Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Ogos 2011

Kesan positif puasa bagi kesihatan

Posted by epondok di Ogos 4, 2011

 Oleh Ibrahim Abdullah

mengamalkan kesederhanaan adalah tindakan bijak dan disarankan oleh Islam ketika tiba saat berbuka. -Gambar hiasan

  

 

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Para ilmuwan menganggap berpuasa sebagai fenomena yang penting dan semula jadi, di mana kehidupan yang sempurna dan kesihatan yang baik tidak dapat diperoleh tanpa berpuasa. Apabila seseorang atau bahkan seekor haiwan tidak berpuasa, maka ia akan terjangkit berbagai macam penyakit.

McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: “Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya.

“Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik”.

Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:

1. Merehatkan tubuh dan memperbaiki saraf.

2. Menyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.

3. Memperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.

4. Mengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.

5. Mengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit.

6. Mengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.

7. Menguatkan indera dan meningkatkan IQ.

8. Memperelok dan membersihkan kulit.

Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: “Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh.

“Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit.

“Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita”.

Allah berfirman yang bermaksud: Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. (al-Baqarah: 185).

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: “Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya”.

Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.

Dreanik dan kawan-kawannya, pada tahun 1964, mencatat sejumlah penyakit komplikasi kritis akibat berpuasa lebih dari 31 hari.

Di sini nampak jelas mukjizat Nabi SAW dalam larangan berpuasa bersambung (tidak termasuk puasa sunat Syawal).

Di samping itu, penelitian ilmiah membuktikan kepentingan makan sahur dan berbuka adalah untuk membekalkan tubuh dengan zat asam lemak dan amino, tanpa kedua zat ini, lemak dalam tubuh kita akan terurai dalam jumlah besar, sehingga mengakibatkan sirosis pada hati, dan menimbulkan berbagai bahaya besar bagi tubuh.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku akan tetap dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan makan sahur.” (riwayat Ahmad)

Mengenai bersahur (makan sahur), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bersahurlah kamu sekalian, kerana bersahur itu ada keberkatannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Waktu bersahur itu selepas pertengahan malam sampai menjelang terbit fajar (waktu Subuh).

Menyegerakan berbuka, iaitu setelah mengetahui waktu Maghrib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia sentiasa dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdoa sewaktu berbuka dan sepanjang melaksanakan puasa. Dari Abdullah bin Amr bin As r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang sedang berpuasa, saat berbuka doanya tidak ditolak”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga doa yang tidak akan ditolak Allah, orang yang berpuasa sampai ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang teraniaya”. (riwayat Tirmizi).

Adapun doa saat berbuka yang bermaksud: “Telah hilang haus dan telah basah tenggorakan, dan telah tetap pahala insya-Allah”. (riwayat Tirmizi).

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Melatih anak pelihara kesempurnaan puasa

Posted by epondok di Ogos 4, 2011

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

IBADAH puasa Ramadan adalah salah satu tunjang utama Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan menunaikannya termasuk golongan anak kecil. Ulama berpandangan walaupun kanak-kanak belum diwajibkan melaksanakan syariat, ibadah puasa dilakukan dianggap sebagai satu bentuk latihan.

Pernyataan ini jelas memberi isyarat ibadah puasa perlu dididik dan dilatih kepada anak kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak seawal usia empat atau lima tahun belajar menghayati kelebihan berpuasa pada Ramadan.

Latihan menahan nafsu makan dan minum pada siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran besar impaknya apabila anak meningkat dewasa kelak.

Mereka tidak akan berasa canggung untuk melaksanakan bukan saja amalan berpuasa juga ibadah fardu lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Jiwa mereka terdidik untuk memperbanyakkan ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia soleh dan solehah.

Untuk melatih anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari, sekadar beberapa jam atau hanya beberapa hari sepanjang Ramadan.

Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan sebagai elemen penggalak mereka berpuasa. Contohnya, menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau duit raya jika berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak kewajipan berpuasa daripada konteks agama dan faedah dari sudut kesihatan supaya mereka faham bahawa berpuasa amalan yang besar kesan positifnya. Anak perlu dilatih rukun dan pantang larang berpuasa supaya bijak memelihara kesempurnaan puasa.

Pada Ramadan ini, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau masjid dan bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak boleh diasuh mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah serta bersedekah.

Minda dan pemikiran anak perlu juga dididik supaya tidak mentafsirkan Ramadan sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak sindrom negatif yang bukan saja membazirkan wang, malah turut membahayakan nyawa.

Anak juga tidak seharusnya dibiarkan leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau membuat aktiviti tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambah amal ibadah yang dijanjikan ganjaran besar oleh Allah.

Jika kaedah disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak sepanjang Ramadan, diyakini mereka akan menjadi umat Islam yang diredai-Nya dan menjadi insan sempurna akhlak dan tata susila.

Didikan agama yang mantap sejak usia kecil seperti ini dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak apabila usia mereka menjangkau dewasa umpama bidalan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ulama salafi dan khususiyat Nabi

Posted by epondok di Ogos 4, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SYEIKH Ibnu al-Qayyim, yang dijadikan rujukan utama sesetengah aliran dalam Islam, pernah meriwayatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW yang sangat ajaib dan pelik. Beliau menisbahkan atau menyandarkan riwayat itu kepada sejumlah ulama salaf. Beliau menyatakan: “Telah berkata al-Qadhi, Al-Marwazi telah menyusun sebuah kitab mengenai kelebihan Nabi Muhammad, Di dalamnya beliau menyebut bahawa Nabi Muhammad duduk di atas ‘Arasy.

Katanya lagi: “Aku berkata Ia adalah pendapat Ibnu Jarir al-Tobari dan imam mereka, Mujahid, seorang imam Tafsir. Ia juga adalah pendapat Abu al-Hasan al-Dar Qutni.”

Di antara syairnya, berbunyi: “Hadis syafaat itu daripada Ahmad (ibn Hanbal), kepada Ahmad al-Mustafa sampai sanadnya. Diriwayatkan juga hadis, bahawa baginda duduk di atas ‘Arasy, maka janganlah kita mengingkarinya. Biarkanlah hadis itu seadanya. Janganlah kalian mencampuradukkan di dalamnya apa-apa yang boleh merosakkannya. Janganlah kalian mengingkari bahawa baginda duduk dan jangan kalian mengingkari bahawa baginda didudukkan di atas (‘Arasy). ( Ibnu al Qayyim, Badai’ al Fawaid, Jld 4, H: 40).

Al-Faqih al-‘Allamah Syeikh Mansur ibn Yunus al Buhuti RH dalam kitabnya, Kashsyaf al Qina, mengungkapkan sejumlah keistimewaan Nabi Muhammad yang kadang kala dianggap ganjil oleh kebanyakan orang yang kurang memahami prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah perkara seperti itu.

Antaranya, beliau menyatakan: “Kumuhan yang keluar daripada kita adalah najis dan kumuhan yang keluar daripada Rasulullah SAW adalah suci. Begitu juga kumuhan para Nabi yang lain. Diharuskan juga berubat dengan air kencing dan darahnya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Dar Qutni bahawa Ummu Aiman pernah terminum air kencingnya. Rasulullah bersabda: “Sekiranya begitu, api neraka tidak akan memakan perut kamu.” Tetapi hadis ini dha’if.

Seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Dhua’fa’: “Suatu hari, seorang budak membekam Nabi. Maka setelah selesai berbekam, dia meminum darah bekaman tersebut. Maka sabda Rasulullah SAW, “Celakalah kamu, apakah yang telah kamu lakukan dengan darah tadi?” Katanya: “Aku telah melenyapkan di dalam perutku.”

Sabda Rasulullah: “Pergilah kamu, sesungguhnya kamu telah menyelamatkan diri kamu daripada api neraka.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar RA berkata: “Rahsia daripada peristiwa tersebut, adalah kerana perbuatan dua Malaikat yang pernah membasuh dada baginda sehingga dihukumkan suci segala kumuhan daripada jasad Nabi.

Di antara lain, beliau juga berkata: “Rasulullah tidak mempunyai bayang-bayang ketika berada di bawah pancaran matahari dan bulan kerana Rasulullah adalah cahaya, sedangkan bayang-bayang adalah suatu kegelapan.”

Perkara ini disebut oleh Ibnu ‘Uqail dan lain-lainnya: “Ini berdalilkan, bahawa Rasulullah pernah memohon kepada Allah agar menjadikan seluruh anggota dan arah jasadnya bercahaya, dan baginda pernah mengakhiri doanya dengan sabdanya: “Jadikanlah aku cahaya.”

Selain itu, bumi juga menarik segala bebanan beratnya, berdasarkan beberapa khabar.

Antaranya beliau mengatakan: “Kedudukan terpuji (yang dijanjikan Allah kepada baginda Rasulullah)” ialah duduknya Rasulullah di atas ‘Arasy. Daripada Abdullah ibn Salam menyatakan di atas kurs’ sebagaimana al Baghawi juga menyebut mengenai kedua-duanya.”

Antaranya, beliau juga memperkatakan Rasulullah tidak pernah menguap.

Beliau juga berkata: “Baginda juga diperlihatkan kepadanya semua makhluk semenjak dari zaman Nabi Adam hinggalah umatnya yang hidup selepasnya, sebagaimana Nabi Adam diajari nama-nama segala sesuatu, berdasarkan hadis riwayat al Dailami: “Dunia ini diumpamakan kepadaku dengan air dan tanah, maka aku mengetahui tentang semua perkara seperti mana Nabi Adam mengetahui semua nama.”

Diperlihatkan juga kepada baginda seluruh umat, sehingga baginda dapat melihatnya. Hal ini berdasarkan riwayat Imam al Tabrani: “Diperlihatkan kepadaku umatku semalam di bilik ini. Orang yang mula-mula dan yang terakhir. Mereka semua digambarkan kepadaku dengan air dan tanah, sehingga aku mengenali seseorang insan di kalangan mereka lebih daripada seseorang kamu mengenali sahabatnya.”

Diperlihatkan juga kepada baginda apa yang terjadi kepada umatnya sehingga hari Kiamat.

Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya: “Aku telah melihat peristiwa yang akan ditemui oleh umatku sesudah kewafatanku; begitu juga mengenai pertumpahan darah yang terjadi di antara mereka.”

Antaranya beliau menyatakan: “Menziarahi maqam Nabi Muhammad adalah sunat (mustahab) sama ada bagi lelaki mahupun perempuan kerana umumnya hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Dar Qutni, daripada Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang mengerjakan ibadah haji dan menziarahi kuburku selepas kewafatanku, seolah-olah dia menziarahiku ketika aku masih hidup (Demikianlah yang disebut di dalam kitab Kasysyaf al-Qinna’, Jld 5, H: 30). Kitab ini dicetak atas perintah Malik Faisal ibn Abdul Aziz Aali Su’ud rahimahullah)

Kesemua keistimewaan yang mereka sebutkan dan naqalkan ini terdapat antaranya ada riwayat yang sohih. Ada yang dha’if dan ada pula yang sama sekali tidak mempunyai dalil.

Keistimewaan-keistimewaan Nabi Muhammad ini dinaqalkan oleh para ulama besar dari kalangan Ahli Sunnah dan mereka tidak menentangnya sedikit pun.

Bahkan, mereka menerimanya dan bertolak ansur dalam meriwayatkannya kerana berpegang kepada kaedah “toleransi” dalam menaqalkan (meriwayatkan) perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan sesuatu perkara.

Sedangkan, dalam keistimewaan tersebut, terdapat perkataan-perkataan yang jika didengari oleh golongan penentang sudah tentu mereka memberikan hukuman yang lebih teruk daripada kafir.

Kesimpulannya keistimewaan-keistimewaan Rasulullah seperti yang dinaqalkan oleh Ibnul Qayyim, Ibnu Taymiyyah dan kitab Kasyaful al-Qinna’ s tidak jauh berbeza daripada pandangan kami.

Maka adalah tidak adil jika pandangan pihak lain menjadi sasaran serangan dan kritikan tajam sedangkan pandangan ulama-ulama ikutan golongan yang mendakwa salafi ini tidak turut mereka sanggah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »