaruh dihampiri masyarakat bagi mengubati penyakit yang dikatakan berpunca daripada makhluk halus atau jembalang. Kebanyakan kes rogol, cabul dan gangguan seksual turut dikaitkan dengan kepercayaan menghalau gangguan makhluk halus atau syaitan.

Kecenderungan bomoh dalam ritual perubatan tradisional yang pelik serta aneh membawa kepada kesongsangan akidah dan diyakini boleh merosakkan iman pesakit yang dirawat. Larangan menjauhi perbuatan syirik sangat dititikberatkan dalam agama.

Rasulullah SAW melarang berjumpa tukang tenung (kuhhan) dalam sabda bermaksud: Sesiapa yang menjumpai tukang tenung, kemudian ia bertanyakan kepadanya sesuatu, ditutup baginya pintu taubat selama 40 malam. (Hadis riwayat Tabarani)

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Buang sikap Ego dan sombong dalam organisasi

Posted by epondok di September 26, 2011

OLEH WAN JEMIZAN W. DERAMAN DAN AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

EGO dan sombong adalah sifat mazmumah yang amat dimurkai oleh Allah SWT. Ia terlindung dan terhijab jauh dalam hati kecil. Namun, kesannya amat besar sehingga boleh memberikan kesan kepada tingkah-laku, gaya dan tutur-kata seseorang.

Ego dan sombong adalah sifat yang berakar umbi dari perasaan merasa diri lebih baik dari orang lain. Ia wujud apabila sikap tawaduk dan merendah diri tidak disemai dalam diri.

Akibatnya, seseorang yang mempunyai sifat ego dan sombong boleh membawa kepada kesesatan kerana biasanya dia akan menolak sesuatu kebenaran walaupun hati kecil mengakui akan kebenaran itu.

Demikianlah yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy yang tetap berada dalam keadaan jahiliah kerana menafikan kerasulan Nabi SAW walaupun mereka sebenarnya mengakui bahawa baginda adalah orang yang amanah dan boleh dipercayai (al-amin).

Cuba kita perhatikan juga sikap iblis yang diarahkan Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam. Namun, ia enggan sujud kerana sifat ego dan juga sombong. Lalu Iblis menjadi golongan yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir (al-Baqarah: 34).

Mengapa timbul rasa ego dalam diri iblis? Sebabnya, iblis merasa dirinya lebih baik daripada Adam yang dicipta daripada tanah. Sedangkan iblis dicipta daripada api.

Bagi menghuraikan lebih lanjut sikap ego iblis, Allah berfirman yang bermaksud: Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. (Saad: 76)

Sifat ego dan sombong mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan. Kadang-kadang kita hampir tidak menyedari dalam diri kita mempunyai sikap ego dan sombong.

Justeru, kita perlu melihat jauh ke dalam diri dan melakukan muhasabah agar ia dapat dirawat secepat mungkin supaya tidak membarah.

Dalam organisasi, sifat ego dan sombong akan berlaku kepada kedua-dua belah pihak sama ada majikan atau pekerja.

Tanda seseorang itu ego

Antara petanda mereka yang mempunyai ego dan sombong adalah sukar menerima pandangan dan teguran dari orang lain. Ataupun, mungkin menerima pandangan tersebut tetapi secara terpaksa tanpa hati yang sejahtera.

Seorang majikan yang ego merasa dirinya seorang sudah cukup untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasinya. Dia tidak akan menghiraukan pandangan, keluhan, idea serta teguran yang dibuat oleh orang bawahan.

Pekerja yang ego pula adalah yang tidak mahu menuruti arahan majikan dan tidak mahu berkongsi ilmu serta kemahiran dengan rakan sejawat.

Pekerja yang ego sentiasa merasa dirinya betul dan orang lain salah. Walaupun, hakikat yang kita perlu akui bersama ialah pandangan semua manusia boleh diterima dan ditolak kecuali Rasulullah. Kita semua tidak sunyi dari melakukan kesalahan.

Rasulullah mempunyai sifat rendah diri yang sangat hebat. Walaupun baginda terpelihara dari melakukan dosa serta dibimbing terus daripada Allah, namun baginda menunjukkan akhlak yang tinggi apabila meminta pandangan dari para sahabat khususnya dalam perkara yang melibatkan urusan keduniaan.

Sebagai contoh, dalam peperangan Badar, Rasulullah meminta pandangan para sahabat tentang strategi peperangan dan mengenai langkah yang sepatutnya dilakukan terhadap tawanan-tawanan perang Badar.

Demikian juga, semasa peperangan Khandak, Rasulullah telah menerima pandangan Salman al-Farisi supaya menggali parit untuk berhadapan dengan musuh.

Mengambil pedoman melalui beberapa contoh ini, sebenarnya tiada alasan untuk kita mempunyai ego dan sombong sehingga langsung tidak mengendahkan pandangan serta teguran orang lain.

Antara ciri-ciri lain orang yang ego adalah suka memandang rendah kepada orang lain. Mereka anggap orang di sekelilingnya sebagai saingan dan musuh dalam kehidupannya. Dia tidak akan senang dan tenang setiap kali melihat kejayaan orang lain.

Setiap kelebihan yang ada kepada orang lain akan diperlekehkan dan setiap keburukan yang ada pada orang lain akan ditonjol dan diuar-uarkannya.

Semuanya semata-mata untuk melihat orang lain jatuh dan dirinya naik, dipuja dan dipuji. Kegagalan orang lain adalah kepuasan bagi dirinya, sementara kejayaan orang lain adalah kesedihan bagi dirinya.

Posted in Artikel Pilihan | 2 Comments »

5 prinsip perundangan Islam

Posted by epondok di September 25, 2011

HUKUMAN hudud, qisas, diyat dan ta’zir dalam Kanun Jenayah Syariah bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk kepada lima perkara :

1. Menjaga agama – Iaitu menjaga akidah supaya tidak terpesong, tidak menjadi orang murtad yang wajib dijatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka, jika mereka enggan bertaubat setelah disuruh bertaubat lebih dulu sebelum mereka dihukum bunuh. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menukarkan agamanya (murtad) maka bunuhlah dia. (Bukhari)

2. Menjaga nyawa – Iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuk juga menjaga anggota tubuh badan seseorang, iaitu memberi seseorang manusia hak hidup dan selamat anggota tubuh badan mereka dari dicederakan dan dirosakkan. Mereka yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan orang lain, tertuduh wajib dijatuhkan hukum qisas atau diyat. Firman Allah Taala: “Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)

 

3. Menjaga akal fikiran – Menjaga akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman memabukkan, mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukum sebat tidak lebih dari 80 kali sebatan dan tidak kurang dari 40 kali sebatan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali: “Rasulullah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar menyebat 40 kali sebat juga dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai. (Riwayat Muslim)

4. Menjaga keturunan – Menjaga seseorang manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, wali dan warisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak, mereka yang melakukan perzinaan itu wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ubaidah bin Al-Somit: “Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah memberi jalan untuk mereka. Perawan sama jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda (duda) sama janda berzina hukumannya disebat sebanyak 100 kali sebat dan direjam.” (Muslim dan Abu Daud)

5. Menjaga harta benda – Menjaga harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan, sebagaimana firman Allah Taala: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Maidah: 38)

“Hanya balasan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh saja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas saja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksaan yang amat besar.” (Al-Maidah: 33)

Sumber buku Qanun Jenayah Syariah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis oleh Said Ibrahim, Bekas Mufti Sabah

 

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Rukun haji

Posted by epondok di September 25, 2011

Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah

RUKUN haji adalah pekerjaan yang mesti dilakukan semasa menunaikan fardu haji. Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sah hajinya. Rukun-rukun haji ialah:

1. Niat melakukan haji

Setiap amalan dalam Islam dimulakan dengan niat. Begitu juga bagi haji, niat untuk melakukan haji ini iaitu: “sahaja aku melakukan haji dan berihram dengannya kerana Allah SWT.”

Seelok-elok niat adalah dalam bahasa Arab, jika tidak dalam bahasa Melayu pun dibolehkan. Niat ihram boleh dilakukan di mana-mana tempat yang telah ditentukan dan disebut sebagai miqat tempat.

Kebiasaannya miqat tempat bagi mereka yang memasuki Mekah melalui Madinah ialah di Bir Ali manakala yang datang dari arah Malaysia dan terus memasuki Mekah adalah di Qarnul Manazil.

Tidak sah berniat miqat di Jeddah kerana Jeddah bukannya tempat miqat bagi mereka yang datang pertama kali merentasi miqat.

2. Wuquf di Padang Arafah

Rukun haji yang kedua merupakan wuquf di Padang Arafah. Masa yang dibolehkan wuquf di Arafah bermula masuk waktu zuhur (gelincir matahari) pada hari yang ke-9 Zulhijjah hingga terbit fajar pada hari 10 Zulhijjah. Inilah masa wuquf yang berlaku satu kali dalam setahun.

Wuquf dikira sah walaupun duduk dalam kenderaan di Arafah sama ada baring, tidur atau jaga-melainkan gila. Gila tidak sah wuquf kerana telah terkeluar daripada syarat sah haji.

Jemaah yang hendak berwuquf hendaklah terdiri daripada ahli ibadat serta telah berniat ihram haji (tidak sah haji mereka yang hilang akal) dan berada di bumi Arafah walau seketika dalam masa waktu wuquf.

Semasa wuquf di Arafah, sekiranya jemaah menunaikan solat secara jamak tamam adalah sah kerana masyaqqah dan mengikut pendapat harus jamak tersebut kerana nusuk.

3. Tawaf Ifadah bagi haji

Rukun haji yang ketiga adalah tawaf di Baitullah di Mekah. Tawaf rukun hendaklah dilakukan setelah mereka berwuquf di Arafah. Masuk waktu untuk bertawaf rukun haji bermula waktu tengah malam pada malam 10 Zulhijjah.

(Perkiraan waktu tengah malam dikira masuk waktu maghrib hingga masuk waktu subuh dibahagi dengan 2, jawapan daripada masa tersebut maka itu waktu tengah malam).

Syarat sah tawaf sama seperti untuk tawaf qudum, wida’, tahiyatul bait, nazar serta sunat. Ada lapan syarat sah tawaf iaitu:-

* Menutup aurat.

* Suci daripada hadas besar dan kecil.

* Suci badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.

* Bermula dan berakhir pada sudut Hajarul Aswad.

* Menjadikan Kaabah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan.

* Dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar Kaabah.

* Mengekalkan niat tawaf kerana Allah SWT sepanjang masa tawaf.

* Dilakukan tujuh pusingan dengan yakin.

4. Saie

Rukun yang keempat adalah saie. Saie yang dikehendaki di sini adalah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah mengikut syarat-syaratnya.

Walau bagaimanapun untuk sah saie haji, jemaah perlulah memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

* Dilakukan selepas tawaf qudum atau tawaf rukun.

* Bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah

* Cukup tujuh kali berulang-alik dengan yakin dikira dari Safa ke Marwah sekali dan Marwah ke Safa sekali.

* Hendaklah sampai ke penghujung tempat saie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa pada setiap saie.

* Hendaklah melakukan saie di tempat yang telah ditetapkan.

* Mengekalkan niat saie kerana Allah SWT sepanjang masa saie.

5. Bercukur atau bergunting

Bercukur atau bergunting adalah rukun haji yang kelima – iaitu menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi lelaki disunatkan bercukur dan bagi wanita disunatkan bergunting rambut.

Rambut itu hendaklah dipotong sekurang-kurangnya sepanjang seruas jari di mana-mana sudut kepala. Bagi yang tidak mempunyai rambut, adalah disunatkan melalukan mata pisau cukur di atas kepala.

Jemaah haji boleh juga bercukur atau menggunting rambut sendiri dan rambut orang lain apabila masuk waktunya dengan tujuan niat tahalul.

Bagi haji, ada dua keadaan bergunting atau bercukur untuk tahalul (menanggalkan perkara yang dilarang dalam ihram dengan cara gunting rambut) iaitu Tahalul Awal dan Tahalul Thani.

Tahalul Awal terjadi apabila jemaah selesai melakukan dua daripada tiga perkara berikut:

* Melontar di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah.

* Bergunting atau bercukur.

* Tawaf dan saie haji.

Tahalul Thani terjadi apabila jemaah melakukan ketiga-tiga perkara tersebut.

6. Tertib pada kebanyakan rukun

Tertib pada kebanyakan rukun termasuk rukun keenam bagi haji. Dimaksudkan dengannya adalah rukun haji dikerjakan dengan tertib pada kebanyakan rukun iaitu didahulukan niat ihram haji dari rukun-rukun yang lain.

Didahulukan niat dari wuquf, Tawaf Ifadah dan didahulukan tawaf daripada saie (untuk haji Tamattuk).

Saie haji boleh mendahului wuquf dengan syarat telah melakukan tawaf qudum (bagi haji ifrad dan qiran). Bercukur atau bergunting boleh mendahului tawaf ifadah jika telah masuk waktunya.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Tanggungjawab umat pertahan kedaulatan negara

Posted by epondok di September 25, 2011

Oleh Nik Salida Suhaila

Berbalah sesama sendiri kerana tamakkan kuasa, berpecah belah boleh roboh benteng kekuatan

SEJAK awal pembinaan tamadun lagi sejarah menukilkan bahawa bangsa asing akan meninjau sesebuah penempatan sebelum mula menapak untuk membina empayar keluarga, ekonomi, politik malah hubungan antarabangsa sehingga akhirnya mereka menuntut atau mendapat hak yang sama dengan warga asal sesuatu penempatan diteroka.

Penjajahan itu bukan saja dalam bentuk fizikal atau paksaan yang lembut tetapi juga penguasaan minda dan jiwa sehingga sesuatu bangsa boleh hilang jati diri dan akidah yang utuh disebabkan pengaruh penjajah dominan.

Justeru, mempertahankan negara daripada gangguan dan pencerobohan luar yang menyelinap masuk melalui pelbagai cara adalah satu kewajipan setiap warga negara. Pelbagai cara boleh digunakan untuk menangkis strategi penjajah dan ia boleh dilakukan setiap individu mengikut kemampuan masing-masing.

Hal ini bukanlah luar biasa, cuma senario hari ini tidak sama dengan apa yang dibuktikan sejarah. Tiada lagi kapal layar berlabuh meletak sauh atau rempah ratus menjadi boneka dagangan, yang ada ialah pencerobohan minda mengkhayalkan hingga kita lupa kepayahan menuntut kebebasan daripada penjajahan.

 

Ada kala kita lupa menyelak latar belakang dan asal kejadian kerana lali dengan kuasa serta kemewahan sehingga sanggup berperang sesama saudara, yang akhirnya orang lain menang.

Tugas mempertahankan negara dengan apa juga cara besar ganjarannya di sisi Allah SWT, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis diriwayatkan Imam Abi Daud dari Muaz yang bermaksud: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sekejap, iaitu sekadar tempoh orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa yang memohon kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia meninggal dunia atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya adalah balasan syahid. Dan barang siapa terluka atau ditimpa kemalangan di jalan Allah, maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika ia luka, warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan wangian kasturi.”

Justeru, tidak hairanlah apabila kita membaca kisah sahabat Rasulullah SAW yang syahid di medan perang, darahnya merah segar mengalir deras tanpa henti dan baunya sewangi kasturi yang boleh dihidu berbatu jauhnya.

Bahkan syuhada di Gaza dan Somalia juga ditunjukkan Allah SWT akan kekuasan-Nya, di mana mereka yang terbunuh bagaikan tidak sabar menghuni syurga yang diwajibkan bagi mereka. Yang hidup pula bagaikan tidak sabar mengikut jejak mereka yang terpilih oleh Allah SWT dan sentiasa berdoa supaya masanya tiba buat mereka turut syahid kerana mempertahankan negara demi agama.

Untuk mempertahankan negara, kita bukan saja dibentuk oleh agama supaya mempunyai semangat juang tinggi tetapi juga kekentalan rohani. Keampuhan jiwa inilah menjadikan seseorang itu pejuang sebenar di jalan Allah SWT, mereka mampu bertahan dan tidak mudah mengaku kalah.

Tentera Islam dulu kuat dan teguh kerana ketaatan kepada Allah SWT yang ditonjolkan dengan mentaati pemimpinnya. Memang menjadi kewajipan orang yang dipimpin mentaati ketua mereka selagi perkara diarahkan tidak melanggar hukum Islam.

Inilah dapat membentuk angkatan tentera yang benar-benar bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara. Bayangkan jika mereka berbalah sesama sendiri kerana tamakkan kuasa, sudah tentu ia boleh memecah belahkan perpaduan, persefahaman serta merobohkan benteng kekuatan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah SWT dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.” (Surah Al-Anfaal, ayat 45)

Islam tidak mengajar umatnya menceroboh atau memerangi sesiapa saja yang menolak agama Allah SWT, tetapi umat Islam dituntut mempertahankan negara kerana agama.

Allah SWT meminta kita berlaku adil kepada setiap warga negara meskipun berlainan agama dengan mengamalkan cara hidup yang damai dan makmur selagi mana umat Islam tidak dimusuhi kerana agama mereka dan selagi mereka tidak diusir dari tanah air mereka.

Tetapi Allah melarang orang Islam berbaik dengan orang yang memusuhi mereka kerana mereka beragama Islam apatah lagi yang menolak hukum Allah SWT ke atas umat Islam sendiri.

Bukan mudah mempertahankan negara, apatah lagi isinya, bahkan ia menuntut komitmen semua pihak dari setiap lapisan masyarakat. Jika angkatan bersenjata menggunakan semua kelengkapan pertahanan untuk menghalang ancaman dan pencerobohan musuh, yang lainnya tentulah dengan kepintaran akal fikiran, keutuhan akidah yang sekali gus menyatukan setiap jiwa.

Biarpun tidak sehingga berkorban nyawa, setiap pertarungan mempertahankan negara bukanlah kerja calang-calang, ia tidak cukup dengan bertegang urat dan bertikam lidah mengatakan siapa bakal menang atau kalah. Ia adalah sejarah bahawa umat Islam tidak akan kalah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Falsafah ibadat haji

Posted by epondok di September 24, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

Jemaah haji perlu memahami setiap rukun dan wajib haji agar falsafah ibadat itu dapat dihayati sepenuhnya. – Gambar hiasan

PENULIS terpanggil untuk membuka ruang Bicara Haji yang akan menjelma tidak lama lagi dengan mengemukakan sedikit falsafah haji.

Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat (216) berkata: “Falsafah adalah menyerupakan dengan Tuhan mengikut kemampuan manusia untuk menghasilkan kebahagiaan yang abadi, sebagaimana yang diperintah oleh Rasulullah SAW yang bersifat benar.”

Ini selaras dengan kenyataannya yang bermaksud: “Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah SWT.”

Al-Jarjawi dalam Hikmah al-Tasyri’ wa Falsafatuh (hal. 5) berkata, syariat samawi bermatlamatkan empat perkara:

nMakrifatullah dengan mentauhidkan-Nya, memuji dan mensifatkan-Nya dengan sifat sempurna.

* Cara menunaikan ibadah yang mengagungkan dan mensyukuri nikmat-Nya.

* Menggesa perlaksanaan amar makruf dan nahi mungkar serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.

* Menghentikan segala pencabulan berdasarkan ketepatan hukum syarak.

Seterusnya, perbincangan ini dimulakan dengan memahami tafsiran kalam Allah yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197).

Zahir nas ini menjelaskan bahawa haji itu mempunyai waktu yang tertentu, iaitu pada beberapa bulan tertentu iaitu Syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama Zulhijjah.

Berdasarkan nas ini, tidak sah ihram dengan haji melainkan dalam bulan-bulan yang ditentukan sahaja. Walaupun ada sesetengah mazhab mengatakan sah berihram dengan haji di sepanjang tahun dan menentukan bulan-bulan yang tertentu ini untuk menunaikan syiar-syiar haji pada masa-masanya yang termaklum.

Pendapat yang akhir ini dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad Ibn Hanbal. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibrahim al-Nakhaie, al-Thauri dan al-Laith Ibn Saad.

Sementara pendapat yang pertama pula dipegang oleh Imam al-Syafie. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibn Abbas, Jubair, Ata, Tawus dan Mujahid dan ia merupakan pendapat yang azhar.

Firman Allah SWT: Maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji.

Makna al-Rafath adalah perbuatan menyebut kata-kata persetubuhan dan kata-kata yang mendorong ke arahnya sama ada secara umum atau di hadapan perempuan.

Makna al-Jidal adalah perbuatan bertengkar atau berbalah yang menimbulkan kemarahan. Makna al-Fusuq adalah melakukan maksiat sama ada besar atau kecil.

Larangan ini bertujuan meninggalkan segala yang bertentangan dengan suasana sopan santun terhadap Allah dan suasana penumpuan diri kepada Allah dalam masa ihram.

Ia juga bertujuan meningkatkan diri daripada keinginan-keinginan bumi dan melakukan latihan rohani supaya bergantung kepada Allah sahaja.

Beradab sopan di rumah-Nya bagi sesiapa yang berkunjung kepada-Nya dengan diri yang bersih dari segala-galanya hingga dari segala pakaian yang berjahit.

Larangan semasa tunai haji

Secara tafsirnya, orang yang sedang mengerjakan haji itu dilarang mengerjakan perkara-perkara berikut:

* Dilarang mencampuri isterinya sebelum tahallul awal, kerana yang demikian itu akan merosakkan hajinya. Orang yang berbuat demikian akan dikenakan denda (kaffarah), iaitu menyembelih seekor unta dan mesti meneruskan pekerjaan hajinya, kemudian mengqada hajinya pada tahun hadapan.

* Dilarang melakukan maksiat. Melakukan maksiat dalam ayat ini bermaksud, segala perbuatan yang terkeluar dari mentaati Allah. Juga diertikan, perkara-perkara yang diharamkan pada masa berpakaian ihram, seperti membunuh buruan darat yang tidak buas, mengerat kuku dan mencabut bulu atau rambut. Atau juga diertikan, mengejek-ngejek orang dengan gelaran yang tidak baik.

* Dari Abu Hurairah katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan haji, tiada ia bersetubuh dan tiada berbuat maksiat, kembalilah ia (bersih dari dosa), sebagaimana pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.”

* Dilarang bertengkar, berjidal atau berdebat yang menyebabkan kemarahan antara seseorang dengan yang lain. Perkara fusuq dan jidal dalam ayat ini adalah ditegah di dalam sebarang masa. Tetapi, tersangat besar larangannya jika dilakukan pada waktu mengerjakan haji kerana sangat buruknya dan tidak layak.

Takwa adalah bekalan dan makanan hati dan jiwa. Dengan takwa, hati mendapat tenaga dan kekuatannya, mencapai kesuburan dan kegemilangannya.

Takwa adalah tempat pergantungan hati untuk sampai kepada Allah dan mencapai keselamatan, dan mereka yang berakal merupakan orang yang pertama dapat memahami bimbingan kepada takwa dan merekalah sebaik-baik orang yang mendapat manfaat dari bekalan takwa ini.

Sebagai penutup tafsiran ayat di atas, penulis menukilkan kisah kefahaman al-Junaid tentang syiar haji melalui Mabadi’ al-Tasawuf al-Islami, oleh Sheikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani (hal. 129-130). Iaitu seorang lelaki yang baru menunaikan haji telah datang berjumpa dengan al-Junaid.

Lalu al-Junaid bertanya kepada lelaki tersebut: “Adakah kamu meninggalkan semua dosa-dosa kamu ketika meninggalkan rumah?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Kata al-Junaid: “Sebenarnya, kamu tidak pergi mana-mana.”

Tanya al-Junaid lagi: “Dan setiap tempat di mana kamu bermalam, adakah kamu berhenti untuk Allah?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak berhenti dari satu tempat ke satu tempat.”

Kemudian, ditanya lagi: “Ketika kamu memakai ihram pada tempatnya, adakah kamu meninggalkan sifat-sifat basyari (kemanusiaan), tatkala kamu menanggalkan baju kamu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Sebenarnya, kamu tidak berihram.”

Ditanya lagi: “Ketika wuquf di Arafah, adakah kamu berfikir tentang Allah walaupun dalam satu saat?” Jawabnya: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak wuquf di Arafah. Ketika kamu pergi ke Muzdalifah untuk menunaikan rukun-rukun kamu, adakah kamu menolak semua hawa nafsu?”

Jawab lelaki tersebut: “Tidak”. Berkata al-Junaid: “Kamu tidak menunaikannya di Muzdalifah. Ketika kamu bertawaf di Baitullah, adakah kamu memahami keindahan Ilahi di rumah suci itu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak bertawaf di Baitullah. Dan ketika kamu bersaie antara Safa dan Marwah, adakah kamu memahami apa itu al-Safa dan al-Muru’ah?” Jawab lelaki tadi: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak bersaie.” Kemudian, ditanya lagi: “Ketika kamu sampai ke tempat korban dan kamu berkorban, adakah kamu mengorbankan sebab-sebab keseronokan dunia?”

Jawabnya lagi: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak berkorban. Dan ketika kamu melontar Jamrah, adakah kamu melontar juga pemikiran-pemikiran jasadmu?”

Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak melontar Jamrah, bahkan kamu tidak menunaikan haji.”

Inilah contoh roh ibadat yang diamalkan oleh ahli sufi. Ia menunjukkan sejauh mana mereka mempertingkatkan diri untuk sampai ke darjat yang tinggi dengan menunaikan syiar-syiar agama, yang bertujuan beribadat kepada Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Objektif MAQASID SYARIAH

Posted by epondok di September 24, 2011

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

 

Allah mencipta sesuatu itu ada tujuan dan hikmahnya. Mustahil bagi Allah menjadikan suatu perkara itu tanpa arah tujuan dan matlamatnya.

Penciptaan Allah adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia. Untuk memahami hakikat ini, Allah SWT memerintahkan manusia agar bertadabbur dan bertafakur melihat hikmah di sebalik segala yang diciptakan.

Allah SWT mencipta manusia dengan tujuan menjadikan mereka sebagai khalifah di atas muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya. (Hud: 61)

Bagi membantu manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah, Allah SWT menurunkan syariatnya yang wajib dipatuhi.

Memang diakui di kalangan ulama bahawa terdapat tujuan di sebalik setiap pensyariatan. Dan seperti yang dinyatakan di atas ada yang dapat difahami secara jelas dan ada yang menjadi rahsia Allah. Tujuan atau matlamat ini disebut sebagai maqasid.

Maqasid syariah adalah tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya.

Sesungguhnya Allah SWT apabila mensyariatkan hukum, sebenarnya adalah bertujuan memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.

Hukum taklifi

Apabila seseorang individu mencapai tahap mukalaf maka setiap amalan, perlakuan dan aktiviti yang dilakukannya akan terkena kepada salah satu dari lima hukum taklifi.

Mukalaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif syarak (tuntutan dan kewajipan syarak).

Orang yang mukalaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perlakuannya tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama.

Syarat-syarat mukalaf ialah telah sampai umur (yakni baligh), memiliki akal yang waras, sampai dakwah kepadanya, sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.

Setiap perbuatan dan perlakuan mukalaf tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama yang disebut sebagai hukum taklifi seperti berikut:

1. Wajib iaitu tuntutan syarak ke atas setiap mukalaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan secara pasti (jazam).

Jika tidak dilaksanakan, maka individu tersebut akan berdosa dan sebaliknya. Jika dia melaksanakannya, akan mendapat pahala seperti menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam.

2. Haram adalah tuntutan syarak ke atas mukalaf supaya meninggalkan sesuatu perkara dengan tuntutan secara pasti (jazam).

Jika ia dilakukan, maka individu tersebut mendapat dosa, dan sekiranya meninggalkannya akan mendapat pahala seperti meminum arak.

3. Makruh ialah apa-apa yang dituntut untuk meninggalkannya tidak secara ilzam atau sesuatu perkara yang mana lebih afdal (utama) ditinggalkan dari dilakukan.

Pembuatnya tidak berdosa, tetapi hanya dicela. Sesiapa yang meninggalkannya (tidak membuat perkara tersebut) akan mendapat pahala dan pujian daripada Allah SWT.

4. Sunat adalah apa-apa yang dituntut untuk melakukannya iaitu dengan memberikan ganjaran kepada individu yang melakukannya, dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya.

Ia memuji orang yang melakukannya dengan mengurniakan pahala, pada waktu yang sama tidak mencela dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya seperti bersedekah.

5. Harus adalah sesuatu perkara yang diberikan pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Ia tidak akan mendatangkan sebarang pahala atau dosa.

Hukum-hukum syariah ini adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas mereka.

Kita perlu reda dan akur dengan segala syariat Allah dengan meyakini bahawa segala ketetapan Allah yang berupa peraturan dan undang-undang ini adalah demi menjamin kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Asas maqasid syariah

Objektif di sebalik penurunan atau penetapan syariah dapat dilihat sendiri menerusi dua sumber utama kepada umat Islam iaitu al-Quran dan hadis.

Ia bertitik-tolak dari firman Allah SWT yang menjelaskan motif kebangkitan junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui firman-Nya: Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107).

Tidak dapat disangkal lagi bahawa perkataan ‘rahmat’ itu bermaksud kebaikan, kemaslahatan dan keharmonian.

Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah.

Maqasid syariah juga dapat dijejaki menerusi ayat-ayat al-Quran. Kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan.

Biasanya, ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya.

Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah SWT jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)

Demikian juga dalam persoalan puasa, Allah SWT menjelaskan objektif pensyariatannya kepada umat Nabi Muhammad dan umat nabi-nabi yang terdahulu adalah untuk membentuk jiwa yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu (sentiasa) bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Begitu juga dari sudut undang-undang, Islam menjelaskan objektif di sebalik pensyariatan qisas terhadap mereka yang melakukan pembunuhan secara sengaja. Firman Allah SWT: Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu. (al-Baqarah: 179)

Dari sudut ekonomi pula, Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan derma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada mereka.

Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk membina hidup mereka. Bahkan, Allah SWT mewajibkan umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf.

Objektif pensyariatannya dinyatakan dalam firman Allah SWT: ….. Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu. (al-Hasyr: 7)

Pembahagian maqasid syariah

Maqasid syariah secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, dharuriyyat.

Ia adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh setiap individu. Ia adalah kemaslahatan yang perlu dipenuhi untuk mendirikan kemaslahatan agama dan dunia.

Jika tiada maslahah ini, kemaslahatan dunia tidak akan bergerak dengan lancar dan akan hilang nikmat dan keselamatan di akhirat kelak.

Contohnya, seorang individu perlu mempunyai harta untuk meneruskan kehidupan. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat yang berkaitan dengan persoalan memiliki harta, menggunakan dan membelanjakannya.

Terdapat lima perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu memelihara agama, memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.

Contohnya, dalam bab memelihara agama, Allah SWT dan Nabi SAW memerintahkan umat Islam mempelajari Islam dan mengukuhkan akidah dan syariat seperti solat, puasa dan haji.

Kemudian, Allah SWT menurunkan syariat untuk menjaganya seperti suruhan berdakwah dan berjihad.

Keduanya, hajiyyat iaitu kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia.

Ia untuk menghilangkan kesulitan dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup. Jika kemaslahatan ini tidak dapat dipenuhi ia boleh menyebabkan kesulitan dan kesusahan hidup.

Contohnya, Rasulullah SAW melarang dari menjual sesuatu yang tidak jelas (gharar) seperti ikan di lautan dan burung di udara.

Ini bertujuan menjamin kepentingan pembeli bagi mendapatkan haknya setelah membayar kepada penjual.

Bahagian yang ketiga adalah tahsiniyyat iaitu kemaslahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak. Jika hilang kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal.

Sebagai contoh, seorang individu yang telah mempunyai kereta dibenarkan untuk memiliki sebuah lagi kereta sekiranya mempunyai keperluan dan kemampuan.

Pembahagian ini sengaja dijelaskan dan dipaparkan oleh para ulama untuk membantu umat Islam dalam menentukan prioriti dan keutamaan dalam melakukan ketaatan dalam hidup mereka.

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »