Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 27 September 2011

Pelajar hilang selamat pulang ke pangkuan keluarga

Posted by epondok di September 27, 2011

Syukur alhamdulillah, anak saya dah pulang – Sujut | Print |
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 27 Sept: “Syukur alhamdulillah, anak saya sudah pulang. Semoga Harakah terus maju,” demikian bunyi SMS yang dikirim oleh Sujut Esmon (gambar)kepada Harakahdaily jam 8.44 pagi semalam.Sujut, seorang peniaga, 45, dan keluarganya kini menghela nafas lega apabila anaknya yang hilang, Muhamad Akram, 16, telah pulang ke rumahnya sekitar jam 9.00 malam, Ahad, 25 September lalu.

Menurut beliau, kepulangan Muhamad Akram disedari oleh salah seorang anaknya yang masih kecil lalu terus memberitahu kepada isterinya yang juga emak kepada anak-anaknya itu dengan nada penuh kegembiraan.

“Kepulangan anak saya itu kemudiannya terus dimaklumkan oleh isteri saya kepada saya yang berada di pasar untuk menjalankan perniagaan sekitar jam 10.00 pagi 25 September lalu menerusi SMS,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Muhamad Akram, pelajar Pondok Beta Hilir, Kota Bharu, Kelantan, menurut beliau, pulang ke rumahnya dengan dihantar oleh seorang lelaki lalu terus masuk dan mendiamkan diri di dalam biliknya.

“Apabila ditanya oleh emaknya atau isteri saya tentang ke mana dia pergi dan apa yang berlaku ke atasnya sejak kehilangannya itu, dia hanya menjawab tidak tahu dan tidak ingat.

“Sehingga hari ini, saya, isteri dan seluruh keluarga kami masih tidak diberitahu oleh anak saya itu ke mana dia pergi dan apa sebenarnya yang berlaku ke atas beliau selama ini kerana dia masih kelihatan seperti trauma dan kebinggunggan,” jelasnya.

Harakahdaily pada 23 September lalu atas tajuk “Pelajar Hilang Sejak 13 September Lalu Gagal Dikesan” melaporkan, Muhamad Akram hilang dan tidak dapat dikesan sejak 13 September lalu apabila beliau didapati masih belum pulang ke asrama sekolahnya di Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, Kelantan hingga ke hari itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta berkerjasama mengesaninya serta melaporkan kepada keluarganya dengan segera jika menemuinya di sebarang tempat bagi menyelamatkan beliau dari segala kejadian tidak diingini.

Ketika berkunjung ke pejabat Harakahdaily, Sujut yang tinggal di B8-10-8, Flat Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani anaknya bagi menyelamatkan Muhamad Akram dan membolehkan beliau menjalani kehidupan seperti biasa.

Di samping mencari di pelbagai tempat termasuk di Tanah Merah dan Machang di Kelantan dengan kerjasama sanak saudara dan rakan-rakan, kehilangan Muhamad Akram turut dilaporkan oleh Sujut kepada pihak polis di Balai Polis Kota Bharu pada 15 September lalu.

Selain itu, berita kehilangan pelajar yang mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 6 inci, berkulit putih dan berbadan sederhana itu turut disiarkan di TV3 pada 22 September, sebelum dimaklumkan oleh beliau kepada Harakahdaily pada 23 September lalu.

Menurut Sujut, sebaik sahaja berita kehilangan anaknya itu disiarkan oleh Harakahdaily, beliau menerima sekitar 10 SMS daripada pembaca dari seluruh negara termasuk dari Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah yang meminta beliau bersabar dengan kehilangan anaknya itu.

Dalam masa yang sama, para pembaca itu juga turut memberitahu kepada beliau yang mereka akan turut mendirikan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya anaknya itu selamat dan pulang segera ke rumah.

“Selain itu, ada juga dari mereka itu yang turut membantu saya dengan menunjukkan cara-cara tertentu dengan kaedah Islamik dalam usaha untuk menyelamatkan anak saya itu agar pulang ke rumah dengan selamat, termasuk menyuruh saya membaca surah Yaasin sebanyak 40 kali,” katanya.

Berkat doa dan kerjasama daripada mereka, beliau bersyukur kepada Allah kerana anaknya benar-benar telah pulang ke rumahnya di Petaling Jaya pada 24 September lalu, iaitu setelah selama satu malam berita mengenai kehilangan anaknya itu disiarkan di Harakahdaily.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas jasa mereka yang tolong berdoa, solat hajat dan bekerjasama dengan saya dalam usaha mencari serta menyelamatkan anak saya itu sehingga dia pulang ke rumah dengan selamat.

“Jasa semua pihak terbabit tak dapat saya membalasnya. Hanya kepada Allah saya serahkan segala-galanya untuk membalas jasa semua pihak,” katanya.

Disebabkan Muhamad Akram masih tidak memberitahu kisah kehilangannya itu kepada beliau dan emaknya, beliau masih tidak mengetahui kejadian itu dengan lebih jauh.

Namun kepada emak saudaranya, Zalina Samat, 50, iaitu adik kepada isterinya atau adik iparnya yang tinggal di Nilai, Muhamad Akram telah menceritakannya dengan ringkas.

“Berdasarkan ceritanya kepada adik ipar saya itu, setelah bertolak dari Stesyen Bas Hentian Putra pada jam 10.00 malam 12 September dan sampai di Stesyen Bas Kota Bharu pada 13 September lalu dan selesai bercakap dengan saya menerusi telefon, dia telah pulang semula ke Stesyen Bas Hentian Putra di Kuala Lumpur.

“Dia pulang semua ke Stesyen Bas Hentian Putra bersama seorang rakan. Selepas itu, dia juga turut tinggal dengan kawannya itu di Hentian Putra, sehingga dihantar pulang ke rumah pada 24 September lalu,” katanya.

Selain itu, jika semasa keluar rumah pada 12 September lalu, Muhamad Akram membawa beg besar yang berisi pakaian, kepulangannya ke rumah hanyalah dengan membawa beg sandang sahaja.

“Saya tidak dapat membuat apa-apa rumusan mengenai kisah kehilangannya itu. Saya juga tidak mahu menekannya untuk bercerita lebih lanjut sekarang sebab takut dia tension. Saya terpaksa menunggu lebih lama sehingga dia boleh dan bersedia menceritakannya dengan baik suatu hari nanti.

“Buat masa ini biarlah dulu dia tenangkan dirinya. Selain itu, saya juga akan membuat laporan balik kepada pihak polis tentang kepulangan anak saya itu. Tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana dia selamat dan sihat,” ujar beliau.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Suasana persekitaran pengaruhi sifat manusia

Posted by epondok di September 27, 2011

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Budi pekerti, akhlak mulia setiap lapisan masyarakat teras kemenangan dalam perjuangan

BAGAIMANA tergamak seorang gadis berusia 19 tahun yang bersekolah di Maahad Tahfiz dibakar dan dicampak tanpa belas kasihan di tepi jalan raya. Seorang remaja berusia 16 tahun pula mendakwa dikurung, diberi dadah dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki.

Keruntuhan moral ini bukan sekadar membabitkan remaja, malah isu ibu bapa yang ditinggalkan di rumah kebajikan dan kes perceraian semakin meningkat dari semasa ke semasa mengundang pelbagai perbahasan untuk difikirkan bersama kaedah penyelesaian terbaik.

Adakah suasana persekitaran kita semakin bahaya, sentiasa terbuka kepada pelbagai jenayah dan boleh berlaku dalam masa yang begitu pantas? Adakah keamanan dan kasih sayang sudah semakin hilang dalam hidup masyarakat Malaysia hari ini?

Semua rakyat Malaysia perlu memikirkan bagaimana cara dan kaedah mewujudkan semula suasana harmoni dalam masyarakat kerana suasana persekitaran berperanan besar dalam menentukan buruk baik kehidupan manusia keseluruhannya.

Setiap individu Muslim perlu menekankan kepada persekitaran baik bagi membentuk kehidupan diredai Allah SWT. Justeru, melakukan kebaikan setiap detik dan masa harus menjadi agenda utama dalam melayari bahtera kehidupan.

Ibu bapa yang baik budi pekerti akan menunjukkan contoh baik kepada anak bagi membentuk sebuah keluarga bahagia dan masyarakat yang baik membantu kehidupan manusia berada di landasan baik.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka usahakan. (Surah al-Araf, ayat 96)

Al-Quran dan hadis sarat dengan pelbagai galakan supaya manusia sentiasa melazimi kebaikan dalam kehidupan sehari-hari. Neraca inilah yang menjadi pertimbangan kepada jatuh bangunnya sebuah peradaban manusia.

Lipatan sejarah jelas menunjukkan akhlak mulia setiap lapisan masyarakat menjadi teras kepada kemenangan dalam perjuangan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Kota Constantinople (Istanbul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. (Hadis riwayat Ahmad)

Hanya selepas 800 tahun, ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada kerajaan Rom. Pengkaji sejarah mendapati antara faktor terpenting yang membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya.

Bayangkan dalam puluhan ribu tentera itu, tidak seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan daripada kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad saja yang tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh.

Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan itu mesti menjadi syarat utama membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup manusia kini.

Bagaimana mahu memastikan harta benda sentiasa terjaga jika kejadian pecah rumah dan samun bermaharajalela setiap hari. Harus bagaimana memastikan anak muda remaja menjaga maruahnya sedang kerosakan nilai budaya masyarakat dipaparkan dalam media cetak dan elektronik sehari-hari?

Persoalan inilah yang harus dicari jawapan supaya manusia tidak hanyut berada dalam lingkungan tidak sihat, berbudaya negatif, berakhlak tidak sopan dan hidup dalam acuan tidak Islam.

Pelaksanaan kepada kebaikan datangnya dari hati dan dorongan dalaman yang kuat. Niat saja tidak cukup, malah mesti digerakkan melalui tindakan. Namun niat itu sendiri sudah mendatangkan pahala kepada pelakunya.

Atas rahmat dan kasih sayang Allah, pasti akan memberikan balasan setimpal atas niat dan keinginan hati seseorang.

Ketinggian sifat Pengasih Allah SWT ini dikurniakan juga walaupun kebaikan itu tidak dilaksanakan, malah jika berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak ditunaikan juga akan diberi pahala oleh Allah SWT.

Dalam hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menuliskan kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia telah menerangkannya akan hal itu. Barang siapa yang bercita-cita untuk melakukan kebaikan tetapi tidak dilakukannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika dia bercita-cita untuk membuat kebaikan dan melaksanakannya, maka Allah akan menuliskan baginya 10 sehingga 700 kali ganda kebaikan malah berlipat-lipat kali ganda.

Barang siapa pula yang bercita-cita untuk melakukan kejahatan tetapi tidak beramal dengannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan, dan jika ia bercita-cita untuk melakukan kejahatan dan dilaksanakan kejahatan itu, maka Allah hanya akan menuliskan baginya satu kejahatan saja. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Amal salih adalah syarat utama untuk menemui Allah di akhirat kelak dengan hati yang penuh ketundukan kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang ingin bertemu Tuhannya (di akhirat kelak), maka hendaklah ia melakukan amal soleh dan tidak mensyirikkanNya dalam setiap amal ibadahnya. (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Cara kesan remaja hamil

Posted by epondok di September 27, 2011

Oleh Hidayah Mohammad
Ibu bapa perlu peka, elak kes buang bayi berleluasa

WANITA hamil begitu mudah dikenal pasti dari segi bentuk badan dan cara mereka berjalan apatah lagi wanita hamil sering mengalami alahan, membuktikan ada ‘isi dalam perutnya’. Gejala seperti muntah-muntah, loya, pening, rasa teringin makan sesuatu, tidak tahan pada setengah bau atau makanan, sering berlaku pada wanita mengandung pada peringkat awal.

Perbezaan fizikal susuk tubuh berlaku ketika hamil. Buah dada dan puting kian membesar selain kulit sesetengah wanita menjadi gelap, terutama pada bahagian muka serta sering terasa hendak kencing, timbul jerawat dan menjadi letih.

Remaja mengandung lebih cergas dan bertenaga jika dibandingkan dengan wanita dewasa. Selepas bersalin, mereka lebih cepat kembali kepada keadaan asal sebelum mengandung. – Dr Ani Amelia Zainuddin, Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Unit Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Obstetrik Selain itu, wanita hamil juga ada kalanya mengalami keputihan pada faraj yang lebih daripada biasa selain tidak datang haid. Emosi menjadi tidak menentu, sering merajuk dan mudah melenting.

Semua tanda ini agak ketara dan hampir sesiapa saja boleh mengesan atau mengenal pasti jika seseorang wanita itu hamil. Ini juga yang menyebabkan banyak pihak musykil bagaimana ramai ibu bapa, keluarga, guru dan masyarakat sekeliling tidak dapat `mengesan’ apabila remaja, termasuk di bawah umur, hamil.

Baru-baru ini, seorang remaja berusia 14 tahun dilaporkan dirogol teman lelakinya mengadu sakit pinggang kepada keluarga. Pemeriksaan yang dilakukan di klinik mengesahkan kesakitan yang dialami remaja itu adalah disebabkan ingin bersalin.

Laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 juga menganggarkan 2.2 peratus daripada 8.7 juta remaja di Malaysia atau lebih kurang 190,000 orang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin sehingga ada yang mengandung sehingga menyebabkan kes pembuangan bayi.
Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Unit Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr Ani Amelia Zainuddin menjawab dan berkongsi maklumat mengenai isu wanita muda hamil.

Memulakan Klinik Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja di PPUKM sejak 2008 bersama Profesor Madya Dr Nur Azurah Abdul Ghani, beliau mengakui 20 peratus mereka yang dirujuk ke klinik itu adalah remaja hamil luar nikah dan ibu bapa hanya mengetahui keadaan itu apabila kehamilan melebihi empat bulan.

Mengapa ibu bapa sukar mengesan anak remaja mereka mengandung?

Anak remaja ini sendiri tidak sedar yang mereka mengandung. Mungkin juga mereka mengandaikan perkara itu berlaku tetapi menafikannya. Dalam kebanyakan kes mereka berkelakuan seperti biasa, tambah pula jika tidak begitu rapat dengan ibu bapa dan tidak selalu berada di rumah. Oleh itu, kehamilan mereka tidak dapat dikesan dan disedari ibu bapa dari awal lagi.

Ada remaja yang badan mereka sedikit besar atau berisi. Walaupun sudah dalam bulan ke empat atau lebih kehamilan, dalam kebanyakan kes, badan remaja tidak begitu menampakkan beza dengan keadaannya sebelum ini.

Gejala seperti muntah-muntah dan loya tidak sama sekali dikaitkan dengan kemungkinan anak hamil, lebih-lebih lagi apabila anak remaja itu dianggap sebagai anak yang baik dalam keluarga. Hubungan seks luar nikah adalah sesuatu yang dianggap ibu bapa perkara terakhir dilakukan anak. Ramai ibu bapa beranggapan masalah kesihatan itu disebabkan penyakit lain seperti gastrik atau tersalah makan dan sebagainya.

Ada juga remaja yang tahu mereka mengandung tetapi takut, berusaha menutup rahsia itu dengan memakai pakaian besar dan labuh supaya boleh melindungi keadaan perut yang kian membesar.

Ramai remaja yang kitaran haidnya tidak teratur dan jarang datang haid disebabkan paksi aliran ‘hormone hypothalamus-pituitari-ovari’ mereka tidak matang dengan lengkap lagi. Oleh itu, apabila mereka tidak mengalami haid, mereka tidak menyangka ia disebabkan kehamilan.

Bagaimana untuk memastikan jika anak remaja mengandung? Perbezaan wanita dewasa hamil dan remaja hamil?

Tiada perbezaan ketara antara wanita dewasa dan remaja mengandung dari segi tanda kehamilan. Ada yang mengalami alah teruk dan ada juga yang langsung tidak mengalami alah. Cuma mungkin pada usia muda, mereka tidak banyak berfikir dan berasa runsing kerana tidak ada tanggungjawab lain.

Remaja mengandung selalunya lebih cergas dan bertenaga jika dibandingkan dengan wanita dewasa yang lebih tua. Jarang mereka berasa letih. Selepas bersalin, mereka lebih cepat kembali kepada keadaan asal sebelum mengandung.

Dari segi emosi pula, ada remaja yang murung dan suka berseorangan jika mereka berada dalam keadaan ketakutan dengan kehamilan itu. Mereka perlukan banyak sokongan dan bimbingan ibu bapa, keluarga dan doktor. Ramai yang memerlukan khidmat kaunseling. Jangan abaikan keperluan ini kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada remaja mengandung, anak yang dilahirkan serta keluarganya.

Ibu bapa perlu memikirkan yang anak mereka mengandung jika anak mereka menunjukkan tanda biasa dialami wanita hamil. Selain itu, pada peringkat pertengahan kehamilan pula, perut kian membesar dan terdapat perubahan pada warna kulit di bahagian perut, kulit renggang di perut dan buah dada.

Lebih jelas ialah sakit pada di bahagian ari-ari atau di bahagian bawah perut sebelah kanan atau kiri, sakit belakang mula dirasai dan ia menjadi lebih kuat apabila usia kehamilan semakin lanjut.

Bagi memastikan sama anak remaja mengandung atau tidak, boleh belikan alat mengesan mengandung dari farmasi atau bawa anak berjumpa doktor. Remaja mengandung lebih tinggi risikonya berbanding wanita dewasa dan disyorkan supaya mendapatkan rawatan antenatal seawal mungkin serta sepanjang kehamilan mereka. Pastikan juga bersalin di hospital dan bukan di rumah.

Cara terbaik menghadapi anak remaja yang hamil

Jangan terus memarahi anak jika mendapat ‘berita buruk’ itu. Tanya mereka mengenai kesihatan mereka. Berlembut dulu kerana remaja memerlukan bimbingan yang betul tak kira dalam apa juga situasi, bukan cemuhan dan keganasan. Ramai remaja mengandung yang berada di bawah jagaan klinik hamil bukan disebabkan mereka ‘jahat’ sebaliknya menjadi mangsa, dirogol, ditipu, diperdaya, kadang kala oleh ahli keluarga sendiri menyebabkan mereka turut mengalami masalah psikologi.

Walaupun badan mereka seperti wanita dewasa, pemikiran dan perkembangan psikologi mereka masih belum matang. Bila mereka mengandung, ketika itulah mereka memerlukan bimbingan, sokongan dan kesabaran supaya masalah itu bijak diatasi.

Bertenang
Minta anak menceritakan keadaan sebenar
Jika hubungan dengan anak tidak rapat, dapatkan bantuan teman rapat untuk anak menerangkan perkara yang berlaku.
Bawa berjumpa doktor untuk mengesahkan kehamilan.
Buat laporan polis.
Mendapatkan bantuan dan rujukan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika perlu.
Jika remaja itu sudah melakukan kesalahan dari segi agama yang menyebabkannya hamil, ajaklah dia bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar dengan cara lemah lembut dan kasih sayang.
Beri kata-kata positif dan semangat supaya mereka tidak mengalami masalah kemurungan.

INFO

Remaja adalah mereka yang berusia dari 10 tahun hingga 24 tahun.

Remaja muda berusia dari 13 tahun hingga 19 tahun.

Keadaan fizikal remaja yang berusia 11 tahun hingga 14 tahun seperti tulang pinggulnya yang belum bersedia untuk bersalin boleh mendatangkan risiko ketika proses kelahiran. Apabila ia terjadi, pembedahan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan bayi dan ibu.

Wanita digalakkan melahirkan anak dari usia 21 tahun hingga 35 tahun.

Bersalin dalam lingkungan usia 36 tahun hingga 45 tahun dianggap berisiko tinggi.

Apabila mencapai usia 45 tahun, wanita dinasihatkan tidak bersalin lagi kerana risikonya begitu tinggi.

Risiko kelahiran pada usia remaja
Keadaan sakit mahu bersalin pramatang atau proses kelahiran yang lebih cepat daripada waktu yang sepatutnya
Anemia (kekurangan zat besi dalam darah)
Penyakit tekanan darah tinggi
Preklamsia/preeclampsia.

Tanda penyakit ini ialah bengkak pada muka, kaki dan badan, rasa pening dan muntah-muntah, penglihatannya kabur dan sakit di ulu hati. Doktor akan mengenal pasti penyakit itu jika tekanan darah tinggi dan boleh juga menyebabkan kehadiran protein dalam air kencing. Penyakit ini amat berbahaya dan memerlukan rawatan segera untuk menstabilkan dan menyelamatkan ibu serta anak dalam kandungan

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tuan Guru Abdul Hamid Pondok Seligi masuk wad kena angin ahmar

Posted by epondok di September 27, 2011

27 SEPTEMBER Kuala Krai – Tuan Guru Abdul Hamid b Daud Mudir Pondok Seligi dimasukkan ke wad tingkat 2 Hospital Kuala Krai malam tadi akibat serangan angin ahmar (stroke) dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur. Sama-sama kita doa dan solat hajat semoga Allah sembuhkan beliau sebagaimana biasa dalam meneruskan khidmat pada agama dan kita semua

Posted in Pondok Seligi | 4 Comments »

Perkara tumpuan ketika tunai umrah

Posted by epondok di September 27, 2011

Oleh NUKMAN FADZIL
Tempat permulaan saie adalah di Bukit Safa.

UMRAH daripada segi bahasa adalah ziarah sementara dari segi istilahnya ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram di Mekah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Ia merupakan di antara ibadat yang penting selain solat, zakat, puasa dan haji malahan Rasulullah SAW melakukan umrah sebanyak empat kali sepanjang umur baginda.

Ibadat umrah bukan sahaja dilakukan sepanjang musim haji malahan turut dilakukan sepanjang tahun. Bagi rakyat Malaysia ia merupakan satu ibadat yang tidak asing malahan kian popular sejak akhir-akhir ini.

Justeru, mereka yang hendak mengerjakan umrah perlu mengetahui rukun dan wajib umrah supaya tiada permasalahan yang timbul setelah balik daripada mengerjakan umrah.

Umrah mengandungi lima rukun iaitu niat ihram, tawaf, saie, bercukur atau bergunting serta tertib.

Sementara itu wajib umrah ada dua iaitu niat di miqat dan menjaga larangan ihram.

Terdapat beberapa isu atau perkara yang perlu diambil perhatian dan perlun dijaga oleh bakal-bakal haji atau mereka yang mengerjakan umrah.

1. Niat ihram

Mereka yang mengerjakan umrah tidak boleh berniat atau membatalkan niat sesuka hati. Apabila bakal haji telah berniat maka secara langsung mereka telah berada dalam ihram dan perlu mematuhi larangan Ihram.

Mereka juga tidak boleh membatalkan niat ihram sesuka hati kerana bagi membatalkan niat ihram, mereka perlu melakukan Dam Ihsar iaitu dengan menyembelih seekor kambing.

Terdapat implikasi besar jika kita tidak menyempurnakan umrah. Mereka yang masih di dalam ihram berkemungkinan melakukan larangan ihram kerana menyangka telah selesai umrah sedangkan umrah mereka telah rosak. Sebagai contoh ada yang melakukan mukadimah persetubuhan yang mengakibatkan mereka dikenakan dam yang lebih besar walhal umrah belum sempurna ataupun rosak (fasad).

Kadang-kadang ada yang berkahwin selepas pulang ke tanah air maka perkahwinan itu tidak sah.

2. Wuduk dan aurat

Semasa melakukan tawaf, bakal haji perlu menjaga wuduk dan aurat mereka semasa mengerjakan tawaf. Wuduk yang terbatal atau aurat yang terbuka boleh menyebabkan tawaf tidak sempurna maka umrah tidak sah.

3. Was-was semasa tawaf atau saie

Ada keadaan di mana semasa tawaf atau saie, bakal haji ragu-ragu tentang jumlah pusingan tawaf atau saie.

Jika berlaku sedemikian, ambil jumlah yang paling rendah. Contohnya, kita tidak pasti pusingan Tawaf yang ke 6 atau ke 7 maka kita ambil yang yakin iaitu 6 pusingan kemudian tambah satu pusingan.

Jika bakal haji telah selesai melakukan tawaf dan saie kemudian bercukur dan balik tempat penginapan mereka, lalu datang keraguan tentang jumlah pusingan tawaf maka tidak harus kita ulangi tawaf tadi kerana keraguan yang datang setelah selesai ibadat adalah was-was dan was-was itu daripada syaitan.

4. Tempat mula dan berhenti tawaf

Bakal haji hendaklah memulakan tawaf di tempat permulaannya dan berakhir di depan sedikit dari tempat permulaan tadi supaya perkiraan itu lebih tepat.

Jika kita berhenti semasa tawaf di tengah-tengah perjalanan, kemudian kita perlu mulakan dari tempat kita berhenti ke belakang sedikit supaya lebih yakin dan tiada keraguan.

Selain perkara di atas, semasa tawaf pastinya ramai jemaah haji daripada negara lain turut sama mengerjakan umrah maka bertolak ansurlah supaya ibadat kita menjadi lebih sempurna dan menepati syariat umrah itu sendiri.

Akhirnya, bakal haji jagalah kesihatan dan lakukanlah umrah sekadar mampu serta tidak memaksa diri. Pilihlah waktu yang sesuai dan bergerak dalam kumpulan.

Mudah-mudahan umrah tuan-puan diterima Allah sebagai umrah makbul dan kembali dari mengerjakan umrah seolah-olah seperti hari dilahirkan oleh ibunya kerana suci daripada noda dan dosa.

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »