Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 30 Ogos 2011

Tuan Guru Hj Hashim Pasir Tumboh meninggal dunia

Posted by epondok di Ogos 30, 2011

Tuan Guru Hj Hashim baru meninggal dunia jam 1 tengahari tadi dan akan disembahyangkan lepas asar nanti..alfatihah

Posted in Fokus Isu | 4 Comments »

Ganjaran rezeki untuk insan sentiasa bersyukur

Posted by epondok di Ogos 30, 2011

Oleh Lokman Ismail

SESIAPA yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dengan Dia mengingati dan melimpahkan nikmat yang lebih baik.

Allah berfirman bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).

Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman.

Orang yang ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yang dimilikinya.

Walaupun mendapat banyak kemewahan dan kesenangan, jiwa orang tidak bersyukur sentiasa berasa masih tidak mencukupi. Semakin banyak yang dikejar, semakin dirasakan bebanan perasaan dan bertambah kekufurannya.

Allah berjanji menambah nikmatnya kepada sesiapa yang sentiasa bersyukur. Betapa beruntungnya orang yang bersyukur, mendapat nikmat di dunia dan pembalasan syurga di akhirat.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan sembahyang yang sepanjangnya Baginda menangis sehingga bercucuran air mata. Hal itu berlaku apabila Baginda menerima wahyu yang menjelaskan mengenai kejadian alam ini yang dibentang luas untuk kemudahan dan kenikmatan hidup manusia.

Melihat keadaan Rasulullah SAW menangis itu, Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Padahal Allah telah mengampunkan apa-apa yang terdahulu daripada dosa engkau dan juga yang terkemudian.”

Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapakah aku tidak berbuat demikian, sedangkan Allah telah menurunkan (ayat) kepadaku.”

Ayat yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu ialah ayat 164, surah al-Baqarah bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal berlayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia.”

Bahawasanya Rasulullah SAW merasakan betapa besarnya anugerah Allah kepada seluruh makhluk di muka bumi ini. Orang beriman melihat seluruh kejadian alam dari kaca mata keimanan dan ketakwaan, yang diiringi dengan rasa kesyukuran, keinsafan dan keteguhan iman.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Umat ditegah boros belanja sambut Aidilfitri

Posted by epondok di Ogos 30, 2011

AIDILFITRI disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal.

Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu.

Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.”

Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung-mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih-muih terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah SAW, datang seorang sahabat kepada Baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: “Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri.” Lalu Baginda segera bertanya: “Kenapa wahai saudaraku?” Lelaki itu berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.”

Rasulullah SAW kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi, pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru.

Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ziarah aktiviti wajib Aidilfitri

Posted by epondok di Ogos 30, 2011

Oleh Hasliza Hassan

Galak anak kenal, mesra dengan saudara setiap masa

AMALAN ziarah pada Aidilfitri sepatutnya menjadi kemuncak kepada kunjungan biasa ahli keluarga yang dilakukan setiap masa, bukan wadah dikhususkan untuk saudara-mara yang jarang bertemu.

Matlamat sambutan Aidilfitri juga adalah mengeratkan silaturahim tetapi apa yang berlaku sekarang, kesempatan itu diambil bagi menyambung semula hubungan yang kian lama terputus.

Ziarah jangan dikecilkan skop pada acara besar seperti hari raya atau kenduri kahwin tetapi dijadikan amalan apabila ada kelapangan dan digalak menziarahi saudara yang sakit. – Amidi Abd Manan, Presiden ABIM

Kesibukan kerja dan jarak tempat tinggal selalu dijadikan alasan tiada kelapangan untuk saling menziarahi. Justeru, kunjungan pada hari raya dan rumah terbuka menjadi tempat bertemu muka.

Oleh kerana hanya bertemu setahun sekali, anak saudara mungkin tidak mengenali bapa saudaranya, sepupu juga janggal untuk berbual mesra menyebabkan pertemuan diadakan gagal memperkukuh persaudaraan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan, berkata keadaan itu menyebabkan generasi muda khususnya remaja enggan menemani ibu bapa menziarahi saudara-mara.

Katanya, disebabkan rasa terasing itu mereka mengambil keputusan meraikan Aidilfitri bersama rakan atau lebih senang tinggal di rumah sambil menonton program televisyen sempena hari raya.

“Sekarang keluarga sudah mengecil dengan hubungan lebih antara adik beradik. Apabila jarang berjumpa saudara-mara, ada yang tidak kenal sepupu. Apabila berkumpul mereka terasa asing.

“Ini ditambah program menarik disiarkan televisyen, maka itu dijadikan alasan untuk tidak menziarah keluarga. Malah, anak saya ada kalanya minta saya berjanji untuk pulang awal semata-mata ingin menonton program kegemaran mereka,” katanya.

Beliau menyokong usaha keluarga hari ini yang mengambil inisiatif menganjurkan hari keluarga sebagai wadah untuk saudara-mara berkumpul dan mengenali satu sama lain lebih dekat.

Ada juga yang sudah membuat buku susur galur keturunan mereka dan ada yang mula mengumpulkan maklumat seluruh keluarga. Pada hari raya, mereka membuat perjumpaan mega untuk mengumpulkan semua saudara.

Amidi berkata, ibu bapa perlu melakukan sesuatu seperti membawa anak setiap kali menziarahi keluarga sama ada ketika kenduri atau majlis tertentu supaya hubungan kekeluargaan diteruskan oleh anak cucu mereka.

Katanya, sikap ibu bapa membiarkan anak khususnya yang meningkat remaja untuk mengelak aktiviti dianjurkan keluarga serta saudara-mara menyebabkan wujud jurang antara mereka dengan golongan dewasa serta yang kecil.

“Ini terpulang kepada ibu bapa untuk memastikan anak terbabit secara langsung dalam aktiviti kekeluargaan. Jika perlu bincang dengan anak supaya mereka sedar pentingnya memelihara silaturahim.

“Saya berdepan masalah kerana ada saudara yang jarang bertemu, hingga tidak tahu hendak panggil apa. Ini menyebabkan sukar memulakan perbualan,” katanya.

Justeru katanya, sempena sambutan Aidilfitri ini, ibu bapa diminta menjadikan amalan ziarah sebagai aktiviti wajib agar semua ahli keluarga dapat mengenali adik beradik dan saudara-mara.

Katanya, perjumpaan perlu dibentuk menjadi aktiviti menggembirakan supaya anak menikmati kemeriahan hari raya serta memahami hikmah kunjungan bagi menjalin hubungan lebih rapat. Bersalaman dan saling mendoakan mampu mewujudkan kasih sayang antara generasi muda dengan tua hingga lahir hubungan mesra.

Amidi berkata, pada peringkat pucuk pimpinan ABIM, mereka sentiasa berbincang dengan golongan lebih berpengalaman cara untuk mendidik serta menggalakkan anak menziarahi ahli keluarga bukan pada hari raya saja.

“Ziarah jangan dikecilkan skop pada acara besar seperti hari raya atau kenduri kahwin tetapi dijadikan amalan apabila ada kelapangan dan digalakkan menziarahi saudara yang sakit,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »