Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Ogos 2011

Aidilfitri lebih afdal jika ikut sunnah Rasulullah

Posted by epondok di Ogos 29, 2011

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Umat Islam perlu tahu bezakan ibadat atau sekadar adat turun temurun

UMAT Islam di ambang 1 Syawal menandakan kedatangan Aidilfitri dengan penuh rasa kegembiraan walaupun ada sebilangan kecil bersedih memikirkan nostalgia Ramadan yang akan ditinggalkan.

Masih ramai kalangan masyarakat Islam keliru status amalan ketika meraikan Aidilfitri sama ada perbuatan itu ibadat yang mendatangkan pahala atau sekadar adat diwarisi secara turun temurun.

Memakai pakaian paling cantik dan yang terbaik adalah tuntutan syarak serta amat digalakkan Rasulullah. Ia menjadi ibadat jika niat si pemakai untuk menjunjung panduan diberikan Rasulullah.

Baginda sendiri memakai pakaian yang terbaik dan paling cantik, malah menyarankan sahabat supaya berpakaian cantik seperti disebut cucu Baginda, Saidina Hassan: “Nabi memerintahkan kami di pagi raya supaya memakai pakaian paling baik yang kami miliki dan berwangian dengan wangian paling baik kami miliki.”

Ibn Qayyim ada menyebut, di hari raya Nabi memakai pakaiannya yang paling cantik. Baginda mempunyai pakaian khas yang biasanya dipakai pada dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) serta hari Jumaat.

Bagaimanapun, perbuatan itu menjadi adat jika si pemakai membeli pakaian baru hanya sekadar mengikut aliran atau sebab orang lain turut memakai baju baru. Perkara dituntut adalah paling cantik dan setiap yang cantik itu tidak semestinya baru. Dibimbangi jika membeli pakaian baru dalam keadaan membazir dan berlebihan sedangkan pakaian sedia ada masih elok dan boleh digunakan.

Makan sedikit sebelum keluar mengerjakan solat sunat Aidilfitri termasuk dalam sunnah Baginda dan makanan pilihan Baginda ialah tamar. Saidina Anas bin Malik menyebut: “Adalah Nabi tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan buah tamar terlebih dulu dengan bilangan yang ganjil (3 atau 5 atau 7 biji).”

Menjamah makanan di pagi Aidilfitri adalah pernyataan bahawa diharamkan berpuasa pada hari itu. Mesej bersegera makan dan bersolat sunat Aidilfitri untuk mengelak orang Islam memikirkan mengenai puasa kerana itu adalah hari kegembiraan selepas sebulan menahan makan dan minum.

Sesiapa yang berpuasa pada hari itu dianggap menolak pelawaan dan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya kerana orang Islam adalah tetamu Allah SWT pada hari penuh kemuliaan. Justeru, apabila seseorang terus keluar tanpa menjamah sedikit makanan, maka meninggalkan sunnah amalan Rasulullah.

Membayar zakat fitrah hukumnya wajib dan sesiapa meninggalkannya berdosa. Ia mesti ditunaikan sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Kelewatan membayarnya akan mengakibatkan ia tidak dikira sebagai zakat dan hanya dianggap sebagai sedekah.

Ibn Abbas menyebut: “Zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada lagha (perkara tidak berfaedah), keji dan sebagai pemberian makanan kepada orang miskin. Sesiapa menunaikan sebelum solat Aidilfitri, itu adalah zakat diterima di sisi Allah dan sesiapa menunaikan selepas solat, maka ia dianggap sebagai satu sedekah.”

Ada sesetengah umat Islam sengaja melambat-lambatkan bayaran zakat atas alasan masih awal atau sengaja menunggu pada saat-saat akhir, namun apa yang dibimbangi jika luput daripada waktu sepatutnya.

Solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakad (sunat yang amat dituntut). Ia disyariatkan Allah SWT pada tahun pertama hijrah. Rasulullah sendiri keluar rumah untuk bersolat Aidilfitri bersama isteri Baginda.

Disunatkan juga keluar rumah ke masjid melalui jalan lain dan balik dengan jalan lain. Ini dinyatakan sahabat bernama Jabir bahawa begitulah keadaan Baginda setiap kali pergi dan balik daripada menunaikan solat itu.

Ada yang meringan-ringankan amalan ini atas alasan ia sekadar amalan sunat. Ada pula terlalu memberatkan sedangkan solat fardu lain tidak diambil berat, malah tidak pun diamalkan.

Seperkara yang penting untuk dikaitkan dengan Aidilfitri ialah amalan bertakbir. Ia mula dilaungkan selepas jelas terlihat anak bulan Syawal dan berakhir apabila hendak ditunaikan solat sunat Aidilfitri.

Galakan bertakbir disebut secara jelas dalam firman Allah SWT bermaksud:

“Hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertak-birlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepadamu, semoga kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)

Bertakbir dianggap amat penting sebagai satu syiar agama bagi menzahirkan perasaan gembira dan syukur kepada Allah SWT atas kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan. Ia juga sebagai lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia kerana laungan takbir tetap sama walau di mana pun.

Menjadi tradisi masyarakat Melayu bersalaman dan bermaafan pada hari raya. Walaupun amalan memohon maaf sepatutnya berlaku sewaktu kedatangan Ramadan tetapi amalan itu tidak salah dilakukan pada Syawal.

Memohon kemaafan adalah lambang seorang manusia berhati mulia dan sanggup merendahkan egonya sementara yang memberi kemaafan termasuk golongan yang bertakwa dan akan mendapat keampunan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa. Iaitu orang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, menahan kemarahannya, dan memaafkan kesalahan orang, dan ingatlah, Allah mengasihi orang berbuat perkara baik.” (Surah Ali Imran: 133-134)

Berhubung amalan menziarahi kubur, perlu difahami amalan ini tidak wajar dikhususkan sewaktu hari raya saja kerana jika dikhususkan dibimbangi amalan itu tidak dikira ibadah, bahkan menjadi adat walaupun jika benar caranya ia boleh dikira sebagai satu ibadat.

Daripada Buraidah al-Husaib al-Aslami berkata, Rasulullah bersabda bermaksud: “Aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia.” (Riwayat Muslim, Imam at-Tirmizi menambah, “kerana ziarah kubur itu mengingatkan kepada hari akhirat.”

Berlaku juga dalam masyarakat amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak. Ia akan menjadi ibadah jika niat si pemberi untuk bersedekah dan menggembirakan hati mereka yang menerima. Banyak ayat al-Quran memberi galakkan supaya sentiasa bersedekah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikannya itu adalah lebih baik bagimu.” (Surah al-Baqarah: 271)

Sehubungan itu, perlu difahami dalam erti kata yang sebenar apakah tuntutan syarak menyambut Aidilfitri. Sesungguhnya tidak salah bergembira tetapi biarlah dalam suasana penuh kesederhanaan dan bertepatan hukum Islam.

Aidilfitri adalah manifestasi kegembiraan umat Islam kerana:

# Dosa diampunkan selepas menjadi graduan cemerlang madrasah Ramadan.

# Dapat membantu golongan kurang upaya dan tiada kemampuan seperti anak yatim, fakir, miskin dan yang melarat melalui pemberian zakat serta sedekah.

# Rahmat dan nikmat pemberian Allah SWT yang melimpah ruah.

# Berkumpulnya umat Islam saling bersalaman di rumah ibadat seperti surau dan masjid sambil bertakbir, bermaafan serta mendengar nasihat melalui khutbah Aidilfitri yang disampaikan.

# Takbir bergema serentak di seluruh pelusuk kampung, bandar, negeri, negara dan dunia.

# Berpeluang mengeratkan tali silaturahim dengan amalan ziarah menziarahi sesama keluarga, kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jangan biarkan hati mati sambut Aidilfitri

Posted by epondok di Ogos 29, 2011

Nabi Muhammad s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang boleh kita faham dari penjelasan maksudnya, bahawa dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badannya dan jika sebaliknya ia rosak, maka rosaklah seluruh badannya, itulah hati yang ada dalam diri manusia (dipetik sebahagiannya dari hadis keenam daripada kitab hadis 40 Imam Nawawi).

Baginda Rasulullah yang diutus oleh Allah ke dunia ini, bukan sahaja menitikberatkan persoalan yang besar seperti masalah kenegaraan kerana baginda seorang pemimpin negara, malah dalam persoalan mendidik jiwa juga adalah tanggungjawab baginda bagi memastikan manusia yang bernama Islam khususnya memiliki hati yang sejahtera dan hidup dengan ajaran Islam yang mudah untuk dipimpin kepada kebenaran agama.

Kerana hati manusia itu ada kaitannya dengan hidup atau mati peranan dan fungsinya, maka baginda mengingati umatnya agar sentiasa memeliharanya dengan baik agar ia terus subur dan hidup hanya untuk Allah.

Justeru, Islam ada memperkenalkan “Ad-Doruriyat al-Khams” iaitu lima perkara yang wajib dan mesti umat Islam pelihara iaitu:

1) Agama.

2) Akal.

3) Harta.

4) Jiwa atau hati.

5) Keturunan dan kehormatan diri.

Hati manusia itu merupakan salah satu perkara yang dititikberatkan oleh Islam, jika salah ditarbiah maka ia akan menyusahkan tuannya nanti di akhirat, sehubungan itu Allah SWT ada menegaskan menerusi ayat 36 surah al-Israa yang bermaksud:

“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati (manusia), semuanya itu akan diminta untuk dipertanggungjawabkan.”

Bagi memastikan agar hati itu terus subur dan hidup dengan Islam, maka baginda Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya agar jangan sekali-kali mematikan hati pada malam kedua-dua malam Aidilfitri dan Aidiladha. Hati mati dengan tidak bertakbir, bertahlil, bertahmid, bertasbih, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

Rasulullah ada bersabda: “”Barangsiapa yang bersembahyang pada malam Aidil Fitri dan Aidiladha tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati manusia dimatikan oleh Allah.”

Kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:

Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.

Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.

Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.

Dan Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera, ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu’araa yang bermaksud:

“Iaitu di hari di mana harta dan anak-anak lelaki tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera).”

Iaitu sejahtera, bersih dan selamat dari penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.

Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?

Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:

1) Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.

2) Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.

3) Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.

4) Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.

5) Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.

6) Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.

7) Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.

Tanda-tanda hati yang rosak

1) Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.

2) Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.

3) Mersa seronok bergelumang dalam dosa.

4) Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.

5) Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.

6) Benci kepada orang-orang solih atau mereka yang suka melakukan kebaikan.

7) Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.

8) Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.

9) Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikitpun tidak takut kepada Allah.

10) Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.

Penyakit hati

1) Nifaq dan riya’ (menunjuk-nunjuk).

2) Bersangka buruk, mengumpat, menghina, subahat pada yang haram dan ragu-ragu.

3) Hasad dan dendam kesumat.

4) Sombong, bangga diri dan ego.

5) Bohong dan berputus asa.

6) Cinta mendalam kepada selain Allah.

7) Ikut hawa nafsu.

8) Keras hati (kerana tidak duduk dalam majlis ilmu).

9) Takut kepada selain Allah.

10) Belot dan khianat.

11) Suka memaki hamun orang lain.

12) Bergelumang dengan perkara dunia dan menjadikannya sebagai matlamat hidup.

13) Tidak ada perasaan baik kepada orang lain.

Kaedah rawatan penyakit hati

a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.

b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.

c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.

d) Khusyuk dalam solat.

e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.

f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.

g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.

h) Beriktikad dengan akidah yang betul.

i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.

j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.

m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.

n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.

o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang solih yang boleh dijadikan teladan.

Apabila seorang muslim merenung kepada perkara yang telah disebutkan di atas, Insya Allah dia akan menemui sesuatu yang boleh menjadikannya insaf dan sedar dan semoga mahu untuk melakukan perubahan dalam diri menuju kecemerlangan sebagai muslim yang bertakwa kepada Allah./tajdid _

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | 1 Comment »

Lebaran wajar disambut penuh syukur, gembira

Posted by epondok di Ogos 29, 2011

AIDILFITRI adalah anugerah Allah kepada orang mukmin yang bermujahadah menunaikan ibadat puasa sepanjang Ramadan. Ia adalah sebagai tanda kemenangan melawan segala tuntutan nafsu yang meruntun jiwa selama sebulan berpuasa.

Nabi Muhammad menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran lantaran nikmat yang dikurniakan Allah. Baginda walaupun diriwayatkan bersedih dengan pemergian Ramadan, namun Aidilfitri disambut dengan suasana ceria dan gembira.

Resam Baginda pada hari raya ialah dengan memakai pakaian terbaik dan paling cantik. Malah, Baginda menyarankan kepada sahabatnya supaya berpakaian cantik seperti disebut oleh cucu Baginda Saidina Hassan: “Nabi memerintahkan kami pada pagi raya supaya memakai pakaian yang paling baik yang kami miliki dan berwangian dengan wangian yang paling baik yang kami miliki.”

Imam Ibn Qayyim ada menyebut pada hari raya, Nabi memakai pakaiannya yang paling cantik. Baginda mempunyai pakaian khas yang biasanya dipakai pada dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan Jumaat.

Termasuk di dalam sunnah Baginda ialah menjamah sedikit makanan sebelum keluar bersolat sunat hari raya dan makanan pilihan Baginda ialah tamar. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut: “Adalah Nabi tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan buah tamar terlebih dahulu dengan bilangan yang ganjil (tiga, lima atau tujuh biji.”

Perbuatan makan pada pagi Aidilfitri adalah pernyataan daripada Baginda bahawa diharamkan berpuasa pada hari berkenaan.

Mesej daripada bersegera makan dan bersolat sunat hari raya untuk mengelakkan pemikiran orang Islam daripada memikirkan mengenai puasa kerana pada hari itu adalah satu perayaan kegembiraan selepas sebulan menahan makan dan minum.

Sesiapa yang berpuasa pada hari itu dianggap sebagai menolak pelawaan dan pemberian Allah kepada hamba-Nya kerana orang Islam adalah tetamu Allah pada hari yang penuh kemuliaan dan berkat itu.

Ulama berijmak di dalam menyatakan haramnya berpuasa pada hari pertama Aidilfitri sama ada ia puasa wajib seperti nazar apatah lagi untuk berpuasa sunat atau puasa untuk membayar kafarah.

Imam al-Syafie ada menyebut bahawa batal atau tidak dikira puasa jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari itu.

Pada pagi hari raya sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri, umat Islam diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah.

Kelewatan membayarnya akan mengakibatkan ia tidak dikira sebagai zakat dan hanya dianggap sebagai sedekah.

Ibn Abbas ada menyebut maksudnya: “Zakat fitrah itu untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada lagha (perkara yang tidak berfaedah), perkara keji dan sebagai pemberian makanan kepada orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, itu adalah zakat yang diterima di sisi Allah dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, maka ia dianggap sebagai satu sedekah.”

Solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad yang amat dituntut oleh Baginda supaya dilaksanakan oleh orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah.

Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Aidilfitri peluang baiki silaturrahim

Posted by epondok di Ogos 29, 2011

Oleh Mohd Shukri Hanapi

AIDILFITRI adalah hari raya khusus untuk orang yang bertakwa selepas sebulan berpuasa. Hal ini menunjukkan hubungan dengan Allah semakin dekat dan kesan puasa seperti kesucian dan kematangan jiwa, kekuatan mental, ketinggian moral dan akhlak dapat dikembangkan dalam kehidupan masyarakat.

Aidilfitri juga hari perayaan iman. Bagi setiap orang yang benar-benar memahami serta menghayati Islam akan menginsafi dan merasai bahawa betapa gembiranya mereka pada hari ini.

Allah menetapkan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi orang beriman. Kita perlu merasakan hakikat nikmat Allah yang lengkap dan sempurna ketika menyambut hari lebaran ini.

Betapa agungnya Aidilfitri jelas dilihat apabila Rasulullah saw melarang umatnya (haram) daripada berpuasa pada hari itu.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka daripada Ramadan (Aidilfitri).” (Hadis riwayat Muslim).

Kenikmatan berhari raya hanya dapat dirasakan oleh orang yang berpuasa Ramadan dalam erti kata sebenar saja. Maksudnya, orang yang melaksanakan ibadat puasa semata-mata kerana tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Bukan mulut mereka saja berpuasa, malah anggota badan lain seperti telinga, mulut, hidung dan mata dipelihara daripada melakukan perkara keji dan kotor.

Orang yang hanya sekadar ’puasa-puasaan’ dan tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebab dibenarkan syarak, bagi mereka hari raya tidak mempunyai sebarang erti dan nilai.

Sesungguhnya, kegembiraan berhari raya itu bukan diukur dan bergantung kepada kehebatan pakaian atau hiasan serta banyaknya makanan pada hari raya. Ia terletak kepada sejauh mana bertambahnya ketakwaan dan keimanan seseorang itu.

Kedatangan Aidilfitri hendaklah disambut dengan ucapan takbir dan tahmid. Takbir dan tahmid yang kita ucapkan pada malam dan pagi hari raya mengandungi dua makna. Pertama, menyambut kedatangan Syawal yang mulia dan kedua, menunjukkan kesedihan di atas pemergian Ramadan al-Mubarak.

Dalam merayakan Aidilfitri ini, kita hendaklah membersihkan hati dan memperbaiki hubungan sesama Muslim. Segala perasaan dendam, kebencian, iri hati dan dengki hendaklah dikikis. Semua ini kita gantikan dengan perasaan kasih-mengasihi sesama Muslim. Hulurkan tangan bermaaf-maafan dan binalah hubungan persaudaraan yang kukuh berlandaskan persaudaraan Islam.

Diriwayatkan Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Janganlah kamu saling marah, dengki dan tidak menegur antara satu sama lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam kemeriahan menyambut hari raya, janganlah sekali-kali dilupai orang yang tidak berkemampuan. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, berilah bantuan kepada mereka dan binalah persaudaraan Islam sejati.

Kedatangan 1 Syawal tidak seharusnya dicemari dengan dentuman meriam dan hiburan yang melampaui batas. Sebaliknya, perayaan Islam dimulakan dengan takbir dan tasbih memuji dan menyucikan Allah.

Rasulullah menyarankan agar umat Islam menyambut hari raya ini dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” (Hadis riwayat al-Thabrani).

Laungan takbir yang berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, pasti menyejukkan jiwa. Ia akan kembali menenangkan fikiran, melapangkan hati untuk bermaafan, menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang lama terjalin sesama umat Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Aidilfitri: Antara ibadat dan adat

Posted by epondok di Ogos 29, 2011

 

Aidilfitri wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah seperti zikir dan takbir. – Gambar hiasan

DALAM tempoh beberapa hari lagi umat Islam seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri. Sudah pasti juga ketika ini ramai yang tidak sabar mahu pulang ke kampung bagi merayakan hari kemenangan ini.

Selepas sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat terawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.

Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Aidilfitri. Amat rugilah orang yang langsung tidak mengambil pengajaran daripada falsafah Ramadan itu sendiri.

Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari kemenangan itu. Pada kebiasaannya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun, sudah tentulah hiba di jiwa tidak dapat dielakkan ketika menyambutnya.

Mengunjungi pusara ibunda khususnya menjadi kemestian di hari lebaran ini. Walaupun yang pergi tidak akan kembali sebagai tanda ingatan sekalung doa dan bacaan ayat-ayat suci dititipkan kepada mereka. Saya sendiri akan berhari raya buat pertama kalinya tanpa bonda di sisi.

Dalam segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita.

Namun, tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal menjadi graduan madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah sebelum Ramadan iaitu sikap negatif terlalu obses dengan hawa nafsu dan meminggirkan ibadah kepada Yang Maha Esa.

Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halal haramnya dan daripada sumber yang diragukan.

Malah fitnah memfitnah, mengadu domba dan menuduh orang lain tanpa bukti dan siasatan juga telah menjadi norma dalam kehidupan mereka. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama ummah. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat.

Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kemerdekaan dalam semangat Ramadan

Posted by epondok di Ogos 29, 2011

Oleh MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB

Kemerdekaan negara bukan sekadar mengibar dan melaungkan slogan merdeka tetapi perlu dihayati sejarah dan perjuangan golongan silam. – Gambar hiasan

RAMADAN tahun ini melakarkan sejarah yang tersendiri apabila umat Islam di Malaysia menyambutnya serentak bersama dengan bulan kemerdekaan negara.

Walaupun jarang berlaku, ia sangat signifikan kepada umat Islam di Malaysia dalam menilai dan menghayati erti kemerdekaan negara dalam semangat ibadah Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Nilai ketakwaan yang ditawarkan oleh Allah SWT adalah manifestasi daripada kehambaan yang jitu kepada-Nya dalam melaksanakan ibadah puasa Ramadan.

Namun apakah kaitannya dengan nilai dan erti kemerdekaan negara Malaysia? Apakah semangat Ramadan itu mampu diterjemahkan seiring dengan semangat kemerdekaan negara kali ini?

Pastinya Ramadan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kemerdekaan dalam pelbagai konteks. Ia bermula dengan bagaimana kita sebagai manusia membebaskan diri daripada belenggu penjajahan nafsu dan keinginan diri selama 11 bulan sebelum datangnya bulan Ramadan.

Kemerdekaan dicapai sebaik melangkah ke bulan Ramadan apabila nafsu tersebut dapat ditahan dan dijinakkan dengan amalan dan ibadah yang berterusan.

Segala runtunan nafsu yang selama ini dituruti berjaya dikawal sepanjang Ramadan. Bahkan ditambah dengan amalan-amalan sunat yang berlipat ganda dilakukan demi meraih ganjaran hebat sepanjang bulan berkat ini.

Segalanya dilakukan bagi meraih darjat takwa yang disebutkan oleh Allah SWT.

Kemerdekaan juga diraih dengan kejayaan mengekang sifat bakhil yang ada dalam diri dengan pensyariatan ibadah zakat dan juga galakan bersedekah di sepanjang bulan Ramadan.

Zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam tanpa mengira usia menunjukkan betapa perlunya kita sebagai umat Islam menginfaqkan harta yang dimiliki bagi membantu golongan yang memerlukan.

Ini kerana harta adalah milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada kita dan sebahagiannya merupakan hak golongan yang memerlukan.

Kewajipan zakat fitrah yang disyariatkan tersebut secara tidak langsung menghapuskan sifat cintakan harta dan mementingkan diri sendiri yang selama ini membelenggu hati manusia.

Sifat bakhil dan kikir di kalangan orang kaya ditundukkan oleh Allah SWT di samping jaminan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui pensyariatan zakat fitrah ini.

Ganjaran yang berlipat ganda juga dijanjikan oleh Allah SWT secara khusus di dalam Ramadan bagi sesiapa yang bersedekah. Ia diterjemahkan sendiri oleh baginda SAW apabila para sahabat mendapati bahawa baginda menjadi seorang yang sangat pemurah di bulan Ramadan berbanding bulan selainnya.

Kemerdekaan yang hakiki sebenarnya tercapai melalui keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Keimanan tersebut diterjemahkan dengan pegangan akidah yang mantap yang meyakini bahawa tiada perhambaan sesama manusia.

Perhambaan hanya layak kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi manusia.

Bertitik tolak dari keyakinan dan keimanan inilah yang menjadi pemangkin kepada gerakan kemerdekaan negara dan akhirnya berjaya mendaulatkan kembali bangsa yang telah dijajah.

Sejarah membuktikan bahawa gerakan awal menentang penjajahan dipelopori oleh golongan agamawan yang meniupkan semangat membebaskan diri dari penjajah.

Tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Mat Kilau dan lain-lain merupakan tokoh agamawan tempatan yang berani menyatakan kebenaran dan berjuang menentang penjajahan berpaksikan ajaran Islam.

Mereka berpegang kepada paksi agama yang tegas menentang penghambaan dan penjajahan sesama manusia kerana jelas menzalimi golongan yang dijajah.

Intipati ayat kelima surah al-Fatihah difahami dengan sebaiknya oleh para pejuang kemerdekaan. Ayat tersebut menegaskan bahawa: Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, dan bukan selain-Nya.

Pastinya Ramadan yang dilalui sepanjang proses menentang penjajahan tersebut menjadi pemangkin kepada penambahan kekuatan dan semangat mereka.

Ia dijadikan bulan mempersiapkan kekuatan dengan bermunajat kepada Allah, merintih dan memohon pertolongan daripada-Nya serta menjadi medan latihan bagi menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang menempuhi perjuangan menentang penjajahan.

Lantaran daripada kesedaran agama tersebut, gerakan menentang penjajah diatur agar keadilan yang diwajibkan oleh Islam dapat dilaksanakan serta ditegakkan.

Rentetan daripada siri-siri penentangan penjajahan yang dimulakan oleh golongan agamawan ini diteruskan sehingga akhirnya negara kita berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kini, setelah hampir 54 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia seolah-olah tidak dihargai lagi. Kemerdekaan yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pembebasan daripada penjajahan nafsu yang membelenggu diri, pembebasan diri dari semangat pentingkan diri kepada rela berkorban dan akhirnya memangkin kepada penentangan penjajahan sesama manusia, dilihat tidak wujud lagi.

Pengorbanan, kesusahan dan penat lelah para pejuang kemerdekaan seakan tidak dihargai apabila kita gagal menyelami dan memahami perjuangan mereka. Ucapan kemerdekaan hanya meniti di bibir namun gagal dihayati hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Ramadan kali ini seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam di Malaysia menghayati kembali semangat kemerdekaan negara dalam konteks ibadah Ramadan.

Ini bermaksud, umat Islam di Malaysia harus bersemangat menghargai dan menyambut kemerdekaan negara di dalam suasana keghairahan melaksanakan ibadah kepada Allah SWT di bulan yang penuh berkat ini.

Ia seiring dengan arahan Allah SWT supaya membebaskan diri daripada segala bentuk penjajahan sama ada secara fizikal mahupun spiritual yang negatif. Malahan sangat bertepatan dengan perjalanan sirah baginda SAW.

Baginda dan para sahabat sentiasa cuba membebaskan diri daripada belenggu penjajahan sama ada secara fizikal iaitu melalui peperangan dan juga spiritual iaitu melalui solat, puasa dan juga pelbagai amal ibadah yang lain yang dilaksanakan dengan berterusan dan bersungguh-sungguh.

Marilah kita bersama menghargai kemerdekaan yang dikecapi dengan mengambil pengajaran dan iktibar di sebalik perjuangan menentang penjajahan tersebut.

Ditambah dengan semangat ibadah Ramadan yang penuh berkat, mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia sentiasa istiqamah dalam perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu dan syaitan serta memahami serta mendalami makna dan hikmah di sebalik kemerdekaan negara.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »