Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 23 September 2011

Bantu kesan pelajar Pondok Beta Hilir yang hilang

Posted by epondok di September 23, 2011

Aziz Muda   

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Seorang pelajar, Muhamad Akram Sujut, 16, (gambar) hilang dan tidak dapat dikesan sejak 13 September lalu apabila beliau didapati masih belum pulang ke asrama sekolahnya di Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, Kelantan hingga hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai diminta berkerjasama mengesaninya serta melaporkan kepada keluarganya dengan segera jika menemuinya di sebarang tempat bagi menyelamatkan beliau dari segala kejadian tidak diingini.

Ayahnya, Sujut Esmon, 45, yang tinggal di B8-10-8, Flat Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani anaknya bagi menyelamatkan Muhamad Akram dan membolehkan beliau menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut Sujut, kehilangan Muhamad Akram amat menyedihkan beliau dan seluruh keluarganya serta penuh tanda tanya, setelah beliau menghantarnya ke Stesyen Bas Hentian Putra, di sini, pada jam 10.00 malam 12 September lalu untuk pulang ke asrama sekolahnya.

Katanya, pada sekitar jam 8.15 pagi 13 September lalu, Muhamad Akram ada menelefon beliau melalui telefon bernombor 09-7434447 dan memberitahu kepadanya bahawa beliau telah sampai di Stesyen Bas Kota Bharu.

“Melalui perbualan menerusi telefon itu, dia juga meminta nombor telefon ustaznya yang bernama Nazri daripada saya,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harakahdaily, di sini, hari ini.

Pada petang hari yang sama, menurut beliau, beliau telah menerima panggilan telefon daripada kawan anaknya yang tidak beliau pastikan namanya melalui telefon bernombor 014-8092693 yang memberitahu anaknya masih tidak sampai di Pondok Beta Hilir.

Katanya, sehingga ke hari ini, anaknya masih juga tidak sampai ke Pondok Beta Hilir dan gagal dikesani, walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh beliau, keluarganya, saudara maranya dan rakan-rakannya untuk mencari dan mengesani anaknya.

Dalam usaha mencari Muhamad Akram, beliau telah mendapatkan kerjasama daripada pihak polis dengan membuat laporan kehilangan anaknya di Balai Polis Kota Bharu, Kelantan pada 15 September lalu.

Beliau yang berkerja sebagai peniaga menjelaskan, usaha mencari anaknya telah dilakukan di Kelantan termasuk di Tanah Merah dan Machang, dengan kerjasama saudara mara dan sahabat handai beliau dan isterinya yang berasal dari Machang.

Selain itu, berita mengenai kehilangan anaknya telah disiarkan di TV3 pada pagi semalam, setelah beliau berkunjung ke stesyen TV3 untuk memaklumkan kejadian itu.

“Tetapi sehingga sekarang, anak saya masih juga tidak ditemui. Inilah yang merisaukan kami sekeluarga. Saya amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani dan mencari anak saya itu,” katanya.

Anak beliau, jelasnya, mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 6 inci, berkulit putih, berbadan sederhana.

Semasa keluar dari rumah, Muhamad Akram berpakaian T shirt putih berline hijau dan berseluar jeans hitam.

Kepada orang ramai yang menemuinya diharap menghubungi Sujut di talian 019-3389960 atau 013-3134223

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pengaruh kitab jawi di Kemboja

Posted by epondok di September 23, 2011

Melayu Champa Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan

 

CHAU PHONG (VIETNAM) – “Apa khabar? Dari Malaysia?”. Itulah ucapan selamat datang daripada Imran Abu Bakar, 45, kepada penulis ketika berada di sebuah perkampungan Islam di Chau Phong, Vietnam.

Baru-baru ini Bernama berpeluang menyertai ekspedisi Jejak Warisan Jawi II(JWJ2) dalam misi menjejak warisan Jawi di tujuh buah negara. Sesetengah penduduk di Chau Phong boleh berbahasa Melayu termasuk Imran, yang merupakan seorang guru di Madrasah Mahmudiyah, di sini.

Imran berkata, hampir 100 daripada kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Masjid Nikmah boleh berbahasa Melayu.

Melayu Champa

Rancak berbual dalam bahasa Melayu dengan Imran membuatkan seseorang merasakan seperti berada di Malaysia tambahan pula penduduknya ramai yang berpakaian seperti rakyat Malaysia.

Golongan Hawa dengan baju kurung, berkain batik dan bertudung manakala Adam, ada yang berkain pelikat dan berketayap putih.

Imran memaklumkan bahawa penduduk kampung berkenaan asalnya adalah dari masyarakat Melayu Champa. Di bawah pemerintahan Khmer dahulu, ramai orang Melayu Champa terpaksa melarikan diri ke Kemboja. Jadi, tidak ramai lagi orang Melayu Champa yang tinggal di sini.

Disebabkan ‘pembersihan etnik’, oleh pemerintah terdahulu juga menyebabkan ramai generasi Melayu Champa sekarang tidak lagi pandai berkomunikasi dalam bahasa Melayu, katanya.

Menurut sejarah, empayar Melayu pernah wujud dari Hue, Vietnam sehingga ke An Giang, Selatan Vietnam di bawah kerajaan Champa. Namun apabila kerajaan ini diserang, rajanya berundur ke Laos, Kemboja dan Thailand sehingga ke Kelantan dan Terengganu.

Kesan daripada pengunduran itu, wujud sebuah daerah yang juga pernah menjadi kerajaan Melayu pertama di Kemboja dan dikenali sebagai Kampung Cham dengan keluasan hampir 10,000 km persegi.

“Pengunduran orang Melayu Champa ini bermula dari tahun 1,300 masehi lagi, selepas mereka tewas dan ditindas di tangan orang Khmer.

“Pengunduran mereka ini memakan masa beratus-ratus tahun dan kerajaan Melayu pada masa itu bukan hanya satu, terdapat beberapa lagi kerajaan Melayu kecil di merata-rata tempat,” kata Pengarah JWJ2, Zaid Muhammad Mohd Rais. Trivia menarik mengenai empayar Melayu dahulu, Zaid memaklumkan bahawa Angkor Wat di Kemboja pernah menjadi medan pertempuran empayar Melayu dan Khmer.“Selain itu, dikatakan Wali Songo juga berasal dari kerajaan Melayu Champa, apabila Sheikh Jamalludin Kubra berkahwin dengan Puteri Kemboja yang juga orang Melayu Champa,” katanya. Namun begitu, kedatangan Islam pada zaman itu tidak dapat dikenal pasti dengan jelas sama ada mereka sudah menganuti Islam atau tidak pada zaman peperangan dahulu kala.

Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan

Walaupun bahasa Melayu dahulunya pernah menjadi bahasa dagangan, namun kini penggunaannya terutama tulisan Jawi semakin kurang di serata dunia termasuklah di Malaysia sendiri yang dahulunya pernah dikenali sebagai Tanah Melayu.

Antara yang dikenali ramai masih menggunakan Bahasa Melayu adalah penduduk di Malaysia dan Selatan Thailand, itu pun dari segi komunikasi harian. Namun, tidak diduga penggunaan bahasa Melayu di Kampung Masjid Nikmah ini bukan sahaja digunakan dalam komunikasi, malahan dalam sistem pendidikan mereka.

“Di sini, tak ramai yang boleh cakap Melayu, adalah dalam 100 orang, dan kebanyakan yang boleh cakap Melayu pun disebabkan mereka belajar agama ataupun mengajar,” kata Ghazali Ahmad, Pengetua Madrasah Azhar di kampung itu.

Beliau berkata, buku agama dalam tulisan Jawi banyak digunakan dalam pembelajaran agama harian generasi lama ataupun baru.

“Ada kira-kira 300-400 buah buku, yang kebanyakannya hasil tulisan Sheikh Al-Fatani dan lain-lain, jadi secara tak langsung, apabila membaca dalam Jawi, kami boleh berbahasa Melayu,” katanya.

Antara buku tulisan Jawi yang digunakan ialah ‘Sabilil Muhtadin’, ‘Faridatul Faraid’, ‘Hidayatus Salikin’ dan ‘Furu’il Masail’.

Belajar sehingga ke Malaysia

Keinginan untuk mendalami ilmu agama juga membawa mereka ke Malaysia. Difahamkan Ghazali pernah berhijrah ke Malaysia untuk menimba ilmu agama dan tinggal kira-kira lima tahun sebelum pulang ke kampung halaman dan mencurahkan

ilmu kepada generasi baru. Malahan, tradisi itu masih lagi berlangsung sehingga sekarang.

“Abang, abang dari Kuala Lumpur ya? Saya pun baru saja balik kampung ni, cuti semester,” kata Zakarigia Gojali, 22, pelajar Kolej Universiti Insaniah, Kedah.

Beliau berkata, ada empat hingga lima orang dari kampungnya belajar di Malaysia.

“Ada yang belajar pondok, universiti atau kolej, yang kebanyakannya terletak antara Kedah dan Kelantan,” katanya fasih berbahasa Melayu.

Apa yang menarik, walaupun tidak pernah berkomunikasi dalam bahasa Melayu sebelum ini, cara percakapan Zakarigia seperti orang Melayu biasa, tidak kekok.

“Saya belajar bahasa Melayu ni kat sana lah, masa kat kolej, kawan-kawan ramai kan,” katanya yang baru tiga tahun belajar di Malaysia.

Tidak susah belajar bahasa Melayu kerana perkataannya mempunyai banyakpersamaan dengan bahasa Arab, katanya mengakhiri perbualan. – BERNAMA

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kaedah dan adab berdoa

Posted by epondok di September 23, 2011

  • Hendaklah dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.
  • Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk tawaduk selain merendah diri kepada Allah.
  • Doa dimulakan dengan membaca al-Fatihah atau memuji Allah sekurang-kurangnya, “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas nabi.
  • Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak disamping perut anak jari menghadap ke atas.
  • Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
  • Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati lara dan lalai atau kurang yakin kemahuannya.Rasulullah bersabda, maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah. (Riwayat At-Tarmizi).
  • Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah akan memperkenankan doanya dalam keadaan susah.
  • Berdoa dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan.Firmah Allah yang bermaksud: Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan (Surah al-Araaf ayat 55).
  • Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya:“Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”.
  • Untuk memohon sesuatu hajat, ulangi perkara itu sekurang-kurangnya tiga kali
  • Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Ingat, apabila berdoa jangan meminta sesuatu yang mustahil.
  • Jangan mudah merajuk apabila doanya tidak dikabulkan Allah. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain berserah diri kepada Allah.
  • Sebelum mengakhiri dengan ucapan Amin, setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi s.a.w selain puji-pujian kepada Allah.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »