Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Ogos 2011

6 Keburukan Kenyang

Posted by epondok di Ogos 16, 2011

Abu Sulaiman ad-Darani  telah berkata bahawa sesiapa yang kenyang maka masuklah pada dirinya 6 macam bahaya :

1. Kehilangan rasa manisnya bermunajat kepada Allah

2. Kehalusan memelihara hikmat ( bertindak gopoh-gapah tanpa bijaksana)

3. Terhalang rasa kasih sayang kepada makhluk lain kerana bila kenyang maka lupa pada orang lapar

4. Berat dan malas untuk berbuat ibadat kepada Allah

5. Bertambah keinginan nafsu

6. Orang mukmin sebenar mengelilingi masjid manakala orang kenyang mengelilingi tandas

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sejarah Nuzul al-Quran

Posted by epondok di Ogos 16, 2011

Bulan Ramadhan bulan penuh berkat dan pengampunan dosa bagi umat manusia yang menunaikan segala kewajipan serta diperlengkapkan pula dengan amalan sunat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Tiada pernah rasa cukup dengan amalan soleh yang telah dilakukan dan tidak pernah senang dengan kesilapan yang dibuat. Sentiasa mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah dalam mencari kebahagiaan hakiki. Tidak pernah tamak pada dunia tetapi tidak pula lupa melaksanakan tanggungjawab sebagai bekalan untuk ke akhirat. Setiap pekerjaan dunianya ditunaikan kerana Allah serta ia dilakukan dibawah garisan yang telah ditetapkan oleh Islam.Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai golongan yang hanya solat tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan keletihan, golongan yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga, golongan yang banyak membaca al-Quran tetapi al-Quran melaknatnya.
    Dalam meneruskan sisa-sisa Ramadhan yang masih ada ini marilah kita menyoroti suatu peristiwa penting yang telah menjadi pemangkin kepada dakwah Rasulullah s.a.w iaitu Nuzul al-Quran iaitu bermulanya penurunan al-Quran sebagai wahyu kepada kita umat akhir zaman di mana mukjizatnya terus kekal sehingga hari qiamat.Al-Quran merupakan sumber rujukan pertama kepada seluruh umat nabi Muhammad s.a.w dalam menerusi liku-liku kehidupan di dunia fana ini di mana isinya mengandungi pelbagai aspek kehidupan.

KEBANGKITAN SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN

       Kehidupan Rasulullah s.a.w dalam masyarakat sekeliling yang dibelenggu kegelapan jahiliyah, penyembahan berhala dan adat-adat yang sesat. Masyarakat arab sudah lama terpisah dengan zaman kenabian menyebabkan mereka terus hanyut dalam gelora lautan kesesatan yang mengganas. Namun begitu keadaan nabi tetap dijaga dan dikawal oleh Allah agar tidak turut sama terheret dengan amalan hidup yang sesat ini. Keadaan yang semakin hari semakin terhimpit dengan tekanan jahiliyah dan kesesatan ini telah menyebabkan nabi mengambil tindakan untuk bermunajat kepada Allah dengan berkhalwat di Gua Hira’. Baginda bersendirian dengan bekalan makanan selama beberapa malam berturut-turut. Pada 17 Ramadhan dalam usia nabi mencapai 40 tahun bersamaan 6 Ogos 610M maka pada saat inilah turunnya wahyu pertama yang juga sebagai pengiktirafan sebagai nabi akhir zaman.Nabi didatangi oleh malaikat Jibril lalu malaikat berkata : “Bacalah”, baginda menjawab : ” Saya tidak tahu baca”.

        Maksud kisah yang diberitahu sendiri oleh Rasullah s.a.w ketika turunnya wahyu ini dalam suatu hadis yang mafhumnya :”…. lalu malaikat itu memeluk saya dengan kuat sehingga saya tidak mampu bergerak. Kemudian dilepaskannya saya sambil katanya :” Bacalah” lalu saya menjawab :”Saya tidak tahu membaca”. Sekali lagi saya dipeluk sehingga mencemaskan saya, kemudian dilepaskan dan katanya lagi :” Bacalah”, saya tetap menjawab :” Saya tidak tahu membaca”. Kali ketiga dia memeluk saya tetapi dilepaskan lalu membaca ayat 1-5 surah al-‘Alaq yang bermaksud:
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah Mencipta. Dia mencipta manuia daripada segumpal darah. bacalah kerana Tuhanmu itu Amat Mulia yang mengajar dengan perantaraan qalam. Dia telah mengajar manusia apa yang manusia tidak tahu.

        Keadaan nabi yang ummi atau buta huruf bukanlah menunjukkan kelemahan nabi tetapi sebaliknya untuk menangkis tuduhan liar yang mengatakan bahawa nabi sendiri yang menulis wahyu dengan ilmunya yang ada  hasil daripada pengajiannya dengan cendikiawan dan pendeta yahudi atau Kristian.Wahyu yang pertama ini memberi peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya ilmu pengetahuan yang akan menunjukkan secara jelas antara yang benar dan salah. Cara penerimaan wahyu ini menunjukkan bagaimana jalan terbaik dalam menuntut dan menerima ilmu iaitu mesti melalui guru dan juga berhadap serta berjumpa antara murid dan gurunya.

PERANAN SITI KHADIJAH

        Setelah melalui peristiwa yang tidak pernah terfikir dan diketahui olehnya memandangkan umat arab telah begitu lama terpisah dengan kenabian maka nabi terus pulang dalam keadaan terketar-ketar kerana ketakutan. Setelah tiba di rumah lalu baginda meminta agar diselimutkannya. Siti Khadijah sebagai seorang isteri yang cinta dan taat kepada suaminya terus menyelimutkan baginda tanpa banyak bertanya. Setelah keadaan nabi tenang barulah disoal mengenai peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan nabi ketakutan.Siti Khadijah sememangnya seorang wanita yang cerdik dan pernah mendengar tentang kenabian, para nabi dan malaikat melalui sepupunya Waraqah bin Naufal yang menganut agama Nasrani. Disamping itu dia juga mengenali nabi sebagai seorang yang baik dan elok akhlaknya serta disayangi oleh orang ramai. Oleh itu dia terlalu yakin bahawa nabi bukan terkena godaan syaitan atau jin sebaliknya merupakan makhluk pilihan Allah. Dengan suara yang lembut dan penuh hikmat lalu dia memberi semangat kepada nabi dengan katanya : “Demi Allah! Dia tidak akan mengecewakanmu, engkau adalah orang yang sentiasa menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang susah, memenuhi keperluan orang lain, melayan tetamu dan menyampaikan amanah kepada yag berhak”.

        Kata-kata ini memberi semangat baru kepada nabi di mana kita dapat lihat betapa pentingnya peranan isteri dalam menjayakan dakwah suaminya. Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah ketika baginda berusia 25 tahun sedangkan Siti Khadihah merupakan seorang yang telah menjangkau usia 40 tahun namun keadaannya dengan izin Allah bagaikan anak dara berusia 17 tahun. Usia bukan matlamat perkahwinan ini tetapi sifat keibuan dan kematangan yang ada pada Siti Khadijah merupakan aset penting kepada diri Rasulullah s.a.w. Ketenangan Siti Khadijah dalam menghadapi situasi yang mencemaskan ini banyak membantu nabi s.a.w. untuk mengawal situasi yang dihadapi.

BERTEMU WARAQAH BIN NAUFAL

        Siti Khadijah membawa nabi untuk bertemu dengan sepupunya Waraqah bin Naufal bagi mengetahui secara lebih lanjut berkenaan dengan apa yang telah berlaku ke atas nabi itu. Setelah mendengar penjelasan daripada nabi tentang apa yang telah berlaku kepada Waraqah lalu beliau mengatakan : ” Demi Allah yang jiwaku ini ditanganNya! Sesungguhnya engkau ini adalah nabi untuk umat ini, engkau telah didatangi Namus agung(malaikat Jibril) yang pernah mendatangi Musa dan engkau kelak akan dikatakan berbohong, engkau akan mereka sakiti, akan mereka usir dan mereka perangi”.

        Ucapan Waraqah yang mengatakan :” Engkau kelak akan mereka usir” itu sungguh memeranjatkan Rasulullah s.a.w, kerana pada pengetahuan baginda bahawa dirinya mendapat penghargaan di sisi kaum Quraisy sehingga mendapat gelaran ” As-Siddiq” dan “Al-Amin”, lalu kata baginda dengan kehairanan : “Apakah mungkin mereka akan mengusir saya?”.

        Waraqah dengan tegas menjawab :” Ya! Semua yang membawa tugas seperti yang engkau bawa ini tetap dimusuhi dan diperangi oleh manusia, andainya aku masih hidup pada waktu itu, akan aku bantu engkau seboleh-bolehnya”. Namun begitu setelah bermulanya dakwah Rasulullah s.a.w, Waraqah terlebih dahulu pergi menemui Allah di alam baqa.

Rujukan

1. Sirah an-Nabawiyah 1,Syeikh Hassan Ali Nadawi al-Husaini,Pustaka Reka,1997

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tahap keimanan penentu rasa takut kepada Allah

Posted by epondok di Ogos 16, 2011

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

 

WAKTU siang atau malam, di mana juga kita berada, patut ditanamkan dalam hati rasa takut kepada Allah. Dengan kata lain, sepanjang masa kita hendaklah sentiasa berasa takut kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Berlakunya kemungkaran dan maksiat di sekeliling kita hari ini disebabkan rasa takut akan azab dan seksaan maha pedih dari Allah tidak ada dalam hati mereka yang melakukannya dan ini menunjukkan mereka tidak takut sama sekali dengan Allah.

Takut adalah sifat terpuji dan patut ada dalam hati setiap mukmin yang ingin mendapatkan takwa. Dengan adanya perasaan takut membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran yang mendatangkan dosa hingga menjerumuskan ke api neraka di akhirat kelak.

Jika kita ada rasa takut kepada Allah, sudah pasti kita tidak akan berani melanggar perintah-Nya. Rasa takut akan mendorong seseorang itu benar-benar menghambakan dirinya kepada Allah. Semua perintah Allah akan dipatuhinya dan larangan ditinggal-kannya.

Seorang ulama telah berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.”

Walaupun Rasulullah SAW bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin Allah dengan syurga, di hati Baginda tertanam rasa takut kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu semua itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri.” (Surah al-Anfal, ayat 2)

Orang yang betul-betul kenal dan takut kepada Allah hanya lahir di hati mereka yang mempunyai sikap tawakal atau penyerahan pada Allah. Dengan kata lain, hanya orang beriman saja yang akan dapat merasai rasa takut itu.

Ibn Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ada dua mata yang tidak disentuh api neraka, iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut kepada Allah dan mata yang celik kerana terjaga dalam peperangan di jalan Allah.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika berasa gentar hati seorang mukmin kerana takut kepada Allah, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang runtuh dari pohonnya.” (Dari kitab Tanbihul Ghafilin II)

Sebenarnya rasa takut kepada Allah ini bergantung kepada tingkat keimanan seseorang. Jika sekadar percaya adanya Allah tetapi tidak dapat berasa-kan takut kepada Allah, maka iman orang itu amat tipis dan lemah kerana tidak dapat berasa gerun kepada neraka serta azab Allah.

Dengan kata lain, tidak ada rasa takut dan gerun kepada Allah menandakan hati seseorang itu telah mati. Al-Quran mengingatkan mengenai seksaan pedih bakal diterima orang yang derhaka (tidak takut) dan balasan nikmat bagi mereka yang melakukan kebaikan (takut).

Lukman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Berharaplah kepada Allah dengan sesungguhnya sehingga kamu berasa aman dari tipu daya dan takutlah kepada-Nya supaya kamu tidak terputus dari rahmat dan kasih sayang-Nya.”

Secara umum kita dapat mengenal orang yang memiliki rasa takut kepada Allah melalui tanda seperti banyak membaca al-Quran, rajin mengerjakan solat wajib dan sunat, selalu membelanjakan hartanya di jalan Allah, mengeratkan silaturahim dan menjauhkan daripada perkara mungkar.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah An-Naziat, ayat 40-41)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Jakim sahkan mentega haram

Posted by epondok di Ogos 16, 2011

MENTEGA Pure Creamery Butter-Golden Churn ini dibalut dengan bungkusan mengandungi tanda halal.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam
mengesahkan mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang
dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha (gambar kecil) berkata,
keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari
kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya
berbeza dan untuk pasaran berlainan.

“Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu.

“Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak
menggunakan produk tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini
semalam.

Sehubungan itu, Othman meminta pemegang dan permohonan baharu Sijil
Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah
menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada bahan yang mempunyai
sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan
ramuan baharu.

Menurut beliau, mereka juga perlu melakukan proses samak dengan
disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan
samak.

Othman berkata, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat
pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari
pasaran.

Pada 19 Julai lalu, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan
produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak
halal kerana dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi,
menyebabkan industri makanan itu terjejas. – Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »