Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pendakwah berhemah tahu cara beri teguran

Posted by epondok di September 30, 2011


Oleh Amran Zakaria

ILMUWAN hadis dan tafsir dari Cordoba, Sepanyol, Imam Abu Abdullah Al-Qurtubi, berkata menjadi tanggungjawab pendakwah memberikan nasihat kepada saudaranya dengan cara penuh bijaksana, lemah lembut dan menggunakan strategi.

Oleh itu, pendakwah perlu menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur serta memberi nasihat supaya orang yang ditegur tidak merasa malu atau melarikan diri sehingga menggagalkan matlamat dakwah. Komunikasi lisan yang berhemat ini turut dikenali sebagai kesantunan berbahasa.

Kesantunan dalam berbahasa akan memperlihatkan kesopanan terhadap orang yang bercakap dan dianggap sebagai seorang berbudi bahasa. Kaedah psikologi dakwah adalah metodologi terbaik dalam usaha mendekati, memahami, menyampaikan dan mengendalikan tingkah laku manusia.

Pendekatan ini mampu memberi kesan kepada masyarakat. Kita tidak mahu pendakwah mudah menerima label sebagai penghukum daripada berperanan mendidik masyarakat yang dahagakan ilmu agama.

Kita perlu memahami kehendak dan naluri masyarakat sebelum menjalankan tanggungjawab dakwah. Psikologi merujuk kepada ilmu berkaitan tingkah laku manusia yang mencerminkan pancaran sebenar gejala jiwanya.

Sememangnya ada kalangan individu dan masyarakat kita yang langsung tidak sensitif perkara berkenaan. Psikologi dakwah satu kaedah yang mudah dipupuk dan amat menarik untuk dipelajari. Komunikasi lisan pendakwah membabitkan soal hati dan perasaan membabitkan kedua-dua belah pihak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing.” (Hadis riwayat Muslim)

Maksud tersirat ialah budaya menegur amalan baik dan praktikal tetapi mesti dilakukan secara lembut, penuh kebijaksanaan dan bijak membaca suasana persekitaran dengan mengambil kira keadaan serta kedudukan masyarakat itu sendiri.

Setiap individu mempunyai perbezaan cara berfikir, mengeluarkan pendapat dan memberi pandangan dalam menangani pelbagai isu. Perbezaan ini akan mencambahkan ilmu yang membantu menghadapi cabaran kehidupan.

Ada tiga perkara asas yang menjadi garis panduan dalam memberi teguran kepada seseorang. Tujuannya untuk mempertahankan ukhuwah supaya tidak menjadi musuh.

Pertama, teguran tidak menghina dan menjatuhkan maruahnya, keduanya mencari masa dan ruang bersesuaian serta ketiga, memahami kedudukan orang ditegur dalam konteks kelapangan, keselesaan serta bebas tekanan emosi.

Apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan dihitung oleh Allah. Perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan mampu mengundang ucapan penghargaan atau menjurus ke arah permusuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Namun, sejak kebelakangan ini semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan itu mempunyai kebenarannya.

Baginda Rasul didatangi seorang lelaki yang meminta izin untuk melakukan zina.

Rasulullah dengan berhikmah bertanya lelaki itu: “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu? Jawab lelaki itu: Aku tidak menyukainya ya Rasulullah. Lalu baginda berkata dengan lembut: Begitu juga dengan orang lain, mereka juga tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita dalam kalangan kerabat mereka.”

Itulah pendekatan ditunjukkan Rasulullah SAW untuk dicontohi. Persoalannya, mengapa kita ketepikan cara yang ditunjukkan Baginda. Pendekatan itu bukan terhad kepada orang Islam, juga bukan Islam.

Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun berkata lembut kepada Firaun seperti firman-Nya yang bermaksud: “Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Thaha, ayat 44)

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan nabi bercakap lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Islam tidak suka kita bercakap atau berhujah semata-mata mengikut perasaan terpendam.

Jika memaksa orang lain berhenti melakukan kejahatan nescaya lebih banyak kejahatan dilakukannya. Sebaliknya ajaklah orang itu memulakan kerja kebaikan walaupun sedikit kerana yang sedikit akan menjadi kebiasaan yang membunuh sifat buruknya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: