Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 30 September 2011

Darjah dan kedudukan ahli syurga berdasarkan amalan

Posted by epondok di September 30, 2011

RASULULLAH SAW menjelaskan bahawa syurga memiliki banyak darjat. Di sana juga ada perbezaan darjat antara hamba Allah yang bergantung pada amal mereka dan Allah yang mendatangkan amal itu.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menegakkan solat, berpuasa pada bulan Ramadan, berjuang di jalan Allah atau tinggal di tanah kelahirannya, menjadi hak Allah untuk memasukkan orang itu ke dalam syurga.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah tidak seharusnya kita memberi khabar gembira kepada manusia? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya di syurga ada seratus tingkat yang disediakan Allah untuk orang yang berjuang di jalan Allah, sedangkan jarak di antara dua tingkat adalah seperti jarak antara langit dan bumi. Jika kamu ingin memohon kepada Allah, mohonlah syurga Firdaus kerana syurga Firdaus berada di tengah syurga dan syurga tertinggi.

Disebutkan dalam sebuah hadis sahih dari Anas bin Malik bahawa Ummu Haritsah datang menghadap Rasulullah SAW sedangkan Haritsah termasuk mujahid yang gugur dalam Perang Badar kerana terkena anak panah.

Lalu Ummu Haritsah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah berbuat untuk Haritsah dari hati saya. Jika sekarang ia di syurga, saya tidak akan menangis untuknya. Namun, jika ternyata tidak, engkau akan melihat apa yang akan saya lakukan.

Rasulullah menjawab: Apakah syurga hanya satu? Syurga itu banyak sekali, sedangkan syurga tertinggi adalah syurga Firdaus.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ahli syurga itu memiliki peringkat, berdasarkan posisi mereka saat berada di syurga.

Dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga itu saling melihat antara bilik dari atasnya, seperti mana saling memandangnya bintang yang beredar dan yang tetap di ufuk timur atau barat kerana di antara mereka saling memiliki kelebihan.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah di sana ada posisi yang khusus bagi para nabi, yang orang lain tidak akan boleh sampai ke sana? Rasulullah menjawab: Tidak demikian, demi Zat yang diriku berada di dalam kekuasaan-Nya. Nabi akan berada satu posisi bersama orang yang beriman kepada Allah dan yang membenarkan rasul itu. (Sahih Bukhari)

Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Kesabaran adalah usaha mengerahkan seluruh kemampuan jiwa dan tetap konsisten berdiri tegak di depan Allah dengan hati penuh pengabdian. Ini adalah ciri orang yang dekat dengan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan bukanlah harta atau anak-anakmu yang mendekatkan kamu kepada Kami, melainkan orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, mereka itulah yang memperbaiki balasan yang berlipat ganda atas apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat yang tinggi (dalam syurga).

Sesungguhnya ramai orang yang memiliki darjat tinggi di syurga Allah antaranya syuhada, pengasuh anak yatim, orang yang mengurus janda dan orang miskin, orang yang hafaz al-Quran dan mengamalkannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pengagihan zakat yang adil mampu selesai masalah umat

Posted by epondok di September 30, 2011

Oleh Mohd Fadly Samsudin

BANTU....asnaf fakir dan miskin perlu sentiasa mendapat pembelaan bagi meneruskan kehidupan mereka.
BANTU….asnaf fakir dan miskin perlu sentiasa mendapat pembelaan bagi meneruskan kehidupan mereka 

BERZAKAT membawa berkat serta dapat menyucikan harta dan jiwa. Itulah antara tujuan syariat zakat kepada umat Islam selain mengimba ngi jurang golongan kaya dan miskin.

Berzakat wajib bagi setiap Muslim apabila cukup syaratnya.Muslim yang memiliki harta kekayaan perlu menyedari rezeki dianugerahkan Allah sebahagiannya milik orang lain yang perlu dizakatkan.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka dengan berzakat itu kamu membersih kan dan menyucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at-Taubah ayat 103).

Apabila seorang Muslim mengeluarkan zakat bermakna harta yang bercampur dengan perkara syubhah dan haram dapat dibersihkan.

 

Hikmah berzakat memberi kesan baik kepada penerima yang berasa mereka tidak diabaikan. Melalui zakat yang dikumpulkan, ia disalurkan bagi membela nasib golongan asnaf.

 

Kedudukan zakat amat istimewa dalam rukun Islam. Ia tanggungjawab ummah bagi menguatkan sosio ekonomi umat.

Malaysia cukup bertuah kerana kesedaran berzakat cukup tinggi malah kutipan di pusat pungutan zakat negeri semakin meningkat setiap tahun.

Lapan asnaf iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil, boleh dikategorikan penerima zakat produktif dan tidak produktif.

Penerima agihan zakat yang mampu berusaha dikategorikan sebagai produktif manakala mereka yang tidak berupaya disebabkan masalah kesihatan, kecacatan atau usia lanjut dikategorikan sebagai golongan tidak produktif.

Bantuan diberikan kepada mereka bergantung kepada keperluan berdasarkan siasatan yang dilakukan agensi zakat terhadap keperluan asnaf dari masa ke semasa.

Terdapat pelbagai jenis bantuan diberikan pusat zakat di Malaysia antaranya bantuan makanan dan sara hidup, perubatan, pendidikan, keusahawanan, keagamaan serta kecemasan.

Allah berfirman: (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan Kami telah menjadikan darjat sete ngah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (Surah Az-Zukhruf ayat 32).

Bagaimanapun, keperluan asas setiap individu pasti terjamin dalam sebuah kerajaan Islam. Zakat bagi mengatasi ketidakseimbangan pendapatan serta mengelakkan berlaku penumpuan harta di kalangan golongan tertentu dalam masyarakat.

Firman Allah: “Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).

(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa Rasul ullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah;

sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (Surah Al-Hasyr ayat 7).

Islam menganggap kemiskinan sebagai masalah serius kerana ia punca pelbagai jenayah, perasaan benci-membenci serta permusuhan antara golongan kaya dan miskin sehingga berlaku konflik dalam masyarakat.

Rasulullah memberi perhatian berat terhadap isu kemiskinan di mana baginda menjelaskan kepada sahabat zakat perlu dibelanjakan membantu golongan miskin.

Di negara ini, walaupun kesedaran membayar zakat semakin meningkat, tahap agihan zakat masih mengecewakan sehing ga ada golongan yang sepatutnya menerima zakat gagal mendapat manfaat.

Ke mana wang zakat yang dikutip setiap tahun itu diagih kan, adakah semata-mata untuk membina bangunan yang hebat, membeli kenderaan atau membayar gaji yang mahal?

Jika dicongak secara kasar, zakat yang dikutip boleh mencecah berbilion ringgit dan dengan wang sebanyak itu, ia boleh mengurangkan jurang kemiskinan umat Islam di negara ini.

Sepatutnya, sistem agihan zakat dikaji semula, mungkin kaedah digunakan kini tidak sistematik atau ketinggalan zaman.

Satu lagi, kutipan zakat jangan hanya dibelanjakan untuk membesarkan bangunan, membeli kenderaan atau kemudahan prasana semata-mata kerana dalam syarat asnaf zakat, ia turut meliputi anak yatim dan ibu tunggal yang miskin.

Dana zakat sepatutnya diperuntukkan membiayai projek pembangunan jangka masa panjang yang akan mendatang kan faedah kepada golongan fakir dan miskin.

Bagi merealisasikan potensi agihan zakat dalam meningkatkan ekonomi ummah perlu kepada kerjasama dan tindakan bersepadu dari pusat zakat, penerima zakat dan kerajaan.

Pusat zakat perlu berusaha meningkatkan kepercayaan serta keyakinan pembayar

zakat melalui pelbagai mekanisma agihan yang jelas.

Golongan penerima zakat perlu bijak menguruskan dana zakat dan bertekad memperbaiki kehidupan mereka sehingga mampu keluar dari asnaf zakat dan menjadi golongan pembayar zakat.

Perunding motivasi dan mantan Ketua Syariah dan Penerangan Khas Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZWP), Ahmad Shukri Yusof, berkata di negara ini pengagihan zakat adalah berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu golongan asnaf.

“Bagaimanapun, keutamaan perlu diberikan kepada golongan asnaf fakir dan miskin bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

“Institusi zakat atau Baitulmal perlu memberi perhatian serius dalam menangani proses agihan zakat ini supaya tidak berlaku kritikan atau perasaan kurang puas hati di kalangan masyarakat,” katanya.

Ahmad Shukri berkata jumlah kutipan zakat memberangsang kan dari pusat-pusat zakat setiap tahun membuktikan mereka melaksanakan kutipan dengan baik.

“Setiap agihan kepada golongan asnaf perlu diperincikan jumlahnya seperti berapa bahagian diberikan kepada golongan asnaf seperti fakir miskin, fisabilillah, amil atau muallaf.

“Institusi zakat perlu memudahkan proses agihan dan jangan terikat dengan kerenah birokrasi supaya golongan fakir dan miskin selesa dan tidak malu mendapatkan bahagian mereka.

“Lakukan kaji selidik dan kerap turun padang bagi meninjau keperluan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Siar dan hebahkan melalui media atau laman web rasmi berkenaan kemudahan yang

disediakan bagi urusan membayar zakat dan cara permohonan untuk mendapatkan bantuan zakat dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, apabila menunaikan kewajipan berzakat secara tidak langsung kita membebaskan diri daripada perasaan kikir, kedekut dan sombong.

“Harta kekayaan adalah amanah Allah. Allah akan menambahkan nikmat-Nya dengan bertambah rezeki dunia atau pahala sehingga melayakkan mereka mencapai keredaan Allah dengan menerima ganjaran nikmat syurga di akhirat kelak.

“Berzakat adalah proses menyucikan hati dan harta seorang Muslim,” katanya.

Menurutnya, petugas di pusat zakat perlu prihatin dan komited dalam melaksanakan tugasan mereka.

“Tanamkan dalam diri nilai spiritual serta menjaga integriti dalam melaksanakan tugas.

“Anggap kerja yang mereka laksanakan itu sebagai amal jariah bagi membantu golongan kurang bernasib baik kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.

Beliau berkata, bagi keluarga yang hidup dalam kemiskinan bantuan zakat perlu diberikan secara berterusan terutamanya memastikan anak mereka tidak tercicir dalam bidang pendidikan.

“Anak mereka perlu mendapat bantuan pendidikan sempurna supaya satu hari kelak mereka dapat mengeluarkan keluarganya daripada kesempitan.

“Ini juga sebahagian usaha untuk melihat kemiskinan itu tidak terus diwarisi,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pendakwah berhemah tahu cara beri teguran

Posted by epondok di September 30, 2011

Oleh Amran Zakaria

ILMUWAN hadis dan tafsir dari Cordoba, Sepanyol, Imam Abu Abdullah Al-Qurtubi, berkata menjadi tanggungjawab pendakwah memberikan nasihat kepada saudaranya dengan cara penuh bijaksana, lemah lembut dan menggunakan strategi.

Oleh itu, pendakwah perlu menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur serta memberi nasihat supaya orang yang ditegur tidak merasa malu atau melarikan diri sehingga menggagalkan matlamat dakwah. Komunikasi lisan yang berhemat ini turut dikenali sebagai kesantunan berbahasa.

Kesantunan dalam berbahasa akan memperlihatkan kesopanan terhadap orang yang bercakap dan dianggap sebagai seorang berbudi bahasa. Kaedah psikologi dakwah adalah metodologi terbaik dalam usaha mendekati, memahami, menyampaikan dan mengendalikan tingkah laku manusia.

Pendekatan ini mampu memberi kesan kepada masyarakat. Kita tidak mahu pendakwah mudah menerima label sebagai penghukum daripada berperanan mendidik masyarakat yang dahagakan ilmu agama.

Kita perlu memahami kehendak dan naluri masyarakat sebelum menjalankan tanggungjawab dakwah. Psikologi merujuk kepada ilmu berkaitan tingkah laku manusia yang mencerminkan pancaran sebenar gejala jiwanya.

Sememangnya ada kalangan individu dan masyarakat kita yang langsung tidak sensitif perkara berkenaan. Psikologi dakwah satu kaedah yang mudah dipupuk dan amat menarik untuk dipelajari. Komunikasi lisan pendakwah membabitkan soal hati dan perasaan membabitkan kedua-dua belah pihak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing.” (Hadis riwayat Muslim)

Maksud tersirat ialah budaya menegur amalan baik dan praktikal tetapi mesti dilakukan secara lembut, penuh kebijaksanaan dan bijak membaca suasana persekitaran dengan mengambil kira keadaan serta kedudukan masyarakat itu sendiri.

Setiap individu mempunyai perbezaan cara berfikir, mengeluarkan pendapat dan memberi pandangan dalam menangani pelbagai isu. Perbezaan ini akan mencambahkan ilmu yang membantu menghadapi cabaran kehidupan.

Ada tiga perkara asas yang menjadi garis panduan dalam memberi teguran kepada seseorang. Tujuannya untuk mempertahankan ukhuwah supaya tidak menjadi musuh.

Pertama, teguran tidak menghina dan menjatuhkan maruahnya, keduanya mencari masa dan ruang bersesuaian serta ketiga, memahami kedudukan orang ditegur dalam konteks kelapangan, keselesaan serta bebas tekanan emosi.

Apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan dihitung oleh Allah. Perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan mampu mengundang ucapan penghargaan atau menjurus ke arah permusuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Namun, sejak kebelakangan ini semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan itu mempunyai kebenarannya.

Baginda Rasul didatangi seorang lelaki yang meminta izin untuk melakukan zina.

Rasulullah dengan berhikmah bertanya lelaki itu: “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu? Jawab lelaki itu: Aku tidak menyukainya ya Rasulullah. Lalu baginda berkata dengan lembut: Begitu juga dengan orang lain, mereka juga tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita dalam kalangan kerabat mereka.”

Itulah pendekatan ditunjukkan Rasulullah SAW untuk dicontohi. Persoalannya, mengapa kita ketepikan cara yang ditunjukkan Baginda. Pendekatan itu bukan terhad kepada orang Islam, juga bukan Islam.

Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun berkata lembut kepada Firaun seperti firman-Nya yang bermaksud: “Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Thaha, ayat 44)

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan nabi bercakap lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Islam tidak suka kita bercakap atau berhujah semata-mata mengikut perasaan terpendam.

Jika memaksa orang lain berhenti melakukan kejahatan nescaya lebih banyak kejahatan dilakukannya. Sebaliknya ajaklah orang itu memulakan kerja kebaikan walaupun sedikit kerana yang sedikit akan menjadi kebiasaan yang membunuh sifat buruknya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »