Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 Ogos 2011

Al-Quran mukjizat teragung

Posted by epondok di Ogos 17, 2011

TADARUS....Ramadan adalah bulan Al-Quran dan umat Islam perlu mengambil peluang untuk memperbanyakkan membaca serta memperbaiki mutu bacaan mereka.
TADARUS….Ramadan adalah bulan Al-Quran dan umat Islam perlu mengambil peluang untuk memperbanyakkan membaca serta memperbaiki mutu bacaan mereka.

Oleh Mohd Fadly Samsudin

BAGAIMANA dikatakan al-Quran berjaya ‘membekas’ di dalam jiwa seseorang? Pastinya, mereka yang benar-benar menghayati al-Quran akan merasai ia begitu hampir dengan mereka.
Apabila diperdengarkan ayat mengenai azab serta seksaan di neraka, hati mereka begitu takut untuk melakukan kemungkaran. Begitu juga al-Quran menceritakan ganjaran syurga jika beramal soleh, mereka sedaya upaya memperbaiki diri dengan harapan dapat menikmati ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.
Itulah antara penghayatan yang perlu dimiliki setiap Muslim dalam memahami serta menghayati kalam suci al-Quran. Keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w sebagai pedoman hidup buat manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Mukjizat al-Quran berbeza dengan mukjizat Rasulullah s.a.w lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Di dalamnya terkandung pelbagai hikmah kebenaran.

Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah s.w.t selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.
Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila al-Quran merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat untuk membunuh Nabi Muhammad.

Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat dari Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

Beliau berkeyakinan apa yang didengarnya itu bukan syair Arab. Kata-katanya sangat indah yang tiada tolak bandingnya dan pada hari itu juga, Umar memeluk Islam.

Begitulah besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat mengubah peribadi Umar sehingga menjadi insan yang beriman kepada Allah s.w.t
Allah berhak memelihara kesucian kitab al-Quran daripada dicemari daripada diubah suai oleh manusia. Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah al-Hijr, ayat 9).

Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding dengan al-Quran.

Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pastinya akan rasa bahagia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh; sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar.” (Surah al-Israk ayat 9).

Pada Ramadan yang penuh keberkatan ini kita dituntut untuk bertadarus al-Quran. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran. Sedangkan bahan bacaan santai lain boleh dihabiskan dalam tempoh tertentu tetapi kenapakah al-Quran dipinggirkan dan hanya menjadi perhiasan di rumah.

Manusia yang sering dibelenggu keresahan, gundah-gulana dan kesempitan perlu sentiasa mendampingi Al-Quran supaya mereka kembali mendapat kekuatan, semangat, kesenangan serta ketenangan di jiwa.

Itulah rahmat yang Allah diberikan kesan daripada beramal dengan mukjizat agung itu. Ibaratnya, semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran seluruh jiwa raganya semakin terpikat dan seronok kepada al-Quran.

Malah kesannya lebih terasa jika seseorang itu mampu menguasai al-Quran dengan alunan suara yang merdu serta fasih bacaannya. Orang lain juga pasti ‘terpikat’ jika seseorang dapat mempersembahkan bacaannya begitu baik sekali.

Dalam riwayat, banyak sekali diceritakan, pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah terhadap hati orang kafir selepas mendengar ayat Al-Quran sangat berkesan.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata perkataan mukjizat dalam bahasa Arab bermaksud perkara yang bercanggah dengan adat kebiasaan.

“Ia sesuatu perkara luar biasa yang ditentukan Allah s.w.t dan dikurniakan kepada seseorang yang bergelar rasul sebagai tanda kebenarannya di mana dakwahnya diiringi dengan cabaran dan tiada tandingan sama sekali.

“Allah mengurniakan Nabi Muhammad mukjizat kandungan al-Quran yang tidak mampu ditandingi manusia terutamanya di dalam bidang ilmu pengetahuan.

“Antara mukjizat al-Quran ialah keindahan bahasanya yang tinggi dan halus, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta,” katanya.

Beliau berkata al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.

“Di dalamnya mengandungi peristiwa umat terdahulu yang menyentuh aspek kehidupan manusia seperti cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

“Mukjizat al-Quran dipenuhi dengan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab lain. Ringkasnya, al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad sekali gus ia menjadi bukti bahawa al-Quran adalah firman Allah dan bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad sendiri,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata kandungan al-Quran penuh dengan ajaran bagi memandu manusia menjadi ummah bertamadun.

“Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud: “Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

“Rasulullah menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang kafir Quraisy sehingga mereka tidak mampu menghadapinya padahal mereka memiliki kemahiran tinggi dari segi fasahah dan balaghahnya,” katanya.

Beliau berkata al-Quran diturunkan bukan untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad dan umatnya semata-mata.

“Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat kepada seluruh umat.

“Justeru, Rasulullah menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata golongan yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.

“Setiap huruf yang dibaca dikira sebagai 10 pahala sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. (Hadis riwayat Tirmizi).

“Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

“Begitu juga amalan tradisi yang dilakukan orang dahulu yang sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak mereka.

Anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan bacaan al-Quran pada setiap malam selepas Maghrib secara beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam syariat, ia membuktikan mereka sangat mengambil berat pendidikan al-Quran.

“Namun pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup, asas pemikiran atau berfikir secara Qurani? Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

“Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir sesuatu kejadian dalam kehidupan. Berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur (jiwa mengkaji dan menyelidik).

“AyatAllah bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan. Kisah yang dirakamkan al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu, tetapi berulang kembali pada masa kini dan masa depan,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata Rasulullah pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai, tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana lemah dan tidak berdaya saing.

“Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang melanda masyarakat masa kini.

“Jangan hanya merujuk al-Quran pada masa-masa tertentu seperti dalam kesusahan, ketika sakit atau saat menghadapi kematian saja. Ibu bapa perlu berperanan memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga mereka. Pastikan selepas setiap waktu solat mereka bersama anak-anak berpeluang membaca, mempelajari serta mentadabbur al-Quran.

“Selain itu, ulang kaji bacaan al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media elektronik,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Umat tak amal ajaran al-Quran umpama keldai

Posted by epondok di Ogos 17, 2011

IMAM al-Qurthubi menjelaskan, Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi manusia.

Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukum-hakam, serta perbezaan antara haq dan batil.

Sempena Ramadan, marilah kita dengan penuhi iman dan takwa bermuhasabah apakah selama ini kita mengambil al-Quran seperti Allah SWT perintahkan atau hanya beriman dengan sebahagian daripada al-Quran atau mengabaikannya?

Bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa pegang teguh kepada (agama) Allah, ia beroleh petunjuk hidayah ke jalan betul (lurus) – Surah Ali-Imran, Ayat 101

Kebanyakan kita hanya berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak meletakkan al-Quran di lantai, di kerusi atau tempat lain yang tidak sesuai. Kita marah jika mendapati sesiapa saja tidak menjaga al-Quran.

Kita turut marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dikoyak, dibakar atau dibuang. Kita tidak berdiam diri jika al-Quran dihina atau dipermainkan dalam apa bentuk sekalipun.

Amat dikesali kerana segelintir umat Islam hanya menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak menghayati kandungannya, menerapkan segala perintah dan larangannya.

Umat Islam sensitif dan marah apabila al-Quran dihina, tetapi perbuatan mereka sendiri seolah-olah ‘menghina atau mengetepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan ajaran di dalamnya.

Kita juga bimbang ada umat Islam hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan di rumah dan hanya digunakan untuk hal mistik seperti menjadikannya azimat, tangkal, pelaris, penolak bala dan pengusir syaitan.

Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan kepentingan peribadi lain.

Kita sama-sama ingin mengingatkan semua Allah SWT menurunkan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih daripada itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya wajib.

Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang diturunkan melalui al-Quran, Allah membuat perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah yang bermaksud:

“Bandingan orang yang dipikulkan kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 5)

Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, anda seperti keldai. Apakah perasaan kita?

Apalagi yang menyatakan itu ialah Allah SWT yang kita harapkan keredaan dan keampunan-Nya. Orang beriman, bertakwa dan mengharapkan reda Allah tentu takut akan perumpamaan itu.

Persoalan besar apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang membaca al-Quran seperti dalam ayat 101, surah Ali-Imran.

Firman Allah bermaksud: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, sesungguhnya ia beroleh hidayah ke jalan betul (lurus).”

Ayat ini menunjukkan ada umat Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan sunnah di sisinya disebabkan mereka ingkar ayat Allah.

Antara pendekatan yang mengangkat martabat umat ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh sebagai acuan kehidupan.

Oleh itu, marilah bersama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran supaya kehidupan kita lebih diredai Allah SW

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kekal produktif pada Ramadan

Posted by epondok di Ogos 17, 2011

Oleh Sharifah Hayaati

Tak wajar jadikan puasa alasan lambat siap tugasan

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita kerana telah dipinjamkan 13 hari yang penuh keberkatan pada Ramadan, bulan yang dilimpahi kurniaan rahmah, magfirah serta dijanjikan ganjaran Allah yang berlipat kali ganda.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Telah datang kepada kamu sekalian bulan penuh keberkatan, Allah mewajibkan puasa di dalamnya, pintu syurga dibuka luas, pintu neraka ditutup rapat dan syaitan dibelenggu. Allah memiliki dalam Ramadan suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa yang tidak mendapatkan kebaikan sesungguhnya ia sangat rugi.” (Hadis riwayat An-Nasa’i).

Tiada nama bulan yang disebutkan dalam al-Quran kecuali Ramadan. Dengan segala kemuliaan diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya, ‘bulan ini adalah bulan umatku’, marilah kita menilai pencapaian 13 hari yang telah dilalui untuk beramal merebut baki Ramadan.

Pencapaian beramal pada bulan ini sewajarnya dinilai bukan saja kepada ibadat khusus seperti solat tarawih, tadarus, zikir, doa dan sedekah, juga kepada tanggungjawab bekerja mencari rezeki kerana ia suatu ibadat bahkan jihad.

Rasulullah SAW pernah menasihati sahabat yang berjalan bersamanya apabila menegur seorang pengusaha kebun tamar dengan mengatakan bukankah lebih baik jika pengusaha kebun yang muda dan kuat itu menggunakan kekuatannya untuk pergi berjihad.

Lalu Rasulullah SAW menegur dengan katanya, jika apa yang diusahakan itu dapat mengelakkan dirinya daripada meminta-minta kepada yang lain, maka itu adalah jihad baginya. Bahkan jika usaha itu menyebabkan ia dapat memberi nafkah kepada keluarganya, itu juga jihad baginya dan jika pula dengan usaha itu ia dapat membantu masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah, maka itu juga adalah jihad baginya.

Hakikatnya bekerja juga jihad daripada sifat malas serta suka meminta. Tambahan, yang sering kita lupakan ialah dengan rezeki daripada bekerja itulah membolehkan kita bersedekah dan membayar zakat fitrah serta memberi ketenangan dalam beribadat menghidupkan Ramadan.

Sebaliknya, apa yang sering diperkatakan ialah suasana bekerja pada Ramadan kurang efektif berbanding bulan lain. Sering juga kedengaran kata-kata sinis atau gurauan bila lambat menyiapkan tugasan, alasannya ‘puasalah’.

Namun, mengambil kira kebajikan dan ihsan terhadap pekerja terutama dalam bulan ini adalah amalan mulia yang sangat dituntut. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang meringankan beban kerja pekerjanya pada Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah).

Asalkan ia tidak mengganggu proses operasi, kualiti perkhidmatan, pengurangan produktiviti dan sasaran perancangan, dengan sebab itulah, ada majikan dan organisasi berusaha menyiapkan tugasan atau tindakan penting sebelum kedatangan Ramadan dan Syawal bagi mengelak kelewatan.

Ini supaya tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan dan produktiviti. Lebih membimbangkan jika ada persepsi negatif terhadap pekerja Muslim yang dilihat kurang bersungguh-sungguh atau produktif dalam Ramadan berbanding yang lain.

Hal ini boleh mencalarkan imej umat Islam sekali gus pensyariatan berpuasa. Oleh itu, pencapaian beramal melalui ‘ibadat kerja’ seharian perlu untuk dinilai dan dipertingkatkan kualitinya khasnya pada Ramadan.

Bagi membugarkan semangat dan keseronokan bekerja di bulan ini ambillah iktibar kemenangan umat Islam dalam Perang Badar walaupun ia peperangan besar yang pertama dalam Islam, ia berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

Kejayaan ini digerakkan oleh kekuatan dalaman walaupun jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit. Semangat, kesabaran dan kesungguhan ditunjukkan antaranya Saad bin Muaz, Umair bin Abu Waqqas, Miqdad bin Al-Aswad, Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar bin al-Khattab membuktikan kekuatan dalaman meliputi jiwa, hati dan akal adalah komponen penting mencorakkan kejayaan bangsa.

Oleh itu, selain ujian dan latihan, Ramadan adalah pendorong dan penguat sumber kekuatan dalaman kita. Bimbanglah pada peringatan Baginda Rasulullah SAW mengenai ramai yang berpuasa, tetapi malangnya tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Oleh itu, marilah kita berazam mempertingkatkan ibadat khusus serta kualiti kerja di bulan keberkatan ini supaya kita benar-benar dapat meraikan hari kemenangan nanti.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »