Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 23 Ogos 2011

Kejar Lailatul Qadar Dengan Gigih

Posted by epondok di Ogos 23, 2011

KITA sekarang berada pada fasa terakhir Ramadan yang mana di dalamnya terkandung malam al-qadar. Malam paling istimewa di mana mereka yang beribadat pada malam ini akan diberi ganjaran pahala 1,000 bulan atau 84 tahun.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya: Dan sesiapa yang bangun mendirikan lailatul qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (riwayat Bukhari)

Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ramai juga yang membacanya pada bulan mulia ini tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar daripadanya. Mengapa berlaku demikian?

Memang Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan salah. (al-Baqarah: 185)

Mengapa ada yang tidak mengambil iktibar daripada ayat-ayat Allah ini sebab utamanya adalah kerana kita tidak memahami al-Quran. Oleh yang demikian, kita tidak dapat menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya. Seterusnya, menyebabkan kita gagal menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Sejarah membuktikan bagaimana seorang yang digelar ‘singa’ seperti Saidina Omar al-Khattab yang pada zaman jahiliahnya sangat garang dan membenci Rasulullah SAW akhirnya menjadi insan yang hebat imannya selepas mendapat hidayah Allah menerusi ayat daripada surah Taha.

Bagi kita yang bukan Arab, hendaklah kita berusaha mempelajari al-Quran melalui pengajian-pengajian ilmu tafsir. Ini bukanlah terlalu sukar dilakukan kerana banyak institusi di negara kita sama ada masjid, surau atau juga pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan kuliah atau pengajian ilmu tafsir.

Satu lagi punca berlaku begini ialah kebanyakan kita hanya mempelajari al-Quran secara tradisi. Maknanya kita mula mengaji semasa kecil dan cukup setakat khatam al-Quran sahaja. Sepatutnya pencarian ilmu itu tidak terhenti di situ.

Sebaliknya, selepas belajar mengaji kita meningkatkan ilmu dengan mempelajari ilmu tajwid dan qiraat. Apabila dewasa diteruskan dengan pengajian ilmu tafsir.

Sebagai kitab yang memberi petunjuk seharusnya sikap kita kepada al-Quran adalah sama iaitu membaca, menghayati dan mengamalkannya. Sebaliknya, wujud perbezaan pendirian dalam hal ini. Mengapa ini berlaku?

Tidak semua di kalangan manusia yang beragama Islam memiliki cita rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada yang bersederhana dan ada yang berlumba-lumba berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar. (Faatir: 32)

Ayat ini menggambarkan tiga kelompok manusia yang berbeza pendirian terhadap al-Quran:

a) Golongan yang menganiaya diri sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan. Sebabnya, mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi beramal dengan perintah Allah di dalamnya.

b) Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala. Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia melaksanakan isi kandungannya yang terdiri daripada hukum hakam Allah.

c) Golongan yang berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mereka amat banyak melakukan kebaikan dan jarang membuat kesalahan. Mereka adalah golongan yang bersedia melaksanakan hukum Allah dalam al-Quran.

Seorang ulama terkenal, Muhammad Syakib Arslan berkata beberapa sebab yang membawa kemunduran umat Islam antaranya adalah pertama kejahilan tetapi boleh diajar dan dibentuk.

Kedua, mempunyai ilmu tetapi tidak sempurna. Ini lebih bahaya daripada orang jahil yang lebih mudah diajar. Ketiga, rosak akhlak menyebabkan piawaian hidupnya adalah kebendaan.

Selain kehebatan malam al-qadr, al-Quran juga diturunkan pada waktu malam. Apakah hikmahnya?

Antara hikmahnya, Allah SWT turun ke langit dunia setiap malam dan penurunan al-Quran pada waktu malam itu adalah satu kemegahan dan kemuliaan.

Kedua, ia memberi isyarat tentang beribadat pada waktu malam itu tidak ada riak. Menurut Imam al-Sya’rawi, beribadat dengan sebenar kepada Allah tanpa riak adalah dilakukan pada waktu malam. Seorang yang riak dan nifak tidak mampu beribadat pada waktu malam.

Ketiga, ia juga adalah isyarat kepada kelebihan solat waktu malam. Rasulullah SAW bersabda yang maksud-Nya: Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah puasa sunat bulan Muharam manakala solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat tengah malam (qiamullail). (riwayat Muslim)

Keempat, kita samawi juga diturunkan pada waktu malam. Bermula dengan Suhuf Ibrahim sehingga kepada al-Quran. Manusia dalam kegelapan maka turunnya cahaya Allah (kitab) bagi menerangi kehidupan.

Kelima, malam itu membayangkan keadaan gelap yang dihadapi oleh umat manusia. Maka muncul cahaya dalam kegelapan menerusi perutusan Nabi Muhammad SAW, penurunan al-Quran iaitu cahaya yang dapat menerangi hidup manusia yang hanyut dalam kegelapan jahiliah.

Bagaimanapun, jika ada tanda-tanda tentang lailatul qadar, ia tidak boleh menggunakan akal atau logik tetapi mengikut nas. Alamat atau tanda secara langsung antaranya:

1. Sinar cahaya sangat kuat pada malam al-qadr dibandingkan dengan malam-malam lain.

2. Bertambanh kuatnya cahaya pada malam itu.

3. Ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat daripada malam-malam yang lain.

4. Angin dalam keadaan tenang pada malam al-qadr. Tidak bertiup kencang dan tidak ada rebut petir. Ini berdasarkan hadis dari sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Aku melihat lailatuk qadr kemudian dilupakannya. Lailatul qadr turun pada 10 akhir (bulan Ramadan) iaitu malam yang tenang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak hujan. (riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

5. Terkadang Allah memperlihatkan malam al qadr kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana yang terjadi pada diri para sahabat Nabi SAW.

6. Kenikmatan beribadat dirasakan oleh seseorang pada malam itu lebih tinggi daripada malam-malam lainnya.

7. Alamat selepas terjadi (iaitu pada pagi harinya) di antaranya, matahari terbit dalam keadaan tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan berbeza dengan hari-hari biasa.

Ini berdasarkan hadis dari sahabat Ubay bin Ka’ab yang mengatakan; Sesungguhnya Rasulullah mengkhabarkan kepada kami: Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu dalam keadaan yang tidak tersebar sinarnya. (riwayat Muslim)

8. Alamat yang menyebutkan bahawa tidak ada atau sedikit nyalakan anjing pada malam al-qadr adalah tidak benar kerana ada ditemui pada 10 malam terakhir Ramadan anjing dalam keadaan menyalak.

Ada juga yang beranggapan jika dapat malam al-qadr maka pada bulan lain bolehlah buat maksiat. Adakah ini betul?

Apabila dapat pahala 1,000 bulan tidak bermaksud akan menafikan syariat yang lain yang dikenakan oleh Allah. Mendapat ganjaran lailatul qadr adalah keistimewaan tetapi syariat lain seperti kewajipan solat, puasa, zakat dan lain-lain masih perlu kita tunaikan.

Tentang alamat tadi, tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda malam al-qadr kita tidak mendapat malam tersebut.

Menurut Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir: “Barangkali seorang yang bangun pada malam al-qadr itu tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya.

“Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadat pada malam itu)”.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Untuk kalahkan syaitan perlu ada ilmu

Posted by epondok di Ogos 23, 2011

Oleh Zawawi Yusoh

KITA sebenarnya kuat dan boleh mengalahkan syaitan. Nak kalahkan syaitan bukan sekadar sebut sahaja, tapi kena ada ilmu dan tahu ‘sepak terajang’ syaitan kerana syaitan adalah musuh yang pelik.
Mereka tidak pernah berputus asa daripada rancangannya untuk menyesatkan manusia. Walaupun hanya sedetik; mereka sentiasa mencari kesempatan untuk menunaikan tugasnya.
Syaitan boleh melihat kita daripada sudut yang kita tidak dapat melihatnya dan mencuba pelbagai cara untuk memerangkap kita. Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi.

Taktik dan perangkap mungkin berbeza kepada seseorang kerana taktik yang digunakan bergantung kepada masa, tempat dan situasi. Makhluk yang dihalau daripada pandangan Allah itu berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir.

Syaitan bukanlah makhluk khayalan. Setiap orang perlu berjaga-jaga dengan sebahagian ujian yang berlaku di atas muka bumi ini yang berpunca daripada syaitan.

Ini kerana, selepas menderhaka kepada Allah syaitan bersumpah untuk menyesatkan hamba Allah. Kedegilan syaitan itu dinyatakan di dalam al-Quran.

Perkara penting untuk diingati ialah syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah Mereka diciptakan Allah dan berada di bawah kuasa Allah sepenuhnya.

Syaitan adalah makhluk Allah juga dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan keizinan daripada Allah. Mereka ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar beriman daripada mereka yang tidak beriman.

Syaitan hanya boleh bertindak dengan izin Allah dan apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, mereka akan dihumban ke dalam neraka bersama golongan yang disesatkan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.” (Surah Sd ayat 85).

Maka ingatlah syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat berikutnya, syaitan hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan sebenarnya.

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.” (Surah al-Hijr ayat 39-40).

Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah Memang benar, orang-orang beriman cenderung melakukan kesalahan tetapi mereka tidak pernah putus asa daripada mengharapkan rahmat daripada Allah dan segera memohon perlindungan kepada Allah dan bertaubat dengan seikhlasnya.

Kita diberitahu di dalam al-Quran mengenai mereka yang boleh disesatkan syaitan: Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.

Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah. (Surah an-Nahl ayat 99-100).

Ingatlah, syaitan hendak kita menjadi angkuh, sombong dan derhaka kepada Allah seperti dirinya. Mereka mengarahkan kita melakukan kejahatan dan perkara yang dimurkai Allah dan berkata sesuatu mengenai Allah tanpa ilmu.

Mereka akan cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan bahaya ini di dalam al-Quran: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Surah al-Baqarah ayat 168-169).

Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia dengan kemiskinan iaitu matlamat yang boleh dicapai sekiranya mereka boleh membuatkan manusia lupa hari kiamat.

Tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah kehendaki, orang-orang ini hidup tanpa sebarang perasaan bertanggungjawab dan mereka melakukan segala kesalahan kepada Allah. Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah ayat 268).

Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah menerangkan tipu daya ini “… dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.” (Surah an-Nas ayat 4-5).

Sebagaimana diterangkan ayat di atas, syaitan mendekati manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka:

“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’am ayat 43).

Lebih penting lagi, hati mereka mereka dan berasa dirinya berada dalam kebenaran walaupun sebenarnya mereka sudah terpesong dan membawa diri mereka jauh daripada Al-Quran.

Dengan membelakangkan Allah mereka lebih dekat dengan syaitan, mengikuti caranya dan menjadi semakin biadab.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Banyakkan sedekah di bulan Ramadan

Posted by epondok di Ogos 23, 2011

Oleh AHMAD TAJUDDIN IDRIS

Umat islam dianjurkan membanyakkan sedekah dalam bulan Ramadan walaupun hanya sebiji kurma. – Gambar hiasan

NABI Muhammad SAW orang yang sangat pemurah. Sifat pemurah baginda menyerlah ketika datangnya Ramadan. Seorang sahabat, Abdullah bin Abbas menceritakan perihal Nabi Muhammad ketika berada di dalam bulan Ramadan.

Katanya: “Nabi Muhammad adalah manusia yang paling pemurah dalam kebaikan. Beliau juga adalah manusia yang paling pemurah pada bulan Ramadan lebih-lebih lagi ketika bertemu malaikat Jibril. Malaikat Jibril mengunjungi Nabi Muhammad pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan. Mereka berdua bertadarus al-Quran bersama-sama. Sifat pemurah Nabi Muhammad ketika bertemu Jibril laksana angin yang berhembus (riwayat Bukhari & Muslim).”

Sikap pemurah baginda menjadi teladan kepada para sahabat. Sejarah mencatatkan perjalanan awal dakwah Islam melalui penajaan harta isteri baginda Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan banyak sahabat lain.

Abdurrahman Samurah menceritakan satu peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan. Ketika itu umat Islam sedang bersiap-siap untuk Perang Tabuk.

Uthman Affan datang membawa 1,000 dinar untuk persiapan Perang Tabuk yang juga dikenali sebagai Jaisyu ‘Usrah.

Nilai 1000 dinar pada ketika ini adalah lebih setengah juta ringgit. Uthman kemudiannya meletakkan semua wang itu di pangkuan Nabi.

Kemudian Nabi berkata: “Tidak ada apa-apa yang akan membahayakan Uthman walau apa pun yang dilakukannya selepas hari ini (riwayat Tirmidzi & al-Hakim).”

Kisah sifat dermawan Uthman itu memang diketahui umum dan dihargai oleh para sahabat yang lain. Seorang tabi’in, Muhammad bin Hathib pernah bertanya kepada Ali bin Abi Talib tentang Uthman.

Kata Ali: “Beliau termasuk orang yang beriman kemudian bertakwa kemudian beriman kemudian bertakwa (Fadailus Sahabat, Imam Ahmad).”

Tidak pernah

mengatakan ‘tidak’

Apabila orang datang meminta, Nabi tidak pernah berkata tidak jelas sahabat muda yang sering mendampingi Nabi iaitu Jabir bin Abdullah (riwayat Muslim).

Dalam satu peristiwa, selepas memenangi Perang Hunain, baginda memberi hadiah 100 ekor kambing kepada seorang lelaki bernama Safwan bin Umayyah.

Ketika itu Safwan belum memeluk Islam. Kemudian Nabi menambah 100 ekor lagi dan 100 ekor kambing lagi. Tindakan Nabi itu berjaya menambat hati Safwan untuk memeluk Islam.

Seperti mana yang disebutkan oleh seorang tabi’in bernama Said bin Musayyab” “Sofwan membuat pengakuan demi Allah, Nabi telah memberi aku dengan banyak sekali. Dahulu beliau adalah orang yang paling aku benci, namun beliau selalu memberi kepadaku sehingga sekarang beliau adalah orang yang paling aku sayangi (riwayat Muslim).”

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Waktu dan tempat dimakbulkan doa

Posted by epondok di Ogos 23, 2011

  • Di tengah malam atau sepertiga malam yang akhir
  • Selepas solat fardu
  • Berdoa di tempat sunyi supaya khusyuk
  • Ketika dalam peperangan atau darurat
  • Ketika sujud
  • Ketika dizalimi orang
  • Ketika musafir
  • Bapa mendoakan kebaikan anak
  • Ketika wukuf di Padang Arafah
  • Selepas solat Subuh sebelum terbit matahari
  • Selepas solat Asar
  • Ketika mahu berbuka puasa
  • Ketika sakit
  • Doa pada malam Lailatulqadar
  • Doa pada malam Jumaat
  • Doa dalam Masjidil Haram
  • Berdoa dalam Masjid Nabawi (terutama di Raudhah)
  • Berdoa di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis
  • Apabila khatam membaca al-Quran
  • Doa raja yang adil
  • Doa anak yang taat kepada ibu bapa
  • Doa ketika tawaf mengelilingi Kaabah
  • Berdoa dekat Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah) di Masjidil Haram
  • Berdoa di belakang makam Nabi Ibrahim di Masjidil Haram
  • Berdoa di Hijr Ismail
  • Berdoa di mana juga masjid kerana ia rumah Allah

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »