Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 2 Ogos 2011

Menghayati Kedatangan Ramadan

Posted by epondok di Ogos 2, 2011

Oleh MOHD. NORZI NASIR

RAMADAN dan sinarnya kembali bertandang menemui sekalian hamba kalangan umat Islam. Bulan setiap hamba diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Pada bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa diperkenankan.

Tatkala mengingatkan imbauan silam saat junjungan besar Rasulullah SAW dan para sahabat amat girang serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun, terdetik persoalan di manakah kita dalam meneladani dan menghayati Rasulullah SAW di madrasah Ramadan yang penuh keberkatan ini?

Bulan dan detik-detik yang sarat dengan kebaikan, peluang sisa umur yang sangat indah sebelum terlena kerana adakah masa yang paling indah daripada Ramadan untuk melakukan munajat kepada Allah dengan berdiri menghadap Rabb al-Izzati sambil mendengar alunan ayat-ayat-Nya yang menghiasi pendengaran, membersihkan hati dan menambahkan keimanan dalam diri?

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Puasa ‘madrasah’ membentuk peribadi Muslim sejati

Matlamat puasa tidak lain adalah untuk merawat penyakit dan kecacatan yang menimpa diri seorang muslim. Puasa merupakan madrasah membentuk peribadi muslim yang bersifat ikhlas, sabar, melatih rohani dan jasmani.

Puasa mendidik dan membentuk muslim bersifat sabar dalam apa jua situasi dan keadaan. Sabar yang paling kuat adalah sabar dalam melawan kehendak nafsu ammarah dan sering mengajak tuannya ke lembah kejahatan dengan melakukan perkara-perkara haram dan menjauhkan dirinya daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Seseorang yang berpuasa yang meneladani dan memahami anjuran Rasulullah ketika mendengar kata-kata keji dan kurang enak dilemparkan ke atasnya akan segera berkata, “sesungguhnya aku berpuasa”.

Sifat sabar yang dimiliki oleh setiap muslim menjadikan amalannya di atas paksi ikhlas kerana Allah SWT. Allah menjadikan setiap pahala amalan kepada hamba-hambanya melainkan puasa kerana puasa dinisbahkan kepada-Nya dalam erti kata lain Allah SWT yang memberikan ganjaran pahalanya.

Puasa mengajar seorang muslim menjaga lidahnya dari berkata dusta, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud, Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tidak ada ertinya di sisi Allah baginya berpuasa dari makan dan minum. (riwayat al-Imam al-Bukhari)

Hadis ini adalah peringatan kepada setiap diri agar meninggalkan perkataan dusta dan ghibah. Sabda baginda tidak ada ertinya di sisi Allah merupakan perumpamaan tertolaknya ibadah puasa yang bercampur dengan perkataan dusta.

Seorang muslim yang berpuasa sewajarnya membetulkan niat ikhlas kerana Allah SWT dalam menjalani ibadah puasa. Selain itu, menjaga diri daripada perkara-perkara yang menyebabkan berlakunya kecacatan terhadap puasa yang dilakukan dengan mengikut garis panduan yang di ajar oleh baginda SAW.

Memelihara ikhlas adalah dengan cara mengarahkan hati hanya kepada Allah SWT dan hanya mengharapkan pahala dan keredaan dari-Nya. Manakala ittiba’ (pengajaran) dalam puasa pula adalah dengan mengetahui hukum-hukum puasa sehingga sah puasa yang dilakukan, mengecapi kenikmatan dan pahala, serta jauh dari dosa.

Bagaimana mungkin seorang muslim dapat merealisasikan ittiba’ iaitu meneladani Rasulullah SAW dalam puasa, sementara dia jahil terhadap puasa-puasa yang wajib sehingga membatalkan puasanya.

Puasa bukan hanya semata-semata menahan diri dari makan dan minum. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan palsu dan melakukannya, maka Allah SWT tidak mempedulikannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi berpuasa adalah menjaga daripada berkata-berkata perkara yang sia-sia atau perkara keji.

Menyingkap Ramadan Rasulullah SAW

Ramadan merupakan nikmat kesempatan sangat berharga yang tiada galang gantinya. Setiap malamnya Allah SWT membebaskan 100,000 ribu orang dari mereka yang sudah tercatat sebagai penghuni neraka.

Pada malam terakhirnya Allah membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya.

Dr. Aid al-Qarni dalam mengajak umat Islam meneladani peribadi Rasulullah dalam menyambut Ramadan berkata, “Renungilah bagaimana Rasulullah SAW seorang Nabi yang maksum menjadi ukuran kebenaran menyambut tamu agung ini”.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21).

Alangkah beruntung siapa yang setia mengikuti petunjuk Nabi Muhammad dan meneladani beliau dalam semua segi dari kehidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya.

Apabila Rasulullah SAW melihat hilal (anak bulan) petanda bahawa Ramadhan telah tiba, baginda SAW berdoa kepada Allah, “Ya Allah, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. kerana ia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah”.

Tambahan, menurut Aid al-Qarni hadis di atas dapat difahami seolah-olah Nabi berkata kepada hilal , “Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sesungguhnya merupakan kesalahan yang amat besar sekiranya ada insan yang menyembahmu”.

Rasulullah tatkala menjelang bulan Ramadan lebih tekun melakukan amal kebaikan seperti memperbanyak tilawah al-Quran, bersedekah, mengeratkan silaturrahim sesama muslim dan mempertingkatkan ibadah-ibadah sunat.

Justeru, perlu ditegaskan di sini, apa yang paling penting dan mustahak pada bulan Ramadan ialah kita mencontohi sikap Baginda SAW.

Memperbanyak Tilawah

Puasa dan al-Quran mempunyai kaitan yang sangat dalam. Rasulullah SAW memperbanyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan.

Rasulullah mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan baginda terserlah pada bulan Ramadan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan al-Quran. Rasulullah lebih dermawan dan pemurah berbanding dengan angin yang ditiupkan.

Baginda SAW gemar mendengarkan al-Quran dan sering matanya berlinang ketika mendengarkan bacaan bait-bait ayat al-Quran.

Ibnu Mas’ud menceritakan bahawa, suatu hari Rasulullah memintaku membaca al-Quran untuk baginda, “Ibnu Mas’ud bacalah sesuatu dari al-Quran untukku”, lalu aku membaca surah al-Nisa’ hingga ayat 41, yang bermaksud, “Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan seorang saksi dari tiap-tiap umat dan Kami datangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka atas mereka itu sebagai umatmu”. Aku melihat kedua mata baginda basah menitiskan air mata. (riwayat al-Bukhari).

Abdullah bin Amr pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Berapa kali aku harus menghatamkan al-Quran?” Rasulullah menjawab, “khatamkanlah al-Quran dalam satu bulan”. Abdullah bin Amr berkata, “aku mampu lebih cepat dari itu”. Jawab Rasulullah, “jika begitu lakukanlah setiap 20 hari”. Tambah Abdullah bin Amr, “Aku masih mampu untuk lebih cepat dari itu”. “Kalau begitu dalam 15 hari” lalu “10 hari”. Abdullah bin Amr berkata, “aku masih lebih cepat dari itu”, Rasulullah menjawab, “kalau begitu lima hari”, lalu Rasulullah tidak melanjutkan lagi. (riwayat al-Tirmidzi).

Sebahagian ulama memahami tindakan Rasulullah SAW ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di bulan Ramadan. Juga menjauhkan diri daripada orang ramai agar dapat mengkhusyukkan diri dalam beribadat kepada Allah dengan memanfaatkan bulan yang penuh berkah ini.

Mudarasah atau tadarus antara Nabi Muhammad SAW dan malaikat Jibril terjadi pada malam hari, kerana malam tidak terganggu oleh pekerjaan seharian.

Di malam hari, hati seseorang juga lebih tenang dan konsisten untuk melakukan ibadah-ibadah sunat.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sunat latih kanak-kanak puasa

Posted by epondok di Ogos 2, 2011

Oleh Muhammad Asyraf

Perintah tunai ibadah Ramadan sama amalan solat

RAMADAN ialah sesi persekolahan dalam menghasilkan jiwa yang bertakwa. Ia juga satu kesempatan yang telah diberikan oleh Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang salih dan salihah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6.

Banyak amalan yang boleh dipraktikkan mengikut petunjuk Rasul dalam mendidik anak pada Ramadan. Antara yang menjadi amalan ialah dengan mendidik anak yang kecil berpuasa. Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya.

Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah)

Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW bermaksud: “Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Makna diangkat pena itu ialah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Maksudnya kanak-kanak tidaklah berdosa jika mereka meninggalkan puasa Ramadan.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, ia bukanlah satu larangan kepada ibu bapa melatih anak-anak berpuasa. Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa melatih anak-anak mengerjakan solat walaupun mereka belum mencapai usia baligh. Hadis yang bermaksud: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa. Malah Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni jilid 3 mengatakan bahawa: “Kanak-kanak dikehendaki berpuasa apabila mencapai umur tujuh tahun jika dia secara fizikal mampu melakukannya. Sesetengah ulama berpendapat, dia hendaklah didenda secara fizikal jika tidak berpuasa ketika umurnya 10 tahun. Ia sama seperti tindakan yang diambil jika tidak bersolat.”

Kenyataan ini bersesuaian dengan amalan dalam kalangan anak-anak pada zaman Rasulullah SAW. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ katanya: “Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke desa Ansar yang berada di sekitar Madinah dengan katanya: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas kejadian itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Jika ada antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan berkenaan sehingga tiba waktu berbuka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan sunat bagi ibu bapa memerintahkan anak-anak mereka berpuasa dengan tujuan melatih mereka sekiranya mereka mampu. Malah sunnahnya amalan ini disokong oleh ulama salaf seperti Imam Syafie, Ibnu Sirin dan az-Zuhri.

Imam Nawawi memperincikan hadis di atas dengan berkata: “Begitu juga keadaan kanak-kanak yang hampir mencecah usia baligh, mereka perlu diberikan pelajaran segala bentuk ketaatan secara berperingkat. Ini kerana urusan Islam juga masuk secara berperingkat. Selagi ada kemudahan bagi mereka, mereka akan melakukannya, malah menambahnya, dan selagi ada kepayahan, mereka belum mampu melakukannya, dan jika mereka menyusahkan diri juga, maka mereka mustahil melakukannya.” (Syarh Sahih Muslim 6/170)

Malah Imam Bukhari membawakan kepada kita satu athar bahawa amalan berpuasa dalam kalangan kanak-kanak sudah lama dilakukan, malah ia menjadi tradisi pada zaman sahabat. Kisahnya suatu hari Umar al-Khattab telah dihampiri oleh seorang lelaki yang mabuk di bulan Ramadan. Lalu dia berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” Lalu beliau menyebatnya dengan 80 sebatan. (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)

Ada sebahagian ibu bapa yang menawarkan upah atau hadiah bagi anak-anak mereka yang berjaya menghabiskan puasa Ramadan. Amalan memberi upah ini bukanlah suatu yang melanggari syarak. Malah ia sesuai kepada mereka yang masih kanak-kanak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bunuh diri dosa besar

Posted by epondok di Ogos 2, 2011

Oleh Mohd Fadly Samsudin

IKUT PERASAAN...jika mengalami
masalah besar dalam hidup pastikan
ia dikongsi bersama dengan orang yang boleh membantu.
IKUT PERASAAN…jika mengalami masalah besar dalam hidup pastikan ia dikongsi bersama dengan orang yang boleh membantu.

 

SEMAKIN moden kehidupan yang dinikmati, semakin cetek pemikiran manusia terutama menghadapi kesukaran dan cabaran dalam hidup.

Setiap orang pasti tidak terlepas dihimpit masalah cuma mereka perlu bijak mengawal dan mengurusnya supaya ia dapat diselesaikan cara baik.

Gejala bunuh diri kini antara penyumbang besar kepada kematian di seluruh dunia. Ia gejala yang sukar dime ngertikan kerana individu yang membunuh diri biasanya mempunyai sikap berbeza-beza.

Mungkin di kalangan mereka pada awalnya sudah menunjukkan tanda dalam keadaan trauma, muram, bersendirian dan sering menangis.

Namun, ada kes mangsa tidak menunjukkan tanda, malah dilihat sebagai seorang peramah, periang tetapi me ngakhiri hidup dengan membunuh diri.

Golongan yang sering dikaitkan dengan bunuh diri biasanya mempunyai masalah besar seperti berhutang, konflik rumah tangga, merasakan diri tidak berharga, diping girkan keluarga, menjadi mangsa buli selain mengalami gangguan mental kronik seperti skizofrenia.

Malah, ada kejadian langsung tidak masuk akal terutamanya golongan remaja belasan tahun membunuh diri kerana cinta monyet mereka tidak berbalas.

Berdasarkan rekod dikeluarkan Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM), bagi tempoh tiga tahun dari 2007 hingga 2010, seramai 731 membunuh diri.

Daripada statistik itu, 545 lelaki dan 186 perempuan. Statistik juga menunjukkan 321 kes membabitkan pasangan berkahwin, 29 bercerai, 34 balu, 298 belum berkahwin.

Di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati setiap hari purata 3,000 kes bunuh diri dilaporkan dan setiap tahun jumlah itu mencapai purata satu juta orang.

Jika hendak diikutkan, bukan satu perkara mudah untuk membunuh diri di mana kita sendiri yang merancang bila dan bagaimana pelaksanaannya.

Contohnya, mereka menggunakan cara menggantung diri, terjun dari bangunan tinggi, meminum racun atau menembak menggunakan senapang atau pistol. Bagi mereka yang sihat akal fikiran pasti tidak sanggup melakukan perbuatan itu.

Sebab itu sebagai seorang Muslim, jika berhadapan sebarang kesulitan, kita kembali memohon pertolongan Allah.

Islam tidak mengajar umatnya cepat berputus asa dan menyerah kalah. Jika berlaku tekanan hebat perkara demikian perlu dirawat dengan kaedah sewajarnya.

Setiap manusia wajar menghargai kehidupan mereka sebaik-baiknya. Bunuh diri walau dalam keadaan apa sekalipun tetap dilarang dalam Islam.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa membunuh dirinya dengan benda tajam, benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka jahanam. Hal itu akan berlaku selama-lamanya. Sesiapa yang minum racun hingga mati, dia akan minumnya dalam neraka jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, dia akan menjatuhkan dirinya ke neraka jahanam selama-lama nya.” (Riwayat Abu Hurairah).

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata dalam Bahasa Arab perbuatan bunuh diri dinamakan al-Intihar iaitu perbuatan sengaja oleh individu untuk menamatkan hayatnya.

“Melihat dari kes yang berlaku sejak-akhir-akhir ini, saya berpandangan tahap keimanan masyarakat Muslim terlalu lemah sehinggakan alasan remeh dijadikan sebab untuk menderhaka kepada Allah.

“Mungkin masyarakat Muslim hari ini dilihat maju, moden dan berpendidikan tinggi namun hakikatnya pengisian rohani amat kosong dan lemah,” katanya.

Beliau berkata akal yang dikurniakan Allah perlu digunakan untuk berfikir mencari kebenaran bukan menambah kefasikan.

“Ini tidak semakin maju ke depan, semakin lemah iman dan keyakinan kepada Allah. Itu sebab wujudnya ramai golongan intelek Muslim yang sudah pandai mempertikaikan hukum-hakam yang ditetap kan Allah dengan pelbagai alasan dan justifikasi logik akal semata-mata.

“Dalam Islam sudah jelas mengenai larangan membunuh diri. Di dalam Surah An-Nisa’ ayat 29 Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu.”

Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti.” (Hadis riwayat Muslim, al-Darimi, dan Ahmad)

“Berdasarkan nas itu kita dapat membuat beberapa kesimpulan berkaitan dengan kedudukan nyawa dan sejauh mana manusia mempunyai hak terhadapnya. Nyawa adalah milik Allah dan Dialah yang menghidup atau mematikan seseorang bukannya orang itu sendiri yang menentukan hidup matinya,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata, membunuh diri adalah perbuatan terkutuk yang dilarang Allah biarpun dalam situasi di mana diwajibkan mengorbankan nyawa sendiri.

“Namun itu tidak dikira sebagai membunuh diri kerana mempunyai sebab lain yang lebih besar mengharuskannya.

“Malah, kita diwajibkan berkorban seperti berjihad kerana mempertahankan agama, negara dan kehormatan diri dari serangan musuh,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan membunuh diri berdosa besar kerana di akhirat kelak mereka akan diseksa sebagaimana mereka membunuh dirinya di dunia.

“Daripada Jundub bin Abdillah r.a katanya, Rasulullah bersabda: “Dahulu di kala ngan umat sebelum kamu ada seorang lelaki mengalami kecederaan, lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati.”

Firman Allah: “Tergesa-gesa hambaku kepada-Ku (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Walaupun perbuatan ini pada asalnya tidaklah me ngeluarkan diri seseorang dari agama atau murtad, namun jika dia menghalalkannya dia dihukumkan sebagai kafir atau murtad,” katanya.

Beliau berkata, membunuh diri adalah dosa besar di mana perhitungan amalan terserah kepada Allah sama ada diampunkan atau diseksa.

Menurut Engku Ahmad Zaki, terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan hukum membunuh orang lain dengan mengebom dirinya.

“Ulama, tatkala menerangkan hadis kisah ‘Ashabul Ukhdud’ (orang-orang yang membuat parit), ketika menyebutkan hikmah pengajaran dalam kisah itu, seseorang dibenarkan mengorbankan dirinya untuk kepentingan orang ramai, kerana pemuda ini memberitahu kepada raja cara membunuhnya iaitu dengan mengambil anak panah milik pemuda itu.

“Hal ini adalah jihad fisabilillah, yang menyebabkan ramai orang akan beriman, sedang kan pemuda tadi tidak rugi kerana dia mati dan memang dia akan mati sama ada cepat mahu pun lambat,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata, bunuh diri adalah golongan yang tidak reda kepada kete ntuan Allah.

“Kehidupan ini pada hakikatnya adalah medan perjuangan dan arena pertarungan sengit yang menuntut pengorbanan dan kesabaran.

“Dengan kesabaran sese orang akan memiliki keteguhan hati, keyakinan diri dan keimanan dalam menghadapi apa jua cabaran.

“Imam Al-Ghazali dalam kitab tersohornya, Ihya’ Ulumiddin berkata, kehidupan kita di dunia ini, terdapat dua hal yang selalu mengiringi hidup manusia.

“Pertama, sesuatu yang sesuai dan selari dengan kemahuan dan kehendak hati kita seperti memiliki harta kekayaan, pangkat, penghormatan dan lain-lain lagi kenikmatan hidup.

“Kedua, sesuatu yang tidak sesuai dan berlawanan de ngan keinginan hati, bahkan amat dibencinya seperti segala bala bencana dan penderitaan termasuk kemiskinan, kesakitan, kehinaan dan sebagainya.

“Setiap manusia wajib menyimpul kemas tali kesabaran untuk menghadapi dua kemung kinan yang bakal menghiasi hidup ini,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »