Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Ogos 2011

Hikmat Sembunyi 5 Masa

Posted by epondok di Ogos 25, 2011

Antara hikmat di mana Allah merahsiakan beberapa urusan agama kerana ada kebaikan dan kepentingan disebaliknya iaitu :

1. Allah menyembunyikan Lailatul Qadar dalam suatu malam daripada Ramadhan supaya kita sentiasa menghidupkan malam-malam itu dengan amal ibadat tanpa mengkhususkan suatu malam tertentu sahaja

2. Allah menyembunyikan saat dimakbulkan doa pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa sepanjang harinya

3. Allah menyembunyikan amalan maksiat yang paling dikutuk atau dibenciNya bagi memastikan kita sentiasa menghindari segala maksiat

4. Allah menyembunyikan waktu berlakunya qiamat supaya kita sentiasa beringat, berhati-hati dan beriman serta bertaqwa dan beramal soleh sepanjang masa

5. Allah menyembunyikan ajal manusia iaitu masa mati supaya kita sentiasa beramal ibadat dan mentaati Allah sepanjang waktu

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Lailatul qadar rangsangan untuk lipat ganda ibadat

Posted by epondok di Ogos 25, 2011

Oleh Ibrahim Abdullah

MALAM lailatul qadar turut dikaitkan dengan beberapa riwayat menceritakan sebab diturunkan surah al-Qadr yang menjadi rujukan setiap Ramadan untuk mengingatkan umat Islam anugerah satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Dikisahkan dalam satu riwayat oleh Ibn Hatim dan al-Wahidi, Rasulullah SAW pernah menyebut seorang Bani Israel yang berjuang fisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum Muslimin mengagumi perjuangan orang itu. Maka Allah menurunkan surah al-Qadar, ayat 1-3.

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa dalam kalangan Bani Israel terdapat seorang lelaki yang suka beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukan selama seribu bulan.

Sahabat kagum dan iri hati dengan lelaki Bani Israel yang beribadah dan berjihad selama seribu bulan sedangkan ajaran Islam baru disebarkan Nabi, ramai yang masuk Islam pada umur 40 tahun atau lebih. Sehingga sisa waktu mereka hanya 20-30 tahun saja.

Justeru itulah, turun ayat mengenai lailatul qadar untuk direbut kelebihannya yang menyamai beribadat selama seribu bulan. Maka, digalakkan kita memperbanyakkan solat, zikir, doa, bertadarus, membaca al-Quran, bersedekah, dan berjihad di jalan Allah pada malam lailatul qadar.

Malam lailatul qadar terjadi pada malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan (malam ke 21, 23, 25, 27 atau 29).

Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan dan Baginda bersabda yang bermaksud: Carilah malam qadar pada malam ganjil dari 10 malam terakhir dari Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Umar: “Bahawa beberapa sahabat Nabi melihat lailatul qadar dalam mimpi tujuh malam terakhir, maka barang siapa mencarinya hendaklah ia mencari pada tujuh malam terakhir.” (Muttafaq Alaih)

Ibnu Abbas menyatakan bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Carilah lailatul qadar pada malam 10 yang terakhir dari (bulan) Ramadan. Lailatul qadar itu pada sembilan hari yang masih tersisa, tujuh yang masih tersisa dan lima yang masih tersisa.” (Hadis riwayat Bukhari)

Tanda-tanda malam lailatul qadar seperti diriwayatkan daripada Ubay, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Pagi hari malam lailatul qadar, matahari terbit tanpa sinar menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Malam lailatul qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, dan keesokan harinya cahaya sinar matahari melemah kemerah-merahan.” (Hadis riwayat Tayalisi, Ibnu Khuzaimah, Bazzar)

Mengisi malam lailatul qadar, Nabi Muhammad SAW beriktikaf di masjid, Baginda bersolat wajib dan sunat, membaca al-Quran, berzikir serta berdoa.

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mendirikan (solat malam/tarawih) kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Adapun ciri-ciri orang yang mendapat malam lailatul qadar adalah dia beribadah lebih rajin daripada sebelumnya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Mohon ampun pastikan tenang jalani ibadah

Posted by epondok di Ogos 25, 2011

Oleh Hasliza Hassan

TANGGAPAN popular masyarakat ialah awal Ramadan masjid serta surau penuh, manakala masuk pertengahan jumlah jemaah yang datang berkurangan dan apabila tiba minggu terakhir, hanya satu saf saja yang tinggal.

Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata sudah tiba masa umat Islam melakukan transformasi supaya situasi itu bertukar sebaliknya.

Beliau berkata, transformasi perlu bagi memastikan golongan yang beriman berjaya mencapai indeks prestasi utama (KPI) Ramadan iaitu perasaan takut kepada Allah dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya.

“KPI Ramadan ialah takwa. Oleh itu, selepas menjalani dua pertiga daripada ibadah puasa, apakah kita berjaya melaksanakan ibadah dengan sempurna. Cara ingin tahu ialah apabila kita seronok menjalani ibadat puasa dan amalan lain.

“Jika kita tidak rasa keseronokannya, maka pusingan pertama dan kedua yang sudah berlalu tidak berjaya mencapai KPI Ramadan. Adakah puasa kita takutkan Allah, ini perlu kita fikir,” katanya pada majlis ceramah Ihya Ramadan di Surau The New Straits Times Press (NSTP), baru-baru ini.

Katanya, keindahan Ramadan boleh diperoleh dalam banyak cara, hatta tujuan bersahur dan berbuka puasa juga boleh menjadi kayu pengukur kepada kesungguhan seseorang itu menempuh madrasah yang menguji kesabaran serta keimanan.

Matlamatnya ada satu iaitu meningkatkan rasa takut (takwa) kepada Allah demi mencari bekalan untuk dibawa di akhirat nanti kerana kehidupan yang sebenar bagi orang yang beriman ialah kehidupan akhirat.

Justeru, sahur, berbuka, solat sunat tarawih serta amalan baik yang lain bukan perbuatan membuang masa tetapi sebagai bukti ketakwaan kepada Allah.

Contoh diberi, rasa takwa menyebabkan mereka yang menikmati makan sahur dan juadah berbuka terasa dalam hatinya takut kepada Allah dan mensyukuri bahawa setiap rezeki adalah kurniaan Allah.

Begitu juga amalan wajib serta sunat yang dilakukan berlipat kali ganda sepanjang Ramadan mempunyai matlamat jelas untuk mencari keredaan Allah serta mencapai ketakwaan.

Zamihan berkata, perasaan takwa tidak akan jatuh ke dataran hati yang kotor dan berdosa kepada Allah iaitu hakikat perlu disedari kenapa penegasan ibadat puasa dibuat untuk golongan beriman seperti firman Allah yang dikaitkan dengan perintah puasa.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu beroleh takwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Katanya, perasaan itu juga gagal dirasai oleh mereka yang tidak bernar-benar bertaubat kepada Allah kerana Ramadan yang menjadi bulan membersihkan diri daripada dosa sementara dosa pula akan mengganggu ibadat.

“Sepatutnya pada bulan Syaaban kita sudah meminta maaf pada semua orang sebagai persediaan menghadapi Ramadan yang mulia. Memohon ampun atas dosa kepada Allah pula melalui taubat nasuha iaitu menyesal, berazam tidak mengulangi dan meninggalkan terus perbuatan dosa itu.

“Jika buat ibadat tidak rasa keseronokan, tidak rasa menuju akhirat disebabkan kita masih bergelumang dosa yang menjadi dinding pemisah mendapat takwa. Jangan jadikan dosa dan noda halangan untuk menikmati takwa,” katanya.

Beliau berkata, objektif Ramadan juga ialah untuk membebaskan diri daripada api neraka dengan berdoa kepada Allah terutama pada malam lailatul qadar yang menjadi rahsia Allah tetapi dianjurkan umat Islam mencarinya sepanjang 10 terakhir Ramadan.

Bagaimanapun katanya, seperti janji Allah, doa hamba-Nya hanya akan diperkenankan dengan syarat mereka mengikut perintah Allah terlebih dulu.

Maka jika Ramadan berjaya menghasilkan takwa dan syukur, ia menjadi nilai tambah kepada kehidupan dunia serta akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Golongan masuk syurga tanpa hisab

Posted by epondok di Ogos 25, 2011

RASULULLAH SAW adalah manusia pertama masuk syurga, sedangkan umatnya adalah umat yang pertama antara umat Nabi lain yang masuk syurga. Dalam hadis disebutkan bahawa Abu Bakar adalah orang yang masuk syurga selepas Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku mendatangi pintu syurga, lalu aku memintanya untuk dibuka. Malaikat yang bertugas menjaga pintu syurga bertanya: Anda siapa? Aku menjawab: Muhammad.

Lalu, ia berkata: Aku diperintah supaya tidak membuka pintu syurga untuk siapa pun sebelum anda.” (Hadis riwayat Muslim) Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Malaikat Jibril mendatangiku seraya memperlihatkan pintu syurga yang akan dimasuki oleh umatku. Lalu, Abu Bakar bertanya: Ya Rasulullah, saya senang jika saya boleh melihat bersamamu! Rasulullah menjawab: Wahai, Abu Bakar, engkau adalah orang yang pertama masuk syurga dari umatku.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Golongan pertama yang akan masuk syurga, wajahnya nampak seperti bulan pada malam purnama, mereka tidak meludah tidak ingusan, tidak buang air kecil, dan tidak buang air besar, mereka dibuat dari emas. Aroma dupanya harum seperti dupa India. Aroma peluh mereka seperti wangian. Setiap orang mempunyai dua isteri yang sumsum betisnya kelihatan di balik dagingnya kerana kecantikannya. Tidak ada perbezaan pendapat di antara mereka. Mereka tidak saling dengki satu sama lain. Mereka bertasbih kepada Allah, setiap pagi dan petang.” (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Sudah dikemukakan hadis mengenai orang yang akan masuk syurga tanpa hisab (penghitungan). Mereka adalah orang yang bertakwa dan beramal soleh. Mereka beriman kepada Allah hingga sampai pada darjat takwa tinggi seperti mana mereka sampai pada darjat amal soleh yang tinggi.

Merekalah orang yang tidak akan dihisab amalnya. Mereka juga tidak akan ditimbang, tidak ada buku amal, kecuali buku bertuliskan: Lulus kerana Allah dan Rasulullah SAW.

Di antara kurnia, kenikmatan dan kemuliaan Allah bahawa Dia menganugerahkan kepada Rasulullah SAW pada setiap satu orang dari yang 70,000 itu membawa 70,000 orang pula.

Daripada Abu Bakar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku dianugerahi Allah 70,000 orang dari umatku masuk syurga tanpa hisab. Wajah mereka nampak seperti bulan pada malam purnama. Hati mereka semuanya sama. Lalu, aku memohon tambahan kepada Allah dan Allah menambahkan untukku setiap satu orang menjadi 70,000 orang.” (Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad dengan sanad yang sahih).

Golongan orang yang akan masuk syurga tanpa hisab adalah golongan yang sifatnya disebutkan dalam surah Al-Waqi’ah. Allah memberi sifat kepada mereka sebagai orang-orang yang beriman paling dahulu dan mereka didekatkan kepada Allah di syurga. Mereka adalah segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian. Kepada mereka, Allah telah menanamkan kemuliaan, cinta takdir, dan keagungan. Mereka adalah cermin dalam iman, amal kebaikan, jihad, ilmu, anugerah, kelembutan hati, cinta, kesempurnaan, akhlak, dan keagungan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang paling dulu (beriman), merekalah yang paling dulu (masuk syurga), mereka itulah orang yang dekat (kepada Allah), berada dalam syurga kenikmatan segolongan besar dari orang yang terdahulu, dan segolongan kecil dari orang yang kemudian.” (Surah Al-Waqi’ah, 10-14).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »