Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Ogos 2011

Puasa tanpa solat

Posted by epondok di Ogos 5, 2011

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

DALAM kehidupan ini, setiap apa yang kita laksanakan perlu dilakukan secara sempurna. Allah SWT dan rasul-Nya tidak suka kepada individu yang melakukan sesuatu kerja dengan tidak bersungguh-sungguh dan sambil lewa kerana ia tidak boleh mendatangkan hasil yang baik. Sesuatu kerja yang tidak lengkap dan sempurna pastinya mempunyai nilai yang rendah di mata masyarakat.

Sebagai manusia yang telah dikurniakan Allah dengan Islam, kita mestilah melaksanakan Islam dengan sempurna. Kegagalan berbuat demikian tentunya akan dianggap sebagai tidak menghargai pemberian nikmat beragama sebagai nikmat terbesar dan ternilai dalam kehidupan kita.

Islam seumpama sebuah rumah yang lengkap dan sempurna. Kita diperintahkan untuk membina rumah yang lengkap tersebut mengikut spesifikasi dan reka bentuk yang telah ditetapkan oleh Allah.

Islam yang tidak lengkap adalah seumpama sebuah rumah tanpa dinding atau bumbung. Walaupun ia adalah rumah, namun tidak dapat dimanfaatkan dek kerana belum sempurna. Bahkan, dengan ketidaksempurnaan itu, ia langsung tidak dapat diiktiraf sebagai rumah!

Dalam kerangka inilah, Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya melaksanakan Islam secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata (al-Baqarah: 208).

Setiap kali datangnya bulan Ramadan, seringkali kita dipaparkan khabaran tentang tangkapan segelintir umat Islam yang tidak berpuasa.

Maka kita yang menyaksikannya menggeleng-gelengkan kepala tanda meluat, geram dan jijik dengan angkara tersebut.

Mungkin juga kita pelik dan hairan dengan sikap mereka yang mengaku beragama Islam, namun tidak mahu berpuasa.

Keingkaran melakukan fardu puasa ini seolah-olah berita sensasi yang menjadi rutin biasa bulan Ramadan.

Namun, kadang-kadang kita terfikir kenapa kita hanya mengkhususkan tindakan tersebut kepada puasa sahaja? Kenapa tidak kepada ibadah-ibadah yang lain seperti solat?

Dewasa ini terdapat segelintir orang Islam yang sanggup meninggalkan solat secara terbuka. Lihat sahaja mereka yang terus-menerus leka dengan berniaga walaupun jemaah di masjid sedang melakukan solat Jumaat.

Bahkan, yang menambahkan kehairanan kita ialah terdapatnya yang berpuasa di bulan Ramadan, tetapi tetap enggan melakukan solat atau sewenang-wenangnya meninggalkan solat ketika sibuk dengan urusan dunianya. Bukankah ini merupakan sebuah kepincangan dalam beragama?

Antara faktor suasana ini berlaku ialah disebabkan krisis kefahaman tentang kesyumulan Islam. Kedangkalan ilmu dalam diri ditambah pula dengan sikap ego serta sombong akhirnya menjadikan golongan ini tetap dalam keadaan serba-salah dalam kehidupan beragama.

Faktor yang lain ialah adanya tanggapan bahawa ibadah hanyalah tidak ubah seperti adat. Oleh kerana majoriti orang ramai di sekelilingnya berpuasa, maka dia juga berpuasa. Jika ramai yang berkunjung ke masjid atau surau untuk mendirikan solat hari raya, maka dia pun menyertai mereka, walaupun kakinya hanya menjejakkan kaki ke masjid atau surau tersebut di kala hari raya sahaja.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan bulan ibadat, bukan pesta makanan

Posted by epondok di Ogos 5, 2011

Umat Islam perlu patuh suruhan agama cari keberkatan, perbanyakkan amalanBERMULA bulan puasa, akan meriahlah suasana dengan bazar menjual pelbagai juadah berbuka. Persoalannya, bagaimana mahu mendapat puasa penuh berkat, memastikan nafsuhttp://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ramadanbulanibadat_bukanpestamakanan/pix_gal1 disekat, terutama mengelak membazir berbelanja berlebihan apabila terpukau melihat semua makanan lazat dijual

Wartawan B/M,RASHIQAH ILMI ABD RAHIM dan NADIA HAMID menemubual bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz serta Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Norimah A Karim untuk mendapatkan nasihat.

Abu Hassan Din Al-Hafiz

 


 

MUNGKIN rata-rata umat Islam sudah tahu kelebihan berpuasa, namun boleh Datuk perjelaskan lagi dengan lebih terperinci?

Ramadan bulan disediakan Allah begitu banyak pahala untuk direbut umat Islam melalui setiap ibadat sehingga Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: “Tidur bagi orang yang berpuasa itu adalah ibadat, manakala diamnya adalah bertasbih.” Begitulah betapa besarnya kelebihan Ramadan yang mana tidur pun dianggap ibadat. Pada bulan inilah diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatulqadar di mana malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan digandakan pahala amalan pada malam itu. Pada Ramadan jugalah Allah SWT menurunkan petunjuk bagi manusia, iaitu al-Quran. Kita digalak memperbanyakkan serta menggandakan bacaan al-Quran berserta maksudnya pada bulan mulia ini. Syaitan juga tidak dapat menghasut manusia pada Ramadan. Namun jika masih ada kejahatan yang dilakukan ia berpunca daripada nafsu sendiri. Pada bulan inilah pintu langit akan dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada umat Islam memohon ampun dan memanjatkan doa, paling penting kegembiraan orang yang berpuasa dengan ikhlas pada Ramadan kerana berpuasa dapat menghalang manusia daripada kejahatan. Bagaimanapun, amat malang sekali apabila ada sesetengah individu mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan pada bulan ini tanpa memikirkan kepentingan akhirat. Sebenarnya tidak salah sekiranya mereka mengambil kesempatan untuk berniaga tetapi dengan dua syarat. Pertama jangan terlampau mementingkan keuntungan berganda. Kedua, jangan mengabaikan ibadat. Tetapi apa yang kita dapati hari ini kebanyakan peniaga di bazar Ramadan tidak sempat ke rumah Allah, lebih-lebih lagi jika mereka berniaga hingga lewat malam. Justeru saya sarankan bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka ditutup setengah jam sebelum berbuka bagi memberi peluang kepada pengunjung dan peniaga membuat persiapan berbuka, seterusnya ke masjid untuk bertarawih. Saya juga cadangkan pihak berkuasa menahan orang Islam tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai serta peniaga yang sama bersubahat dengan orang itu kerana tidak menghormati kemuliaan Ramadan.

Dari segi amalan pemakanan pada Ramadan pula, bagaimana yang digalakkan Islam?

Kunci utama ialah amalan pemakanan secara sihat, makan secara sederhana dan seimbang. Mengikut sunnah, lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka kerana ia kaya dengan tenaga serta serat. Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit berkesan, namun kebanyakan kita suka mengambil makanan dalam kuantiti banyak. Amalan ini boleh menyebabkan sistem pencernaan lemah dan tidak boleh mencerna secara teratur. Paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan digalakkan mengambil makanan ringkas terlebih dulu. Mengambil contoh Nabi Muhammad SAW yang mengamalkan petua kesihatan mengambil kira isi padu makanan. Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah SAW biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.
Selalu kita lihat pada bulan puasa, banyak berlaku pembaziran sewaktu membeli juadah berbuka?

Pada bulan puasa, bazar Ramadan tumbuh bagaikan cendawan, sekali gus menyumbang kepada pembaziran. Di sanalah pelbagai jenis makanan ada untuk berbuka. Makanan yang dijual menyebabkan kita rambang mata membuat pilihan. Masa itu, segala amalan makanan sihat diketepikan kerana nafsu makan mengatasi segala-galanya. Umat Islam seharusnya memahami konsep berpuasa dan faham mengapa perlu berjimat cermat kerana hadis Rasulullah SAW ada menyebut: “Apabila seorang antara kamu hendak berbuka puasa, hendaklah ia berbuka dengan air.” Melalui hadis ini, Nabi mengajar umat Islam cara hendak berbuka. Kita akan dapati satu bentuk penjimatan sekiranya mengikut sunnah nabi. Malangnya setiap kali Ramadan, sebahagian umat Islam lebih gemar membazir dan ikut nafsu sedangkan cara demikian tidak dituntut Islam. Untuk mengelakkan pengambilan makanan atau minuman berlebihan, perlulah bersederhana ketika menghidang juadah terutama ketika berbuka. Memang sukar mengawal apa yang dimakan sekiranya juadah pelbagai jenis ada depan mata. Paling penting, umat Islam harus ingat tujuan berpuasa untuk mendapatkan pahala dan keberkatan dan sebarang pembaziran pada Ramadan boleh mengurangkan pahala amalan puasa itu sendiri. Ramadan bulan yang baik mengajar diri hidup dalam kesederhanaan dan menginsafi kemampuan diri menikmati pelbagai juadah lazat berbanding mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kebuluran di serata dunia. Bukan saja bersederhana dari segi pemakaian, suasana kediaman, malah pemakanan ketika berbuka juga perlu dijaga supaya tidak melampaui batas. Pembaziran juga satu perbuatan dibenci bukan saja Islam tetapi juga agama lain.

Apa pula pendapat Datuk dengan aliran berbuka puasa di hotel dan restoran mewah?

Menyentuh soal berbuka di restoran mahupun hotel, kita bukan saja pentingkan soal berbuka tetapi hendaklah berbuka dengan makanan yang pasti halalnya dan tidak meragukan. Selain berbuka, kita hendaklah memastikan menu atau makanan disediakan itu halal. Misalnya, setiap kali Ramadan, banyak pihak sibuk menganjurkan majlis berbuka di hotel mewah kepada orang susah khususnya anak yatim. Meraikan golongan ini bukan satu kesalahan tetapi janganlah sampai ke peringkat riak dan bertujuan bermegah sehingga ada yang mengabaikan aspek halal. Bagi saya, daripada meraikan golongan ini dengan membawa mereka ke hotel mewah dengan bayaran tinggi untuk berbuka, lebih baik bagi wang ihsan dan sedekah secara terus kepada anak yatim. Bukan saja isu halal jadi persoalan, seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah apabila sesetengah hotel atau restoran mewah menyediakan juadah berbuka dan pada waktu sama diiringi unsur hiburan yang boleh melalaikan seperti tarian dan nyanyian yang mana hiburan seperti ini amat tidak digalakkan.

Akhir sekali, apa nasihat Datuk kepada umat Islam pada Ramadan ini?

Amalan melatih anak kecil berpuasa baik tetapi persoalannya, mengapa puasa lebih diutamakan sedangkan ibadat lain lebih penting seperti solat diabaikan. Saya bimbang dan takut sekiranya ibu bapa membiasakan anak dengan berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat, sia-sialah puasa mereka. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkanlah atau suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika usianya tujuh tahun dan apabila menjangkau usia 10 tahun, pukul mereka jika mereka tidak mahu bersolat”. Berpandukan hadis ini jelas Rasulullah SAW lebih mengutamakan solat berbanding puasa. Tetapi apa saya lihat hari ini, kebanyakan ibu bapa lebih menekankan puasa terhadap anak-anak tetapi mengabaikan solat. Dalam mengabaikan solat ada pula yang tidak mengendahkan bulan puasa. Berdasarkan pemerhatian saya, masih ada generasi muda tidak memahami perkara ini dan mereka tidak berpuasa, tanpa segan silu memperlihatkan kepada orang ramai yang mereka tidak berpuasa dengan menghisap rokok. Dalam Islam sepatutnya orang yang tidak boleh berpuasa seperti perempuan yang datang haid, sakit dan seumpamanya walaupun mereka tidak berpuasa, dilarang makan dan minum di khalayak ramai kerana menghormati Ramadan. Inikan pula orang yang sengaja tidak berpuasa.

Norimah A Karim

SEMUA maklum sepanjang Ramadan, apa saja makanan yang dilihat seperti sedap belaka. Bagaimana mahu memastikan pengambilan makanan seimbang sepanjang bulan puasa?

Pada pandangan saya, pengambilan makanan seimbang perlu berasaskan Piramid Pemakanan Malaysia 2010 yang terbahagi kepada empat kumpulan makanan membabitkan tiga hingga empat hidangan karbohidrat, hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan, produk tenusu, protein dan sedikit lemak. Umumnya setiap individu tahu kaedah dan pendidikan pemakanan seimbang namun jarang mempraktikkannya. Hanya segelintir cenderung menjaga pemakanan mereka, manakala selebihnya gemar makan melebihi kehendak dan kurang bersenam menyebabkan masalah kegemukan. Sukar mengubah tabiat pemakanan masyarakat di negara ini kerana mereka sendiri enggan mengubah tingkah laku. Justeru individu disyorkan mengekalkan indeks jisim badan (BMI) bersandarkan teori keseimbangan kuantiti, kepelbagaian sumber makanan dan kesederhanaan iaitu berhenti makan sebelum kenyang. Anda digalakkan makan daripada kumpulan makanan mengikut saranan hidangan yang dicadangkan tanpa memilih hidangan kesukaan saja.

Apa pula jenis makanan yang sesuai bagi mengekalkan kecergasan dan mengelakkan keletihan ketika berpuasa?

Keseimbangan makanan ketika berpuasa dan hari normal adalah sama. Nutrien yang diperlukan badan masih dalam kuantiti dan kualiti sama, hanya dibezakan menerusi masa pengambilan makanan. Jika pada hari biasa, anda boleh makan sepanjang masa tanpa halangan terutama ketika waktu makan utama iaitu pagi, tengah hari dan malam. Ketika berpuasa, anda boleh ubah pemikiran serta tabiat pemakanan dengan menganggap waktu bersahur adalah waktu sarapan pagi, tengah hari (selepas sembahyang terawih) dan malam (berbuka). Tiada sebab meninggalkan ibadat puasa semata-mata sukar mengubah tabiat pemakanan harian. Seeloknya elakkan makanan pedas kerana boleh menyebabkan dehidrasi manakala makanan segar membekalkan lebih nutrien kaya zat besi, asid folik serta rendah kandungan lemak. Anda disyor menjadikan bijiran dan kekacang sebagai sumber utama tenaga kerana tinggi serat dan meningkatkan daya tahan lapar. Pengambilan makanan tinggi serat penting bagi melawaskan sistem kumuhan, sekali gus mencegah penyakit kronik antaranya jantung, kencing manis, buasir dan barah usus. Terpulang kepada individu memilih hidangan kesukaan namun paling penting, pastikan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air putih sehari.

Boleh Prof terangkan apa punca menyebabkan makan berlebihan ketika berbuka serta cara untuk mengawalnya?

Apabila lapar, selera makan akan bertambah dan individu cenderung rambang mata memilih makanan yang diperlukannya. Saya boleh katakan tabiat pemakanan ketika berpuasa dipengaruhi nafsu makan. Tambahan pula, kebanyakan bazar Ramadan menjual aneka makanan pilihan kegemaran antaranya kuih-muih, nasi, makanan bergoreng serta makanan segera. Seharusnya apabila berbuka, makan makanan manis seperti kurma dan kuih manis terlebih dulu bagi menambah tenaga dan makan secara biasa. Bagi mengelak rambang mata apabila berbuka, makan makanan tinggi serat seperti bijirin dan oat supaya perut tahan lapar. Individu berkerjaya terutama di bandar besar sering mengamalkan budaya berbuka secara bufet. Satu tarikan bufet adalah pilihan pelbagai jenis makanan namun anda harus sedar bahawa tidak perlu menghabiskan semua makanan itu. Pastikan anda ambil apa yang diperlukan saja dan berhenti makan sebelum kenyang. Amalkan pengambilan jus dan buah-buahan supaya anda tidak dipengaruhi nafsu makan secara berlebihan.

Antara azam yang sering didengar pada Ramadan ialah mahu menguruskan badan. Apa pendapat Prof?

Bagi sesetengah individu, mereka sering mengambil kesempatan ketika Ramadan untuk menguruskan berat badan. Pada pandangan saya, Ramadan sesuai dijadikan panduan bagi mengurangkan nafsu makan sekali gus mendapatkan berat badan ideal yang diidamkan. Namun harus diingat jika puasa boleh mengurangkan berat badan, ketika hari raya individu boleh menambah sehingga tiga kali ganda berat badan berbanding penurunan berat badan ketika berpuasa. Saya sendiri boleh mengurangkan berat badan tidak lebih dua kilogram (kg) setiap kali Ramadan, tetapi bertambah apabila menjelang Aidilfitri. Ketupat, rendang, sate dan aneka kuih-muih menambah selera makan sekali gus cenderung membuatkan individu makan lebih daripada hari biasa. Sekiranya anda prihatin dengan keadaan fizikal, elakkan makan berlebihan selama sebulan dan lakukan senaman berkala dari semasa ke semasa.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »