Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 10 Ogos 2011

Umat Islam dilarang puasa di Xinjiang China

Posted by epondok di Ogos 10, 2011

Oleh Saiful Bahri

Kini Muslim Uighur kembali menderita terbaru akibat tindakan keras pemerintah Cina terhadap minoriti etnik di wilayah barat laut Xinjiang itu dengan larangan berpuasa dan beribadah di masjid-masjid.

“Jika ada tokoh agama bertazkirah Ramadhan atau mendorong orang untuk ambil bagian, maka mereka akan kehilangan keizinan permit untuk berdakwah,” kata Dilxat Raxit, juru cakap Kongres Uighur Dunia yang berpangkalan di Munich minggu lalu

 

“Kes yang lebih serius apabila penangkapan dibuat bagi mereka yang melakukan ibadah tarawih yang dinilai menyalahi undang-undang” katanya lagi.

Dibawah pemerintahan Beijing, Pemerintah Daerah Xinjiang, penduduk Islam diminta menandatangani ‘surat akuan’ yang isinya berjanji untuk tidak berpuasa dan solat tarawih atau kegiatan keagamaan lainnya selama ramadhan.Sementara perusahaan swasta menawarkan makanan disiang-hari kepada pekerja Muslim Uighur. Siapa yang menolak untuk makan akan kehilangan bonus tahunan mereka, atau bahkan pekerjaan mereka, Raxit menambahkan.Sasaran juga termasuk sekolah Islam, untuk menyediakan makan diwaktu siang hari selama masa puasa. Seorang warga Uighur Beijing mengatakan siswa di bawah 18 tahun dilarang puasa selama bulan Ramadhan. Selain itu, pemerintah memaksa restoran di wilayah majoriti Muslim untuk tetap dibuka sepanjang hari.

Kawalan juga dilakukan kepada mereka yang cuba untuk menghadiri solat di masjid-masjid. Mereka harus mendaftar dengan kad pengenalan mereka. “Mereka harus mendaftar, dan setelah selesai solat dan berdoa mereka tidak diizinkan untuk berkumpul dan berbicara satu sama lain,” tegasnya.

Sehari sebelum dimulainya bulan suci ramadhan bagi umat Islam Cina, setidaknya 11 orang terbunuh dalam rangkaian serangan di wilayah utara-barat Xinjiang. Pihak pemerintah Cina menyerang minoriti etnik setelah polis Cina menembak mati dua Muslim pada minggu lalu.

Sebelum 18 orang Islam dibunuh dalam serangan di wilayah Xinjiang yang bergolak. Setelah kerusuhan, lebih dari 100 orang Uighur ditahan pemerintah Cina. Penduduk setempat mengatakan, kebanyakan dari mereka yang ditahan dan dituduh adalah mereka yang tengah beribadah di masjid dan istri mereka yang mengenakan jilbab.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Kajian bukti puasa tak jejas perkembangan bayi dalam kandungan

Posted by epondok di Ogos 10, 2011

Oleh Hasliza Hassan

KAJIAN kesihatan mendapati ibu mengandung yang berpuasa tidak menjejaskan kandungan walaupun kadangkala tidak selesa terutama pada tahap tiga bulan pertama kandungan. Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Ampang Putri, Dr Ariza Mohamed, berkata ibu hamil masih boleh berpuasa kerana ia tidak memberi kesan kepada perkembangan bayi.

“Ibu mengandung boleh berpuasa, membaca al-Quran terus menerus dan doa untuk kesihatan bayi dalam kandungan,” katanya yang tidak menafikan cabaran ibu mengandung terutama loya, muntah, pening dan gastrik pada tiga bulan pertama menyebabkan badan kekurangan air hingga ada terpaksa menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata demikian pada seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia di Bangi, baru-baru ini.
Dr Ariza berkata, proses dehidrasi menjadikan ibu lemah, berat berkurangan tetapi biasanya keadaan itu tidak menjejaskan bayi. Begitu juga bagi ibu pada peringkat tiga bulan terakhir terpaksa berhadapan dengan keletihan, sukar untuk fokus, tidak dapat tidur dengan baik dan berat badan mungkin statik atau berkurang.

“Dalam keadaan itu bayi tidak terjejas kerana mereka mendapat cukup makanan daripada ibu. Jika mampu ibu mengandung boleh berpuasa tetapi boleh berbuka apabila mengalami muntah yang teruk. Cuma dari segi menggantikan puasa, ada perbezaan pendapat,” katanya.

Beliau berkata, risiko ibu yang menyusukan anak apabila berpuasa ialah kurang susu dan menyebabkan anak menangis. Sedangkan susu ibu adalah makanan lengkap bayi dan WHO menyarankan enam bulan pertama eksklusif susu ibu tanpa dicampur susu formula.

“Bagi ibu menyusukan anak, dibolehkan berbuka puasa seperti ibu mengandung. Cuma bagi yang mengandung, ada berpendapat tidak perlu berpuasa tanpa berusaha sedangkan Ramadan memberi banyak manfaat,” katanya sambil menasihatkan wanita hamil melewatkan sahur, makan tamar serta susu ketika sahur dan makanan tinggi serat, berehat tengah hari dan memastikan berbuka dengan makanan yang memberi tenaga segera.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar An Nur, Dr Norshinah Kamarudin meminta penghidap kencing manis bersahur, jangan melewatkan berbuka dan tidak makan berlebihan. Pesakit boleh mengubah dos ubat. Jika dos biasa diambil waktu pagi boleh ditukar kepada berbuka sementara dos diambil sebelum makan malam ditukar kepada waktu bersahur.

“Pengubahsuaian dos insulin perlu dilakukan dengan bimbingan doktor selain melakukan ujian tahap gula dalam darah pada waktu tertentu seperti sebelum bersahur, tiga hingga empat jam kemudian atau sebelum berbuka dan tiga hingga empat jam selepas itu.

“Minum cukup air, menggantikan air selepas buang air dan elak minuman manis,” katanya.

 

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Kemajuan ICT tak patut jadi medan sebar fitnah, cipta permusuhan

Posted by epondok di Ogos 10, 2011

TEKNOLOGI maklumat dan komunikasi (ICT) dapat ditakrifkan sebagai pelbagai bentuk peralatan dan sistem digunakan untuk memproses, mengurus, memanipulasi, memindah, menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik.

Berdasarkan perkembangan semasa didapati kemudahan penggunaan teknologi maklumat ini sudah dimanfaatkan secara berkesan dalam hampir semua aspek kehidupan dan pengaruhnya dijangka akan memberi impak yang lebih besar terhadap sistem jaringan dunia keseluruhannya pada masa depan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menginginkan soal berhubungan dengan dunia, wajib ia memiliki ilmunya dan sesiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajib ia mengetahui ilmunya dan sesiapa siapa yang menginginkan kedua-duanya, wajib ia memiliki ilmu kedua-duanya pula.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Teknologi maklumat ini menjadi antara sumber sebaran ilmu. Ia berkaitan dengan apa saja yang boleh menerangkan objek dan data supaya lebih banyak diketahui mengenai sesuatu perkara itu sebagai benar tanpa ada unsur keraguan sama sekali.

Berdasarkan kedudukan itu, setiap Muslim tidak seharusnya menyisihkan diri daripada perkembangan dan pembangunan teknologi maklumat pada hari ini, malah kita seharusnya dapat membabitkan diri secara aktif dan menjadi penyumbang utama melahirkan suatu masyarakat bertamadun. Ia boleh menjadi satu cara efektif untuk menyebarkan ilmu secara menyeluruh berdasarkan konsep dunia tanpa sempadan.

Seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah sentiasa menjaga amalan dan perbuatannya. Jangan sesekali gunakan kepakaran kita terutama dalam ICT untuk tujuan tidak baik dan boleh merosakkan semangat perpaduan, terutama di bulan mulia ini. Sebaran berita dan maklumat yang kurang tepat dan bercampur baur dengan nafsu amarah dan dendam yang berbara syaitan hendaklah dihindarkan.

Daripada Ibnu Umar katanya: “Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi: Wahai orang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, jangan menyakiti orang beriman, jangan mencela mereka, dan jangan mencari-cari aurat (aib) mereka kerana barang siapa mencari-cari aib saudaranya yang Muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada dalam rumahnya. ( Hadis Riwayat Tirmidzi).

Sekarang ini elemen fitnah, umpatan, tohmahan dan adu-domba hidup segar dan menjadi budaya yang tidak boleh disekat dan dibendung lagi penyebarannya. Internet dijadikan medan sentuhan yang membabitkan perkara berkenaan.

Tujuannya mencari kesalahan dan kelemahan dengan niat jatuh menjatuhkan sesama sendiri. Cerita yang tidak benar sengaja direka untuk menarik perhatian orang ramai bagi mengesahkan kebenarannya tanpa siasatan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.” (Al-Mukmin, ayat 19). Manakala cerita yang benar diputarbelitkan sehingga menjadi tidak benar. Masyarakat yang keliru semakin dikelirukan oleh pengendali blog, manakala sentimen kebencian, permusuhan dan perpecahan di kalangan umat Islam terus menjadi-jadi dalam negara ini.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan biarkan puasa kita hanya untuk lapar dahaga

Posted by epondok di Ogos 10, 2011

Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
solat adalah tiang agama yang tidak ada alasan untuk kita meninggalkannya. -Gambar hiasan

PUASA Ramadan adalah ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Kewajipan puasa ini sabit dengan nas Ilahi dalam surah al-Baqarah pada ayat 183. Dalam menjaga agar puasa tidak rosak, keprihatinan masyarakat Muslim dalam menanyakan perkara yang membatalkan puasa amat dihargai.

Ada soalan yang sudah lazim dan biasa. Namun ada soalan-soalan yang masih baru di mana ia tidak wujud pada zaman Nabi SAW dan zaman awal Islam.

Biasanya ia merujuk kepada puasa dan aspek perubatan. Contohnya penggunaan inhaler ketika berpuasa, penggunaan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang, suntikan insulin, bius dan sebagainya.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam masalah ini. Banyak buku boleh dikaji.

Persoalan yang diajukan itu memberi tanda yang positif. Ia satu penanda aras tahap kefahaman segelintir masyarakat Muslim dalam memahami hukum-hakam puasa. Namun sedikit malang apabila persoalan yang amat penting juga dalam ibadah puasa sedikit terabai.

Contohnya segelintir masyarakat Muslim tidak melihat akhlak yang buruk sebagai perkara yang membatalkan puasa atau membatalkan pahala ibadah puasa.

Maka waktu senggang yang asalnya diisi dengan makan digunakan untuk mengumpat, bercakap bohong, berbual perkara yang lagha atau sia-sia secara keterlaluan.

Oleh itu, amat wajar untuk direnungi suatu sabda Nabi SAW maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah Allah berhajat baginya untuk dia meninggalkan makan dan minum. (riwayat al-Bukhari).

Mengikut tafsiran hadis ini sebagaimana dalam Fath al-Bari – satu karya yang menghuraikan Sahih al-Bukhari. Hadis ini menggambarkan bahawa amalan puasa ini tidak diterima oleh Allah.

Alangkah ruginya puasa yang dilakukan dengan kelaparan dan kehausan namun ia tidak diterima. Perit-jerih bangun bersahur pada awal pagi hanya menjadi amalan yang sia-sia.

Maka menjauhi perkara yang sia-sia sebenarnya merupakan dasar bagi seorang mukmin.

Tidakkah al-Quran menjelaskan ciri-ciri golongan mukmin yang berjaya. Antaranya ialah menjauhi perkara yang sia-sia sebagaimana firman Allah mafhumnya: Sesungguhnya orang mukmin telah berjaya. Mereka ialah golongan yang khusyuk dalam solat mereka. Dan golongan yang berpaling menjauhi daripada perkara lagha (sia-sia). (al-Mukminun: 1-3).

Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata. Walaupun definisi puasa ialah imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, namun hikmah puasa yang sebenar ialah bagi menjana nilai takwa dalam diri insan. Firman Allah mafhumnya: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardukan kepada umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Oleh itu, ada beberapa riwayat hadis yang menggesa agar akhlak dijaga dengan baik ketika berpuasa. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: …maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa. (riwayat al-Bukhari).

Hari ini, manusia tidak kisah untuk memfitnah, mencaci dan berkata dusta. Ada juga yang dihalalkan atas nama kebenaran. Entah benar atau tidak, Islam ada garis panduannya. Namun nampaknya garis panduan tersebut sudah tidak diendahkan. Akhirnya, ia hakikatnya satu fitnah, cacian dan pendustaan. Oleh itu, adalah amat wajar tempoh sebulan Ramadan ini diisi dengan perkara yang boleh menjana nilai takwa.

Saya yakin ramai umat Islam mampu berpuasa dengan erti menahan diri daripada makan dan minum. Pelajar sekolah rendah pun nampaknya boleh memahami makna puasa sebegitu. Mungkin ada yang sembunyi-sembunyi makan dan minum, itu di luar kemampuan kita. Namun bagi Muslim yang sudah lama berpuasa, bilakah puasa kita akan meningkat maju?

Ada juga isu yang dibangkitkan bagi memberikan kefahaman yang lebih baik berkaitan amal ibadah dalam bulan Ramadan. Antaranya isu rakaat solat Terawih dan isu waktu imsak di mana dalam jadual takwim ada dicatat waktu imsak sepuluh minit sebelum waktu Subuh. Tidak mengapa jika ia dibangkitkan dan dibicarakan dalam suasana ilmu dan harmoni jauh daripada keji-mengeji dan sebagainya. Apalah gunanya dibicarakan isu sebegini jika akhlak kita makin jauh daripada tuntutan sunnah Nabi SAW.

Antara slogan yang perlu disematkan dalam kotak pemikiran kita ialah bagaimana hendak mewujudkan akhlak keikhlasan dalam beribadat. Keikhlasan beribadat ini pula didasarkan dengan pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya ia dilanjutkan dengan kekuatan semangat istiqamah.

Ingatlah bahawa banyak orang mampu berpuasa namun puasanya itu tidak ke mana. Hanya sekadar lapar dan dahaga. Bangkitlah untuk menjadikan puasa kita lebih berkualiti.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »