Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 Ogos 2011

Pencarian lailatul qadar

Posted by epondok di Ogos 24, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.

Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada.

Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.

Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum selesai.

Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini.

Keutamaan lailatul qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan lailatul qadar.

Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.

Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang ‘haram’ dilepaskan.

Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.

Benarlah pesan Rasulullah SAW bahawa, “Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala kebaikan)”.

Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.

Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang.

Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.

Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut.

Oleh itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah SWT kepada kita.

Mendapatkan lailatul qadar

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.

Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.

Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya.

Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.

Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto’ misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)”.

Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut.

Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.

Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai.

Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka ‘Afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘nniy yang maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku”.

Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.

Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.

Menghantar Pulang Tetamu Agung

Ramadan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi.

Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.

Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang.

Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadan kali ini hingga ke ‘hujung desa’. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadan kali ini bersisa sedikitpun.

Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.

Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-‘Aliyyil ‘Adzim yang maksudnya, “Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

 

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Mercun bawa manfaat atau mudharat

Posted by epondok di Ogos 24, 2011

Oleh Muhammad Asyraf

Mercun bahayakan kanak-kanak, ganggu kejiranan

MERCUN secara umumnya digunakan semasa pesta ataupun perayaan seperti Tahun Baru Cina. Mercun juga digunakan masyarakat Vietnam semasa pesta Tet terutama pada tengah malam Giao Thua (Malam Tahun Baru).

Mercun dipercayai kononnya boleh menghalau semangat jahat serta menarik dewa kekayaan ke pintu rumah. Namun, di Malaysia ia sudah menjadi sebahagian permainan yang dimain oleh umat Islam.

Islam tidak melarang permainan mercun. Mercun boleh digunakan pada sambutan tertentu yang dikawal rapi aspek keselamatannya serta dimainkan di kawasan yang tidak mengganggu orang awam.

Namun, bagaimana pula dengan kes membabitkan orang awam. Apakah undang-undang tidak mampu mengekang salah laku permainan mercun ini. Maka dengan itu aspek hukum dan keagamaan perlu mengambil tempat dalam menyelesaikan masalah mercun.

Rasulullah SAW adalah model dan contoh terbaik. Baginda sentiasa mengambil berat akhlak kanak-kanak. Baginda juga tidak menghalang kanak-kanak bermain dan memiliki alat permainan.

Malah, Baginda amat bertoleransi dengan kanak-kanak dalam banyak aspek. Contohnya, walaupun Nabi SAW amat tegas dalam hal menyimpan patung berupa benda hidup, apabila bersangkutan kehendak kanak-kanak maka Nabi SAW membenarkannya.

Cucu Baginda sendiri, Husain bin Ali sewaktu kecil memiliki patung anjing kecil. Begitu juga anak Abu Thalhah iaitu Abu Umair yang memiliki burung sebagai teman bermain. Sama seperti isterinya sendiri iaitu Aisyah turut dibenarkan bermain patung.

Ini bermaksud, dalam kes berinteraksi, Nabi SAW memahami kehendak kanak-kanak yang sukakan permainan. Walaupun dari sudut asalnya, Nabi SAW mengerti meletakkan patung di rumah sebagai hiasan boleh menghalang malaikat rahmat masuk ke dalam rumah.

Sebab itu Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum ad-Din amat bertegas supaya diberikan mainan kepada kanak-kanak. Katanya: “Mencegah anak daripada permainan dan memaksanya terus belajar akan mematikan hatinya, menghilangkan kecerdasan dan menyempitkan hidupnya.”

Kanak-kanak sinonim dengan permainan. Menghalang mereka bermain boleh melambatkan proses kecerdasan mereka.

Bagaimanapun, permainan yang dibenarkan Nabi SAW terbatas kepada beberapa kaedah hukum tersendiri. Ia berkait rapat dengan halal dan haram alat permainan. Jika baik, ia dihalalkan Nabi SAW.

Bagaimana pula jika ia diharamkan. Sudah pasti tanggungjawab itu jatuh kepada kedua-dua ibu bapa mereka dalam mengawal anak.

Walaupun anak masih kecil, ibu bapa dilarang mengajar anak melakukan kemungkaran. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memberi minum anak kecil dengan sesuatu yang tidak diketahui halal dan haram, maka Allah berhak memberinya minum dari kotoran dan nanah ahli neraka.” (Sahihul Jami’)

Jelas kedengaran saban hari pada Ramadan setiap tahun, pasti ada mangsa baru mercun. Berapa ramai kanak-kanak yang putus jari, buta mata dan ada juga mati disebabkan mercun bertindak sebagai bom secara tidak langsung.

Menjadi prinsip penting dalam Islam bahawa sebarang perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain adalah satu dosa serta diharamkan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta benda kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Hak sesama jiran juga perlu dipelihara. Boleh jadi ada jiran yang sakit dan uzur. Boleh jadi ada anak kecil sedang tidur di rumah. Tindakan bermain mercun sudah pasti mengganggu jiran.

Permainan mercun yang mengganggu ketenteraman jiran memperlihatkan nilai kejiranan sudah terhakis, sekali gus berlawanan dengan sabda Rasul yang melarang kita menyakiti jiran sekeliling. Diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya.”

Islam bukan agama yang menghalang penganutnya berseronok tetapi Islam meraikan kehidupan manusia. Apa guna keseronokan jika ia mendatangkan kemarahan kepada satu pihak yang lain.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tuntutan berbeza solat di masjid bagi lelaki, wanita

Posted by epondok di Ogos 24, 2011

Oleh Nik Salida Shuhaila

Perlu jaga aurat, batasan syarak

RAMADAN berkunjung lagi dan seperti biasa kedatangannya menjadi berita gembira buat seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ahli ibadat menjadikan bulan ini bagai pesta, menggandakan amalan dan kebajikan seperti dilakukan Rasulullah SAW serta para sahabat.

Tidak terkecuali, Muslimin di United Kingdom (UK), walaupun jumlahnya tidak ramai, namun kemeriahannya tetap terasa, cuma bagi warga Malaysia di sini, sambutan tidak sama seperti di tanah air.

Di UK, tiada azan menggamit jemaah ke Baitullah, tidak kelihatan mereka berpusu-pusu ke masjid, namun kelihatan beberapa lelaki berjubah labuh berjalan perlahan menuju ke masjid yang tidak berkubah.

Pada Ramadan juga tiada bazar menjual juadah untuk berbuka, justeru, semua makanan dimasak sendiri. Bagusnya, jarang benar ada makanan terbuang, selagi boleh disuap ke mulut, selagi itulah makanan akan disimpan untuk dijamu keesokan harinya.

Mujur juga, mungkin kerana sedar akan diri merantau, ia tidak menjadi masalah buat keluarga Melayu di sini. yang menjadi kerinduan ialah nikmat berjemaah dan bertarawih di masjid. Mungkin menjadi kelaziman, jarang benar ada masjid membenarkan jemaah perempuan solat di masjid.

Berbuka di kedai atau restoran juga adalah perkara yang luar biasa buat wanita di sini. Walau apapun hakikatnya, ia tidak sesekali membantutkan usaha menggandakan ibadat pada bulan penuh berkat ini.

Di Malaysia, hampir seluruh masjid serta surau penuh dengan jemaah lelaki dan wanita yang berebut-rebut bersolat memuji Allah SWT, bertasbih, memohon keampunan, rahmat, hidayah serta pertolongan-Nya.

Walaupun Islam tidak mewajibkan wanita solat berjemaah di masjid, Islam tidak pula melarang, melainkan ada halangan tertentu yang mengutamakan mereka bersolat di rumah. Wanita sudah melazimkan diri solat di masjid sejak zaman Rasulullah SAW.

Dikisahkan Ummul Mukminin Aisyah: “Bahawasanya Rasulullah SAW melaksanakan solat Subuh dan solat bersama dengan Baginda wanita mukminah yang tertutup tubuh mereka dengan hijab, kemudian mereka pulang ke rumah dan tiada seorang pun mengenali mereka.” (Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW juga pernah mempercepatkan solatnya apabila terdengar tangisan anak kecil kerana tidak mahu meresahkan ibu yang sedang solat.

Hakikat ini terakam dalam hadis bermaksud: “Sesungguhnya aku memulai solat dan aku bermaksud memanjangkan solat, tetapi ketika mendengar tangisan anak kecil aku mempercepatkan solatku kerana tahu kuatnya perasaan ibunya apabila mendengar tangisan anaknya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda mafhumnya: “Janganlah kamu melarang isterimu melaksanakan solat di masjid, tetapi solat di rumah mereka lebih baik bagi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Justeru, ramai wanita yang berpusu-pusu ke masjid selepas mendengar seruan solat berjemaah, termasuk Fatimah binti Qais. Beliau adalah antara sahabiyah yang termasuk dalam golongan awal berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.

Beliau menceritakan, beliau bergegas ke masjid sebaik mendengar seruan solat berjemaah dan berada bersama Rasulullah di saf pertama wanita.

Namun, perlu diingatkan, ada sebabnya wanita tidak dituntut solat berjemaah di masjid seperti lelaki. Tetapi jika wanita dapat memenuhi syarat membolehkan mereka ke masjid, maka mereka boleh lakukannya tanpa halangan syarak.

Pertama, wanita harus memastikan tanggungjawab yang lebih utama dilangsaikan terlebih dulu kerana Islam tidak ingin membebankan wanita dengan kewajipan solat di masjid sedangkan pada masa sama mereka mempunyai kewajipan besar terhadap anak dan rumah tangga.

Meskipun begitu, mereka tidak dilarang ke masjid, bahkan suami juga diingatkan supaya tidak menghalang isteri ke masjid melainkan jika mereka mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila isteri salah seorang daripada kamu minta izin untuk melaksanakan solat di masjid, maka janganlah ia melarangnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua, wanita tidak perlu pergi ke masjid untuk solat berjemaah jika mereka tidak menunaikan kewajipan menutup aurat, memakai wangian dan berhias melampaui batasan syarak. Ada segelintir jemaah wanita hanya menutup aurat dengan betul sewaktu hendak menunaikan solat saja.

Ia sangat menjengkelkan kerana perbuatan itu seolah-olah mempermainkan tuntutan agama. Sewaktu mengambil wuduk pula, ada sebilangan yang mendedahkan aurat tanpa segan silu dipandang bukan mahram.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Apabila ada salah seorang dari kaum (wanita) hendak mendatangi masjid, maka hendaklah ia tidak menyentuh wangian.” (Hadis riwayat Muslim)

Wanita di Malaysia harus bijak memanfaatkan laluan yang luas untuk mereka beribadat. Tiada sebab mereka mengabaikan perintah Allah SWT, malah Ramadan adalah masa paling sesuai berikutan mereka mempunyai ruang dan peluang lebih mudah untuk menggandakan hidayah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »