Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Ogos 2011

Takwa penentu kejayaan dunia, akhirat

Posted by epondok di Ogos 28, 2011

Oleh Zawawi Yusoh

CEPATNYA masa berlalu, kini kita berada di akhir Ramadan. Sudahkah kita mendapat takwa sebagaimana tujuan difardukan berpuasa.

Allah s.w.t menolong kita mendapat takwa dengan mengikat syaitan. Allah tolong lagi dengan suruh kita berpuasa supaya nafsu dapat dikalahkan, Allah gandakan amalan kita supaya lagi cepat kita dengan takwa, Allah turunkan pula al-Quran supaya ada dibaca dan dijadikan panduan.

Al-Quran diturunkan pada lailatulqadar supaya bertambah mudah dapat takwa malah yang bagusnya ada juga yang bertanya apa itu takwa?

Betul juga dengan soalan itu. Takwa bukan sekadar melaksanakan perintah dan meninggal kan larangan Allah s.w.t Orang melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan tidak selalu berdasarkan takwa.

 

Mereka taat mungkin kerana ada sebab lain seperti mengingin kan upah, pujian dan inginkan pengaruh. Mereka juga mening galkan yang dilarang kerana ingin menjaga nama baik, takut dihukum, takut dihina dan takut diasingkan.

 

Begitulah apabila maksud takwa di salah erti dan disempitkan. Takwa berasal dari kata waqa-yaqi-wiqayah yang ertinya memelihara.

Hujahnya, daripada surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara kamu dan keluargamu dari api neraka”.

Dalam al-Quran, Allah menyeru dengan kalimat ittaqu atau yattaqi. Tambahan huruf pada asal kata waqa membawa perubahan makna.

Takwa adalah aset yang amat penting untuk dunia dan akhirat. Kemenangan, kejayaan dan keselamatan di dunia dan akhirat ditentukan oleh takwa.

Jadi, takwa itu sangat mahal, justeru banyaklah perkara yang perlu kita ketahui. Kalau di dunia ini banyak perkara yang hendak cari, takwa adalah pencarian yang diutamakan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya, sebaik-baik bekalan itu adalah sifat takwa.” (Surah Al Baqarah ayat 197).

Di dalam ayat di atas, sifat takwa sebagai bekalan itu tidak dikhususkan untuk bekalan akhirat tetapi dunia juga.

Tapi ramai muallim dan tok guru menghuraikan sifat takwa itu sebagai bekalan di hari akhirat semata-mata. Walaupun akhirat itu yang terpenting tetapi banyak dalil yang membuktikan bahawa takwa itu juga bekalan untuk dunia.

Di antara dalil sifat takwa itu bekalan untuk akhirat adalah seperti firman Allah s.w.t:

1. “Akan tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya bagi mereka Syurga yang menga lir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Surah Ali Imran ayat 198).

2. “Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan

melipatgandakan pahala bagi nya.” (Surah at-Thalaq ayat 5).

3. “Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertakwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari kiamat.” (Surah al-Baqarah ayat 212).

4. “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertakwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf ayat 96).

5. “Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertakwa).” (Surah al-Anbiya ayat 105).

6. “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (Surah at-Thalaq ayat 2-3).

7. “Bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.”

(Surah al-Baqarah ayat 282).

Takwa adalah modal paling besar dan senjata paling ampuh bagi orang mukmin di dunia. Kalau tidak ada takwa, mungkin Allah bantu juga seperti Allah bantu orang-orang kafir.

Ertinya dapat bantuan dan pertolongan atas dasar istidraj iaitu atas dasar kutukan dan kemurkaan Tuhan. Tuhan beri dengan tidak reda. Atas kejayaan itu, mereka menjadi sombong dan angkuh dan akan melakukan maksiat di atas muka bumi.

Orang Mukmin diberi kemena ngan dan kejayaan atas dasar takwa. Ramadan, al-Quran, puasa, Tarawih, qiamullail, sedekah, lapar, ingat mati, taubat, doa adalah pakej takwa.

Ya Allah, senaraikan kami dalam kumpulan muttaqin bagi Ramadan kali ini. InsyaAllah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa proses jadi baik

Posted by epondok di Ogos 28, 2011

Oleh Mohd Fadly Samsudin

  • FotoIMARAH…solat fardu secara berjemaah perlu diteruskan pada setiap masa.

KEJAYAAN puasa kita pastinya dapat dinilai daripada perubahan diri. Apakah kesan yang dapat kita rasakan selepas mengharungi madrasah Ramadan yang semakin hampir tiba ke penghujungnya?

Situasi itu sama seperti dalam dunia pekerjaan di mana Indeks Prestasi Utama (KPI) pekerja dinilai berdasarkan prestasi serta mutu kerja yang dilaksanakan.

Sama halnya juga penghayatan Ramadan kerana ia adalah latihan untuk mempelajari serta mengendalikan diri menjadi insan bertakwa.

Sekiranya kita melepasi ujian dan cabaran dengan cemerlang bermakna kita pasti dapat ‘bertempur’ melawan nafsu sepanjang tahun selepas Ramadan.

 

Mengekalkan konsisten selepas Ramadan itulah menjadi matlamat utama dan ia adalah proses manusia kembali semula kepada fitrahnya.

 

Sifat takwa memerlukan seseorang itu berbuat baik kepada dirinya sendiri, orang lain, alam sekitar dan beramal soleh dengan penuh ikhlas kerana Allah s.w.t.

Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti orang-orang yang terdahulu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183)

Maka puasa terbaik dan bermanfaat adalah puasa yang mempengaruhi empat perkara dinyatakan di atas. Tarbiah Ramadan yang mencapai matlamatnya pasti melahirkan manusia berhati mulia, emosinya terkawal, menjaga adab sopan serta memiliki tubuh badan yang sihat.

Insan bertakwa juga menjadikan seorang itu cukup produktif dan mereka tidak menimbulkan masalah kepada dirinya sendiri mahupun orang di sekelilingnya.

Semakin tinggi nilai takwanya semakin banyak manfaat yang diberikannya, malah mereka mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Allah s.w.t memberi balasan dengan rezeki yang tidak diduga, membuka jalan penyelesaian baginya, mempermudahkan segala urusannya serta mengampunkan dosa-dosanya.

Pada bulan Ramadan ganjaran pahala yang Allah s.w.t tawarkan amat berbeza, malah tidak mungkin ditemui pada bulan-bulan lain. Sebab itu, setiap kali tiba akhir Ramadan sahabat nabi berasa terlalu sedih.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran ayat 133)

Ayat berkenaan mengandungi kata ‘mudah-mudahan’ yang maksudnya tidak semua orang yang berpuasa itu menjadi bertakwa kerana ada kala ngan kita yang dapat berpuasa selama sebulan, tetapi tidak mencapai tingkatan orang bertakwa.

Tidak ada proses pendidikan atau latihan yang menjamin dapat mengubah kualiti peribadi manusia hanya dalam masa sebulan. Jadi kenapa Ramadan mampu menghasilkan perubahan sehebat itu?

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata Allah s.w.t pasti memberi ganjaran ke atas kebaikan yang dilakukan hamba-Nya walaupun ia sebesar atom atau zarah.

“Jika tidak mampu menyempurnakan ibadah sunat khusus seperti solat Tarawih, tadarus al-Quran dan zikir, bukanlah perkara yang perlu dibimbang kan kerana ia boleh diusahakan perlahan-lahan pada masa akan datang.

“Taqarrub atau mendekat kan diri kepada Allah s.w.t bukan hanya dilakukan melalui pelaksanaan ibadah sunat semata-mata, tetapi dengan cara meninggalkan segala maksiat yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Ia adalah satu bentuk taqarrub yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah,” katanya.

Beliau berkata, cara terbaik melaksanakan amalan beriktikaf dalam konteks kehidupan sekarang memerlukan persediaan mental serta fizikal.

“Hidupkan malam dengan amalan Qiamullail yang dapat meningkatkan hubungan kita dengan Allah s.w.t selain solat sunat dan bacaan al-Quran, anda boleh mendekatkan diri kepada Allah dengan membaca buku-buku agama atau muzakarah yang dapat meningkatkan keimanan kepada Allah s.w.t.

“Jika amalan itu masih tidak dapat menjadikan kita insan yang lebih baik, dibimbangi ia sekadar satu ritual rutin setiap Ramadan,” katanya.

Rahimi berkata, ibadah puasa perlu dilihat sebagai satu proses dan bukannya satu output.

“Jangan menganggap orang berpuasa itu menjadi baik, tetapi ia sebenarnya proses menjadi baik dan bertakwa.

“Kita perlu berusaha mening katkan ilmu serta kefahaman yang bukan tertumpu kepada aspek prosedural atau mekanikal (cara pelaksanaan) semata-mata, tetapi menjangkaui aspek hikmah dan penghayatannya berpandukan penjelasan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Beliau berkata peluang mencari rahmat dan keredaan Allah s.w.t sentiasa terbuka sepanjang tahun selagi belum berlaku kiamat.

“Namun, ruang itu diperluaskan serta dipermudahkan Allah pada bulan yang mulia ini. Berdasarkan hadis nabi yang sahih, baginda menjelaskan bahawa pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya di sepanjang Ramadan ini.

“Makna hadis ini boleh difahami secara fizikal dan juga secara simbolik. Selagi mana pintu sesuatu tempat itu dibuka, maka selagi itulah kita boleh melewati atau memasukinya tanpa halangan.

“Oleh itu, sesiapa saja yang mendekatinya pasti mampu memperolehnya. Ikhlas akan melahirkan kesungguhan dalam melaksanakannya serta mencapai apa yang diharapkan.

“Oleh itu, peluang ini sentiasa terbuka buat kita semua walaupun Ramadan tahun ini hanya berbaki tiga hari saja lagi,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Kualiti ibadat puasa diukur menerusi nilai positif dalam jiwa

Posted by epondok di Ogos 28, 2011

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

KEHIDUPAN dunia hanya beberapa hari jika dihitung dengan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Di sana akan dihitung segala amalan dan masing-masing akan menuai hasil tanaman mereka semasa di dunia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Segala apa yang di langit dan di bumi adalah milik Allah SWT dan akan memberi balasan setiap kejahatan yang sesuai dengan apa yang mereka kerjakan. Begitu juga balasan terhadap kebaikan yang dilakukan.” (Surah An-Najm, ayat 31).

Hadis Qudsi menyebut: “Wahai hambaku, sesungguhnya ia adalah amalan yang akan diperhitungkan satu persatu. Sesiapa menerima kebaikan, unjurkanlah kesyukuran kepada-Nya dan sesiapa yang mendapat sebaliknya maka salahkanlah diri kamu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Zarr).

Pada akhir Ramadan di mana langit, bumi dan malaikat bersedih dan menganggap satu ia satu musibah kepada umat Nabi Muhammad SAW

Kita berada di penghujung suku terakhir Ramadan, masa pembebasan dari azab neraka Allah SWT seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya adalah pembebasan dari azab neraka.” (Hadis sahih).

Ramadan bakal ditinggalkan diharap menjanjikan sesuatu yang baik untuk bekalan di sana.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menggembirakan seorang Muslim atau kesusahan seseorang, maka Allah SWT akan menghilangkan kedukaannya dan memudahkan urusannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim).

Jika direnung sejenak dalam ibadat haji, Allah SWT himpunkan amalan umrah di dalamnya untuk kesempurnaan haji, maka Allah SWT mengumpulkan segala kebajikan pada Ramadan terdiri dari ibadat puasa, amalan solat, zikir, tilawah al-Quran, amar makruf nahi munkar, bersedekah, zakat dan silaturahim sebagai pelengkap kepada ibadah puasa itu sendiri.

Semuanya akan menghasilkan natijah serta petanda baik sebagai bakal menerima kejayaan abadi di akhirat seperti dirakamkan Allah SWT yang bermaksud: “Mereka yang terbaik di sisi Allah SWT adalah yang berjalan di muka bumi dengan rendah diri dan tidak suka melayan kerenah orang yang bodoh. Mereka yang menghabiskan malamnya dengan beribadah. Mereka yang berdoa supaya dijauhkan azab neraka. Mereka yang tidak boros dalam berbelanja dan tidak kikir. Mereka tidak melakukan syirik terhadap Allah SWT. Mereka juga tidak membunuh dan berzina kerana azabnya kehinaan adalah kekal buat mereka kecuali dengan bertaubat dan melakukan kebaikan.” (Surah al-Furqan, ayat 63-70).

Ramadan masih berbaki dan ingatlah bahawa kejayaan di penghujung adalah petanda baik buat ahli ibadat. Kita masih berpeluang mengecapi lailatul qadar seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang beribadat pada lailatul qadar dengan penuh keimanan dan kesungguhan, akan terampun dosa kesalahannya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Baginda Nabi SAW memperlihatkan kesungguhan ketara pada saat akhir sebegini pada Ramadan bagi mendapatkan peluang menambahkan amalan khusus pada lailatul qadar.

Diriwayatkan daripada Jabir, satu peristiwa berlaku pada akhir Ramadan di mana langit, bumi dan malaikat bersedih dan menganggap satu ia satu musibah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Apabila ditanya, Baginda menjawab: “Musibah itu adalah berlalunya Ramadan yang penuh keberkatan padanya di mana doa diangkat dan pahala kebajikan dilipat gandakan.”

Pada saat yang mulia ini, jangan sekali-kali berputus asa terhadap rahmat dan keampunan dari Allah SWT kerana kita mendapat jaminan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah, wahai hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa terhadap rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah akan mengampunkan segala kesalahan dan Allah maha pengampun lagi penyayang.” (Surah Az-Zumar, ayat 53).

Kualiti ibadat puasa seseorang dapat dinilai dengan kesan ditinggalkan dalam jiwa masing-masing melalui sifat terpuji. Semoga dengan ibadat ini, kita tergolong di dalam kelompok manusia yang disebutkan oleh Allah SWT: “Wahai hambaku, tiada lagi ketakutan dan kesedihan bagimu pada hari itu. Mereka ialah yang beriman dan taat menunaikan perintah-Ku. Masuklah kamu ke dalam syurga bersama pasangan masing-masing.” (Surah Az-Zukhruf, 68-70)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tiga kaedah permudah urusan kerja harian

Posted by epondok di Ogos 28, 2011

Oleh Sharifah Hayaati

Prinsip mudah diamalkan Rasulullah bukti ajaran Islam praktikal, disenangi

BIJAK pandai menyebut, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maksudnya jika ada tumpuan, kesanggupan dan motivasi tinggi, pasti apa juga kerja dan cita-cita dapat dilunaskan. Melalui hari sebagai pekerja, tidak semua yang kita hadapi itu mudah atau sukar sentiasa.

Roda cabaran bekerja sentiasa berputar dan putaran itulah yang mengindahkan alam pekerjaan, apabila dihayati penuh hikmah, kita pasti akan menemui pelbagai manfaat, pengalaman dan pengajaran sama ada untuk diperbaiki mahupun disyukuri.

Persoalannya, bagaimana untuk kita menghadapi putaran itu dengan tenang dan bijaksana supaya kita benar-benar mendapat manfaatnya walau di mana roda berhenti berputar.

Sudah tentu sebagai pekerja mahupun pelanggan, kita mahukan yang terbaik daripada urusan kita. Tetapi ingatlah bahawa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Tiada yang terhasil secara automatik kecuali dengan usaha.

Setiap usaha atau kerja kita juga tidak boleh dibiarkan hasilnya seperti nasib sabut dan batu. Untung yang ringan akan timbul dan berat akan tenggelam. Dengan sebab itulah, maka beberapa prinsip syariah digariskan ulama sebagai panduan pelaksanaannya.

Ia boleh dijadikan panduan atau manual prosedur dalam kerja seharian kita. Antaranya ialah prinsip memilih yang memudahkan dalam berurusan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesusahan.” (Surah al-Hajj, ayat 78).

Malah, Islam itu sifatnya adalah mudah sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya agama itu (Islam) adalah mudah.” (Riyawat Imam Ahmad).

Gambaran kepada prinsip mudah dan kaedah memudahkan itu boleh dilihat melalui beberapa tindakan Rasulullah SAW. Sunnah nabi sebagaimana diriwayatkan Saidatina Aisyah ialah Baginda akan memilih yang paling mudah antara dua perkara selagi mana ia tidak berdosa.

Rasulullah SAW juga pernah menasihati sahabatnya Muaz bin Jabal untuk memudahkan ibadat solat berjemaah dengan cara memendekkan bacaannya ketika mengimamkan solat apabila ada dalam kalangan makmum itu orang yang lemah, orang tua dan mempunyai hajat. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Bahkan Nabi sendiri mempercepatkan solat Baginda apabila mendengar tangisan bayi di belakang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan membuatkan orang lain lari (dari agama kamu).” (Riwayat al-Bukhari).

Sabda ini bertitik tolak daripada hukum mandi hadas bagi sahabat yang cedera sehingga menyebabkan kematiannya. Cara ini bertujuan jangka pendeknya, untuk meringankan makmum dan sekali gus menyebabkan amalan berjemaah dapat dilakukan dengan khusyuk dan tenang oleh semua golongan selain menjauhkan daripada kemudaratan.

Bagi tujuan jangka panjangnya pula adalah sebagai dakwah bagi membolehkan ajaran Islam itu disenangi serta mudah diikuti dan diamalkan. Dalam konteks perkhidmatan hari ini, memudahkan sesuatu urusan di tempat kerja menjadi suatu keperluan dan boleh mengurangkan kerenah birokrasi.

Kerenah seperti kelewatan kelulusan, kesukaran mendapatkan perakuan, kerumitan mengisi borang permohonan kerana jumlah halaman yang banyak dan proses menunggu giliran di kaunter sudah banyak diperbaiki dan dipermudahkan.

Contohnya, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau ringkasnya PEMUDAH adalah antara usaha murni ke arah pencapaian matlamat itu. Laporan PEMUDAH 2009 menunjukkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengurangkan masa untuk meluluskan persijilan halal daripada 60 hari kepada 30 hari selepas proses pengaturan semula.

Jabatan Imigresen telah mengurangkan masa meluluskan permohonan Pas Pekerjaan daripada 14 kepada tujuh hari bekerja untuk kelulusan perjawatan.

Apabila sesuatu urusan itu dipermudahkan, ia memberi keselesaan kepada pelanggan dan sekali gus membina keyakinan mereka terhadap kemampuan organisasi berkenaan.

Jika tidak, mereka yang berkemampuan akan memilih perkhidmatan lain yang lebih berkualiti dan meninggalkan persepsi negatif di fikiran serta imej kurang baik kepada organisasi.

Semua contoh ini menunjukkan nilai kasih sayang dan toleransi yang terkandung dalam kaedah memudahkan sesuatu urusan.

Justeru, jika prinsip dan kaedah ini diamalkan dalam pekerjaan dan apa juga urusan seharian, semua urusan itu juga menjadi cepat.

Hasilnya, pelanggan berasa selesa dan gembira. Bertepatan sekali dengan tujuan syariat untuk memberikan kebahagiaan, ketenteraman dan kejayaan, Saidina Umar bin al-Khattab menyatakan: “Kami dilarang daripada membebani (berlebih-lebihan) pada diri.” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Bagi memudahkan tugas seharian, seseorang perlu memiliki tiga syarat utama iaitu mudahkan terlebih dulu cara kita berfikir dengan maksud membetulkan paradigma yang sering menganggap kerja itu sukar atau rumit untuk dilaksanakan.

Kedua, mudahkan sikap dengan sifat tolak ansur, empati, mementingkan kebajikan dan sensitif terhadap masalah atau kehendak pelanggan.

Ketiga, mudahkan sistem kerja dengan maksud menyediakan sistem bersifat mesra pelanggan iaitu mudah diakses dan tidak rumit.

Sering berdoa mendapatkan petunjuk Allah seperti doa Rasulullah SAW bermaksud: “Ya Allah tidak ada kemudahan kecuali jika Engkau menjadikannya mudah. Sesungguhnya jika Engkau menghendaki, Engkau berkuasa untuk menjadikan sesuatu yang susah itu mudah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jadi rabbaniyyun bukan Ramadhaniyyun

Posted by epondok di Ogos 28, 2011

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED

Kekerapan membaca al-Quran pada Ramadan sepatutnya diteruskan dalam bulan-bulan lain, bukannya berakhir bersama-sama Ramadan.

SYUKUR yang tidak terhingga kita panjatkan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang sekali lagi dalam hidup kita untuk berada di sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan.

Ini adalah peluang keemasan untuk kita rebut dan membuat ‘pecutan terakhir’ sebelum Ramadan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi.

Sahabat-sahabat meriwayatkan bahawa pada sepuluh malam terakhir inilah Nabi SAW dilihat menggandakan amalan baginda, beriktikaf di masjid serta menghidupkan malam-malam dengan qiamullail.

Sehinggakan baginda SAW digambarkan menjauhi seketika isteri-isteri dengan tidak menggauli mereka pada fasa terakhir Ramadan ini.

Aisyah r.a meriwayatkan: Baginda SAW apabila masuk sepuluh malam yang akhir Ramadan, baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri baginda dan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lebih-lebih lagi kerana pada 10 malam terakhir inilah ruang yang masih berbaki untuk kita di bulan Ramadan. Bahkan, telah dijanjikan oleh Allah SWT dengan satu malam yang dinamakan sebagai Lailatul Qadr ataupun malam al-Qadr di mana Allah memberi ganjaran pahala beribadat pada malam berkenaan menyamai seribu bulan.

Allah SWT menghuraikan kelebihan malam ini secara jelas dan spesifik sehingga diturunkan sebuah surah mengenainya iaitu surah al-Qadr. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui (kelebihan) malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan (Jibril) turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr : 1-5)

Nabi SAW juga memberikan pedoman dan nasihat kepada umat baginda supaya memperbanyakkan bacaan doa sebagaimana jawapannya kepada Aisyah r.a, apabila dia bertanya kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, sekiranya saya berada pada malam al-Qadar, apakah yang patut saya ucapkan. Nabi SAW bersabda: Ucapkan: Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka mengampuni, maka ampunilah aku ini).

Walaupun Nabi SAW telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan yang akan datang, namun tetap melakukan ibadah melebihi orang yang melakukan dosa besar yang sedang bertaubat.

Air mata baginda SAW tidak pernah kering ketika menadah tangan, merintih di hadapan Allah SWT dengan seribu satu permohonan. Tidak pernah lekang di bibir nabi SAW memohon keampunan kepada umatnya.

Demikian juga para sahabat r.a yang tidak pernah sepi hidup mereka dengan ibadah dan perjuangan. Walaupun sebahagian daripada mereka telah dijamin syurga dan diampunkan dosa-dosa yang lalu.

Jauh sekali sekiranya kita hayati perbezaan antara puasa yang kita kerjakan dengan apa yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat r.a.

Puasa mereka adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Namun, puasa dan ibadah yang kita kerjakan adalah kerana bulan Ramadan, bukannya kerana Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita tidak dapat dan tidak mampu meneruskan momentum ibadah puasa selepas berakhirnya Ramadan kerana semua ibadah yang dilakukan adalah hanya untuk tempoh sebulan sahaja.

Benarlah ungkapan yang menyatakan bahawa ada di kalangan umat Islam yang menjadi hamba Ramadan dan bukannya hamba Allah SWT. Sedangkan Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya. Manakala Allah SWT sahaja yang kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.

Mereka yang benar-benar menjadi hamba Allah SWT akan diterima amalannya. Hamba-hamba yang sebenar adalah apabila melaksanakan segala ibadah, mereka akan lakukannya dengan penuh ketaatan semata-mata kerana Allah SWT, walaupun mungkin mereka gagal mencari hikmah di sebalik pensyariatan ibadah berkenaan.

Justeru, jadilah Rabbaniyyun bukannya Ramadhaniyyun. Pusatkan tumpuan peribadatan kita di bulan Ramadan ini mutlak kepada Allah SWT, bukannya untuk memenuhi tentatif di bulan Ramadan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »