Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 13 Ogos 2011

Puasa melahirkan sifat terpuji

Posted by epondok di Ogos 13, 2011

Abdullah Md Zin

Allah SWT berfirman dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”.

Puasa adalah satu ibadah yang penting dalam Islam. Melaksanakan ibadah ini boleh menyuburkan kerohanian seseorang serta dapat mendidik hawa nafsu. Puasa mempunyai hikmah yang besar dan matlamatnya adalah menjadikan seseorang itu bertakwa.

Takwa adalah satu kalimah yang merangkumi semua sifat yang terpuji, dilakukan oleh setiap Muslim, sama ada zahir dan batin. Sifat takwa juga berfungsi sebagai penjaga dalam setiap tindak-tanduk seorang Muslim agar tidak melanggar perintah Allah SWT.

Melaksanakan ibadah puasa, dapat mengawal seseorang terjerumus maksiat dan kemungkaran kerana orang yang berpuasa sanggup mengawal tuntutan naluri yang berkehendakkan kepada makanan, minuman dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara tidak berfaedah seperti membuang masa, berdusta, mengumpat, berbual kosong dan lain-lain lagi.

Oleh itu jiwa manusia akan meningkat ketinggian dari alam kehidupan keduniaan kepada alam kehidupan kerohanian. Bagi mencapai matlamat tersebut, Rasulullah SAW menasihati umatnya dalam sebuah hadis bermaksud: “Puasa itu perisai, apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah mengeluarkan kata-kata keji (kotor), jangan menimbulkan suasana tegang. Jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah: sesungguhnya aku sedang berpuasa”.

Selain itu puasa juga boleh memupuk dan menyuburkan lagi sifat amanah dalam diri seseorang kerana dengan berpuasa dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT dalam setiap pekerjaan dilaksanakan.

Amanah adalah salah satu sifat daripada sifat-sifat mulia. Ia sangat penting diamalkan setiap anggota masyarakat tidak kira pemimpin mahupun rakyat, pemimpin organisasi mahupun orang yang dipimpin. Ada antara kita yang tidak begitu jelas dalam memahami pengertian amanah. Mereka beranggapan ia hanya terbatas kepada usaha menjaga harta orang lain yang diletakkan di bawah jagaannya.

Menurut pandangan Islam amanah ialah mengerjakan semua yang disuruh Allah dengan penuh keikhlasan dan ketaatan serta menjauhi setiap perkara ditegah, sama ada ketika beribadah kepada Allah mahupun bermuamalah dengan masyarakat.

Amanah paling utama diwajibkan ke atas setiap Muslim ialah untuk menunaikan ibadah yang ditaklifkan kepada manusia oleh syarak seperti solat fardu, berpuasa Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Sekiranya seseorang itu cuai dalam melaksanakan ibadah yang difardukan ke atasnya, maka individu berkenaan telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab diperintahkan oleh Allah SWT.

Begitu juga dengan mata kita, ia adalah amanah Allah kepada hambanya yang dipinjamkan untuk kita manfaatkan kegunaannya dengan sebaik mungkin. Orang yang betul-betul amanah menjaga matanya pasti orang itu tidak akan salah gunakan mata untuk memandang perkara diharamkan.

Kesihatan adalah amanah, akal adalah amanah, kehormatan juga adalah amanah. Begitu jugalah dengan semua anggota badan kita yang lain, kita perlu menjaga dan memeliharanya dengan cara menggunakannya untuk sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat bukannya untuk perkara yang sia-sia dan dilarang syarak.

Sebenarnya kehidupan manusia ini semuanya adalah amanah Allah yang sepatutnya dijaga dengan sebaiknya terhindar dari kebinasaan. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 36 bermaksud: “sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Oleh itu, dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang keji (mazmumah) dan hiasilah jiwa kita dengan sifat yang terpuji (mahmudah). Seterusnya kita berusaha untuk mengerjakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sahabat jatuh sakit jika lama tak jumpa Rasulullah

Posted by epondok di Ogos 13, 2011

SATU perkara tidak dapat disangkal bagi ahli takwa dan iman, fenomena cinta mereka terhadap Allah SWT, Rasul-Nya dan jihad pada jalan Allah. Fenomena kecintaan ini tidak mungkin dapat disamakan dengan kecintaan lain kerana ia adalah tuntutan iman dan Islam.

Begitu juga seorang Mukmin yang merasai kemanisan iman sudah pasti memiliki akidah bahawa zat Tuhan mencapai tahap kesempurnaan, keindahan dan kebesaran paling agung. Dengan keimanan mantap juga, beliau yakin kaedah berkaitan dengan Tuhan wajib diikuti lantaran kesempurnaan pemiliknya.

Apabila seorang Mukmin itu merasai kemanisan iman dalam hatinya, beliau pasti mencintai Nabi Muhammad SAW kerana Baginda sebaik-baik contoh dan akhlak.

Secara semula jadi, segala kelebihan yang Allah anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW akan menarik perhatian manusia dan menjadi contoh mereka dalam aspek keagamaan, keduniaan dan kemasyarakatan.

Bahkan ada sahabat jatuh sakit jika tidak bertemu Rasulullah SAW dalam tempoh lama.

Diriwayatkan oleh Iman Al-Bughawi, daripada Thauban mawla Rasulullah SAW. Beliau amat mencintai Rasulullah SAW dan kurang sabar dalam hal ini. Pada suatu hari beliau bertemu dengan Rasulullah SAW dalam keadaan yang berlainan.

Maka Nabi Muhammad SAW bertanya kepada beliau: “Apa yang mengubah keadaanmu sebegini wahai Thauban?” Jawab beliau: “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempunyai sebarang penyakit. Hanya hati amat merindui apabila tidak dapat melihat dirimu. Kemudian aku terkenangkan hari akhirat. Maka aku khuatir tidak lagi dapat melihat dirimu kerana engkau akan diangkat bersama para nabi. Jika aku dapat memasuki syurga sudah tentu kedudukanku lebih rendah. Sekiranya aku tidak dapat memasuki syurga, sudah tentu aku tidak akan melihatmu lagi.”

Maka turun ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi dan orang siddiq dan yang syahid serta soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat).” (Surah an-Nisaa’, ayat 69)

Satu persoalan yang perlu diperhatikan, adakah wujud penghalang yang boleh memutuskan fenomena cinta sederhana ini? Sebagai Muslim, selama mana beliau masih lagi istiqamah dengan keimanannya dan patuh setiap perintah syarak, hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan dan tidak harus memutuskan persaudaraan.

Berdasarkan kenyataan ini, apabila berlaku perkelahian, permusuhan dan kebencian antara dua orang Muslim, tidak harus bagi mereka memutuskan persaudaraan lebih daripada tiga hari.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim bahawa dia memutuskan persaudaraan lebih daripada tiga hari.” (Hadis riwayat sahih Bukhari dan Muslim)

Tempoh ini mencukupi bagi dua orang yang bertelagah berdamai. Jika permusuhan itu melebihi tiga hari, maka kedua-duanya berdosa jika permusuhan itu membabitkan kes individu dan sebab peribadi saja. Jika permusuhan itu berkait dengan perkara keagamaan, maka menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk memberi nasihat kepada saudara seagamanya yang sedang melakukan dosa.

Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat.

Kami (sahabat) bertanya, bagi siapa (nasihat itu)? Sabda Nabi Muhammad SAW: Bagi Allah, kitabNya, Rasul-Nya dan bagi pimpinan Muslimin dan keseluruhan umat Islam.” (Hadis riwayat Muslim)

Jika nasihat yang diberikan tidak mendatangkan manfaat sedangkan saudara seagama dalam kemaksiatan dan kefasikan, maka wajib ke atas Muslim itu meninggalkannya kerana Allah walaupun beliau salah seorang dari kaum keluarga atau taulan. Diriwayatkan dalam hadis sahih bahawa Nabi Muhammad SAW meninggalkan sebahagian isteri Baginda selama sebulan untuk mencegah dan mendidik mereka.

Berdasarkan itu, jelas bahawa memutuskan persaudaraan kerana Allah terbahagi kepada dua bahagian permusuhan sementara dalam tempoh tertentu bertujuan untuk mendidik dan permusuhan yang kekal abadi sehingga ke akhir hayat ke atas insan yang melanggar hukum Allah.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Dua kelompok orang miskin

Posted by epondok di Ogos 13, 2011

SAYA merasa pelik, ada orang miskin yang begitu mudah meminta-minta. Mereka merasa gembira menjadi penerima, malah seolah-olah bersyukur pula dengan kemiskinan yang menimpa. Namun, saya juga melihat ada kelompok fakir dan miskin yang cuba menyembunyikan kemiskinan dan mereka malu menerima bantuan. Apakah penjelasan ustaz terhadap kewujudan dua fenomena ini?

JAWAPAN

Memang benar kenyataan saudara, bahawa wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta.

Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah dalam surah al-Ma’arij, ayat 24 dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang.

Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu ‘kaya jiwa’ atau ‘kekayaan hati’, yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin.

Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah menukilkan dalam al-Quran dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah: Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: “Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini. (riwayat Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar.

Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mikraj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita. (riwayat Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua’lam.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »