Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 Ogos 2011

Makanan penentu kesihatan akal

Posted by epondok di Ogos 15, 2011

Oleh Amran Zakaria

Berlebihan soal makan jejas tubuh, pemikiran

TIDAK ramai memberi fokus kepada amalan kesihatan dan penjagaan tubuh badan dan kecenderungan ini dapat disaksikan sepanjang Ramadan sedangkan Islam amat menitikberatkan kesihatan seperti mana Islam menjaga jiwa serta akal penganutnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menunaikan hak terhadap tubuh badan bererti menikmati tahap upaya badan yang benar-benar baik dan selamat dari segi fizikal, mental, emosi, rohani secara optimum sehingga berupaya mencapai potensi kehidupan berpandukan agama.

Mukmin yang kuat mempamerkan kekuatan agama berbanding mukim yang lemah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Sihat adalah anugerah Allah yang sewajarnya disyukuri. Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat pertama selepas keyakinan (keimanan). Jika kita mempunyai masalah kesihatan, segala urusan ibadat turut terganggu.

Pernyataan itu berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kaedah terbaik dalam penjagaan kesihatan ialah menyediakan perisai pencegahan seawalnya. Namun, apabila diserang penyakit, kita terpaksa berikhtiar untuk menyembuhkan walaupun terpaksa mengambil masa panjang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda yang haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada Baginda SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat? Maka sabda Nabi: Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit saja. Maka mereka bertanya: Apakah penyakit itu? Sabda Nabi: Penyakit itu ialah tua.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tokoh perubatan Islam terkenal, Abu Ali Al Hussain Ibnu Abdullah (Ibnu Sina) menyatakan, tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan mengembalikan kesihatan ketika hilang.

Kita sering dihidangkan pelbagai jenis masakan dan juadah bagi memenuhi keperluan jasmani. Tujuannya, untuk membekalkan tenaga secukupnya dalam melakukan aktiviti harian. Keadaan ini begitu ketara di bulan Ramadan.

Makan secara berlebihan boleh memudaratkan badan. Al-Quran menjelaskan mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan untuk kebaikan. Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)

Kebersihan memainkan peranan penting mengelakkan seseorang ditimpa penyakit. Persekitaran yang kotor akan mengundang pelbagai jenis kuman pembawa penyakit dan sebab itu aspek kebersihan sebahagian cabang keimanan.

Makanan yang disediakan hendaklah dipastikan kebersihannya, dibasuh dengan cara yang betul dan dimasak sempurna. Jangan mengendalikan makanan untuk juadah keluarga tanpa mengambil kira kesan dan risikonya selepas itu.

Makanlah sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana keadaan lapar boleh mematahkan semangat bekerja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu tempat dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Akal yang cergas berkait rapat dengan badan yang sihat. Badan yang sihat berkait rapat dengan amalan pemakan dan makanan seimbang. Pepatah Arab ada menyebut: ‘Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’.

 

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pekerjaan utamakan keberkatan jamin keuntungan

Posted by epondok di Ogos 15, 2011

Oleh Sharifah Hayaati

Islam garis lima piawaian untuk diikuti dalam mencari rezeki diredai Allah

UNTUNGKAH atau berkatkah rezeki dan titik peluh yang kita curahkan sehari-hari? Mana satukah yang kita fikir dan inginkan dalam meraih kejayaan pada apa yang diusahakan? Sudah tentu kedua-duanya diinginkan.

Tetapi jika berkat menjadi keutamaan, pasti untung akan dikecapi. Sebaliknya, jika hanya untung yang dicari, nescaya berkat akan lari. Berkat atau barakah dalam bahasa Arab bermaksud tumbuh, bertambah atau berkembang.

Al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran mengatakan, berkat bermaksud kebaikan Allah SWT ke atas sesuatu antaranya rezeki yang memberikan kebaikan dan bukan kemudaratan, rezeki walaupun sedikit tetapi mencukupi.

Perkataan ini banyak disebut dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf, ayat 96).

Indahnya maksud keberkatan kerana ia mengandungi kelebihan luar biasa. Jika boleh digambarkan, seperti khasiat produk yang tertera di kulitnya perkataan ‘3 dalam 1’, malah ada yang ‘14 dalam 1’ sudah tentu tidak serupa dengan khasiat dan kelebihan terkandung dalam keberkatan.

Oleh itu, hakikat sebenar sesuatu pencapaian itu terletak sama ada ia mendapat keberkatan atau tidak. Bagi meraih keberkatan dalam pekerjaan, Islam menentukan standard kualiti atau piawaian tersendiri sebagai asas untuk dipatuhi.

Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda yang bermaksud: “Tidak ada satu pun yang kutinggalkan dari apa yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, kecuali sudah aku perintahkan kepada kamu, dan tidak satu pun dari apa yang dilarang Allah kepada kamu, kecuali aku sudah melarangnya kepada kamu. Sesungguhnya Ruh al-Amin (Jibril) menyampaikan dalam nuraniku, bahawasanya jiwa tidak akan mati sehinggalah penuh rezekinya, maka perbaikilah dalam mencari rezeki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Majah dan Abu Ya’la)

Oleh itu, untuk mencapai piawaian keberkatan, lima syarat utama perlu diikut. Pertama, hendaklah apa yang dilakukan itu dengan niat ikhlas seperti firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah Aku perintahkan kamu kecuali untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan diri dalam agama.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Individu ikhlas adalah yang bersih hatinya daripada sifat riak dan sum’ah (ingin didengar oleh orang lain). Pesanan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud:”Wahai Muaz, ikhlaskanlah agamamu, nescaya cukuplah amalanmu yang sedikit.” (al-Targhib wa al-Tarhib)

Pekerjaan hebat dan banyak tidak akan bernilai tanpa keikhlasan berbanding pekerjaan kecil dan sedikit, ditunaikan secara ikhlas akan menjadi banyak kerana keberkatan. Semua orang boleh melakukan pekerjaan yang sama dari sudut kualiti dan kuantiti tetapi keberkatannya berbeza bergantung kepada keikhlasan hati mereka.

Kedua, hendaklah pekerjaan itu tidak melalaikan kita daripada mengingati dan menunaikan kefarduan kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumuah, ayat 10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap perkara yang tidak dimulakan dengan Bismillah maka akan terputus (rahmat dan berkat) bagi perbuatan itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Bahkan bagi mereka yang bekerja sehingga melalaikannya digelar sebagai hamba dinar dan dirham. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Celakalah orang yang menjadi hamba dinar, celakalah orang yang menjadi hamba dirham, celakalah orang yang menjadi hamba kemewahan dan celakalah orang yang menjadi hamba kemegahan, celaka dan binasalah mereka semua, jika telah jatuh tidak akan bangkit semula.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ketiga, hendaklah apa yang dikerjakan itu daripada sumber halal serta dengan cara halal. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Oleh itu, jika kita inginkan keberkatan jauhilah sebarang bentuk penipuan, pecah amanah, rasuah, pembohongan dan sebagainya dalam pekerjaan.

Keempat, hendaklah hasil yang diperoleh daripada pekerjaan atau rezeki itu dikongsikan. Oleh kerana itu Islam menfardukan ibadat zakat serta amat menggalakkan amalan sedekah dan pemberian hadiah antara satu sama lain supaya kesenangan itu tidak hanya dinikmati segelintir.

Malah dengan amalan ini ia dapat menyucikan harta dan hati pemiliknya serta menggembirakan penerimanya. Justeru, menginfaqkan harta membawa keberkatan, sebaliknya menahannya mengundang kecelakaan.

Kelima, hendaklah dalam mengusahakan pekerjaan, seseorang itu sentiasa reda dan bersyukur. Saidina Ali bin Abi Thalib mengatakan, salah satu daripada maksud takwa adalah reda dengan pemberian yang sedikit.

Begitulah banyaknya kelebihan mengusahakan pekerjaan dan sumber rezeki ke arah piawaian keberkatan yang dijanjikan Allah SWT. Lantaran itulah Rasulullah SAW sentiasa bermunajat dalam doa Baginda: “Ya Allah ampunilah dosaku, lapangkanlah rumahku dan berkatilah rezekiku.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, Ahmad dan Tabrani)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

10 Manfaat Lapar

Posted by epondok di Ogos 15, 2011

1. Menjernihkan hati, mencerdikkan otak serta menerangi penglihatan hati

2. Melembutkan hati yang membolehkan ia dapat merasai kelazatan pengaruh zikir kerana apabila perut kosong boleh menghilangkan kekerasan hati yang menyebabkan zikir dilidah terus meresap dihati yang lembut tanpa ada halangan lagi

3. Merasa kalah dan hina serta menghilangkan perasaan bongkak, terlalu gembira dan kufur nikmat di mana semua sifat tercela ini menjadi penyebab kepada penyimpangan dan kelalaian daripada mensyukuri nikmat Allah

4. Sentiasa ingat kepada bala Allah di dunia dan siksaanNya di akhirat apabila merasai sendiri bagaimana peritnya lapar

5. Mematahkan keinginan nafsu serta menguasainya daripada melakukan maksiat kerana bahan yang menguat dan menambah keinginan nafsu kebanyakannya berasal daripada makanan

6. Mengurangkan tidur dan memudahkan untuk berjaga terutama dalam berbuat ibadat

7. Memudahkan diri untuk menumpukan perhatian dalam beribadat kerana tidak banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan makanan

8. Dapat menjaga kesihatan dan selamat daripada pelbagai penyakit yang terbit daripada banyak makan

9. Jimat dalam perbelanjaan harian apabila tidak banyak wang dihabiskan untuk membeli banyak makanan

10. Membolehkan dia mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri melalui sedangkan kerana orang lapar lebih memahami masalah dan penderitaan orang lain

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »