Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 Ogos 2011

4 Sebab Sembunyi Lailatul Qadar

Posted by epondok di Ogos 22, 2011

MUQADDIMAH

   Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil lailatul qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan. Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, supermarket, pasaraya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

    Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan     ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

    Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad  s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam lailatul qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu blan bagi umat lain.
SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

        Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama  : Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua    :  Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga   :  Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat  :  Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat

Rujukan

1. Al-Quran al-Karim
2. ad-Durrul al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Imam Sayuti, Darul Fikr

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »

Nabi Muhammad menjamin syurga?

Posted by epondok di Ogos 22, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Solat adalah ibadat yang paling utama membolehkan kita memasuki syurga Allah di akhirat kelak.- gambar hiasan

Alhamdulillah, kita terus diberi peluang menghayati Ramadan tahun ini. Kita juga harus tidak lupa mengenang jasa Rasulullah SAW yang yang mengajar kita erti Ramadan melalui kata-kata dan contoh amalan baginda.

Dalam ruangan ini kita masih membahaskan bab keistimewaan dan kelebihan Nabi SAW. Ia terpaksa dibahaskan walaupun sebenarnya tajuk ini tidak sepatutnya jadi kontroversi.

Jika dianalisis dengan insaf, sepanjang sejarah aliran-aliran yang sesat dalam Islam, jarang sekali puncanya kerana terlampau mengangkat dan melebihkan Nabi SAW. Sebaliknya mereka tersasar kerana terlampau dalam melebihkan yang lain.

Syiah tersilap kerana terlampau melebihkan Saidina Ali. Qadiyani terkhilaf kerana melebihkan Mirza Ghulam Ahmad.

Kumpulan-kumpulan Neo-Khawarij dan Neo-Mu’tazilah (Khawarij dan Mu’tazilah Moden) pula tersesat kerana terlalu melebihkan akal fikiran sendiri berbanding dengan tafsiran yang berautoriti.

Adapun aliran tradisi, Asha’irah, Sufi atau seumpamanya yang sebenarnya merupakan majoriti ummah yang kadang-kadang dituduh tersesat kerana terlalu mengagungkan Nabi SAW.

Hakikatnya sikap mereka ini menepati acuan al-Quran dan al-Sunnah. Cuma mungkin sesetengah sudut kelebihan Nabi SAW jarang dibentangkan dengan baik sehingga kedengaran aneh dan janggal bagi mereka yang jarang mendengarnya.

Ia termasuklah soal keistimewaan Nabi Muhammad dalam menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al-Hafiz al-Suyuti, al-Qustallani, dan al-Zurqani di dalam syarahnya bagi kitab al-Mawahib al-Ladunniyyah.

Kita sedia maklum, bahawa al-iqto’ iaitu menjamin tanah syurga hanya dimiliki oleh ahli tauhid dan dengan izin perkenan daripada Allah SWT sama ada melalui wahyu, ilham atau pun al-tafwidh (penyerahan) daripada Allah.

Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: “Aku hanyalah pembahagi, dan Allahlah Pengurnia.”

Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda.

Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan makruf pada sesiapa pun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.

Ia adalah ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu.

Jika ia dinisbahkan kepada Nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi, dan menyokong baginda.

Keistimewaan ini mempunyai contoh dan asas yang amat banyak dan kita hanya akan menyebut yang terpenting sahaja.

Antaranya, makna menjamin tanah syurga adalah nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke syurga.

Saksi Baiah Aqabah ahli syurga

Jaminan ini diperolehi oleh mereka yang menyaksikan Baiah (Perjanjian) Aqabah. ‘Ubadah ibn Somit meriwayatkan dengan katanya: “Aku termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian Aqabah yang pertama.

“Dalam perjanjian tersebut, kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kita, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kita ada-adakan di antara kita dan tidak akan menderhakai nabi dalam perkara kebaikan.”

Baginda bersabda: “Jika kalian menyempurnakan baiah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki Dia akan menyiksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian.”

Disebut oleh Ibnu Kathir dalam Bab Permulaan Keislaman Kaum Ansar (Ibnu Kathir: Al-Sirah, 2:176).

Dalam Sahih Muslim disebutkan dengan tegas bahawa baiah tersebut disyaratkan dengan jaminan masuk syurga. Ubadah ibn Somit berkata: “Aku termasuk di antara pemimpin yang membaiah Rasulullah SAW.”

Dia berkata lagi: “Kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kita dijanjikan syurga jika kita melakukan perkara-perkara tersebut.”

Dalam satu riwayat disebutkan, bahawa Nabi bersabda: “Sesiapa menyempurnakan (baiahnya), maka baginya balasan syurga (Ibnu Kathir, al Bidayah wal al Nihayah, jld 3 hlm 150).”

Menurut riwayat Qatadah mereka yang berbaiah itu berkata: “Wahai Rasulullah! Apa hak kita jika kita memenuhi (baiah itu)?” Baginda SAW menjawab: “Syurga. (al-Bidayah wal al-Nihayah, 3: 162).”

Menurut riwayat Ibnu Mas’ud bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu telah melaksanakan (baiah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga (riwayat Imam al Tabrani. Lihat Majma’ al Zawa’id, 6: 47).”

Utbah ibn Amru al Ansari meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika kamu melaksanakan (baiah) itu, kamu berhak atas jaminan Allah dan juga aku, untuk masuk syurga (riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu ‘Asakir. Lihat Kanz al ‘Ummal 1: 67).”

Berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah, disebut bahawa Rasulullah pernah memberikan kedua belah capalnya kepada Abu Hurairah.

Kemudian baginda bersabda kepadanya: Pergilah kamu! Sesiapa sahaja yang kamu temui di belakang dinding ini bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, maka gembirakanlah dia dengan syurga. (riwayat Imam Muslim di dalam Kitab al Iman).

Begitulah sebahagian perbahasan berkenaan soal ini yang akan disambung minggu hadapan dengan izin-Nya.

Kesimpulan awal yang boleh dibuat di sini adalah tidak salah menerima ungkapan Nabi SAW menjamin syurga dengan kefahaman yang kita sebut di atas.

Ia tidaklah bercanggah dengan tauhid kerana hakikatnya kelebihan ini tidaklah terkeluar daripada kurniaan dan kekuasaan Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | 2 Comments »