Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Ogos 2011

Dahsyatnya murka Allah

Posted by epondok di Ogos 26, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

ALLAH SWT menyebut tentang api neraka yang menyala-nyala disediakan
khas untuk orang kafir dengan menyifatkan neraka itu dengan gambaran
yang terlalu takut kepadanya, sehinggakan kanak-kanak menjadi beruban.

Seterusnya Allah meneruskan khabar-Nya dengan menakut-nakutkan dan
mengancam mereka bahawa mereka tidak akan selamat daripada seksaan yang
menimpa mereka di dunia sebagaimana yang telah menimpa orang yang
mendustakan para rasul sebelum mereka.

Contoh seksaan: Bumi yang bergoncang kuat, ribut taufan yang
membinasakan tanaman dan ternakan, sehinggakan tidak ada lagi orang yang
tertinggal dan menyalakan api. Kemudian, Allah SWT memberikan pelbagai
contoh ujian dan cubaan yang telah menimpa umat sebelum mereka kepada
mereka.

Kaum Thamud dibinasakan dengan panahan petir yang memusnahkan mereka.
Kaum Ad dibinasakan dengan angin yang amat sejuk dan kencang yang
dikenakan kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus
menerus.

Firaun dan kaumnya pula dibinasakan dengan cara ditenggelamkan ke
Laut Merah. Seterusnya Allah SWT menarik perhatian mereka ke arah
kudrat-Nya yang memaksa dan kurniaan-Nya yang besar terhadap sekelian
hamba-Nya.

Mereka diminta melihat burung yang kadang-kadang mengembangkan
sayapnya di udara dan kadang-kadang mengatupkannya kerana dimudah dan
diajarkan oleh Allah SWT apa yang diperlukannya.

Firman Allah SWT: Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang
(berkuasa) di langit bahawa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama
kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?

Ibn Abbas berkata: “Adakah kamu merasa aman azab Allah yang menguasai seluruh langit.”

Muqatil berkata: “Ia memberi maksud bagaimana bumi yang di bawah akan dinaikkan ke atas untuk mengikut kamu.”

Ibn Kathir berkata: “Allah bersifat Maha Pengasih terhadap
hamba-hamba-Nya. Dan Dia mampu untuk menyeksa mereka dengan sebab
kekufuran mereka dan juga maksiat yang telah dilakukan oleh mereka. Akan
tetapi kerana sifat rahmat dan kasih sayang-Nya terhadap makhluk maka
Dia memaafkannya atau menangguhkan seksaan agar mereka bertaubat.”

Al-Sabuni berkata: “Adakah kamu merasa aman dan selamat hai
masyarakat yang ingkar perintah Tuhan-Mu yang bersifat Maha Tinggi lagi
Agung daripada hukumannya yang boleh meranapkan kamu di dunia ini
sehingga ke dalam bumi selepas ia menjadikan kamu menguasai penjuru bumi
untuk berjalan, berkelana dan mencari rezeki.”

Firman Allah SWT: Atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang
(berkuasa) di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu.
Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan)
peringatan-Ku?

Al-Sabuni berkata: “Apakah kamu merasa aman daripada hukuman Allah
Yang Maha Tinggi lagi perkasa dimana Dia boleh menghantar batu, merejam
kamu daripada langit sebagaimana dilakukannya kepada kaum Luth dan
tentera bergajah.”

Maka ketika itu kamu pasti mengetahui secara nyata dan jelasnya azab
Allah SWT bagaimana peringatan yang Aku memberi ancaman kepada kamu dan
telah menghukum golongan pendusta. Ini merupakan satu ancaman dan amaran
yang amat keras.

Ibn Kathir menyebut: “Allah berkuasa mengutuskan ribut taufan dan
angin yang kencang berserta dengannya batu-batu kerikil yang akan
memusnahkan kamu.”

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasul-Nya). Maka alangkah hebatnya kemurkaan-Ku.

Ibn Kathir berkata: “Di mana terdapatnya mereka yang telah ingkar di
kalangan umat-umat yang terdahulu sedangkan hukuman-Ku amat dahsyat.”

Al-Sabuni berpendapat: “Orang-orang kafir pada zaman dahulu telah
mengingkari rasul-rasul mereka. Ini seperti kaum Nuh, kaum ‘Ad, Kaum
Samud dan seumpamanya. Mereka semua mengingkari kepada utusan Allah. Ini
merupakan satu bentuk menghiburkan Rasulullah SAW dengan apa yang
dilakukan oleh kaum musyrikin.”

Ingatlah apa yang diberi amaran terhadap mereka, pasti akan terkena
ke atas mereka jika mereka tidak mengambil iktibar dan peringatan yang
dibawa oleh Rasulullah SAW.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Tingkatkan amal di akhir Ramadan

Posted by epondok di Ogos 26, 2011

Oleh NAJAHUDIN LATEH

seharusnya umat Islam mengambil peluang terutamanya pada malam terakhir Ramadan ini sebelum ia melabuhkan tirainya. – Gambar hiasan

RAMADAN semakin hari semakin bergerak meninggalkan kita. Seorang Mukmin sejati akan merasa sedih bercampur risau sama ada dipertemukan lagi dengan Ramadan berikutnya setahun lagi. Agak malang bagi kita jika merasa terlalu gembira dengan pemergian Ramadan seolah-oleh terlepas daripada suatu beban dan azab pedih.

Sepanjang Ramadan hingga hari ini kita telah penuhi dengan pelbagai amalan. Justeru, hari-hari berbaki sepatutnya tidak dipersia-siakan atau diisi dengan perkara-perkara yang boleh mengikis pahala ibadat yang telah dilakukan pada awal-awal Ramadan.

Hakikat ini tentu lebih sinonim dengan kelebihan Lailatul Qadar yang dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Firman Allah SWT : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui (kelebihan) malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan (Jibril) turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr : 1-5)

Walaupun malam al-Qadr tidak disebutkan tarikh berlaku dan masanya, namun beberapa hadis Nabi SAW memberi petunjuk kepada umat Islam bagi memburu pahala amalan melebihi 1,000 bulan ini.

Sabda Rasulullah SAW : Carilah (iaitu Lailatul Qadar) pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia merasa putus asa (mencari) pada baki tujuh malam terakhir. (riwayat Muslim).

Waktu ini kemudian dikhususkan lagi dalam sabda Baginda SAW : Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan. (riwayat al-Bukhari).”

Kedua-dua hadis tersebut jelas mengajak kita semua untuk memperhebatkan amalan terutama 10 hari akhir bulan al-Mubarak ini. Malah, kehebatan ganjaran malam tersebut terbukti dengan ibadah Nabi SAW sendiri yang melebihi waktu yang lain seperti perkhabaran Aisyah: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadah pada 10 hari terakhir (Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain. (riwayat Muslim).

Jelasnya, kita yang berada pada saat- saat akhir ini perlulah menghambakan diri kita dengan amalan-amalan seperti iktikaf, tadarus, zikir, selawat, berdoa dan sebagainya. Namun agak malang di kalangan umat Islam khususnya di negara kita yang melakukan perkara yang terbalik daripada yang dianjurkan.

Dalam pesanan Nabi SAW, semakin hari dalam bulan Ramadan bergerak, kita seharusnya mempertingkatkan amalan. Tetapi, kita lakukan sebaliknya. Semakin menempuh 10 malam akhir, surau dan masjid kita semakin kurang kapasitinya. Jemaahnya semakin menghampiri saf depan dan dekat dengan imam.

Lebih menyedihkan amalan baik yang banyak ini hanya terhenti setakat bulan Ramadan. Tamatnya Ramadan, bererti tamatlah amal soleh dan berhentilah amalan tadarus, qiamullail, berjemaah di masjid dan sebagainya.

Sikap sebegini seolah-olah melambangkan amal yang tidak ikhlas dan bermuka-muka dalam ibadah. Lebih berat lagi sikap ini juga menunjukkan ganjaran pahala Allah SWT hanya wujud dalam bulan Ramadan.

Jika ini berlaku, benarlah peringatan bahawa sesiapa yang menyembah Ramadan, ia akan pergi meninggalkan kita, tetapi sesiapa yang menyembah Allah SWT, Dia tetap hidup buat selama-lamanya.

Sepatutnya, segala amalan dan gerak kerja ibadah selama sebulan Ramadan ini hendaklah diteruskan pada bulan-bulan yang lain hinggalah kita bertemu dengan Ramadan seterusnya tahun depan. Yakinlah dengan pesanan Rasulullah SAW: Solat lima waktu, Jumaat hingga Jumaat berikutnya dan Ramadan hingga Ramadan berikutnya adalah penghapus dosa di antara (waktu itu) selama mana dijauhi dosa-dosa besar. (riwayat Muslim).

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku jika kita benar-benar beriman dengan Allah SWT dan mengikut teladan rasul-Nya. Oleh itu, sekali lagi diperingatkan supaya kita mengambil peluang terbuka ini sebelum Ramadan melabuhkan tirai dan Syawal menggamit kita.

Selain itu, kita perlu mengambil iktibar bahawa kedatangan Syawal menandakan kemenangan kita sepanjang diuji dalam bulan Ramadan. Fajar Aidilfitri melambangkan kejayaan kita dalam mematuhi perintah Allah SWT, mengejar ganjaran besar di samping berjuang melawan hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan.

Kejayaan ini perlu diraikan dengan aktiviti yang bertepatan dengan syariat Islam. Amat malang bagi kita jika setelah berkorban masa dan tenaga mendekati Allah SWT dalam bulan Ramadan, namun bila tibanya Syawal segala pahala kita pula hilang dan dikorbankan melalui aktiviti kita yang tidak bersesuaian dengan Islam.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Lailatul qadar ukur kekuatan iman, takwa umat Islam

Posted by epondok di Ogos 26, 2011

Bersama Hizbur Rahman

Rahsia malam istimewa disembunyikan supaya mukmin buat amal tanpa pilih hari tertentu

RAMADAN, bulan penuh keberkatan dan dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan iaitu 83 tahun. Malam lailatul qadar yang dicari setiap kali Ramadan adalah anugerah terbaik dalam kehidupan manusia.

Sedarkah kita Allah telah memuliakan umatnya pada malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim.

Menurut pandangan sebahagian ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam lailatul qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah SAW melalui Jibril sebagai wahyu beransur-ansur selama 23 tahun. Bagi orang yang beriman, malam itu adalah peluang untuk mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah. Bahkan mereka berlumba-lumba bangun di malam hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatul qadar). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatul qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadar, ayat 1-5)

Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, marilah kita gunakan peluang dan tawaran berharga ini bagi menambah bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mempunyai banyak kelebihannya.

Lailatul qadar malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana berlaku pada satu malam saja sepanjang tahun. Beruntung siapa yang memperolehnya dan rugi yang melepaskannya.

Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jugalah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Dukhan, ayat 3-6)

Berdasarkan ayat itu, sesetengah ulama berpendapat Allah telah menentukan rezeki, qada’ dan qadar ke atas segala makhluk-Nya selama setahun. Justeru, tidak pelik mengapa rahsia kedatangannya di sembunyikan Allah kepada kita.

Menurut Imam al-Razi, antara rahsia disembunyikan malam lailatul qadar supaya umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadan tanpa memilih malam tertentu saja.

Bimbang umat Islam tidak berusaha merebutnya dengan amal ibadat walaupun ditetapkan malam tertentu, atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah.

Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari lailatul qadar sehingga mampu memperbanyakkan ibadat lalu memperoleh pahala daripada kesungguhannya itu. Melahirkan umat yang menghidupkan malam Ramadan dengan harapan bertemu lailatul qadar sehingga meningkat amal solehnya.

Lailatul qadar mengukur kekuatan iman dan takwa umat Islam selama ini. Walaupun ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktunya, namun pendapat paling kuat berdasarkan hadis diriwayatkan Aisyah bermaksud: “Cari malam lailatul qadar di malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan lailatul qadar? Rasulullah SAW menggariskan beberapa langkah kepada umatnya supaya berusaha sedaya upaya mendapatkan lailatul qadar ini.

Menurut Imam Bukhari dan Muslim, Saidatina ‘Aisyah meriwayatkan yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah) dan uzlah dari isteri-isterinya.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pengenalan Zakat Fitrah

Posted by epondok di Ogos 26, 2011

Petikan almalakawi.wordpress.com

Wajib zakat fitrah ke atas tiap-tiap umat islam yang berkemampuan, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dewasa atau kanak-kanak, sama ada merdeka atau hamba. Wajb atas kafir mengeluarkan zakat keluarga yang wajib atas kafir itu memberi nafkah, seperti bapa yang kafir wajib mengeluarkan zakat anaknya yang islam, begitu juga seperti anak yang kafir wajib mengeluarkan zakat bapanya yang islam yang tidak mampu. Jadi wajib sekiranya kafir itu mampu dan ada lebih daripada perbelanjaan dirinya dan tanggungannya pada malam dan siang hari raya.

Syarat wajib zakat fitrah

  1. islam, tidak wajib kafir mengeluarkan zakat untuk dirinya tetapi dia wajib mengeluarkan zakat orang islam yang dibawah tanggungannya.
  2. merdeka. Hamba tidak wajib mengeluarkan zakat dirinya bahkan tuannya wajib mengeluarkan zakatnya.
  3. mempunyai perbelanjaan yang lebih daripada perbelanjan atau pakayan dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya, pada malam hari raya dan siangnya. Tidak wajib zakat atas mereka yang tidak berkemampuan, yakni mereka yang tidak ada lebih daripada perbelanjan dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya pada waktu tersebut.
  4. wajib zakat dengan jatuh matahari malam hari raya, yakni mendapat satu juzuk daripada ramadan dan satu juzuk daripada hari raya , maka tidak wajib zakat mereka yang lahir selepas terbenam matahari malam hari raya, kerana tida mendapat satu juzuk daripada ramadan dan tidak wajib zakat mereka yang mati sebelum terbenam matahari malam hari raya, kerana tidak mendapat satu juzik daripada hari raya.

Peringatan ke atas amil zakat.

Sekirany ada dikalangan orang yang telah mengeluarkan zakat, mati sebelum waktu wajib (yakni terbenam matahari malam raya) dan ada bagi si mati waris (seperti anak si mati, atau lainnya) yang belum balig, maka wajib amil itu memulangkan zakat yang telah dikeluarkan kerana ada di sana hak anak yatim atau hak mereka yang tidak boleh memerintah harta dengan sendirinya.

Sekiranya semua waris si mati telah baligh dan mereka itu tidak mahu menuntut zakat yang telah dikeluarkan itu maka jadilah zakat itu sedekah.

Sekirnya mereka itu menuntutnya, wajib atas amil memulangkannya.

Termasuk dalam kata amil mereka yang boleh menerima zakat dan dia ada menerima zakat dari simati tersebut.

Masa mengeluarkan zakat fitrah.

  1. Masuk waktu wajib zakat fitrah dengan terbenam matahari malam hari raya.
  2. Harus mengeluarkan zakat fitrah pada awal ramadan.
  3. Sunat dikeluarkannya sebelum sembahyang hari raya.
  4. Makroh dilewatkan selepas sembahyang hari raya sehinga terbenam matahari hari raya.
  5. Haram dilewatkannya selepas terbenam matahari hari raya dengan tiada uzur. Contih uzur seperti harta orang yang hendak mengeluarkan zakat tiada bersamanya, atau tiada orang yang boleh menerima zakat.

Pekara yang wajib dikeluarkan

Wajib mengeluarkan segantang makanan yang mengenyangkan bagi rakyat sesebuah negeri dan kebanyakkan mereka makan makanan itu. Di Malaysia, Indonisia, Berunai, Patani, yakmi negara asian, beras adalah makanan yang mengenyangkan, lagi pula kebanyakkan mereka memakannya, maka orang islam di negara-negara ini wajib mengeluarkan beras untuk zakat fitrah mereka itu.

Menurut Mazhab Syafie tidak sah mengeluarkan zakat fitrah dengan duit.

Harus mengeluarkan zakat fitrah dengan duit

Mazhab Hanafi mengharuskan zakat fitrah dengan mata wang (duit) bahkan afdal.

Harus orang yang bermazhab Syafie bertaklid dengan Mazhab Hanafi.

Tertib mengeluarkan zakat fitrah bagi mereka yang tidak upaya mengeluarkan keseluruhan orang di bawah tanggungannya

Orang yang tidak upaya mengeluarkan fitrah bagi semua tanggungannya maka hendaklah dia mengeluarkan fitrah mingikut tertib tersebut:

  1. Fitrah dirinya.
  2. Fitrah isterinya.
  3. Fitrah anak yang kecil.
  4. Fitrah bapanya.
  5. Fitrah ibunya.
  6. Fitrah anak yang besar.
  7. Kemudian fitrah tanggungannya yang lain.

 

Posted in Klinik Agama | 2 Comments »

Hikmat Allah Sembunyikan 8 Perkara

Posted by epondok di Ogos 26, 2011

Apabila dicermati,banyak perkara yang Allah sengaja sembunyikan dari pengetahuan hamba-Nya termasuklah Rasulullah sendiri. Antaranya:
1.   Allah menyembunyikan Lailatul Qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadhan;

2.  Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari itu;

3.  Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu;

4. Allah menyembunyikan isim adzam antara nama-nama-Nya agar kita menyebut semua nama-Nya (Asmaul Husna);

5. Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat;

6. Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin;

7. Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia; dan

8. Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya;

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Doa Dari Hadis Nabi s.a.w

Posted by epondok di Ogos 26, 2011

DOA AGAR DIKURNIAKAN KEAMPUNAN, HIDAYAH, REZEKI DAN KESELAMATAN

اللهُمَّاغْفِرْلِي، واهْدِنـِي، وَارْزُقْنِي، وَ عَافِنـِي، أَعُوذُ بِاللَّـهِ مِنْضِيقِ الْمَقَامِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.


Maksudnya: “Ya Allah , ampunilah aku, berilah hidayah padaku, anugerahkanlah aku dengan rezki, berilah afiat kepadaku, aku mohon perlindunganMu dari kesempitan tempat berdiri di hari akhirat kelak.[1]
DOA MEMOHON HATI YANG BERSIH

اللَّّـهُمَّ إنِّي أَعُوذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالكَسَلِ،وَاْلجُبْـنِ وَالبُخْلِ، وَالهَرَمِ، وَعَذَابِ الْقَـبْرِ، اللَّّـهُمَّ آتِنَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيـُّهَاوَمَولاهَا، اللَّّـهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ عِلْمٍ لا يَنْفَعُ، وَمِنْقَلْبٍ لا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لا يُسْتَجَابُلَهَا
 

 

 

 

 

 


Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindunganMu dari kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab qubur. Ya Allah, berikanlah ketaqwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucukan , Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindunganMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk , nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak dikabulkan .[2]
DOA AGAR DIBERI KEKUATAN UNTUK SENTIASA BERZIKIR, SYUKUR DAN TAAT

اللَّـهُمَّ أعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ،وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
 

 

 

 

 

 

Maksudnya: Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepadaMu, bersyukur kepadaMu, dan memperelokkan ibadah kepadaMu .[3]

DOA UNTUK MENGELAKKAN RACUN, SANTAU DAN PENYAKIT[4]
 
 
 

 

 


أعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَاخَلَقَ

Maksudnya :” Aku mohon perlindungan dengan perkataan Allah yang sempurna dari kejahatan apa yang diciptakannya”.[5]
MENGUBAT DEMAM PANAS
بسمِ اللـًّهِالْكِبـيْرِ، نَعُوذُ باللَّـهِ الْعَظِيـْمِ مِنْ شَرِّ عِرقٍ نَعَّارٍ، وَمِنْشَرِّ حَرِّ النَّـارِ
 

 

 

 

 

 


Maksudnya : “Dengan nama Allah yang maha Besar, kami memohon perlindungan dengan Allah yang Maha Agung dari kejahatan urat dan kejahatan kepanasan api ” .[6]
BACAAN MENGUBATI SAKIT 
 
 
 

 

 


بسم الله 3x    أَعُوذُبِاللهِ وَقُدْرَتِهِ، مِنْ شَرِّمَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ 7 x

“Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaannya dari kejelekan sesuatu yang aku jumpai dan aku takuti.[7]
Keterangan & Petua Beramal
Menurut apa yang diamalkan dalam kaedah perubatan Nabi saw , pesakit boleh mengubat kesakitan yang dialaminya iaitu dengan cara ; Letakkan tangan pada tubuh yang terasa sakit, dan bacalah jampi di atas mengikut bilangan yang diajarkan oleh Nabi saw itu . [8]Menurut al-Tirmizi, Nabi saw bersabda , tidaklah seseorang yang menderita sakit yang belum datang ajalnya , lalu dia membacakan doa ini melainkan akan disembuhkan Allah . [9]
DOA APABILA MELIHAT ORANG YANG DITIMPA MUSIBAH
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلاكَ بِهِوَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلاً

 

 

Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan aku dari sesuatu yang Allah memberi cubaan kepadamu dan Allah telah memberi kmuliaan kepadaku melebihi orang banyak.[10]
Keterangan & Petua Beramal
Lanjutan dari hadith di atas , Nabi saw bersabda , barangsiapa yang membaca doa ini, dia tidak akan ditimpa musibah tersebut. Maka janganlah kita lupa mengamalkan doa ini apabila kita melihat sesuatu bencana seperti kemalangan jalanraya, penyakit dan sebagainya berlaku. Mudah-mudahan dengan berkat doa ini, kita terpelihara daripada mengalaminya, InsyaalLah .
 
 

 

 

 

 

DOA APABILA DITIMPA PERKARA YANG TIDAK DISENANGI

قَدَّرَ اللَّـهُ وَ مَا شَاءَ فَعَلَ
 

 

 

 

 

 


Maksudnya: “Allah sudah mentaqdirkan, dan Dia berbuat mengikut apa yang dikehendakiNya”. [11]
DOA AGAR TERHINDAR DARI BERBAGAI KEJAHATAN
اللَّـهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ و رَبَّ الأَرْضِ،وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّوَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالفُرْقَانِ، أَعُوذُبِكَمِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، اللَّـهُمَّ أَنْتَ الأَوَّلُفَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، و أَنْتَ َالآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَالظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَ أَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَشَيْءٌ، إِقْضِ عَنَّا الدَّيْنِ، وَأَغْنِنَا مِنَ الفَقْرِ
 

 

 

 


Ya Allah , Tuhan langit yang tujuh, tuhan bumi, tuhan arasy yang agung, Tuhan kami dan Tuhansegala sesuatu , pembelah biji dan benih , tuhan yang menurunkan taurat , injil dan al-Furqan ( al-Quran ), aku berlindung kepadaMu dari segala kejahatan yang Engkau pegang ubun-ubunnya, ya Allah engkaulah yang pertama tiada sesuatu sebelumMu, Engkaulah yang paling akhir, tiada sesuatupun sesudahMu. Engkaulah yang Zahir, tiada sesuatu yang lebih hebat dariMu, dan Engkaulah yang batin, tiada sesuatupun yang tersembunyi dariMu, tunaikanlah hutang kami dan cukupkanlah keperluan kami . [12]
DOA WAKTU DITIMPA MUSIBAH
إِنـَّا ِللَّـهِوَإِنـَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّّـهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِيوَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
 

 

 

 

Maksudnya : Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali (pada hari kiamat). Ya Allah! Berilah pahala kepadaku dan gantilah aku dengan lebih baik(dari musibahku)[13]
DOA SOLAT WITIR
اللَّـهُمَّ إِنِّيأعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَ بِمَعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَ أعُوذُبِكَ مِنْكَ، لا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ، أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

 

 


Maksudnya: ‘Ya Allah, Aku memohon perlindungan dengan keredhaanMu daripada ditimpa kemurkaanMu,dan aku memohon dengan keafiatanMu dari ditimpa hukumanMu,dan aku memohon perlindunganMu. Aku tidak mampu untuk membuat pujian ke atasMu sebagaimana Engkau memuji DiriMu sendiri.[14]
DOA MELIHAT PERKARA YANG DISUKAI ATAU DIBENCI
Bacaan Melihat Perkara Yang Disukai
الحَمْدُ للَّـهِ الَّذِيبِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
 

 

 

 


Segala Puji bagi Allah yang dengan nikmatNya sempurnalah segala kebaikan .[15]
Bacaan Melihat Perkara Yang Tidak Disukai
الحَمْدُ للَّـهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
 

 

 

 


Segala Puji bagi Allah atas segala perkara .
DOA AGAR SELAMAT DARI KEMALANGAN

اللَّـهُمَّ لايَأْتِي بِالْحَسَنَاتِ إِلاَّ أَنْتَ، وَ لا يَذْهَبُ بِالسَّيِّئَاتِ إِلاَّأَنْتَ وَلا حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّـهِ
 

 

 

 

 

 

Ya Allah , tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau , dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, Tiada upaya melainkan dengan Allah swt .[16]
Penjelasan dan cara beramal
Menurut Ibnus Sunni, Nabi saw mengajar kita memohon keselamatan dari musibah-musibah yang dirasakan akan berlaku. Terutamanya zaman sekarang apabila berbagai kemalangan berlaku tanpa mengambil kira masa dan tempat, maka seseloknya kita beramal dengan doa ini selain dari mengambil langkah-langkah patut untuk mengelakkannya .
BACAAN KETIKA TAKUT
 

 

 

 

 


اللهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِهِمْ وَنَعُوذُبِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ


Ya Allah, kami jadikan Engkau di leher mereka dan kami berlindung kepadaMu dari kejahatan mereka [17]
DOA APABILA RIBUT
اللَّهُمَّ إِنِّيأَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَأَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّهَا
 

 

 

 


Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepadamu kebaikan angin ini, dan aku berlindung kepadamu dari kejahatannya.[18]
 
 
 
 

 

 

DOA MURAH REZEKI 


الَّلهُمَّ اغْفِِرْلِي ذَنْبِيوَوَسِّعْ لِِي فَي دَارِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا رَزَقْتَنِي

Ya Allah , ampunkanlah dosaku, dan kurniakan padaku keluasan pada tempat tinggalku , dan berkatilah pada rezki yang Kau kurniakan padaku.[19]
DOA AGAR MENDAPAT PELUANG PERNIAGAAN DAN REZKI YANG PALING BANYAK

اللَهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ أَعْظَمِ عِبَادِكَنَصِيباً فِي كُلِّ خَيْرٍتَقْسِمُهُ فِي الغَدَاةِ مِنْ نُورٍتَهْدِي بِهِ،وَرَحْمَةٍ تَنْشُرُهَا، وَرِزْقٍ تَبْسُطُهُ، وَضُرٍّ تَكْشِفُهُ، وَبَلاءٍتَرْفَـعُهُ، وَفِتْـنـَةٍ تَصْرِفُهَا، وَسُوءٍ تَدْفَـعُـهُ.
 

 

 

 

 

 

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hambaMu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan ( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan bala yang Engkau angkatkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan fitnah yang Engkau jauhkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan keburukan yang Engkau hindarkan
( dari menimpa hamba-hambaMu )”.[20]
DOA KETIKA DALAM KESUSAHAN

لاَ إِلَهَإِلاَ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنْ الظَّالِمِينَ
 

 

 

 

 

 


Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.[21]
DOA PADA WAKTU PAGI DAN PETANG
بِاسْمِاللَّـهِ الَّذِي لا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي  الأَرْضِ وَ لا فِيالسَّماءِوَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
 

 

 

 


Maksudnya: “Dengan nama Allah yang tidak memudaratkan dengan namaNya itu sesuatu yang berada di bumi dan di langit, dan Dia maha mendengar lagi maha mengetahui”. [22]

DOA UNTUK MENGELAK LUPA
اللَهُمَّزِدْنَا وَ لا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلاَ تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلاَتَحْرِمْنَا،وَآثِرنَا وَلاَ تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَ ارْضِنَا وَارْضَعَنَّا.
 

 

 

 

“Ya Allah , tambahkanlah buat kami jangan Engkau kurangkan, Muliakankah kami, jangan dihina, berilah buat kami, jangan ditahannya, dan pilihlah kami jangan Engkau biarkan, dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami” .[23]
DOA MEMOHON SELAMAT DARI BALA DAN KEHINAAN
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ جَهْدِ الْـبَلاءِ، وَدَرَكِالشَّقَاءِ،وَ سُوءِ الْقَضَاءِ، وَشَمَاتَـةِ الأَعْدَاءِ

 

 

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qadha` dan kegembiraan musuh ( terhadap masalahku .)[24]
DOA BERLINDUNG PENYAKIT-PENYAKIT BAHAYA SOPAK, GILA DAN STROK
اللَّهُمَّ إِنِّي أعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ،وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ

 

 

Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari penyakit sopak, gila, kusta dan keburukan berbagai penyakit yang lainnya .[25]
SAYYIDUL ISTIGHFAR ( PENGHULU ISTIGHFAR )
Dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari dari Syaddad bin Aus , Nabi mengajar sepotong doa . Sesiapa yang membacanya dengan keimanan pada waktu pagi , lalu dia mati pada petangnya , maka dia akan menjadi ahli syurga . Demikian pula bagi yang membacanya dengan keimanan pada waktu petang , lalu meninggal dunia selepas itu maka jadilah dia dari kalangan ahli syurga :

اللَّهمَّ أًنْتَ رَبِّي لا إلَهَ إِلاَّأَنْتَ خَلَقْتَنِي وَ أَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مااسْتَطَعْتُ، أعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَعَلَيَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فاغْفِرْلِي فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّأَنْتَ.

 

 


Maksudnya: “Ya Allah, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku, aku adalah hambaMu, dan aku berjanji mentaatiMu semampuku, aku berlindung dariMu dari kejahatan kelakuanku. Ku kembalikan kepadaMu segala nikmat yang Kau berikan dan aku kembali kepadaMu dengan dosa yang kulakukan. Ampunilah aku, kerana tiada siapa yang dapat mengampuniku melainkan Engkau”.[26]
 
 
 
 

 

 

DOA DIPERMUDAHKAN HISAB


اَللَّهُمَّ حَاسِبْنِيحِسَاباً يَسِيراً


Maksudnya: “Ya Allah Mudahkanlah perhitunganku”.
DOA AGAR PANJANG UMUR, MURAH REZKI DAN DIBERKATI

 


اللهُمَّ أكْثِرْ مَالِي وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَاأَعْطَيْتَنِي،وَأَطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأَحْسِنْ عَمَلِي،وَاغْفِرْلِي


Ya Allah, banyakkanlah hartaku dan anakku, serta berilah keberkatan atas setiap apa yanga Engkau kurniakan. Panjangkanlah kehidupanku dalam ketaatan terhadapMu serta perbaikilah amalanku dan kurniakanlah keampunan kepadaku . [27]
DOA AGAR DAPAT MEMBAYAR HUTANG

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلالِكَ عَنْ حَرامِكَ وَأَغْنِنِيبِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
 

 

 

 

 

 


Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezekiMu yang halal (hingga aku terhindar) dari yang haram. Kayakanlah aku dengan AnugerahMu, (hingga aku tidak minta) kepada selainMu. [28]
DOA MEMOHON KETETAPAN IMAN DAN KELANGSUNGAN NIKMAT

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْألُكَ إِيمَاناً لا يَرْتَدُّ،وَنَعِيماً لا يَنْفَدُ، وَ مُرَافَقَةَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَفِي أَعْلَى جَنَّةِ الْخُلْدِ .
 

 

 

 

 

 

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu iman yang tidak akan lepas ( murtad ) nikmat yang tak akan habis dan menyertai Nabi Muhammad saw di syurga yang paling tinggi selama-lamanya .[29]
DOA MASUK PASAR
 
 

 

 

 

 

لا إِلَهَ إِلاَّ اللَّـهُوَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُوَهُوَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍقَدِيرٌ

Maksudnya : Tiada Tuhan yang berhak di sembah selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, baginya kerajaan, baginya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan , Dialah yang hidup tidak akan mati. Di tanganNya kebaikan. Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.[30]
 
 
 

 

 

 

Rujukan :


[1] HR al-Nasa`ei no 209 , Ibn Majah no 1356 , lihat sahih sunan al-Nasa`ei no 356 dan sahih Ibn Majah no 226
[2] HR Muslim no 2722
[3] HR Abu Dawud no 1522 , dianggap sebagai sahih oleh al-Hakim ,
 
 
 

 

 

 

[4] Tajuk ini disesuaikan dari bahasa Arabnya: Ma Yuqalu Li Daf’ al-Sumum Wa Al-Afat dari Kitab Al-Nasihat Fi Al-Ad’iyyat Al-Sahihat karangan al-Imam Ab Ghani Al-Maqdisiy
[5] HR Muslim no 2709, Ibn Hibban no 2360 dan Ibnus Sunni no 533
[6] HR al-Hakim dalam al-Mustadrak no 414,dianggapnya sebagai sahih,

[7] H R Muslim no 2202
[8] Lihat Syarh Nawawi ‘ala Muslim, no 184 ,

[9] HR al-Tirmizino 2083 , lihat sahih

al-Tirmizi no 1698
[10] HR al-Tirmidzi no 3431
[11] HR Muslim no 2664
[12] HR Muslim no 2713
[13] HR Muslim no 918
[14] HR al-Tirmizi no 3566, hadith hasan
[15] HR Al-Hakim dalam Al-Mustadrak no 499 ,
[16] HR al-Tirmizi no 3482 , lihat sahih al-Jami’ al-Soghir no 1297 , sahih al-Nasa’ei no 5053
[17] HR Abu Dawud dan An-Nasa’ei dengan sanad yang sahih. Al-Azkar no 318 mengikut susunan oleh Dr Hamid Ahmad Al-Tahir.
[18] HR Abu Dawud no 5097 , Ibn Majah no 3727
[19] HR Ahmad , al-Tirmizi( Al-Jami’ Al-Tirmizi dalam bab al-da’awat , Ahmad ( al-Musnad 4 / 399 ) , Al-Nasa’ ei ( Amal al-Yaum wallailah ms 172 ) Ibnus Sunni ( Amal al-Yaum wallailah) dan dianggap sebagai sahih oleh An-Nawawi
[20] HR Ibn Abi Syaibah dan Al-Tabarani, lihat kitab Da’ei al-Falah oleh Al-Suyuti hlm 61.
[21] Doa ini dipetik daripada ayat ke 87 surah Al-Anbiya`.
[22] HR al-Tirmizi no 3388 hadith hasan.
[23] HR al-Tirmizi no 3173, Lihat Tafsir Ibn Kathir : tafsir ayat 1, Surah al-Mukminun
[24] HR al-Bukhari no 6347 dan Muslim no 2707

[25] HR Abu Dawud no 1554, al-Nasa’ei no 270 , lihat sahih an-Nas’ei no 1116

[26] HR al-Bukhari no 6306
[27] HR al-Bukhari dalam adab al-mufrad no 653 dan. HR al-Tirmizi no 2329

 

 

 

 

 

[28] HR al-Tirmizi no 3563 , Ahmad 1/153 dari Ali r.a

[29] HR Ibn Hibban no 2436,
[30] HR al-Tirmizi no 3429, Al Hakim no 538 , hasan
 
 
 

 

 


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »