Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 Ogos 2011

Gandakan usaha hidupkan Ramadhan

Posted by epondok di Ogos 11, 2011

Oleh AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR

MARHABAN ya Ramadan – Selamat datang Ramadan diucapkan untuk bulan yang suci serta mengharapkan agar jiwa raga kita serta keluarga dan anak-anak dan umat Muslim seluruhnya diasah dan diasuh bagi melanjutkan perjalanan menuju Allah SWT. Kita perlu mempersiapkan bekal bagi tujuan menyelusuri jalan itu.

Tahukah saudara apakah bekal itu? Benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa keluarga Muslim seluruhnya. Tekad kita yang membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan tadarus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama, bangsa dan negara.

Sebagai keluarga Muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan. Ini kerana pengembaraan Ramadan yang begitu lama sudah kembali semula menemui kita.

Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.

Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran untuk keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.

Orang-orang yang beriman sahaja yang tahu menghargai Ramadan. Sebab itu mereka mempertingkatkan amalan baik seperti bersedekah, terawih, qiamullail, membaca al-Quran, berzikir dan bermacam-macam amalan baik yang lain pada bulan yang mulia.

Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. (al-Qadr: 1)

Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.

Menghadapi bulan Ramadan memerlukan persiapan mental dan spiritual khususnya dari segi semangat dan ketahanan. Ini sangat penting untuk mendapatkan hasil yang maksimum daripada kegiatan puasa itu.

Ada sesetengah orang bersiap sedia dari segi mental tetapi tidak mempunyai nawaitu (niat). Manakala sesetengahnya sempurna dari segi niat tetapi tidak pula mempunyai semangat dan ketahanan dalam menghadapi puasa di bulan Ramadan.

Kurang daripada segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan sesetengah orang tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: “Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga.”

Dalam setahun di mana terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka bulan Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya. Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja, lesu dan tidak bersemangat.

Mari kita persiapkan diri serta keluarga dan bersiap sedialah lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat terawih hukumnya cuma sunat.

Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu Imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid. Anda sudah tentu tidak kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib – yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak di bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.

Persiapan kita bukan sekadar menghadapi lapar dan dahaga tetapi bersedia untuk memahami dan menghayati makna-makna falsafah yang terdapat di dalamnya.

Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar di kalangan orang kita pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah. Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan Ramadan. Tidak ada contoh daripada Nabi, sahabat dan orang-orang soleh mengenai hal ini. Malah Nabi mengurangi tidurnya pada malam-malam bulan Ramadan hingga batas yang paling minimum. Mereka banyak membaca al-Quran, zikir dan sembahyang.

Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah.

Di samping persiapan dari segi spiritual, ingatlah Ramadan adalah bulan maghfirah (pengampunan) dan rahmah (kasih sayang). Persiapan dari segi rohani diperlukan untuk membetulkan niat, membersihkan hati, membangun tekad dan bersiap untuk menerima bimbingan serta petunjuk Allah SWT.

Sebaik-baiknya sebelum puasa tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, sembahyang tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian bulan Ramadan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadhan, jauhi dari menjadikan ia bulan ‘makan-makan’

Posted by epondok di Ogos 11, 2011

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Ramadhan datang lagi menjenguk umat Rasulullah s.a.w buat sekian kali.Kali inhttps://epondok.files.wordpress.com/2011/08/asmarojak.jpg?w=278 datangnya seperti kehadiran Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.Sering disebutkan Ramadhan adalah bulan nikmat, Ramadhan juga bulan pengampunan.

Bagi yang menghayatinya, maka akan datangnya hikmahnya bulan pengampunan ini dengan nikmat iman dan ketaqwaan.

Ayat 183 Surah Al Baqarah bermaksud ” Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

 Namun masih ada dikalangan kita sendiri tidak dapat menghayati kehadiran Ramadhan dengan mengambil kesempatan untuk mendekatkan diri menjadi hamba yang memiliki jiwa kehambaan kepada Allah s.w.t.

Sidang pembaca sekalian, Ramadhan bukan sahaja datang dengan syiar kewajiban berpuasa malah amalan-amalan sunat seperti solat Tarawikh di malam pertama sebelum berpuasa pada esok harinya.

Dan Daripada Abdulrahman Bin Auf, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya ” Sungguh Allah telah mewajibkan puasa Ramadhan dan mensunnahkan solat di dalamnya, barang siapa yang berpuasa dan solat dimalannya kerana keluar dari dosanya ibarat pada hari ia dilahirkan oleh ibunya” (hadith riwayat Ahmad).

Disebabkan itulah kehadiran Ramadhan ini amalannya didahului dengan solat sunat Tarawikh yang mendahului amalan berpuasa.Sunat Tarawikh akan berjalan sebaik selepas Isya’ malam sebelum umat Islam berpuasa pada esoknya.

Mengapa?Berbalik kepada hadith yang dibacakan sebentar tadi yang menkiaskan agar umat Islam memperbanyakkan amalan sunat yang terutamanya di malam hari.

Keutamaan mengerjakan solat Tarawikh, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda ” Barang siapa berdiri (solat malam) di bulan Ramadhan kerana iman dan kerana mengharapkan pahala dari Allah, makan akan diampunkan dosa-dosa sebelumnya ” (hadith Riwayat Muslim).

Terkadang ada dikalangan umat Islam mutakhir ini hanya mengetahui bahawa kehadiran Ramadhan hanya besarnya kepada kewajiban berpuasa sahaja.

Lebih malang lagi, dicelah-celah kehangatan puasa itu, kita lalai dengan budaya berpuasa yang boleh disifatkan sebagai sekadar menahan lapar dan dahaga, sekadar mahu mencukupkan syarat agar mata manusia melihat kita ini berpuasa.

Malah lebih parah dari itu, kehadiran ramadhan bagi sesetengah pihak hanya untuk meraikan bulan ‘makan-makan’ kerana jika dilihat pada perkembangan hari ini, pelbagai iklan dan promosi bufet Ramadhan disiarkan.

Ada yang telah memikirkan mahu berbuka dihotel-hotel mewah, direstoran terpilih dan berbuka bersama rakan-rakan, dan ada yang telah membuat tempahan awal berbuka meskipun 1 Ramadhan belum tiba.

Malang sekali, budaya ini semakin menjadi ‘kebiasaan’ kepada masyarakat di negara ini dalam meraikan kehadiran Ramadhan, dan bukan menjadi suatu yang aneh jika berbuka dengan lauk pauk yang mewah, melimpah ruah.

Di sana sini kini mula bicara mengenai apa menu istimewa pada Ramadhan kali ini.Malah dipejabat-pejabat hari ini, isu makanan atau menu pada Ramadhan menjadi topik perbualan utama.

Impaknya, puasa sekadar menahan lapar dan dahaga, perut yang kempis sebelum puasa menjadi kembung dipertengahan dan dipenghujung bulan puasa.

Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri hanya meneguk air dan tiga biji buah Tamar (buah kurma) ketika berbuka, dan kemdiannya baginda meneruskan solat serta amalan sunat yang lain memenuhi malam-malam Ramadhan.

Malangnya, umat Islam hari ini persoalan amalan sunat yang mendampingi Ramadhan, malah menjadi nadi kepada kekuatan Ramadhan itu sendiri semakin tidak dibicarakan.

Ada yang tidak lagi mengendahkan waktu bersahur, kerana lena dibuai mimpi, malah ada yang terlena hingga subuh ditinggalkan begitu sahaja.Puasa sekadar pada niat, dan menahan lapar serta dahaga.

Walhal lebih penting lagi, kedatangan Ramadhan ini seharusnya dititipkan dengan segala amalan sunat bermula dengan Solat Sunat Tarawikhnya; kemudian bertadarus Al-Quran (lebih molek bersekali mentadabur), solat Tahajjud di sepertiga malam, dan pada siang harinya juga di samping menahan lapar, dahaga, menahan mata, telinga mulut dari yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa, amalan bertadarus, mendengar tazkirah, bersedekah dan sebagainya juga boleh menambah nikmat Ramadhan.

Alangkah moleknya, jika solat Tarawikh juga diselangkan dengan slot tazkirah dipertengahannya, sementara ia mampu mengisi jiwa-jiwa yang menghadirkan diri ke rumah Allah dengan ilmu tambahan.

Mengapa Ramadhan disebut sebagai bulan rahmat dan pengampunan?

Nah pada bulan ini datangnya peristiwa penting hari-hari tertentu seperti turunnya Al-Quran (Nuzul Quran) pada hari ke-17 Ramadhan.

Malah di dalam bulan Ramadhan jugalah datangnya satu malam yang dipanggil Lailatul-Qadar iaitu suatu keistimewaan yang diturunkan Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Allah menjanjikan bahawa mereka yang beramal pada malam tersebut diberi ganjaran pahala seperti beribadat selama 1000 bulan.Malam yang disebutkan ini akan datang pada 10 malam terakhir dan para ulama menakrifkan ianya pada malam ganjil.

Daripada Aishah r.ha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya ” Carilah malan Lailatul -Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir sebelum ramadhan” *hadith riwayat Bukhari, Muslim Tarmizi dan Ibnu Majah).

Sejurus amalan-amalan yang disebutkan tadi dilakukan dengan baik, insyaAllah rasa kehambaan akan datang, dan disitulah nikmat iman dan jiwa penuh taqwa akan dirasai.

Jadikanlah Ramadhan kali ini bukan seperti Ramadhan yang sebelumnya yang mana daripada Ramadhan ‘bulan makan-makan’ kepada Ramadhan bulan melazatkan amalan yang membawa ketaqwaan.

Moga ia mampu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita semua kepada Allah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Perbaiki pengurusan zakat dan kebajikan elak MURTAD

Posted by epondok di Ogos 11, 2011

Oleh Musa Awang

JKM, Baitulmal perlu ubah kaedah agih dana pastikan tiada tercicir

INSIDEN pemeriksaan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya mendedahkan sekali pengakuan orang Islam yang dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan dihulurkan.

Menurut pengadu, gereja itu akan menelefon dua hingga tiga kali sebulan untuk bertanyakan khabar dan masalah. Mereka turut menawarkan individu berkenaan dan anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan termasuk persekolahan anak.

Individu terbabit pada mulanya sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja bagi memastikan anak mereka meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan Baitulmal.

Minggu lepas, seorang rakan penulis bertemu satu keluarga malang yang bergelut dalam kepayahan hidup. Nasib malang keluarga ini dihidu dan dibantu persatuan Buddha sebanyak RM300 sebulan. Nasib baik iman dan pegangan agama keluarga ini utuh dan tidak mudah terpengaruh.

Jika terbukti benar dakwaan itu, ia adalah dakyah terancam yang perlu ditangani segera dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).

Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

 

 

Sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh ditangkap tanpa waran. Sebagai umat Islam, kita melenting kalau ada ancaman dakwah daripada agama lain. Tetapi kita perlu sedar bahawa itu adalah strategi proaktif mereka.

Kita perlu menilai adakah strategi dakwah kita dapat menyaingi mereka atau kita hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan hidayah Allah? Adakah kita hendak menyalahkan pihak gereja yang me ngambil inisiatif membantu mereka dalam kesusahan tanpa perlu melalui proses tapisan ketat?

Kebenaran dakwaan ada masyarakat susah menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal perlu dilihat dari aspek positif bahawa masih ada kelemahan sistem yang diguna pakai sekarang.

JKM dan Baitulmal perlu mengkaji kaedah mengumpul data dan maklumat masyarakat fakir miskin serta menambah baik kaedah pengagihan dana kebajikan kepada masyarakat layak menerimanya, supaya tidak ada lagi masyarakat Islam tercicir, yang akhirnya dipujuk pihak tertentu untuk menerima bantuan dari gereja.

Baitulmal perlu lebih agresif mencari punca dan masalah kenapa ada pihak yang susah mendapatkan bantuan kerana dana yang dipegang badan itu adalah amanah seluruh umat Islam yang mengeluarkan zakat.

Pengajaran boleh diambil dari sejarah Islam, diriwayatkan bahawa pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau sanggup memikul gandum untuk diagihkan kepada orang miskin kerana mengambil berat tanggungjawabnya menjaga kebajikan umat Islam.

Pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz pula, wang zakat tidak dapat diagihkan kepada umat Islam kerana kemiskinan sifar, yakni tiada orang memerlukan wang zakat lalu ia digunakan untuk memerdekakan hamba abdi di Eropah.

Pihak yang diamanahkan menjaga kebajikan umat Islam di negara ini perlu membuat transformasi cara kerja secepat mungkin bersesuaian kehendak semasa, mengurangkan birokrasi dan lebih praktikal. Sebagai pembayar zakat, sudah pasti kita mahukan perubahan ini berlaku segera.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hayati maksud sebenar tadarus

Posted by epondok di Ogos 11, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu’ Rasail: “Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia.”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;

Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.

Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.

Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.

Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: “Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran.”

Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: “Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci.”

Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi’ tabiin seperti Sa’id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.

Sa’id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: “Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa’id berkata begini! Sa’id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.

Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

8 Golongan Penerima Zakat

Posted by epondok di Ogos 11, 2011

Petikan almalakawi.wordpress.com

Siapa kah yang berhak menerima zakat?

Mereka itu (mustahikkin zakat) tersebut didalam Al-Quran seramai lapan orang.

انما الصدقات للفقراء والمساكين والعاملين عليها والمؤلفة قلوبهم وفي الرقاب والغارمين وفي سبيل الله وابن السبيل

Zakat hanya diberi kepada:

1.   Fakir, orang yang pendapatannya kurang daripada lima puluh peratus keperluan hariannya, seperti dia memerlukan RM. 50 tetapi pendapatannya hanya RM. 24 dan kebawah.

2.   Miskin, orang yang pendapatannya lima puluh peratus dan keatas daripada keperluan hariannya tetapi tidak sampai seratus peratus, seperti dia memerlukan RM. 50 tetapi pendapatannya hanya RM. 25 dan keatas serta tidak mencapai RM. 50.

3.   Amil ialah orang yang disuruh (dilantik) oleh raja (pemerintah) untuk menggendalikan zakat dengan syarat dia adalah islam, merdeka, mukalaf, lelaki, adil, mendengar dan melihat.

Termasuk dalam kata amil ialah:

  • Orang yang memungut zakat.
  • Orang yang mengira, menyukat, menimbang zakat.
  • Orang yang menghimpunkan nama-nama mustahikkin.
  • Kerani zakat.
  • Orang yang membahagikan kepada mustahikkin.

Mereka ini diberikan zakat kadar upah yang sepatut dengan pekerjaan mereka itu.

4.   Mualaf ialah orang yang dijinakkan hatinya, mereka ada lima jenis:

  • Orang kafir yang baharu masuk islam dan lemah imannya.
  • Orang kafir yang masuk islam yang kuat imannya tetapi dia mulia dikalangan kaumnya, diberikan zakat kepadanya supaya masuk islam kaumnya.
  • Segala orang islam yang menjaga sempadan negara kerana menjaga orang islam yang lain dari kejahatan kafir dan penderhaka yang hampir keduanya dengan sempadan negara. Diberikan zakat kepada mereka supaya berjinak hati mereka dengan pekerjaan mereka itu.
  • Orang islam yang boleh mengambil zakat daripada mereka yang tidak mahu mengeluarkan zakat dan menghantar zakat itu kepada pemerintah dan orang yang menakutkan orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat supaya menghantar zakat pada pemerintah. Di beri zakat kepada mereka itu supaya berjinak hati mereka dengan pekerjaan mereka itu.
  • Orang yang mengambil zakat dari kaum yang sukar amil (orang yang memungut zakat) sampai kepada kaum itu, sekalipun kaum itu bukan orang yang menegah zakat. Orang ini tidak diberikan zakat dari habuan amil tetapi habuan mualaf kerana mereka tidak dilantik oleh pemerintah untuk memungut zakat. Amil hanya boleh dilantik oleh pemerintah.

5.  Hamba mukatab ialah seorang hamba yang dijanjikan merdeka dengan syarat membuat pembayaran kepada tuannya, diberikan zakat dengan syarat sah akad kitabahnya (akad merdeka dengan pembayaran).

Di bawah ini syarat sah akad kitabah:

  • Harga hendaklah diketahui.
  • Pembayaran mestilah sekurang-kurang dua kali. Tidak sah akad kitabah dengan sekali bayar.

Zakat yang diberi kepada hamba mukatab hanya sekadar pembayaran yang melepaskannya daripada kehambaan.

Sekiranya hamba itu telah membayar dengan harta yang lain daripada harta zakat atau hamba itu tidak berkemampuan membayar dan tidak berlaku kemerdekaan maka wajib dia memulangkan semula harta zakat itu.

6.   Orang yang berhutang. Mereka ini ada empat jenis:

  • Berhutang kerana hendak mendamaikan dua orang, atau dua puak yang berbantah tentang pembunuhan atau harta yang hilang. Diberikan zakat kepadanya sekadar membayar hutang sekalipun dia kaya.
  • Berhutang pada suatu yang umum manfaatnya seperti berhutang kerana buat jamuan, kerana membina masjid, kerana membaiki masjid, kerana membina jambatan, dan lainnya. Diberikan zakat kepadanya sekalipun dia kaya.

Peringatan tidak boleh beri zakat kerana hendak membina masjid, atau beri zakat kepada masjid, madrsah dan sebagainya disini zakat diberi pada orang yang berhutang kerana membina masjid.

  • Orang yang berhutang kerana tujuan diri sendiri dengan syarat dibelanjakan hutang itu pada berbuat kebajikan atau pada pekara yang harus.

Syarat diberi zakat kepadanya hendaklah hutang sudah sampai masa pembayaran dan orang yang berhutang papa yakni tidak mampu membayarnya.

  • Orang yang menjamin atau mengaku hendak membayar hutang orang lain, diberi zakat dengan syarat orang yang menjamin dan orang yang berhutang papa keduanya.

7.   Orang yang berperang di jalan Allah. Syarat diberi zakat kepada mereka itu hendaklah mereka itu bukan tentera yang di daftar dan mendapat gaji, bahkan mereka itu berperang secara sukarela.

Diberi zakat untuk membeli alat peperang, kenderaan, belanja perjalanan dan belanja yang digunaka semasa dalam peperangan.

8.   Ibnu sabil ialah orang yang musafir sama ada lelaki atau perempuan yang hendak musafir dari negeri zakat atau dia singgah dinegeri zakat, seterusnya hendak kembali kenegerinya atau meneruskan perjalanan ketempat lain.

Zakat yang diambil oleh mereka yang no. 1 hingga no. 4 menjadi milik sempurna yakni mereka itu boleh membelanja kepada apa sahaja perbelanjan yang diharuskan, kerana mereka yang berada selepas huruf ل yang memberi makna milik, bersalahan mereka yang berada selepas huruf في yang memberi makna pada tujuan mereka mengambil zakat, maka maknanya tujuan mereka mengambil zakat hendak memerdekakan diri, hendak membayar hutang, hendak berperang di jalan Allah, hendak musafir.Mereka yang duduk no.5 hingga no. 8 hanya boleh membelanja pada tujuan mengambil zakat seperti orang yang berhutang hanya diberikan sekadar pembayar hutang, sekiranya ada lebih wajib dia memulangkan wang zakat itu. Seperti itu juga orang yang mengambil zakat kerana berperang maka dia hanya membelanja zakat itu pada tujuannya sahaja iaitu perbelanjaan semasa berperang, pergi balik, alat peperangan dan lain pekara yang bersangkut dengan peperangan . mereka tidak boleh menguna pada yang lain. Mereka wajib memulangkan sekiranya ada lebih apabila mereka sampai di tempat kediamannya.

Syarat orang yang mengambil zakat:

  • Merdeka. Hamba tidat boleh mengambil melainkan hamba mukatab.
  • Islam. Haram memberi zakat kepada kafir.
  • Bukan anak cucu bani Hasyim dan bani Muttalib. Mereka ini haram mengambil zakat.
  • Bukan orang yang dibawah tanggungan orang yang memberi zakat. Maka seorang ayah tidak boleh memberi zakat kepada anaknya atas jalan fakir, miskin, adapun selain dari fakir dan miskin seperti anak itu berhutang harus ayah memberi zakat kepada anaknya. Begitujuga orang lain yang ada tanggungan dibawahnya.
  • Bukan orang yang di tahan dari memperguna harta dengan sebab bodoh, kanak-kanak, atau gila, yakni tidak diberi zakat pada tangan mereka itu tetapi hendaklah diserahkan kepada walinya.

 

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Polis Israel ceroboh masjid Al-Aqsa

Posted by epondok di Ogos 11, 2011

BEBERAPA remaja membaling batu ke arah anggota polis dan tentera dekat pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis semalam.

BAITULMUQADDIS – Polis Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di sini semalam selepas beberapa penduduk Palestin membaling batu ke arah pengunjung-pengunjung di kawasan yang paling sensitif melibatkan penganut Islam dengan agama Yahudi.

Konfrontasi yang berlaku itu meningkatkan lagi ketegangan selepas pemerintah Israel mengumumkan satu pelan untuk menjadikan kawasan suci agama Yahudi di Tebing Barat sebagai kawasan warisan kaum Yahudi.

Beberapa saksi berkata, keganasan bermula selepas penduduk Palestin membaling batu ke arah pengunjung yang melawat kawasan tersebut.

Pegawai-pegawai Palestin berkata, berita telah tersebar bahawa pemerintah Israel akan memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa yang turut menempatkan masjid Kubah Emas.

Jurucakap pasukan keselamatan Israel, Micky Rosenfeld berkata, polis Israel menangkap tujuh penduduk Palestin dan empat anggota polis Israel cedera dibaling batu.

Sumber perubatan Palestin berkata, seramai tiga orang penduduk Palestin cedera ditembak dengan peluru getah telah dihantar ke hospital.

Sejumlah lagi dirawat kerana terkena gas pemedih mata.

Ketua Perunding Palestin Saeb Erekat mendakwa rejim Zionis itu memburukkan lagi ketegangan yang berlaku dengan tujuan untuk melemahkan usaha-usaha Amerika Syarikat (AS) bagi menganjurkan satu rundingan damai.

“Mesej yang hendak disampaikan sangat jelas. Israel cuba mensabotaj semua usaha-usaha untuk memulihkan keamanan,” katanya kepada pemberita.

Israel dan AS telah menghubungi Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk memulakan rundingan dengan segera.

Namun, Mahmoud menyatakan Israel mesti menghentikan terlebih dahulu semua usaha-usaha untuk membina penempatan semula penduduk Yahudi di Tebing Barat sebelum memulakan rundingan. – Reuters

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »