Oleh Hasliza Hassan
KETIKA khutbah Haji Perpisahan, Rasulullah SAW berucap: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian (satu peninggalan berharga), seandainya kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.” (Hadis riwayat Al-Hakim)
Hadis itu memberi peringatan cukup jelas supaya umat Islam berpegang teguh dan menjadikan al-Quran panduan dalam kehidupan kerana Rasulullah SAW memberitahu al-Quran akan memberi syafaat kepada yang membacanya pada hari kiamat.
Sempena 17 Ramadan, mengingatkan kita kepada peristiwa Nuzul al-Quran yang terakam dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.
Seterusnya proses penurunan wahyu berlaku secara berperingkat hingga lengkap seperti kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Al-Quran yang menjadi mukjizat besar Nabi Muhammad SAW seharusnya memberi makna besar dalam kehidupan umat Islam.
Malah, indahnya akhlak Rasulullah SAW digambarkan dalam hadis diriwayatkan Aisyah, akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran. Bermakna apa yang dipraktikkan Baginda adalah ajaran al-Quran itu sendiri.
Memperingati Nuzul al-Quran setiap kali tiba 17 Ramadan bukan sekadar mengimbau peristiwa yang berlaku sebaliknya menilai apakah al-Quran menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sudah berapa halaman kitab suci itu yang dibaca sepanjang Ramadan ini.
Bagi yang bertadarus atau berterusan membaca al-Quran sepanjang Ramadan ini, sudah mengikat silaturahim dengan mukjizat Rasulullah SAW dan kesungguhan itu menjanjikan ganjaran berlipat ganda selain menjadikan mereka golongan yang beruntung.
Allah berfirman yang bermaksud: “Orang yang diberi kepada mereka kitab, mereka sudah membaca dengan sebenar-benar bacaan, maka mereka golongan yang beriman dengannya dan bagi mereka kufur terhadapnya, maka mereka golongan yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 121)
Pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan al-Quran seterusnya mendekatkan umat Islam kepada wahyu Allah yang penuh dengan syariat, pengajaran, penawar, rahmat serta pelindung daripada kesesatan.