Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 6 Ogos 2011

Meneladani puasa Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Ogos 6, 2011

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

 

bersahur adalah antara sunnah nabi SAW yang perlu kita amalkan. – Gambar hiasan

 

 


 

DALAM ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: “Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah- sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.”

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.

Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah:

* Memantapkan niat – Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya.” (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

* Melaksanakan makan sahur – Anas bin Malik r.a. telah berkata telah bersabda Rasululla SAW. yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim).

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu adalah ganjaran pahala dari Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

* Imsak Rasulullah – Rasululalh SAW. bersabda : “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

* Mempercepat berbuka – Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Telah berfirman Allah SWT: “Hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).

* Memperbanyak membaca al-Quran – Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim).

Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya sepuluh kali ganda.

Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

* Memperbanyakkan sedekah – Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk.Segala tingkah laku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak.

Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malam bulan Ramadan ada suara yang memanggil: “Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kelonggaran jalani ibadat puasa permudahkan golongan uzur

Posted by epondok di Ogos 6, 2011

FIRMAN Allah bermaksud: (Iaitu berpuasa) pada sebilangan hari yang tertentu. Jika di antara kamu ada yang sakit atau sedang bermusafir (lalu ia berbuka) maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari berbuka) pada hari-hari yang lain dan wajib di atas orang-orang yang terdaya berpuasa (tetapi meninggalkan puasa kerana keberatan) membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang-orang miskin dan barang siapa dengan sukarela memberi makan (melebihi kadar yang ditentukan), maka itulah yang lebih baik baginya. (Namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari membayar fidyah) jika kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Allah mensyariatkan ibadat puasa ke atas umat Islam, diwajibkan kepada mereka berpuasa pada hari tertentu atau dalam jumlah hari yang sedikit iaitu antara 29 atau 30 hari dalam bulan Ramadan.

Sehubungan itu, Islam menetapkan permulaan ibadat puasa melalui rukyah atau menggenapkan bilangan 30 hari bulan Syaaban.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu mula berpuasa kerana melihat anak bulan Ramadan (rukyah) dan berbukalah (akhiri Ramadan) dengan melihat anak bulan Syawal (rukyah). Apabila awan menghalang pandanganmu, maka sempurnakanlah bulan Syaaban selama tiga puluh hari. (Hadis riwayat Bukhari)

Kebanyakan ulama tafsir berpendapat ayat ini dimansuhkan kerana kewajipan berpuasa pada permulaan Islam adalah kewajipan baru yang belum biasa mereka lakukan. Oleh itu, mereka diberi peluang memilih antara dua iaitu sama ada berpuasa atau berbuka dengan membayar fidyah.

Pemansuhan (pembatalan) ayat ini diganti dengan ayat lain, iaitu ayat 185 dalam surah sama yang bermaksud: Barang siapa di antara kamu yang berada pada bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa. Pengertian ayat ini tidak membenarkan umatnya memilih.

Sekumpulan ulama lain pula berpendapat ayat ini tetap teguh, tidak dimansuhkan. Menurut mereka, ayat yang bermaksud: Bagi mereka yang berkuasa (berdaya) berpuasa pada masa mudanya tetapi tidak berdaya pada masa tuanya, mereka dibolehkan membayar fidyah sebagai ganti dari puasa.

Kata Ibnu Abbas, ayat ini tidak dimansuhkan tetapi dikhususkan kepada orang lelaki yang sudah tua atau perempuan yang sudah tidak lagi berdaya untuk berpuasa. Maka dia dibolehkan menggantikan puasanya itu dengan fidyah.

Fidyah ialah penebusan sesuatu yang diserahkan sebagai tebusan, iaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan kadar mencukupi bagi berbuka dan sahur.

Selanjutnya, jika orang itu suka membayar fidyah dengan memberi makan kepada dua orang miskin bagi sehari adalah lebih baik baginya. Walaupun begitu, berpuasa itu lebih baik berbanding dengan berbuka kerana ibadat puasa memiliki banyak kelebihan serta fadilat di samping mendidik jiwa bertakwa kepada Allah.

Perlu ditegaskan, ibadat puasa adalah wajib dan tidak dibenarkan sama sekali berbuka puasa bagi orang Islam yang mukalaf dengan tiada sebarang sebab atau keuzuran dibenarkan.

Keuzuran yang membolehkan seseorang itu berbuka puasa, bermusafir, orang sakit, datang haid dan nifas. Jika mereka ini tidak berpuasa, mereka wajib mengqada puasa dan tidak dikenakan fidyah.

Orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, dia boleh berbuka atau tidak berpuasa dengan tidak perlu mengqadakan puasanya dan hanya membayar fidyah.

Perempuan mengandung dan menyusu bayinya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama fikah. Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengemukakan beberapa pandangan ulama dalam masalah ini, ada berpendapat harus berbuka dan wajib mengqada puasa ditinggal serta membayar fidyah.

 

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Jangan jadi macam unta Arab

Posted by epondok di Ogos 6, 2011

Oleh Zawawi Yusoh

TENTUNYA kita pernah sangat melihat unta di kaca televisyen dan filem.

Kepada yang pergi ke zoo pasti tidak akan melepaskan peluang melihat unta dengan lebih dekat.

Apa yang kita tahu unta ini lahir di negara Arab. Ia lahir di Arab, hidup di Arab bahkan mungkin mati pun di negara Arab. Tetapi ia tidak boleh berbahasa Arab, betulkan? Memanglah binatang mana boleh bercakap.

Sebenarnya penulis buat cerita unta itu sebagai kiasan kita lahir dari rahim ibu yang Muslimah, ayah juga Muslim, kita lahir di negara dengan majoriti penduduk Islam, di besarkan menjadi anak Muslim, kita sekolah di sekolah Muslim, kita besar menjadi remaja Muslim.’

 

Identiti kita juga menyebutkan bahawa kita seorang Muslim. Ijazah kita Muslim, baju yang kita kenakan juga baju Muslim, dan insya-Allah, kelak ketika kita kembali kepada Allah, kita akan mati di negara yang sekali lagi penduduknya majoriti Muslim.

 

Apa yang agak kelakar ialah kita ini sebagai Muslim dan ada pasport Muslim, tetapi yang sedihnya ada antara kita yang tidak tahu apa itu Islam.

Kita tidak boleh membaca kitab suci orang Islam, kita tidak tahu siapa nabi umat Islam, kita tidak tahu hukum Islam, kita tidak tahu apa yang diperintah dan dilarang Islam.

Bukankah kita seperti unta arab tadi, yang lahir dan besar dan Insya-Allah meninggal pun berada di tengah-tengah Muslim, tetapi tidak mengerti dan tidak mengenal Islam.

Penulis bukan menuduh, tetapi sekadar bermuhasabah agar kita lebih prihatin kepada anak cucu kita yang sedang membesar kerana nampak sangat akhir-akhir ini Islam menjadi dagang tidak dikenali oleh penganutnya sendiri.

Islam bukan hanya sekadar agama. Islam adalah jalan hidup kita menuju puncak kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan ketika kita sudah bersyahadat, isytiharkan diri sebagai orang Islam, maka sebagai kesinambungannya kita wajib menjadikan Islam sebagai cara hidup dan panduan untuk melangkah.

Ia termasuk bagaimana kita berpakaian, berniaga, berpolitik, berumah tangga, berhubung sesama manusia. Semua kena ikut cara tuhan bukannya ikut cara kita.

Sebaik mana pun peta yang kita miliki, secanggih apapun kompas yang kita pegang, tetapi kalau kita tak tahu menggunakannya boleh jadi peta dan kompas itu menjadi tidak berharga lagi bagi kita.

Islam pun begitu, dalam setiap solat, kita memohon kepada Allah: “Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan para anbia, jalan para syuhada, jalan orang-orang yang mendapat redanya.”

Tetapi kita tidak atau kurang menyedari bahawa apa yang kita minta itu sesungguhnya ada di hadapan kita iaitu al-Quran dan Sunnah.

Ini adalah peta kehidupan yang dibuat oleh Allah untuk memandu kita menapak setiap jengkal langkah kita dalam menjalani kehidupan ini.

Al-Quran dan Sunnah adalah kompas yang dijamin seratus peratus benar dan tepat oleh Allah. Setiap solat kita memohon diberi petunjuk ke jalan yang lurus, padahal petunjuk kepada jalan yang lurus itu sudah ada. Hanya kita yang tidak atau belum boleh memahaminya.

Kita tidak akan dapat memahami dan menggunakan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan hidup kita. Ibarat hari ini kita merasa belum lengkap seperti tidak lagi membaca e-mel, maka kita mesti gelisah jika kita masih belum baca Al-Quran.

Begitu juga rasa tidak selesa kita kalau tidak bersembang sehari, asyik tunggu mesej saja, asyik tengok telefon saja, tetapi Al-Quran kenapa kita tidak tengok dan baca.

Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum mengemas kini status facebook, sepatutnya juga kita berasa cemas kalau kita belum ‘mengemas kini’ bacaan Al-Quran kita.

Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum dapat membaca SMS teman, maka semestinya kita lebih cemas ketika kita belum membaca ‘pesanan’ Allah yang terakam dalam Al-Quran.

Jadi tidak hairanlah kalau masih ramai orang Islam laksana unta Arab lahir dari rahim Islam, dibesarkan dalam lingkungan Islam, sekolah Islam, kuliah Islam tetapi masih tidak boleh membaca Al-Quran, apalagi untuk menggunakannya sebagai panduan dalam kehidupannya.

Sememangnya kita bukannya unta. Justeru, sebagai seorang Muslim kita perlu tahu, faham dan mengerti apa itu Islam dan bagaimana menggunakannya dalam kehidupan kita.

Salah satu caranya dengan membaca dan memahami al-Quran iaitu menjadikan al-Quran sebagai menu wajib bagi kita untuk dalam melalui hari-hari dalam kehidupan kita apa lagi kita sudah dekat dengan bulan al-Quran.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »