Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Ogos 2011

Cara Menghidupkan Ramadhan

Posted by epondok di Ogos 19, 2011

Oleh : Jusuh Mamat
Penolong Pengarah Penerbitan
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam

Terbitan : Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.

 

Sepatah kata بسم الله الرحمن الرحيمالحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين .Saya bersyukur kepada Allah SWT. Kerana bersempenaan pelancaran Ihya’ Ramadhan 1419 H bersamaan 1998/99 M, risalah yang menghidangkan “Santapan Rohani di dalam Bulan Ramadhan dapat dikeluarkan dengan harapan mendapat manafaat kepada Muslimin sekalian di dalam menghayati bulan Ramadhan.

Kesempatan ini juga saya ucapkan kepada sekalian Muslimin, selamat menyambut bulan Ramadhan alMubarak 1419H dan selamat berpuasa

Haji Cik Dir B. Ibrahim
Pengarah
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Negeri Kelantan.
13 Sya’aban 1419 H,
2 Disember 1998 M.
 

SANTAPAN ROHANI DI DALAM BULAN RAMADHAN

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين .

Seandainya peniaga mencari peluang atau musim baik untuk mendapat keuntungan besar dari perniagaannya , maka begitu juga bagi orang-orang mukmin dalam menyambut bulan Ramadhan sebagai musim yang teristimewa, mereka mempastikan perolehan pahala sebesar-besarnya daripada Allah dengan penuh yakin di mana Allah akan memberi gandaan pahala amalan-amalan baik yang dikerjakan di dalam bulan Ramadhan daripada sepuluh kali kepada tujuh ratus kali ganda pahala dan tidak terhingga lagi banyaknya.

Bagi memperolehi keuntungan yang besar ini, setiap orang mukminin di tuntut supaya memberi perhatian sewajarnya kepada perkara-perkara berikut,

  1. Bulan Ramadhan musim mencari keuntungan pahala yang besar untuk akhirat sekali setahun.
  2. Bulan Ramadhan musim pembebasan daripada neraka , musim pengampunan dosa terdahulu dan kemudian dan musim pintu syurga dibuka terusan.
  3. Bulan Ramadhan musim memperdekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan kebajikan dan ketaatan.
  4. Bulan Ramadhan musim memperkayakan sifat-sifat mahmudah dan menghapuskan sifat-sifat mazmumah pada seseorang.
  5. Bulan Ramadhan musim limpahan rahmat dan hidayat Al-Quran untuk manusia dan musim memperdekatkan diri secara sungguh-sungguh kepada Al-Quran (memabaca Al-Quran dan bertadarrus)

Sama-samalah kita berusaha memperolehi sebanyak-banyak keuntungan pahala di dalam bulan Ramadhan dengan amalan-amalan ketaatan kepada Allah. Risalah ini menghidangkan secebis panduan yang difikir berguna kepada kita semua untuk dimanafaatkan di sepanjang bulan Ramadhan AlMubarak.

Sekian,

وصلى الله على محمد

Hormat dari saya,
Jusoh Mamat
Penolong Pengarah Penerbitan
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam

SANTAPAN ROHANI BULAN RAMADHAN

1. Peringatan dari langit

Sabda Rasulullah SAW :

إِذَا كَانَتْ أَوّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَنَادَى مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ. وَيَا بَاغِيَ الشّرّ أَقْصِرْ. وَلِلّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النّارِ. وَذَلِكَ فِي كُلّ لَيْلَةٍ

– Riwayat Al-Khamsah

Maksudnya : Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan seruan (dari langit) menyeru : Wahai orang yang ini berbuat kebajikan teruskanlah (mara berbuat kebajikan), wahai orang yang ingin berbuat kejahatan hentikanlah, bagi Allah melepaskan ramai orang dari neraka. Seruan itu pada tiap-tiap malam.

2. Wasiat Rasulullah SAW.

Hakikat sebenar bulan Ramadhan dan kebesarannya. Rasulullah SAW telah memberi wasiat di akhir khutbah baginda , berbunyi :

… واستكثروا فيه من أربع خصال : خصلتين ترضون بِهِمَا ربكم وخصلتين لا غناء بكم عنهما . وأما الخصلتان اللتان ترضون بِهِمَا ربكم : فشهادة أن لا إله إلا الله وتستغفرونه . وأما اللتان لا غناء بكم عنهما فتسألون الله الجنة , وتعوذون به من النار . ومن سقى صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظماء بعدها حتى يدخل الجنة

Maksudnya : Perbanyakkanlah beramal di dalam bulan Ramadhan dalam empat perkara. Dua perkara untuk kamu beroleh keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu tidak boleh terlepas darinya. Adapun dua perkara yang kamu beroleh keredhaan Allah ialah kesaksian kamu (syahadah) ” لا إله إلا الله” dan kamu beristighfar kepada-Nya. Dan dua perkara yang kamu tidak boleh terlepas darinya ialah kamu memohon syurga dari Allah dan memohon berlindung dengan-Nya dari neraka. Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa (ketika berbuka) Allah akan memberi minum kepadanya air dari kolamku sebagai air minum yang tidak akan dahaga lagi selepas meminumnya sehingga dimasukkannya ke dalam syurga.

3. Penghayatan wasiat

Penghayatan dari wasiat di atas sebagaimana berikut :

  1. Perbanyakkan bermalam di dalam bulan Ramadhan berzikir ” لا إله إلا الله” .
  2. Perbanyakkan beristighfar di dalam bulan Ramadhan dengan mana-mana lafaz istighfar, juga perbanyakkan bertaubat dari dosa.
  3. Perbanyakkan berdoa memohon syurga di dalam bulan Ramadhan juga perbanyakkan berdoa berlindung dari neraka.
  4. Memberi makanan atau minuman berbuka kepada orang berpuasa adalah besar pahalanya.

4. Menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan.

Adalah suatu keberuntungan kepada orang-orang mukmin yang tidak melepaskan peluang gandaan pahala yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya di sepanjang bulan Ramadhan yang meliputi rahmat, keampunan dan kesucian dari dosa yang melayakkan memasuki syurga.

Rasulullah SAW menarik perhatian umat-umatnya supaya berusaha mendapatkan gandaan amalan-amalan di dalam bulan Ramadhan , di antaranya menghidupkan malam-malamnya, sebagaimana sabda baginda :

مَنْ قامَ رَمَضانَ إِيماناً واحْتِساباً غُفِرَ له ما تَقدّم مِنْ ذَنْبِه

– Diriwayatkan oleh Bukhari-

Maksudnya : Barangsiapa yang menghidupkan (malam-malam) bulan Ramadhan (dengan berbuat amal) sepenuh keimanan dan mencari pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu.

5. Bagaimana hendak dilakukan

Menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan boleh dilakukan sekurang-kurangnya :

  1. Mengikut pendapat Al-Syaukani : Ialah dengan, atau semata-mata sembahyang yang memberi maksud menghidupkan malam dengan beramal malam (Qiamullail).
  2. Mengikut pendapat Imam An-Nawawi : Menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan berhasil dengan sembahyang terawih, kerana Qiam Ramadhan tidak berlaku melainkan dengan sembahyang terawih.

6. Sebaik-baik peluang

Tiap-tiap orang mukalaf yang melakukan dosa wajiblah bertaubat segera di dalam bulan Ramadhan dan sebaik-baik peluang untuk bertaubat. Keperluan bertaubat sebagaimana berikut :

  • Menyesal daripada pekerjaan dosa yang telah dikerjakan.
  • Meninggalkan pekerjaan dosa itu dengan kehendak sendiri.
  • Berazam tidak hendak kembali selama-lamanya berbuat dosa.
  • Benci kepada perbuatan dosa sebagaimana benci kepada racun.
  • Memperbanyakkan beristighfar kepada Allah.

7. Praktik bertaubat

Bertaubat dipraktik atau dilakukan sebagaimana berikut :

  1. Menyebut dengan lidah : Iaitu mengaku berlaku zalim dengan menyebut :

رَبِّ , ظَلَمْتُ نَفْسِيْ , وَعَمَلْتُ سُوْءَ فَاغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِي

Maksudnya : Tuhanku, ku telah menzalimi diriku, ku telah melakukan kejahatan, maka ampunilah segala dosaku.

Dan juga dengan beristighfar (menyebut mana-mana Istighfar).

  1. Melakukan dengan anggota iaitu berbuat sebarang amalan ketaatan kepada Allah, bersedekah dan jenis-jenis ibadat yang lain.

Mengikut atsar Sahabat cara bertaubat yang lebih kepada mendapat keampunan daripada Allah apabila diikuti dengan lapan amalan, empat daripadanya amalan hati dan empat lagi amalan anggota.

Empat daripada amalan hati :

1.      Taubat yang disebatikan dengan azam.

2.      Kerelaan hati membuang dosa.

3.      Menimbulkan perasaan takut kepada seksa di akhirat.

4.      Menaruh harapan mendapat keampunan Allah.

Empat daripada amalan anggota :

1.      Sembahyang sunat Taubat dua rakaat.

2.      Beristighfar kepada Allah 70 kali (selepas salam).

Dan mengucapkan (100 kali)”سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ”

3.      Memberi sedekah.

4.      Berpuasa satu hari (selain puasa bulan Ramadhan).

(Ihya’ Ulumuddin , Juzu’ 12, M/s 2145)

Kata Imam Ghazali Rahimahullah, kata setengah hukama’ : Sesiapa yang diberi oleh Allah empat perkara nescaya tiada ditegahkan daripada empat perkara :

  • Sesiapa yang diberi oleh Allah akan syukur, nescaya tiada ditegahkan tambahan nikmatnya.
  • Sesiapa yang diberi oleh Allah akan taubat, nescaya tiada ditegahkan kebajikan.
  • Sesiapa yang diberi oleh Allah musyawarah, nescaya tiada ditegahkan kebenarannya.

(Hidayah As-Salikin fi Suluk Maslak Al-Muttaqin m/s 262)

8. Taubat meninggalkan yang fardu

Jika dosa yang berhubung dengan meninggal yang fardu seperti sembahyang, puasa, zakat maka hendaklah segera qadha’, bahkan hendaklah diutamakan qadha’ yang fardu dari mengerjakan amalan-amalan sunat. Ini berlainan dengan sunat di bulan Ramadhan, kerana sunat terawih yang berpahala besar, juga sunat muakkadah tidak patut ditinggalkan.

9. Taubat dosa yang bersangkut dengan manusia.

–          Jika doa itu yang berkaitan dengan harta benda hendaklah dikembalikan kepada empunyanya. Jika yang empunya harta benda itu sudah tiada lagi maka hendaklah harta itu dibuat kebajikan atau disedekahkan dengan meniatkan pahala bagi empunyanya.

–          Jika yang berkaitan dengan mengumpat dan mencabuli kehormatan hendaklah minta halalkan dari yang kena umpat dan yang kena cabul.

–          Jika dosa membunuh hendaklah menyerahkan diri kepada warisnya yang kena bunuh / minta halalkan.

–          Jika dosa meluka / mencedera hendaklah membayar ganti rugi / minta halalkan jika ia masih hidup.

10. Taubat dosa yang bersangkut paut dengan binatang.

Mintalah keampunan dengan Allah, kerana Allah sahaja yang mengampun dan Dialah (Allah) yang menjadikan binatang.

11. Rintihan dalam bertaubat.

Iringilah dalam bertaubat doa rintihan berikut :

اللَّهُمَّ مَغْفِرَتَكَ أَوْسَعُ مِنْ ذُنُوْبِنَا

” Hai Tuhanku ! Keampunan Engkau terlebih luas daripada segala dosa kami”

وَرَحْمَتَكَ أَرْجَى عِنْدَنَا مِنْ أَعْمَالِنَا

” Dan rahmat Engkau dan kasihan Engkau lebih besar daripada harapan kami kepada amalan kami”

وَكَرَمَكَ وَجُوْدَكَ مَسْبُوْلٌ عَلَيْنَا وَعَلَى الْمُذْنِبِيْنَ

” Dan kemuliaan Engkau dan kemurahan Engkau terlepas dan terhampar ke atas kami dan ke atas hamba Engkau yang berdosa”

12. Contoh istighfar Nabi SAW.

الّلَهُمّ اغْفِرْ لِي خَطِيْئَتِي وَجَهْلِي. وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي. وَمَا أَنَتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي. الّلَهُمَّ اغْفِرْ لِي هَزْلِي وَجِدِّي. وَخَطَئِي وعَمْدِي. وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِي. الّلَهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ. وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ. وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي. أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ. وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : Ya Allah ! Ampunilah daku kesalahanku, kejahilanku dan perbuatanku yang melampau-lampau, dalam urusanku, dan perkara yang Engkau lebih tahu daripadaku. Ya Allah ! Ampunilah daku sendaanku, kesungguhanku, salahku dan sengajaku, semuanya itu dariku. Ya Allah ! Ampunilah daku dosaku yang telah kulakukan dahulu dan yang akan kulakukan kemudian, dosaku yang tersembunyi dan yang nyata padaku dan dosa yang Engkau lebih mengetahui dariku. Engkaulah yang terdahulu dan Engkaulah yang terakhir. Engkaulah ya Allah, berkuasa ke atas segala sesuatu.

13. Doa menyambut ketibaan bulan Ramadhan

اللّهُمَّ أَهْلِهُ عَلَيْنَا بالأَمْنِ وَإِلايمَانِ والسَّلاَمَةِ وَالإِسْلاَمِ وَالتَّوْفِيْقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى. رَبُّنَا ورَبُّكَ اللهُ

Maksudnya : Ya Allah ! Jadikanlah kedatangan (Ramadhan) ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, menyerah diri (dengan agama Islam) dan mendapat taufik bagi perkara yang Engkau suka dan Engkau redha. Tuhan kami dan Tuhan engkau (bulan) ialah Allah.

14. Ucapan setelah di isytihar puasa bulan Ramadhan.

هِلاَلٌ خَيْرٍ وَرُشْدٍ آمَنْتُ بالّذِيْ خَلَقَكَ

Maksudnya: Anak bulan kebajikan dan anak bulan petunjuk, ku beriman dengan Engkau (Allah) yang telah jadikan.

15. Lafaz niat puasa Ramadhan.

نَوْيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءٍ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan fardu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah taala.

16. Doa berbuka puasa.

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أفْطَرْتُ

Maksudnya : Ya Allah untuk-Mu ku berpuasa dan atas rezeki-Mu ku berbuka.

17. Doa berbuka puasa bersama keluarga / beramai-ramai.

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَعَلَى رِزْقِكَ أفْطَرْنَا , فَتَقَبَّلَ مِنَّا ، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Maksudnya : Ya Allah, untuk-Mu kami berpuasa dan atas rezeki-Mu kami berbuka, maka terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

18. Doa ketika menerima sesuatu pemberian.

بَارَكَ اللهُ لَكَ فِيْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ

Maksudnya : Allah memberi berkat kepadamu, pada ahli keluargamu dan harta bendamu.

جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا

Maksudnya : Allah sahaja yang membalas dengan sebaik-baik balasan.

19. Ucapan di kala terlintas di dalam hati sesuatu yang tidak baik / perasaan marah.

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Maksudnya : Ku berlindung dengan Allah dari syaitan yang kena rejam.

20. Ucapan Apabila terlanjur melakukan kesalahan dosa.

أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ

Maksudnya : Ku memohon ampun dengan Allah yang Maha Besar.

21. Ucapan apabila dilempar kata-kata kesat / kata-kata tidak sopan

إِنِّيْ صَائِمٌ , إِنِّيْ صَائِمٌ

Maksudnya : Sesungguhnya ku orang yang berpuasa (dua kali)

22. Ucapan apabila menghadapi sesuatu yang tidak disenangi.

اَلْحَمْدُ ِللهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Maksudnya : Segala puji bagi Allah atas segala keadaan.

23. Bacaan ketika sujud tilawah / sujud sejadah.

سَجَدَ وَجْهِي للّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِوَقُوَّتِهِ فَتَبَارَكَ اللهُ أحْسَنُ الخَالِقِينَ

Maksudnya : Telah sujud muka dan seluruh diriku kepada Allah yang telah mencipta dan membentuk rupanya, juga yang telah mencipta pendengaran dan penglihatannya (dengan perantaraan telinga dan mata). Dengan kuasa Allah jualah (pendengaran dan penglihatan terpelihara dengan selamatnya). Maha suci Allah sebaik-baik pencipta.

24. Bacaan ketika sujud syukur.

الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِي عَافَانِي مِمّا ابْتَلاَنِي , وَفَضَّلَنِيْ عَلَى كَثِيرٍ مِنْ عِبَادِهِ تَفْضِيلاً

Maksudnya : Segala puji dan syukur kepada Allah telah memberikan kesihatan kepadaku dan apa yang diuji kepadaku dan telah memberikan banyak kepadaku dari kalangan hambanya yang ramai.

25. Doa sepanjang bulan Ramadhan / untuk mendapat Lailatul Qadar.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيْ

Maksudnya : Ya Allah ! Sesungguhnya Engkau Pengampun , Mulia, suka memberi keampunan, maka ampunilah dosaku.

26. Doa selepas membaca Al-Quran.

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا بِكُلِّ حَرْفٍ مِنَ الْقُرْآنِ حَلاَوَةً , وَبِكُلِّ كَلِمَةٍ كَرَامَةً , وَبِكُلِّ آيَةٍ سَعَادَةً , وَبِكُلِّ سُوْرَةٍ سَلاَمَةً , وَبِكُلِّ جُزْءٍ جَزَاءً . وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

Maksudnya : Ya Allah ! Kurniakanlah kepada kami setiap huruf dari Al-Quran kemanisan iman, setiap kalimah Al-Quran kemuliaan, setiap ayat Al-Quran kebahagiaan, setiap surah Al-Quran keselamatan, dan setiap juzuk Al-Quran balasan. Dan selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad, keluarga baginda dan para sahabat kesemua.

27. Uswah untuk kaum wanita.

Jadikanlah di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini Uswah / ikutan daripada amalan Siti Fatimah bt. Rasulullah SAW. yang diamalkan ketika hendak tidur, iaitu :

Baca

33 Kali : سُبْحَانَ اللهِ

33 Kali : اَلْحَمْدُ ِللهِ

33 Kali : اَللهُ أَكْبَرُ

Kelebihan (fadhilat).

–          Dapat mentadbir rumah tangga dengan baik dan teratur.

–          Dapat melahirkan ahli keluarga bahagia dan bertakwa kepada Allah.

–          Dapat membentuk suri rumah yang soleh.

Sekian .

Rujukan :

  1. Al-Azkar : li An-Nawawi
  2. Min wasoya Ar-Rasul SAW.
  3. Durratu An-Nasihin.
  4. Mestika Hadis : Jilid 2.
  5. Ihya’ ‘Ulumuddin Juzuk 12.
  6. Hidayatu As-Saliki fi Suluki Al-Muttaqin.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mengejar tawaran istimewa Lailatul Qadar

Posted by epondok di Ogos 19, 2011

>Info Malam Lailatulqadar

> Imam Hasan al-Basri, berkata antara tanda malam lailatulqadar ialah suasana malamnya tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin.

> Air laut juga kelihatan jernih, anjing tidak banyak menyalak dan matahari terbit pada keesokan paginya dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup.

> Dalam Sahih Muslim dinyatakan bahawa pada malam lailatulqadar seramai 70,000 malaikat turun dari Sidratul Muntaha ke bumi.

> Malaikat membawa rahmat Allah memasuki rumah serta memberi salam kepada orang Islam kecuali rumah yang mempunyai anjing, khinzir, arak dan patung.

> Malaikat akan naik semula ke langit secara serentak dengan sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas matahari menyebabkan suasana di bumi dingin dan tenang.

> Sesiapa yang menyedari tanda itu, mereka hendaklah meningkatkan amalan dan berdoa sepanjang hari sebagaimana ketekunan ibadahnya di malam hari.

> Malam lailatulqadar adalah malam yang penuh rahsia. Hanya Allah mengetahui bila ia terjadi. Rasulullah sangat menggalakkan umatnya mencari peluang beriktikaf di malam lailatulqadar.

Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Carilah malam lailatulqadar pada bilangan ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

> Mengikut Anas daripada nabi menyatakan bahawa: “Allah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat sebelumnya.”

> Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari)

> Gandakan ibadat pada malam ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ganjil iaitu 21, 23, 25, 27 dan 29.

> Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan Ali bin Abu Talib.

“Sesungguhnya Rasulullah membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat): ‘Ya Allah Sesungguhnya aku berlindung dengan keredaan-Mu daripada segala kemurkaan-Mu. Aku berlindung dengan kemaafan-Mu daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. Aku juga berlindung dengan Zat-Mu yang tidak terhitung segala nikmat dan belas kasihan yang Engkau berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-Mu seperti mana pujian yang layak bagi Zat-Mu.’” (Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad)

> Umat Islam dianjurkan berdoa sebagaimana dikhabarkan daripada Aishah: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada lailatulqadar apakah yang sepatutnya aku ucapkan?”

Bahawa Aisyah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatulqadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Katakanlah: ‘Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbu al-afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku).’” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah).

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Taqwa himpunan sifat luhur

Posted by epondok di Ogos 19, 2011

Oleh Dr Abdullah Zain

Kawalan cegah tingkah laku daripada berbuat dosa

BERADA pada Ramadan bererti kita berada di pusat latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu mengeluarkan graduan berakhlak mulia serta berkeperibadian tinggi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, telah difardukan puasa ke atas kamu sebagaimana difardukan ke atas umat sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu dengan perantaraan puasa itu memperoleh takwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Allah mengaitkan kefarduan puasa dengan faedah diperoleh daripadanya iaitu puasa boleh mewujudkan sifat takwa dalam diri seseorang yang menyuburkan keimanan dalam hati nurani manusia.

Oleh itu, timbul dua persoalan yang harus diberi jawapan dan penjelasan iaitu apakah yang dimaksudkan sifat takwa itu dan apakah huraian serta penjelasan berhubung takwa itu?

Takwa ialah suatu kesan positif yang timbul dalam hati seseorang apabila ia menunaikan ibadah puasa dengan mengikut syarat, peraturan dan adab yang telah ditetapkan Islam.

Ibadat puasa mampu menggerakkan hati supaya bertakwa kepada Allah. Hati yang bertakwa adalah pangkalan bagi segala kebaikan dan boleh melahirkan sifat luhur seperti semangat jihad melawan hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan pelanggaran perintah Allah.

Semangat jihad menentang bisikan jahat syaitan yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan kemungkaran, munculnya sifat sabar dengan pengertiannya luas iaitu sabar kerana taat menanggung kesusahan dan kesukaran semasa mengerjakan ibadat.

Begitu juga sabar dengan tidak melakukan maksiat iaitu menahan diri daripada melayani kehendak hawa nafsu seterusnya sabar menanggung penderitaan yang menimpa diri, menghadapinya dengan tabah, tidak mengeluh dan tidak menyalahkan takdir.

Lahir sifat amanah dengan pengertian, bertanggungjawab serta menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Sentiasa muraqabah kepada Allah sama ada di tempat terbuka atau tertutup. Sifat ini adalah kesedaran dalaman yang tinggi iaitu sifat ihsan.

Berpuasa boleh menguatkan iradah seseorang dalam menjayakan sesuatu pekerjaan yang baik, dapat mendidik diri sentiasa berdisiplin, selalu patuh kepada undang-undang dan peraturan. Ibadat puasa juga dapat melahirkan perasaan kasih sayang, ukhuwwah dan sifat ta’awun.

Oleh itu dapatlah ditegaskan bahawa sifat takwa adalah himpunan semua sifat luhur yang dilakukan individu Muslim sama ada sifat luaran ataupun dalaman. Sifat takwa juga berfungsi sebagai pengawal dan penjaga kepada gerak laku individu supaya tidak berlaku perlanggaran terhadap perintah Allah.

Timbul pula persoalan, bagaimanakah mengamalkan puasa yang berfungsi melahirkan pembentukan akhlak dan peribadi terpuji? Cara Rasulullah SAW menyambut kedatangan Ramadan adalah jawapan terbaik.

Ibn Khuzaimah meriwayatkan daripada Salman katanya: “Rasulullah SAW pada hari terakhir dari bulan Syaaban telah berkhutbah kepada kami, maka Baginda bersabda antara lain: (Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah hampir dinaungi oleh bulan yang hebat lagi berkat iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu yang fardu dan mengerjakan ibadat di malam harinya suatu yang sunat).

Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan (sunat) pada Ramadan, maka samalah pahalanya dengan orang yang menunaikan pekerjaan fardu di bulan lain. Sesiapa yang menunaikan fardu pada Ramadan, maka samalah pahalanya dengan orang yang mengerjakan tujuh 70 fardu pada lain.

Ramadan itu bulan sabar, manakala sabar itu pahalanya adalah syurga. Begitu juga Ramadan itu adalah bulan memberi pertolongan dan bulan yang Allah menambahkan rezeki kepada mukmin.

Sesiapa yang memberi makan ketika berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia akan mendapat keampunan dosanya dan pelepasan dari api neraka. Orang yang memberi makanan berbuka puasa akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa tanpa sedikit pun berkurangan.

Sahabat bertanya Rasulullah, tidaklah kami semua ada memiliki makanan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, lalu Rasulullah bersabda: “Allah memberikan pahala kepada orang yang memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu.”

Perbanyakkan melakukan empat perkara dalam Ramadan iaitu dua perkara boleh menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi yang kamu sangat perlu. Dua perkara yang boleh menyenangkan Tuhanmu ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan memohon keampunan daripadanya. Dua perkara lagi yang kamu sangat berhajat ialah memohon syurga dan berlindung dari neraka.

Sewajarnyalah setiap Muslim mengambil suri teladan daripada apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kita juga seharusnya mendapat kesedaran dari apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. supaya fadilat Ramadan akan ada tempiasnya kepada umat Islam.

Alangkah baiknya jika sunnah ini dapat dihidupkan kembali dan kita jadikan budaya Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku pada masa umatku telah rosak, maka dia akan mendapat pahala seratus syahid.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Fahami peristiwa penurunan al-Quran

Posted by epondok di Ogos 19, 2011

Oleh NAJAHUDIN LATEH

Umat islam hendaklah berusaha memahami dan melaksanakan isi kandungan al-quran. – Gambar hiasan

BULAN Ramadan melakarkan pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Selain pensyariatan puasa, peristiwa lain yang ditulis dengan tinta emas adalah kemenangan Islam dalam Badar Kubra, pembukaan Kota Mekah, pertempuran Ain Jalut, Yom Kippur, intifadhah Palestin dan sebagainya.

Namun, peristiwa penting terbesar adalah penurunan al-Quran atau Nuzul al-Quran yang disambut oleh kita pada hari semalam.

Penurunan mukjizat ini dirakamkan dalam al-Quran dalam firman-Nya: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara benar dengan salah). (al-Baqarah: 185)

Ayat ini jelas menunjukkan al-Quran sebagai suatu dokumen rujukan dan cahaya petunjuk kepada semua manusia. Pedoman melahirkan individu atau masyarakat Islam tulen juga terkandung dalam al-Quran.

Malah, penurunannya juga adalah suatu bukti kewujudan Allah SWT serta kerasulan Muhammad SAW dengan apa yang dibawanya.

Menurut Jalaluddin al-Suyuti, al-Quran diturunkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus.

Penurunan sekaligus ini berlaku pada malam al-Qadar di bulan Ramadan yang dirakam dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Penurunan peringkat kedua pula daripada Baitul Izzah di langit dunia kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur dalam tempoh lebih kurang 23 tahun.

Bermula daripada saat Baginda SAW diangkat sebagai rasul, ayat al-Quran mula diturunkan hinggalah berakhir sebelum kewafatannya iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Sifat penurunan al-Quran begini ini adalah suatu hikmah yang besar kepada umat Islam terdahulu.

Penurunan al-Quran secara beransur-ansur adalah mengikut persediaan Rasulullah SAW sendiri, keperluan situasi zaman dan menjawab persoalan semasa.

Kadang-kadang ayat diturunkan berdasarkan sesuatu masalah, menjawab pertanyaan Sahabat atau hasil sebab peristiwa yang berlaku dan kadang-kadang merupakan suatu perintah dalam sesuatu amalan syariat.

Sifat penurunan begini memberi banyak hikmahnya. Ia memudahkan Rasulullah SAW serta para Sahabat memahami, menghafal dan mengamalkan ajaran al-Quran. Malah, adat jahiliah dan pengamalan bukan secara Islam juga dapat dibuang sedikit demi sedikit tanpa menimbulkan kejutan kepada masyarakat awal Islam.

Selain itu, kategori penurunan ayat-ayat juga melambangkan kemukjizatan al-Quran. Ini terserlah melalui penurunan kategori ayat sebelum hijrah dan selepasnya.

Ayat yang diturunkan sebelum hijrah disebutkan Makkiyah biasanya melibatkan ayat-ayat pembinaan akidah, akhlak di samping keterangan tentang sifat-sifat ketuhanan dan keesaan Allah SWT.

Kategori ayat ini berlainan dengan fasa selepas hijrah yang disebutkan ayat-ayat Madaniyah. Ayat dalam kategori kedua ini memberi perhatian kepada jihad, cara amal ibadat, hukum-hakam dan proses pengisian individu dan masyarakat Islam.

Proses penurunan al-Quran ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan malam al-Qadar, bulan Ramadan dan ibadat puasa seperti yang dinyatakan di atas.

Secara umum, ia mengandungi makna simbolik tentang kelebihannya dan kemuliaan al-Quran yang Allah SWT kurniakan pada kita.

Oleh itu, kita sebagai umat akhir zaman yang masih boleh menatap al-Quran sebelum kita dimatikan atau sebelum al-Quran diangkat ke langit hendaklah mengambil beberapa langkah perubahan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Merebut Keistimewaan Lailatul Qadar

Posted by epondok di Ogos 19, 2011

Ramadhan  kini menjelang lagi bagi menemui kita semua samada kita telah berusaha di dalam menggunakan segala kelebihannya atau pun tidak. Kita beruntung jika mampu memanfaatkan segala peluang yang terbuka ini dengan pelbagai ibadah yang mampu mengubah diri kita ke arah yang lebih baik dari masa yang lalu dan rugilah bagi mereka yang hanya mampu melihat kedatangan Ramadhan tanpa ada di sana usaha yang sepatutnya dilakukan untuk memanfaatkannya. Kita masih mempunyai peluang lagi untuk bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan dalam beribadat kepada Allah terutama kita sekarang berada dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan yang mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadis memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Kita lihat pelbagai cara samada berbentuk ibadat atau pun berbentuk perkara yang melalaikan dilakukan oleh umat Islam apabila tibanya penghujung musim puasa. Jika kita lihat terutama di negara arab yang mana sebagai contohnya Arab Saudi dan Jordan, para ulama’ mereka menghidupkan malam bermula malam ke 20 Ramadhan dengan mengadakan qiamullail secara berjemaah di masjid yang dimulakan jam 1 malam sehingga 3 pagi sebelum bersahur. Amalan ini akan lebih hidup dan meriah apabila tibanya malam 27 Ramadhan yang dijangka malam lailatul qadar. Amalan sunat yang dilakukan secara terbuka ini mampu menarik lebih ramai masyarakat sekeliling untuk bersama-sama melakukannya. Program yang penuh manfaat ini memang perlu dicontohi agar Ramadhan yang datang tidak disia-siakan terutama dengan kesibukan untuk menyambut hari raya Eidil Fitri pada penghujung bulan Ramadhan samada dengan membeli belah atau menyediakan kuih muih. Perkara tersebut tidak bercanggah dengan Islam jika kita tidak boros dan membazir serta melupakan ibadat fardhu. Kadang-kadang kita terpengaruh dengan adat seperti malam 7 likur yang hanya diisi dengan memasang pelita atau lampu di sekitar rumah tanpa memeriahkannya dengan ibadat sunat seperti qiamullail, tadarrus al-Quran, berzikir dan juga menambah seri dengan majlis ilmu serta tazkirah yang mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita sebagai hambaNya.

Di sini diselitkan beberapa hadis yang dikutip daripada sohih imam Bukhari untuk renungan kita bersama tentang kelebihan malam lailatul qadar dan juga beberapa amalan yang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W untuk kita laksanakan pada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadhan.

Daripada Abu Hurairah daripada nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa yang telah lalu daripada dosanya.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Carilah malam lailatul qadar pada malam ganjil daripada malam-malam sepuluh akhir daripada Ramadhan.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam- malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah nabi S.A.W apabila telah masuk sepuluh malam terakhir akan bertambah kerap baginda S.A.W menjauhi isteri, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya.

Kesimpulan yang boleh diambil daripada mafhum hadis-hadis tersebut yang mana secara tidak langsung memberitahu kita bahawa malam sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan merupakan malam yang dijangka malam lailatul qadar yang mesti kita merebut peluang yang ada dengan amalan-amalan sunat. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ialah menghidupkan malamnya dengan solat sunat, berzikir terutama membaca al-Quran serta banyakkan beristighfar dengan penuh keinsafan dan keikhlasan serta beriktikaf di masjid.Daripada hadis-hadis yang lain turut memberitahu kita bagaimana baginda S.A.W mengerjakan solat sunat sehinggalah waktu sahur iaitu dekat dengan waktu Subuh. Jika Rasullah S.A.W begitu menitik beratkan mengenai kelebihan lailatul qadar sedangkan baginda S.A.W merupakan nabi lagi rasul yang memang dijauhkan daripada melakukan dosa, bagaimana dengan kita yang sememangnya tidak terlepas daripada belenggu maksiat yang melata disekeliling kita. Kesemua amalan yang dilakukan oleh baginda S.A.W dan para solihin agak mudah untuk kita contohi jika kita mahu berbuat demikian. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai kilang yang memproses diri ke arah lebih berkualiti yang mana apabila kita meninggalkan Ramadhan nanti, pada diri kita sudah ada perubahan ke arah yang lebih baik dan soleh walau pun sedikit.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah menerima segala ibadat kita terutama puasa kita yang mana ia dijauhkan daripada puasa yang disifatkan oleh Allah dan rasulNya sebagai puasa yang sia-sia dan tidak lebih daripada menahan makan dan minum sahaja sedangkan anggota yang lain tidak turut berpuasa. Kita juga mengharapkan agar Allah meletakkan diri kita dalam golongan mereka yang terus istiqomah dan tetap dalam melakukan amalan soleh bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi berterusan pada bulan-bulan yang lain. Kita tidak mahu menjadi mereka yang hanya banyak beribadat dalam bulan Ramadhan sahaja tanpa dapat meneruskan amalan yang soleh itu selepas berlalunya Ramadhan. Tidakkah kita menitiskan air mata apabila mengenangkan masa yang begitu pantas berlalu sehingga Ramadhan kini sudah tiba ke penghujungnya sedangkan kita tidak tahu samada amalan kita diterima atau pun tidak.Muhasabahlah diri kita yanbg serba kedhaifan ini agar kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan tidak tamak dengan apa yang tiada.Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai pencetus kepada reformasi diri ke arah yang lebih baik dan jangan jadikan ia sebagai sesuatu yang biasa dan diri kita terus berada pada keadaan yang sama selagimana sebelum ini.

Rujukan

Fathu al-Bari syarah Sohih al-Bukhari, imam Ibnu Hajar al-Asqolani

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »