Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 7 Ogos 2011

Ramadan bulan didik umat Islam berdisiplin, sabar hadapi ujian

Posted by epondok di Ogos 7, 2011

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza Wajalla berfirman: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa adalah perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar berhadapan sebarang godaan sepanjang Ramadan.

Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai ibadat kepada Allah.

Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan diiringi puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW.

Ramadan adalah bulan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dilakukan salafus-salih. Dengan itu kita hendaklah b berusaha supaya tiada waktu berlalu tanpa amal salih sepanjang Ramadan, bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah.

 

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kawal pancaindera ketika berpuasa

Posted by epondok di Ogos 7, 2011

Oleh SYED NAZMI TAUFEK

SETIAP orang yang berpuasa perlu mematuhi peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting ialah menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya.

Mata dan telinga pula perlu dipelihara daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syarak dan yang sia-sia.

Mengawal perutnya daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur subahat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam ada berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbuka dan di manakah kamu akan berbuka?”

Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

Sepanjang menjalankan ibadat puasa semua pancaindera dan anggota tubuh badan perlu dijada daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia.

Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.

Ramai yang hanya mendapat penat, lapar dan dahaga kerana membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda. Puasa mereka menjadi rosak binasa dan keletihan yang ditanggung tidak berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga (riwayat an-Nasaei).”

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam. Apatah lagi bagi yang berpuasa ia sangat dituntut dan diwajibkan.

Sabda Rasulullah: “Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: Saya sedang berpuasa (riwayat al-Bukhari dan Muslim).”

Sebab itu sepanjang bulan Ramadan kita tidak digalakkan banyak tidur pada siang hari dan makan berlebihan pada sebelah malamnya.

Kita perlu bersederhana dalam kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.

Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsu kurang dan hati ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapa.

Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat.

Tidak perlu ada perbezaan daripada segi hidangan pada bulan puasa dengan bulan-bulan yang lain.

Diri perlu digembleng supaya dapat mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan yang mana ia akan memberi kesan positif terhadap kecerahan hati yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka hingga menyalahi kebiasaan sebenarnya terpedaya dengan pujukan dan rajuan Iblis yang bertujuan menghilangkan berkat ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan dari Allah. kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanan sehingga terserlah kesan puasa itu. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah.

Sabda Nabi: “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya (riwayat Ahmad dan at-Tarmizi).”

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

Para ulama yang terdahulu selalunya akan mengurangkan perkara yang bisa dilakukan sebaliknya memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadan. Bahkanmereka tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan. Sebaliknya kesempatan yang ada digunakan untuk beribadat dan mengingati Allah sebaik mungkin. Justeru, mereka tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan harian atau yang menjadi tanggungjawab di bawah tanggungannya.

Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

Amalkan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya. Berbuka dengan buah dan jika tiada memadailah dengan segelas air selain melambatkan makan sahur.

Amalan Nabi ialah baginda berbuka dahulu sebelum baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabda baginda: Ummatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.

Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air juga amat digalakkan.

Sabda Nabi: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa) (riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah).”

Malam sepanjang bulan Ramadan pula perlu dipenuhi dengan amalan sunat seperti solat Terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Terawihnya seperti mana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat itu kerana meninggalkan perbuatan wajib ketika solat seperti tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.

Amalan Terawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain. Sempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula, disyorkan supaya sentiasa bersama imam dalam mengerjakan solat Terawih sehingga selesai

Sabda Rasulullah: “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman (riwayat an-Nasaei).”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Allah larang ubah kejadian

Posted by epondok di Ogos 7, 2011

KES penukaran jantina yang berlaku di negara kita baru-baru ini menimbulkan kebimbangan. Adakah boleh seseorang itu membuat pembedahan menukar jantina sesuka hati dan apakah syarat-syarat yang dibenarkan dalam Islam sebelum seseorang boleh membuat pembedahan begini?

Jawapan:

Thailand adalah salah sebuah daripada negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia dalam kes transgender serta mempunyai teknik pantas mengubah jantina dengan kos serendah AS$2,000 (RM6,743). Dr. Thep Vedusit pakar bedah transeksual mengakui bahawa telah melakukan 500 pembedahan transeksual yang melibat orang Thailand dan dari negara jiran.

Persoalan menukar jantina bukanlah satu perkara yang kecil. Islam menegah perbuatan ini atas alasan menukar ciptaan Allah SWT. Allah SWT menjadikan manusia mengikut kehendak-Nya. Menjadikan manusia dengan rupa paras dan bentuk serta jantina adalah hak mutlak Allah SWT. Saya yakin, walaupun pada pandangan manusia sesuatu kejadian itu cacat tetapi pada Allah SWT itu adalah terbaik untuk hamba tersebut.

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak semasa membincangkan pernikahan antara Noranizah Mohd Yusuf dengan Richand Badry, telah juga membincangkan masalah hukum menukar jantina mak nyah.

Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memutusakan bahawa;

lJawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar dalam Islam.

lPenukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah terang bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubahkan kejadiannya.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 119 yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

Walaupun ayat ini menyentuh pengubahan binatang ternakan, tidak bermaksud manusia boleh. Kalau bintang yang tidak berakal, tidak bertaklif pun kita yang berakal ditegah sewenang-wenang dalam mengubahnya apatah lagi manusia yang berakal yang bertaklif lagi tidak boleh.

Ulama Fiqh membahagikan khunsa kepada dua; khunsa wadhih (khunsa yang jelas) dan khunsa musykil (khunsa yang tidak jelas). Khunsa wadhih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan yang mana alat yang lebih dominan berbanding dengan yang satu lagi yang kurang.

Manakala khunsa musykil ialah, individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelelakian (seperti tumbuh janggut dan misai).

Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut.

Kelonggaran adalah khusus sebagai ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna. Kerana penentuan ini ada kaitannya dengan melaksanakan perintah-perintah Allah SWT.

Perbincangan ulama dalam mengharuskan seseorang itu menukar jantina adalah selepas dikenalpasti bahawa dia memang layak kerana ada dua jantina dan dikekalkan jantina yang aktif.

Namun pertukaran jantina kerana kecenderungan seseorang kepada jantina yang bertentangan dengan apa yang dia dijadikan adalah haram dalam Islam, perbuatannya berdosa besar di sisi Islam.

Apa yang berlaku di Malaysia mutakhir ini dalam isu menukar jantina bukan kerana khunsa musykil tetapi jiwa yang berkeinginan menjadi wanita. Jantinanya lelaki tetapi hormon kewanitaannya mungkin mengatasi keinginan kelelakiannya. Keadaan ini tidak boleh menjadi sebab untuk menukar jantina.

Mungkin ini adalah ujian untuk individu tersebut yang sepatutnya diatasi dengan menghampirkan diri kepada Allah SWT dan bersabar dalam menempuh ujian ini.

Mereka yang menukar jantina akhirnya pasti akan menyesal, kerana yang pertama masyarakat sukar menerima kehadiran insan ini. Kedua, menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketiga Allah SWT wujudkan kamu sebagai seorang lelaki tapi pulang kepada-Nya sebagai seorang perempuan.

Menyesal dulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »