Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Ogos 2011

Puasa Ramadan bantu tingkat ketahanan badan

Posted by epondok di Ogos 9, 2011

Oleh Hasliza Hassan

Kajian menunjukkan amalan menahan makan dan bertadarus memberikan ketenangan

PUASA Ramadan yang difardukan kepada umat Islam bukan saja ujian kepada keimanan menahan nafsu makan minum, ibadat itu juga memberi kebaikan kepada tubuh badan terutama untuk menghapuskan toksin yang tersimpan selama ini.

Pengamal Perubatan dan Penceramah Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin, berkata selepas sekian lama badan menerima makanan dan minuman yang memudaratkan, puasa Ramadan memberi peluang kepada manusia mengembalikan ketahanan tubuh badan.

Katanya, makanan serta minuman yang diambil sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadan mungkin halal dari segi sumber dan bahan asasnya tetapi tidak semestinya makanan itu baik kepada kesihatan.
Oleh itu, sebulan Ramadan yang ditetapkan Allah untuk umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga membawa bersama hikmah kefarduannya menurut pandangan sains berdasarkan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kaitan puasa dari aspek kesihatan.

“Memang asasnya niat puasa itu penting supaya kita tidak terbabas. Jangan kata niat kita puasa untuk kuruskan badan atau kurangkan kolesterol kerana tujuan utama puasa adalah mencapai status takwa dengan mentaati, sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat Allah.

“Namun di sebalik kewajipan itu tidak dinafikan banyak kebaikan diperoleh berdasarkan kajian dibuat mengenai kesan ibadat puasa terhadap sistem badan. Ini kerana makanan halal yang kita makan tidak semestinya toyyibah atau berkhasiat kepada tubuh badan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Ramadan dan Sains pada Seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).

Seminar bertemakan Puasa Membentuk Ketakwaan dan Kesejahteraan membabitkan kira-kira 150 pengamal perubatan, kakitangan hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan merangkumi aspek ibadah serta panduan perubatan kepada pesakit di bulan Ramadan.

Pada pembentangan itu, Dr Danial menjelaskan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kesan makanan terhadap sikap manusia serta keberkesanan puasa membantu mengatasi masalah kesihatan yang dihadapi sesetengah pihak sebagai panduan masyarakat umum.

Antara diketengahkan ialah laporan CNN.com mengenai makanan ringan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan kumpulan berisiko adalah remaja belasan tahun yang ketagih makanan ringan. Kajian oleh Universiti Toronto pula mendapati makanan ringan boleh merosakkan otak.

Buku Dr Jack Goldstein mengenai puasa memberitahu amalan itu dapat membina kekuatan tubuh badan, sementara Dr Shahid Athar dalam laporan mengenai rumusan Kongres Kesihatan dan Ramadan yang diadakan di Casablanca pada 1994 turut memperakukan puasa Ramadan dari sudut sains dapat meningkatkan ketahanan tubuh.

Justeru, menurut Dr Danial, masyarakat tidak perlu bimbang terhadap kesan puasa kepada tubuh dan sistem imunisasi kerana terbukti amalan menahan diri daripada lapar dan dahaga pada siang hari bermula dari waktu imsak hingga berbuka memberi lebih banyak manfaat daripada kemudaratan.

“Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Yang malas sarapan adalah calon untuk penyakit obesiti, dia-betes dan sakit jantung. Jadi sahur ambil tempat sarapan pagi dan jika tidak makan 12 jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa.

“Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik. Begitu juga amalan makan kurma ketika berbuka puasa kerana kelebihan kurma mengandungi vitamin A, B1, B2, B3, B5 dan 20 asid amino yang bagus untuk sistem penghadaman selain memberi tenaga,” katanya.

Katanya, Ramadan bulan pendidikan untuk mentarbiah fikriah, jasadiah serta ruhiah dengan memastikan niat yang betul melaksanakan ibadat puasa dan pada masa sama mengambil kesempatan diberi Allah menggandakan ibadat sunat bagi merebut ganjaran dijanjikan.

Dr Danial berkata, kajian oleh Dr Ebrahim Kazim dari Akademi Islam, Trinidad, menunjukkan pada bulan Ramadan hormon yang banyak mempengaruhi tingkah laku manusia dinamakan opioids dirembeskan dalam tubuh menjadikan orang yang berpuasa dengan betul, banyak bertadarus serta berzikir lebih tenang.

Sementara Dr Ahmad E Kadi yang membuat kajian mengenai solat serta penyembuhan merumuskan hanya dengan mendengar bacaan al-Quran dapat menurunkan tekanan darah, mengurangkan nadi serta memberi kerehatan kepada otot.

“Satu lagi kajian tetapi belum disahkan, sebutan kalimah al-Quran seperti Alif Lam Min dan Ya Sin, baik untuk jantung serta otak. Namun, ini masih dalam kajian lagi. Apapun, nasihat saya kepada umat Islam, Ramadan ini jangan fokus masalah tetapi fokus kepada Allah, masalah akan reda,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Diabetes bukan halangan puasa

Posted by epondok di Ogos 9, 2011

  Oleh Hafizah Iszahanid dan Suzan Ahmad


 

Penghidap bijak kawal pemakanan, pengambilan ubat teratur mampu teruskan ibadat

MENGAWAL kadar gula dalam darah, terutama pada Ramadan sememangnya cabaran paling besar untuk mereka yang disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Malah, ada kalanya jika kandungan gula terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit dinasihatkan tidak meneruskan puasa.

Namun, kata Pakar Runding Endrokologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah, berpuasa bukanlah halangan besar. Malah dengan nasihat doktor dan ubah suai dos yang perlu diambil, pesakit sebenarnya masih mampu menjalani ibadat puasa.

Malah, tidak ramai yang menyedari, bagi pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, bulan puasa adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana lebih mudah sebenarnya bagi mereka mengawal tahap gula dalam darah.

“Pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, mereka sudah tahu perubahan pengambilan dos insulin selain pemakanan. Bagaimanapun, pesakit kanak-kanak yang baru didiagnos dengan diabetes, Ramadan memang bulan yang mencabar,” katanya.

Lebih 1.2 juta warga Malaysia ialah pesakit diabetes dengan anggaran kes baru sekitar 650,000 setiap tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan menjelang 2030, ada seramai 180 juta pesakit diabetes di seluruh dunia.

 

Di Malaysia, 95 peratus pesakit diabetes adalah daripada Jenis Dua. Namun, kebanyakan pesakit diabetes Jenis Satu pula ialah kanak-kanak dan remaja.

“Diabetes Jenis Satu paling sukar kerana pesakit langsung tiada insulin dalam badan, jadi jika kurang menerima suntikan, mereka berisiko berdepan masalah gula naik secara mendadak.

“Lazimnya pesakit diabetes Jenis Satu ialah mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi mereka sudah tahu melakukan perubahan terhadap pemakanan. Mereka tidak sukar menempuh Ramadan melainkan ubat-ubatan mereka sudah bertukar atau baru mendapat suntikan insulin, mereka secara khusus perlu dinasihatkan dan dimaklumkan bagaimana mengelak gula turun atau naik secara mendadak,” katanya.

Dr Zanariah berkata, selain itu pemakanan juga antara faktor penting bagi menguruskan diabetes ketika Ramadan. Lebih mudah katanya, diet pesakit diabetes tidak sama, selain keperluan ubat-ubatan juga tidak sama. Namun, secara umum kebanyakan pesakit akan makan lebih ketika berbuka puasa dan sahur pula ringan, justeru pemberian dos juga perlu diterbalikkan.

Panduan bagi pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa

  • Diet – Elak makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.
  • Senaman – Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan kadar gula dalam darah turun mendadak.
  • Ubat – Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan yang diambil pada sebelah pagi pada hari tidak berpuasa ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa. Dos yang diambil sebelum makan malam sewaktu tidak berpuasa, pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan kadar gula dalam darah turun atau naik mendadak.
  • Insulin – Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan bulan puasa, seperti berikut:
  • Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.
  • Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan ialah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur (0.1 – 0.2 unit insulin/kg berat badan)Bagaimana pula dengan pesakit yang berdepan dengan masalah diabetes ketika hamil?Kata Dr Zanariah, umumnya wanita hamil tidak digalakkan berpuasa, namun jika pengurusan diabetesnya baik wanita itu masih boleh berpuasa.“Bagi wanita yang didiagnos dengan diabetes sebelum hamil, apabila sudah berbadan dua, dia perlu mengambil insulin berbanding ubat biji. Penggunaan insulin berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah gula rendah. Jadi sewaktu mengandung, risikonya lebih ketara. Pada tempoh kehamilan, kawalan gula sangat penting untuk memastikan perkembangan janin,” katanya.Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika hamil, biasanya diabetes yang dialami tidak teruk dan mereka hanya perlu mengawal diet untuk terus berpuasa.

    “Jika kawalan gula yang baik dan mengikut garis panduan mereka boleh puasa,” katanya.

    Fakta: Peringatan umum pesakit diabetes berpuasa

    1) Jangan melengahkan berbuka tetapi melambatkan bersahur.

    2) Bagi pesakit yang baru berpuasa digalakkan mengukur gula dalam darah supaya mereka boleh nilai tindak balas kadar gula dalam darah waktu berpuasa. Tahap gula diuji pada, sebelum bersahur antara dua ke empat jam selepas bersahur, sebelum berbuka puasa dan antara dua ke empat jam selepas berbuka.

    3) Makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor.

    4) Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis.

    5) Mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya.

    6) Mengenali tanda-tanda hipoglesemia (kekurangan gula dalam darah), hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

    7) Segera berbuka apabila mengalami masalah sama ada hipoglesemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh memudaratkan mereka.

    8) Mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan /disuntik mengikut syor doktor.

    Simptom hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi:

    Tanda-tanda hipoglisemia:

  • Menggigil
  • Terlalu lemah
  • Amat lapar
  • Berpeluh
  • Pucat
  • Berdebar-debar
  • Gelisah
  • Koma (tak sedarkan diri)

Tanda-tanda hiperglisemia:

  • Kerap buang air kecil
  • Terlalu dahaga
  • Sangat letih

Tanda-tanda dehidrasi:

  • Amat dahaga
  • Kulit dan lidah yang terlalu kering
  • Fikiran terganggu

Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa sekiranya:

  • Penyakit diabetes yang dihidapi tidak stabil. Bimbang ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
  • Tidak mematuhi nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin.
  • Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
  • Kerap mengalami koma diabetik ketoasidosis.
  • Kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
  • Mengalami jangkitan kuman.
  • Warga tua dan tinggal bersendirian.
  • Wanita hamil yang memerlukan suntikan insulin.
  • Berusia bawah 12 tahun.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hayati madrasah tarbiah Ramadan

Posted by epondok di Ogos 9, 2011

Oleh NAJAHUDIN LATEH

 

RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba’: 31).

Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.

Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.

Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap (keampunan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka.

Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.

Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.

Pernah zaman khalifah Umar Abdul Azi telah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.

Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.

Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa;

1. Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;

2. Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;

3. Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.

4.  Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.

Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.

Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah: Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa tingkatkan kualiti kekuatan dalaman, jiwa

Posted by epondok di Ogos 9, 2011

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

 

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan yang bertakwa kepada Allah.

Menurut perspektif al-Quran, takwa yang dimaksudkan tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu yang bersifat vertikal, malah ia juga turut mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ini kerana Ramadan adalah bulan yang terhimpun padanya kebajikan, nur dan hidayah yang melimpah ruah seluas samudera raya.

Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perutnya dan memimpin nafsunya ke arah darjat kesucian dan fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah telah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan al-Quran padanya. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu ibadat puasa.

Puasa adalah senjata yang menyingkap segala tabir yang menghalang kita untuk memandang Nur Ilahi yang Maha Kudus. Ramadan juga bulan yang dimulakan dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.

Puasa Ramadan adalah asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah dan perintah Ilahi yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi yang tiada terhingga dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Jelas di sini bahawa ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kekejian akibat tarikan hawa nafsu yang bergelora. Pengendalian diri itu pada hakikatnya suatu cetusan keinsafan yang terpancar dari sudut jiwa mengenai pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah pada setiap detik dan ketika.

Lebih penting dari itu, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya, tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah saja. Puasa itu adalah qiyam bila ‘amal yang bermaksud ‘beribadat tanpa bekerja’.

Dikatakan ‘tanpa bekerja’ kerana ibadat puasa yang dilakukan itu bebas daripada gerakan.

Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat yang lain. Apapun amal ibadat yang dilaksanakan seseorang Muslim, pasti ia akan dapat diketahui dari aspek lahiriahnya seperti solat, zakat, haji dan sebagainya.

Dari sini jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah saja yang layak memberikan ganjaran pahala kepada orang yang berpuasa kerana ibadat puasa saja adalah satu-satunya ibadat yang tidak bisa dicampuri dengan sifat riak. Firman Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali ibadat puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah saja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa di antara ibadat yang lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Berpuasa itu separuh daripada sabar, dan juga maksud hadis Rasulullah yang lain sabar itu separuh daripada iman.

Selanjutnya, puasa Ramadan adalah kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian; iaitu:

Pertama, penghayatan keagamaan yang mendalam dalam konteks hubungan menegak antara seseorang Muslim dengan Allah sehingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya. Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan Ramadan sehingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan yang lebih baik.

Bulan Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan yang bertakwa.

Kedua, keprihatinan sosial yang menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah saja, malah ia juga turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat. Pelaksanaan ibadat puasa dengan ikhlas akan menggambarkan suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah ini seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim.

Ketiga, ibadat puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikalnya dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Maksiat lemahkan hati, hilang berkat

Posted by epondok di Ogos 9, 2011

DOSA bukan perkara kecil. Hari ini ramai orang memandang remeh soal dosa. Sesetengah umat Islam kini bukan saja tidak takut berbuat dosa malah seronok pula melakukannya.

Akibat atau kesan negatif yang akan menimpa pelaku maksiat antaranya:

1. Maksiat akan menghalang diri daripada mendapatkan ilmu pengetahuan. Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Ketahuilah, kemaksiatan dalam hati dapat menghalang serta memadamkan cahaya itu.

2. Maksiat menghalang rezeki. Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkan ketakwaan bererti menimbulkan kefakiran. Rasulullah s.a.w bersabda, “Seseorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang dibuatnya.” (HR Ahmad).
Justeru, kita perlu meyakini takwa adalah penyebab datangnya rezeki serta memudahkan rezeki kita. Jika saat ini kita berasakan betapa sulitnya mendapatkan rezeki Allah, maka tinggalkan kemaksiatan! Jangan kita penuhi jiwa kita dengan debu maksiat.
3. Maksiat membuat kita jauh daripada Allah. Diriwayatkan ada seorang lelaki mengeluh kepada seorang arif berkenaan kesunyian jiwanya. Arif itu berpesan, “Jika kegersangan hatimu akibat dosa, maka tinggalkanlah perbuatan dosa itu.”

4. Maksiat membuat sulit semua urusan kita. Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap gelita. Ibnu Abbas r.a. berkata, “Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.
5. Maksiat melemahkan hati dan badan. Kekuatan seorang mukmin terpancar daripada kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat, maka kuatlah badannya.

6. Maksiat menghalang untuk kita taat. Orang melakukan dosa dan maksiat cenderung untuk tidak taat. Orang yang berbuat maksiat seperti orang yang satu kali makan, tetapi mengalami sakit berpanjangan.

7. Maksiat memendekkan umur dan menghapus keberkatan. Pada dasarnya, umur manusia dihitung daripada masa hidupnya. Imam Nawawi hanya diberi usia 30 tahun oleh Allah s.w.t. Meskipun hidupnya pendek, namun berkat. Kitab Riyadhush Shalihin dan Hadits Arbain yang ditulisnya memberinya keberkatan dan usia yang panjang, sebab dibaca oleh manusia dari generasi ke generasi hingga saat ini dan mungkin generasi yang akan datang.
8. Maksiat menumbuhkan maksiat lain. Seorang ulama salaf berkata, jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal itu akan mendorongnya melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali cuba melakukan maksiat kerana ia akan menyebabkan ‘ketagihan’ dan sukar untuk berhenti jika ia menjadi satu kebiasaan.

9. Maksiat mematikan bisikan hati nurani. Maksiat melemahkan hati daripada kebaikan dan menguatkan kehendak melakukan maksiat lain. Itulah akibat maksiat. Tidak ada lagi rasa malu ketika berbuat maksiat. Jika orang sudah biasa berbuat maksiat, dia tidak lagi memandang perbuatan itu sebagai sesuatu yang buruk. Tidak ada lagi rasa malu melakukannya. Bahkan dengan bangga menceritakan perbuatan maksiat yang dilakukannya kepada orang lain.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »