Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Generasi Y dan cabaran perubahan

Posted by epondok di Ogos 1, 2011


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

SIFAT zaman sentiasa dinamik berubah. Faktor sains, teknologi dan kaji selidik yang berlaku menyebabkan sifat sesuatu zaman tidak kaku dan beku.

Ada daerah di dunia yang memberi respon kepada perubahan dengan persiapan ilmu dan kemajuan teknologi. Ada yang hanya menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain.

Akhirnya ia melahirkan jurang antara pihak yang memberi respons untuk kemajuan dan pihak yang hanya bersikap sebagai pengguna. Jurang ini selalu disebut sebagai jurang kemajuan, jurang sains dan teknologi dan jurang keilmuan.

Kesan yang nyata ialah terhadap generasi Y, iaitu para remaja. Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan multimedia menyebabkan generasi muda menjadikan alat-alat ini sebagai sumber maklumat, ilmu dan hiburan.

Lalu generasi Y lupa terhadap sejarah budaya dan tradisi sendiri sehingga hilang jati dirinya. Generasi Y yang hilang jati diri ini menganggap sesuatu yang diwarisi oleh nenek moyang bersifat ketinggalan zaman dan berbeza sama sekali dengan model maju dan membangun yang mereka lalui.

Jurang generasi ini adalah salah satu masalah yang berbangkit khususnya di kalangan generasi Y yang berada di zon selesa. Zon selesa bermakna mereka tidak perlu bersusah payah mendapatkan sesuatu yang dihajati.

Semuanya sudah tersedia dan selalunya alat-alat komunikasi, telekomunikasi dan ICT menjadi peranan pengganti diri terhadap ibu dan bapa di rumah.

Amat penting untuk generasi Y diberikan pendedahan dengan faktor sejarah , budaya dan tradisi bangsanya atau umatnya yang sangat kaya sedari kecil lagi. Generasi Y di kalangan orang-orang Melayu memiliki kekayaan nilai-nilai yang berasaskan Islam.

Sekiranya ibu dan bapa sejak awal lagi memberi asuhan tentang pentingnya memahami sejarah bangsa dan umat, meneliti warisan-warisan terbaik tinggalan orang terdahulu, merenung unjuran kemajuan masa depan maka pemikiran generasi Y akan sentiasa terpedoman. Sebabnya, tidak mungkin lahirnya sesuatu bangsa dan umat tanpa budaya dan tradisi untuk dijadikan sumber ikutan.

Generasi Y yang tidak merasakan mereka ada sejarah dan tradisi gemar menjadi penciplak terhadap keunggulan orang lain. Mereka tidak bersikap kreatif dan inovatif untuk menyuburkan tradisi dan budaya yang sifatnya menyumbang.

Akhirnya generasi Y apabila dewasa akan mengalami kekontangan nilai dan tradisi serta tidak mampu mewariskan sesuatu untuk generasi hari depan.

Generasi Y yang sifatnya berubah tidak semestinya menolak perkara silam kerana padanya terkandung sesuatu yang boleh dipelajari. Tidak mungkin ada hari ini tanpa adanya yang silam. Tidak mungkin adanya esok tanpa binaan hari ini.

Keunggulan tradisi silam diadunkan dengan kehebatan budaya kini bakal menjadi mata rantai untuk meneroka warisan masa depan. Ramai di kalangan generasi Y yang sudah lupa diri, lupa budaya dan tradisi dan tidak pandai menghargai sejarah jatuh bangun bangsa atau umat mereka yang terdahulu.

Contoh yang paling baik ialah kekaguman kepada makna kebebasan orang-orang Barat yang terbentuk tanpa pedoman agama diciplak dan ingin dilontarkan dalam realiti masyarakat yang berbudaya dan beragama. Lalu terjadi konflik yagn sia-sia menyebabkan suasana perbincangan payah hendak berlaku. Tradisi muzakarah terkubur begitu sahaja. Masing-masing dengan identiti masing-masing.

Tidak mempedulikan suara majoriti sebaliknya mereka menganggap cara mereka sahaja yang betul. Generasi Y harus mempunyai rasa peka yang tinggi terhadap perimbangan idealisme dan realiti. Idealisme mengenai hak asasi di Barat tidak semuanya boleh diambil untuk mendekat realiti negara kita.

Ia tidak bermakna kebebasan harus dinafikan, demokrasi harus disempitkan tetapi generasi Y harus menginsafi bahawa negara Malaysia berjalan mengikut tata hukum yang tersendiri mendekati masyarakat yang berbilang.

Apa yang diyakini oleh generasi Y tidak semestinya sealiran dengan generasi lama yang telah mempunyai pengalaman yang kaya bagaimana negara ini harus diurus tadbir.

Paling tidak generasi Y harus cuba belajar daripada kekuatan silam dan pedoman hari ini untuk membina sebuah negara yang lebih baik pada masa depan.

Memang tidak dinafikan sesuatu sistem atau negara pasti ada kekurangan di sana dan sini, tetapi suatu hakikat yang tidak boleh ditolak oleh generasi Y adalah kemajuan yang dicapai kini, kebebasan yang dinikmati dan hari depan Malaysia yang dijanjikan adalah hasil lelah payah generasi dulu.

Jika generasi Y tidak mengambil sikap yang mata rantainya sambung sinambung, setengah abad negara ini boleh menghadapi kehancuran yang amat luar biasa sifatnya.

Satu faktor yang sangat penting yang perlu diperhatikan oleh generasi Y iaitu faktor kestabilan dan keamanan di kalangan pendudu berbilang kaum Malaysia. Tidak mudah untuk meraikan setiap fikir dan hati di kalangan masyarakat yang berbeza agama, budaya dan sistem nilai tetapi sekiranya ada sikap terbuka untuk mempelajari kebaikan orang lain, sikap berhemah untuk meraikan perbezaan dan persamaan, maka asas tolak ansur, kesabaran yan tinggi dan jalan yang bijaksana bakal dirintis dengan baik sekali.

Jika faktor ini tidak difahami dalam masa yang sama nada-nada sumbang kearah kebebasan tanpa batas, demokrasi ala Barat, hak asasi mengikut cita rasa Eropah, negara akan terdedah dengan krisis kepercayaan, keyakinan dan sistem nilai yang lebih parah.

Justeru generasi Y tidak sahaja beranggapan pengaruh sains dan teknologi membawa penyelesaian mutlak kepada generasi akan datang. Tetapi fikirkanlah tanpa agama dan etika yang tinggi, tidak mungkin manusia akan memiliki amanah yang tinggi, keadilan yang telus, kebijaksanaan dalam mengatur kelainan dan perbezaan yang disertai agenda membawa titik pertemuan.

Menimbulkan konflik bukanlah yang payah, namun membina kestabilan menuntut masa yang panjang. Oleh itu tidak harus timbul sifat gopoh yang melulu tanpa pertimbangan antara persamaan dan perbezaan, sejarah dan budaya, serta idealisme dan realiti.

Generasi Y yang berwibawa dan mampu memberi cetusan masa depan ialah generasi yang sentiasa bersikap kreatif dan inovatif kearah kemajuan.

Maju bukan bermakna menolak sesuatu yang telah terbina pada masa lalu. Kebaikan masa lalu hendaklah diolah dalam bentuk terkini supaya asas-asas fundamental dalam hidup ini tidak bercanggah dengan fitrah insani.

Maksudnya kita boleh menjadi generasi yang maju dan berubah dalam sains dan teknologi tetapi akhlak mulia yang menjadi prasyarat kepada seorang Islam perlu dipelihara kerana akhirnya kehidupan itu sendiri menuntut manusia yang jujur, ikhlas, amanah dan adil tampil di tengah-tengah sistem supaya pengurusan sistem berjalan dengan baik.

Sekiranya generasi Y hanya terpesona dengan kemahiran teknologi tinggi tetapi tidak memiliki nilai-nilai keinsanan maka watak manusia bakal menjadi rakus dan haiwani.

Orang akan berfikir tentang dirinya sahaja tanpa mempedulikan orang lain, tamak terhadap kuasa dan harta, tidak mempedulikan kelompok miskin. Ia akan mencetuskan pertentangan yang parah antara strata yang wujud dan bakal menghancurkan negara dan sistem.

3 Respons kepada “Generasi Y dan cabaran perubahan”

  1. Mohd sobri said

    Ikutilah sebagaimana yang telah ditunjukan oleh agama kita Dan berpegang kuat pada tauladan yg ditinggalkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.. InsyaAllah segalanya akan seimbang

  2. moon said

    generasi y sahaja ke y salah?????x dibimbing oleh org yg lebih matang sebeb 2 lah generasi y jd cam 2…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: