Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 September 2011

Makan cara sederhana jamin kesihatan

Posted by epondok di September 15, 2011

Mohd Hassan Adli Yahaya

APA khabar pembaca sekalian? Harapan saya semuanya sihat sejahtera dalam meneruskan perjuangan dan aktiviti harian. Lazimnya pada Syawal kita memang ‘sihat-sihat’ belaka kerana sibuk menghadiri undangan rumah terbuka di sana sini.

Bagi yang berkeluarga, waktu begini memang sibuk kerana di samping menghadiri rumah terbuka, mereka juga tidak terkecuali menganjurkan rumah terbuka sendiri.

 

Nasihat saya kepada mereka yang ingin menganjurkan rumah terbuka, berbelanjalah secara berhemat dan mengikut kemampuan sendiri.

Amalan mengadakan rumah terbuka dengan berbelanja habis-habisan sehingga membazir bukan cara yang dianjurkan Islam.

 

Amalan rumah terbuka seharusnya difahami untuk meraikan dan memuliakan tetamu dengan menjamu hidangan terbaik tetapi biar berpada-pada mengikut kemampuan sendiri, bak kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’.

 

Dalam Islam, amalan menghormati tetamu antara kriteria kesempurnaan iman seseorang. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, janganlah mengganggu tetangganya. Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, muliakanlah tetamunya. Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, katakanlah yang baik atau diam.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Sebenarnya, banyak cara untuk kita memuliakan tetamu dan jangan kita disempitkan konsep memuliakan tetamu dengan hanya menjamu hidangan mewah dan lazat.

Yang lebih penting ialah kehadiran kita melayan tetamu dan juga keikhlasan menyambut kunjungan mereka adalah perkara utama dalam konsep memuliakan tetamu.

 

Majlis rumah terbuka juga boleh dilihat sebagai satu cara mengeratkan silaturahim sesama kita.

Lumrah kehidupan mungkin perlakuan atau kata-kata kita seharian bersama rakan secara tidak sengaja menyinggung hati dan perasaan mereka. Apatah lagi bagi yang berurusan dengan orang ramai seperti peniaga.

 

Kadangkala, berlaku pergeseran antara rakan kongsi dan ada juga yang pecah syarikat dan berpatah arang berkerat rotan sehingga tidak bertegur sapa dengan bekas rakan kongsi.

 

Oleh itu, rumah terbuka sempena Aidilfitri kita jadikan ‘platform’ untuk kembali berbaik-baik dan menyambung tali persaudaraan.

 

Keberkatan hubungan silaturahim sebenarnya boleh membuka dan memperluas pintu rezeki serta dipanjangkan umur sebagaimana hadis Rasulullah SAW iaitu: ‘’Barang siapa yang ingin dimudahkan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia sentiasa menjaga silaturahim.’’ (hadis riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik RA) Justeru, kunjungan tetamu sama ada adik beradik, saudara mara mahupun rakan yang datang dari dekat dan jauh pada bulan ini khasnya harus dilihat daripada sudut positif, yakni kehadiran mereka ‘membawa’ rezeki buat kita dan bukan beban untuk dipikul.

 

Bagi mereka yang masih ‘bujang’ seperti saya, inilah peluang untuk jimat belanja kerana boleh ‘makan free’.

 

Jika boleh, setiap hari mengharapkan ada orang sudi mengundang ke majlis rumah terbuka. Namun secara logiknya mana ada hari-hari orang buat majlis rumah terbuka, kecuali hujung minggu saja. Kalau ada orang buat hari-hari selama sebulan, memang seronok kita makan.

 

Bercerita mengenai isu makan, Alhamdulillah, negara kita memang mewah dengan pelbagai makanan sedap. Sebut apa saja, rendang daging, kari ayam, sup gearbox, roti canai, lontong, nasi lemak dan lain-lain lagi antara menu kegemaran.

 

Sebagai rakyat Malaysia, selalunya kalau sudah rasa sepinggan makanan yang disebutkan di atas, kita mesti rasa hendak tambah lagi.

 

Tidak hairan apabila klinik antara tempat ‘favourite’ kita kunjungi dan ada juga yang berulang-alik mendapatkan rawatan.

 

Sakit yang biasa kita dengar ialah tahap kencing manis meningkat, darah tinggi, demam dan batuk yang selalunya berpunca daripada pengambilan makanan. Boleh jadi salah makan (langgar pantang) atau terlebih makan.

 

Islam juga menggariskan amalan dan cara pemakanan terbaik untuk umatnya. Rasulullah menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi udara.

 

Ini bukan amalan yang sengaja direka-reka Rasulullah SAW, sebaliknya turut dipersetujui ahli perubatan hari ini yang mengakui cara pemakanan amalan nabi adalah terbaik untuk kesihatan.

 

Islam juga melarang amalan berlebih-lebihan dalam mengambil apa juga jenis makanan dan minuman.

 

Kita digalakkan bersederhana dalam segala perkara, termasuk soal makan. Makan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu dan selera tekak.

 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah daripada perut yang penuh dan ketat dengan makanan yang halal.” Sama ada kita sedar atau buat-buat tidak sedar ialah kebanyakan penyakit bermula daripada salah pilih makanan.

 

Dalam hadis Rasulullah SAW, baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.” Tatacara yang dianjurkan Rasulullah SAW ketika makan ialah dengan ‘makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang’.

 

Jika seseorang itu makan dalam keadaan gelojoh dan lahap, tentu dia sukar berhenti kerana seleranya tidak dapat dikawal lagi.

 

Perut yang penuh kekenyangan jika terus diisi dengan makanan sehingga terlalu sarat akan membebankan ‘kilang’ dalam perut untuk memproses sehingga kadangkala boleh mengakibatkan ‘kerosakan’.

 

Ramai daripada kita masa kini memilih makanan daripada aspek kelazatan dan terlupa mengenai khasiat dan kandungannya. Soal khasiat dan kandungan pemakanan kini jatuh soal nombor dua dan banyak dilupakan.

 

Islam sebagai agama yang lengkap menganjurkan supaya kita memakan makanan halal dan baik. Baik di sini bermakna bagus khasiatnya dan juga baik untuk kesihatan tubuh.

 

Jika kita ambil contoh cara pemakanan Rasulullah SAW, baginda tidak memakan buah bersama susu pada masa sama.

 

Dalam konteks hari ini, buah bercampur susu ialah koktel kerana campuran ini boleh menyebabkan gastrik.

 

Dalam al-Quran ada terkandung larangan kita mencampur makanan darat dan laut seperti sup atau tom yam campur iaitu daging lembu dicampur bersama udang dan sotong.

 

Rasulullah SAW juga melarang sahabat makan ikan bersama susu kerana ia menyebabkan si pemakan mudah mendapat penyakit.

 

Pakar pemakanan hari ini menemui kesan tindak balas kimia makanan darat dan laut boleh mengakibatkan kerosakan perut dan usus.

 

Bagaimanapun, daripada segi hukum, tidak jatuh haram bagi kita untuk makan campuran makanan yang disebutkan di atas. Ia lebih kepada cara amalan makan terbaik yang diajarkan oleh nabi kita.

 

Soalnya, sebagai seorang Islam, siapa lagi yang patut kita jadikan contoh untuk diikuti jika tidak Rasulullah SAW? Justeru, fikirkanlah mengenai pesanan dan anjuran Rasulullah dan selamat menghadiri rumah terbuka.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Anak luar nikah bernasabkan bapa undang implikasi buruk

Posted by epondok di September 15, 2011

Oleh Roshdan Sujak Rafie

Masyarakat perlu ubah tanggapan hapus tekanan

PERKEMBANGAN dalam masyarakat membuka mata kita kepada pelbagai isu khususnya membabitkan hukum yang memerlukan penerangan jelas bagi mengelak kekeliruan hingga menjejaskan kehidupan umat Islam secara umum.

Antaranya, isu membabitkan status anak luar nikah yang dibangkitkan baru-baru ini dari sudut nasab untuk dibinkan kepada siapa, pihak yang berkewajipan menanggung anak itu, maruah anak luar nikah dan hak mereka.

Penggunaan nama Allah sebagai nama bapa dalam pengenalannya sudah mengetepikan tanggapan buruk masyarakat. Masyarakat harus memberi pertimbangan adil terhadap kedudukan anak tidak sah taraf bagi menghapuskan tekanan yang sering menghantui hidupnya

Bolehkah anak tidak sah taraf didaftarkan dengan dinasabkan kepada bapa angkat atau pasangan ibunya (lelaki yang menghamilkan ibunya)? Adalah jelas hukum syarak tidak membenarkan anak tidak sah taraf dibinkan selain daripada ibunya.

Jika seseorang anak lahir tanpa ikatan perkahwinan sah antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya, maka anak berkenaan tidak boleh dibin atau dibintikan ke-pada bapa zina (kecuali persetubuhan syubhah). Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau nama Asma’ ul-Husna yang berpangkalkan Abdul.

Matlamat perundangan Islam menitikberatkan perkara berkaitan agama, nyawa, akal, keturunan, harta benda dan maruah. Justeru, dalam menjaga keturunan atau nasab seseorang itu maka anak luar nikah itu tidak boleh dinasabkan seperti anak yang lahir daripada pernikahan sah.

Walaupun ada cadangan supaya anak luar nikah dibinkan kepada pelaku lelaki sebagai bapa biologi, ia tidak akan menyelesaikan semua masalah berbangkit malah mungkin memberi kesan lebih buruk terutama dari sudut hukum syarak.

Jika perkara ini dibenarkan maka banyak implikasi akan berlaku membabitkan soal pewarisan, keturunan dan sebagainya.

Ada juga cadangan supaya undang-undang digubal bagi mewajibkan pelaku atau bapa biologi anak itu dipertanggungjawabkan untuk menanggung anak itu walaupun tiada perkahwinan yang sah. Dari sudut hukum syarak dan perundangan Islam, jelas nasab anak luar nikah ini semata-mata kepada ibunya.

Malah, tanggungan ke atas anak itu juga menjadi kewajipan ibunya. Bagaimanapun, satu mekanisme boleh dikaji supaya denda atau hukuman dikenakan kepada pelaku atau bapa biologi anak.

Denda atau pampasan itu boleh dijadikan sandaran bagi ibu untuk menanggung anak berkenaan. Ia juga boleh menjadi asas supaya pelaku atau bapa biologi turut menerima tanggungjawab atas perbuatannya.

Namun, ia perlu diperhalusi supaya tidak bertentangan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Langkah berkenaan boleh dilaksanakan dengan kesedaran diri pelaku atau bapa biologi kerana tanpa kerjasama pelaku, sukar bagi ibu mendapatkan hak untuk anaknya.

Cadangan supaya anak luar nikah dibinkan kepada bapa biologi untuk menjaga aib tidak boleh menyelesaikan masalah secara keseluruhan malah boleh menimbulkan implikasi lain. Apa yang penting, masyarakat tidak perlu memandang serong terhadap anak luar nikah kerana mereka tidak dipertanggungjawabkan terhadap perlakuan ibu mereka.

Penggunaan nama Allah sebagai nama bapa dalam pengenalannya sudah mengetepikan tanggapan buruk masyarakat. Masyarakat harus memberi pertimbangan adil terhadap kedudukan anak tidak sah taraf bagi menghapuskan tekanan yang sering menghantui hidupnya.

Anak tidak sah taraf ini mempunyai hak yang sama dari sudut perundangan dan hukum syarak. Dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah.

Anak tidak sah taraf juga berhak untuk mendapat keistimewaan, faedah, kebajikan dan pendidikan serta menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Anak tidak sah taraf juga berhak terhadap pewarisan harta ibunya selain mempunyai hak sama dari sudut undang-undang termasuk menerima hibah, wasiat, pampasan atau membuat keputusan berkaitan haknya atau hak ibunya yang sudah meninggal.

Anak ini juga tidak terkecuali dalam melaksanakan muamalah seperti anak sah taraf. Apa yang penting, kesedaran perlu dipupuk bukan saja kepada anak tidak sah taraf, ibu atau bapa biologi semata-mata, tetapi meliputi masyarakat untuk menerima anak tidak sah taraf dalam kehidupan bermasyarakat.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »