Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2011

Istiqamah dituntut dalam Islam

Posted by epondok di Julai 31, 2011

Oleh Sharifah Hayaati

Kerja sukar bertambah mudah jika sering dilakukan

PEPATAH Melayu ada menyebut, ‘sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit’ dan ‘alah bisa tegal biasa’. Kedua-dua pepatah ini merujuk kepada melakukan sesuatu yang besar bermula dengan yang kecil secara berterusan dan apabila sudah biasa melakukannya, tiada terasa kesukarannya lagi.

Pepatah ini sangat dalam maknanya dan boleh membawa natijah besar jika dijadikan resam kehidupan. Saya pernah melihat seorang wanita usia 40-an berjalan dengan perlahan dan bertongkat setiap pagi menuju ke pejabat.

Walaupun nampak agak sukar atau barangkali sakit, wanita itu terus melakukan rutinnya setiap pagi. Terdetik di hati betapa kuatnya semangat dan konsisten dia melakukannya sehingga dia boleh berjalan menaiki dan menuruni bukit tanpa lagi bertongkat. Malah langkahnya juga semakin laju.

Banyak lagi contoh kejayaan yang bermula dengan kesusahan dan terhasil daripada usaha sedikit demi sedikit secara berterusan tanpa jemu sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, politik dan sebagainya. Semua itu perlu dijadikan teladan.

Bait syair Arab yang bermaksud: “Tirulah walaupun jika engkau tidak dapat menjadi sepertinya, kerana meniru kemuliaan atau kebaikan itu suatu kejayaan.”

Apa yang perlu ditiru daripada senario ringkas itu ialah ketekunan, kegigihan, iltizam dalam melakukan sesuatu secara berterusan. Gerak laku dan tindakan seseorang boleh berbeza mengikut hajat, keperluan, suasana, budaya dan matlamat masing-masing.

Namun, asas yang sama sebagai pegangan dan prinsip adalah nilainya iaitu disebut sebagai istiqamah yang bermaksud melaksanakan kebaikan secara berterusan, teguh pendirian dan iltizam membabitkan amalan hati, tingkah laku dan gerak geri khususnya keimanan.

“Istiqamah adalah perkataan mencakupi semua aspek dalam agama. Ia adalah berpegang teguh (tidak berubah) kepada keimanan kepada Allah sama ada ucapan, perbuatan mahupun niat.”

Banyak ayat al-Quran menyebut perihal istiqamah dalam beriman antaranya firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti mana diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud, ayat 112).

Perintah ini juga dinyatakan Rasulullah SAW dalam dua perkataan ringkas tapi padat dalam dialognya kepada Abu Sufyan bin Abdullah al-Tsaqafi apabila ditanya dengan berkata: “Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan saja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau! Jawab Rasulullah SAW: Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah.” (Hadis riwayat Muslim).

Dr Mustafa al-Bugha dalam kitabnya al-Wafi Syarh Arbain al-Nawawi ketika menjelaskan hadis ini menyebut pentingnya istiqamah itu bermula dengan hati, kerana hati adalah landasan dan sikap yang melahirkan istiqamah.

Kata kunci bagi istiqamah adalah berterusan. Kisah perlumbaan kura-kura dan arnab yang menjadi bahan cerita untuk kanak-kanak sangat mudah dibayangkan bagaimana berusaha tanpa putus asa, berterusan tanpa lemah semangat boleh menjanjikan kejayaan.

Walaupun pada logik akal dan penglihatan adalah mustahil kura-kura yang lambat boleh mengalahkan saingannya yang lebih laju.

Kajian juga membuktikan kepandaian seseorang dan pengetahuannya hanya menyumbang tiga peratus kepada kejayaan. Selebih 97 peratus lagi ditentukan sikap dan tindakannya. Oleh itu, tiada yang mustahil dalam mencapai sesuatu kejayaan jika kita mengamalkan nilai ini.

Istiqamah mampu memberikan pulangan positif kepada hati, akal dan gerak laku. Apabila kita terus menerus melakukan kerja baik ia melatih tubi hati untuk bersabar, kuat semangat, sentiasa positif dan yakin kepada hasil yang dicapai.

Bagi akal, istiqamah mampu berfungsi ibarat batu asah menajamkan daya fikiran yang sentiasa digerakkan ke arah pencapaian matlamat, manakala bagi gerak laku fizikal pula, istiqamah menjadikan kerja sukar bertambah mudah dan ringan apabila biasa dilakukan.

Ketiga-tiga hasil inilah yang melahirkan kepakaran dan kemahiran bekerja. Pendek kata, istiqamah mampu menjadikan sesuatu itu sebati dengan jiwa dan raga sehingga menjadi hobi menyeronokkan dan apabila tidak dilakukan pula akan berasa canggung atau bersalah.

Oleh kerana pentingnya istiqamah dalam setiap urusan kehidupan, maka amalan wajib yang diperintahkan kepada umat Islam termasuklah solat, puasa, zakat dan haji, sifatnya juga berterusan.

Justeru, marilah kita bertekad bekerja untuk kebaikan secara istiqamah kerana langkah beribu bermula dari yang satu dan langkah yang satu tidak akan menjadi beribu ke hadapan jika tanpa gerak kaki berterusan.

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Iman, takwa prasyarat utama Muslim raih pelbagai keberkatan

Posted by epondok di Julai 31, 2011

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab).” (Surah al-Dukhkhan, ayat 3)

Dalam satu pidato semasa menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan yang agung dan penuh berkat, disebabkan itu Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya Muslim di seluruh pelusuk dunia.

Perkataan berkat membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu yang disebut berkat apabila dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak.

Contohnya, air hujan disebut Allah dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman berguna kepada umat manusia.

Keberkatan Ramadan ialah keberkatan tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi.

Satu lagi kemuncak keberkatan menghiasi fadilat Ramadan ialah nuzul al-Quran, kitab terkandung peringatan dan keberkatannya.

Pada Ramadan, Allah banyak menurunkan rahmat, memberi pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka. Tidak cukup dengan itu, Allah juga menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga.

Di samping itu, Allah melipatgandakan ganjaran pahala segala ibadat dan amalan salih sehingga ratusan dan ribuan kali ganda kecuali ibadat puasa yang menjadi perhitungan rahsia di sisi Allah.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Ringkasnya, hadirnya Ramadan mengundang seribu satu kesempatan bagi orang yang beriman dan bertakwa untuk beramal ibadat di samping bertafakur dan bermuhasabah diri. Amalan muhasabah akan mencetuskan kesedaran dan keinsafan untuk memperbetulkan kesilapan lalu.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim yang tidak mengisi amalan ibadat di sepanjang Ramadan dan tidak pula mengecapi fadilat Ramadan disediakan Allah bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya.

Benar sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Betapa ramainya orang berpuasa sepanjang hari, mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga; begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim) Iman dan takwa prasyarat utama seseorang Muslim untuk meraih pelbagai keberkatan dan kebajikan melimpah ruah yang dijanjikan Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Boleh tangguh sujud tilawah

Posted by epondok di Julai 30, 2011

DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud tetapi aku menolak maka untukku neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tilawah ertinya bacaan. Maka sujud tilawah ertinya adalah sujud bacaan. Dalam al-Quran ada beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat itu, kita disunatkan bersujud. Ayat inilah disebut ayat sajdah dan sujudnya disebut sujud tilawah.

Sujud tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun, dalam solat berjemaah, jika imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan imam.

Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Contohnya, ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah.

Maka, tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.

Ayat sajdah ialah surah as-Sajdah, ayat 15; al-A’raaf, ayat 206; ar-Ra’d, ayat 15; an-Nahl, ayat 49; al-Israa’, ayat 107; Maryam, ayat 58; al-Haj, ayat 18; al-Furqaan, ayat 60; an-Naml, ayat 25; Fussilat, ayat 38; al ‘Alaq, ayat 9; an-Najm, ayat 62; Insyiqaaq, ayat 21; Saad, ayat 24.

Cara melakukan sujud tilawah di luar solat menurut mazhab Syafi’e ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud dan membaca sepotong ayat ketika sujud yang maksudnya: “Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta.” Kemudian kembali duduk dan memberi salam.

Manakala ketika dalam solat pula cara melakukan sujud tilawah ialah sebaik saja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud dan membaca bacaan seperti di atas (dalam sujud). Setelah itu berdiri semula meneruskan bacaan seterusnya.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Elak bahasa lucah, caci ketika bergurau senda

Posted by epondok di Julai 30, 2011

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ADA orang kata hidup tanpa gurau senda ibarat lauk tanpa garam, terasa tawar dan hambar saja serta kurang menyelerakan. Kata pakar psikologi, bergurau senda sedikit sebanyak akan dapat melepaskan tekanan pada mental.

Islam tidak melarang umatnya bergurau senda kerana perasaan jiwa dan hati perlu ‘direhatkan’ dengan sesuatu yang santai. Namun, bergurau mestilah dalam kerangka batas yang sepatutnya dan tidak terkandung unsur mereka-reka cerita atau menggunakan perkataan bohong, lucah atau fitnah.

Untuk menghayati sedalam-dalam bagaimana unsur bergurau yang positif, rujukan terbaik ialah teladan yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada kita semua.

Dikisahkan bahawa pada suatu hari ada seorang wanita tua bertemu Rasulullah SAW lalu memohon kepada Baginda supaya dirinya dapat menjadi ahli syurga dan tinggal bersama Rasulullah SAW.

Mendengarkan permohonan wanita tua itu, Rasulullah SAW mengatakan kepadanya: “Wahai hamba Allah. Sesungguhnya syurga itu tidak dimasuki oleh orang tua.”

Mendengarkan yang demikian, maka wanita tua terus pergi dan menangis kerana berasa sangat sedih. Lantas Rasulullah SAW memanggilnya kembali sambil berkata: “Wahai hamba Allah, engkau tidak boleh masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah akan membangkitkan kembali wanita tua dalam usia yang masih muda. Tidakkah kamu membaca firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan mereka bidadari dengan langsung. Dan Kami jadikan mereka gadis perawan. Penuh kecintaan lagi sebaya umurnya.” (Surah al-Waqiah, ayat 35-37)

Apabila mendengar kata-kata Nabi SAW, wanita tua tadi tersenyum sambil ketawa gembira. Diriwayatkan bahawa wanita tua itu sebenarnya ialah ibu saudara Baginda bernama Sofiyah. Gurauan Baginda mengandungi pengajaran, gurau senda dengan sisipan kebenaran dan pengajaran.

Pendekatan bergurau akan menjadi mekanisme berkesan untuk mengeratkan hubungan dalam situasi harmoni. Namun, kita seharusnya berhati-hati supaya segala tutur kata ketika bergurau tidak menyinggung perasaan orang lain atau mengeluarkan kata kurang sopan berunsur caci nista terhadap seseorang lain.

Hal itu untuk mengelak terjadinya titik hubungan yang keruh sekali gus akan melonggarkan hubungan ukhuwah. Jangan ada-adakan sesuatu cerita semata-mata untuk buat orang lain ketawa sedangkan perkara itu ternyata dusta.

Diriwayatkan pada suatu hari seorang seorang wanita datang ke majlis Nabi SAW dengan tujuan mencari suaminya. Apabila melihat wanita itu datang lalu Nabi SAW bertanya:

“Siapakah yang engkau cari? Wanita itu menjawab: Saya mencari suamiku, wahai Rasulullah.

Kemudian Nabi SAW bertanya: “Apakah suamimu yang di matanya ada putih-putih itu? Wanita itu terdiam apabila mendengar pertanyaan Nabi SAW lalu bergegas balik semula ke rumahnya.

Apabila bertemu suaminya, wanita itu memandang wajah suaminya dengan pandangan penuh teliti. Wanita itu juga memeriksa kedua biji mata suaminya. Melihatkan telatah pelik isterinya itu, suaminya terus bertanya untuk mendapatkan kepastian.

Isterinya berkata: “Saya sedang memerhatikan apakah di matamu ada putih-putih atau tidak? Mendengar penerangan isterinya, dia pun berkata: Kau memang bodoh. Bukankah semua mata memang ada putihnya. Kini barulah wanita itu sedar bahawa kata-kata Rasulullah itu semata-mata bergurau saja.

Inilah dikatakan bergurau, tetapi berfakta. Demikian dua kisah boleh kita hayati dan pelajari supaya gurauan kita tidak melencong ke lembah kelalaian dan dusta. Kisah itu juga membuktikan kehidupan Nabi bersama sahabat Baginda juga diwarnai pendekatan gurau senda.

Gurauan Baginda tidak pernah melalaikan atau melampaui batas, sebaliknya tersirat penuh mesej pengajaran berguna. Apa dilakukan Baginda dalam batas yang meninggalkan impak positif.

Mari kita jadikan kisah Baginda untuk membentuk seni bergurau senda yang betul demi mengelakkan diri dari terjerumus berkata yang dusta lagi melalaikan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Posted by epondok di Julai 30, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

 

TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia… (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: “Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari”.

Bulan Ramadan dikenali dengan ‘bulan kesabaran’. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga.”

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain”.

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami’, (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: “Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya”.

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: “Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku”.

Sebahagian salafussoleh berkata: “Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya”.

Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.

Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

 

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Tingkat ibadat sunat persiapan hadapi Ramadan

Posted by epondok di Julai 29, 2011

Oleh Amran Zakaria

Ummah kena bersedia laksana perintah wajib elak menyesal

BERDEPAN suasana yang berlaku dalam negara memungkinkan kita terlupa kehadiran Ramadan beberapa hari lagi. Saat itu memang dinanti kerana Ramadan bulan anugerah Allah yang luar biasa keberkatan dan rahmatnya.

Mereka yang diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sewajarnya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi peluang meneruskan kehidupan pada bulan mulia yang penuh rahmat.

Sesungguhnya Ramadan benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang sudah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada dua perkara perlu diberi perhatian sebelum Ramadan. Pertama, persiapan menyambut dan mengimarahkannya. Jangan ambil mudah soal ini selepas hampir setahun kita meninggalkannya.

Apabila tidak bersedia dibimbangi kita meremehkan perintah wajib. Akibatnya sangat besar iaitu kelemahan menjalankan kewajipan hingga tersekat keredaan Allah atas kelalaian sendiri.

Keduanya, apakah kita akan berjaya memenuhi piawaian Ramadan yang dituntut mengisinya dengan mengerjakan amal ibadat. Yakinlah ganjaran berganda yang diperuntukkan. Bagaimanapun, dugaan tetap menanti.

Sebagai persiapan menyambut kehadiran Ramadan, sebaiknya membuat persiapan awal supaya tidak ada cacat celanya yang membawa kepada penyesalan selepas berlalunya sambutan itu.

Melakukan puasa sunat sebelum Ramadan adalah salah satu cara melatih dan membiasakan diri menghadapi Ramadan. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang sebaik-baiknya kepada ummah apabila Baginda memperbanyakkan puasa sunat pada Syaaban.

Kita juga hendaklah sentiasa memperbaharui taubat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Ramadan juga menguji ketaatan sekali gus membiasakan diri dengan amal ibadah sehingga jiwa terdidik untuk melaksanakan segala perintah Allah. Sehubungan itu, mukmin digalakkan memperbanyakkan iktikaf di masjid untuk beribadah kepada Allah.

Segala virus penyakit mazmumah yang membiak dalam hati seperti angkuh, sombong, riak, pemarah, pendendam dan sebagainya dapat dihapuskan melalui amalan iktikaf. Gantikan dengan usaha mempererat silaturahim kerana ia tanda seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musa bin Imran pernah berkata: Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan-Mu? Allah menjawab: Barang siapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Banyak kelebihan bagi orang yang memaafkan kesilapan orang lain, bukan hanya ketenangan hidup di dunia malah akan mendapat kelebihan di akhirat. Apa yang lebih penting, sikap memberi maaf dan memohon maaf ini menjadi rimbunan menyejukkan jiwa untuk melaksanakan solat dan puasa.

Atta bin Abdullah Khurasani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berjabat tanganlah antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Hadis riwayat Muwatta Imam Malik)

Untuk menambah kerinduan dan semangat kita membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan, hendaklah kita mengingat dan merenung kembali pesanan Rasulullah SAW yang pernah Baginda sampaikan pada akhir bulan Syaaban.

Salman al-Farisi menyatakan Rasulullah SAW pernah berkhutbah pada akhir Syaaban: “Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan penuh berkat, bulan yang dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai suatu kewajipan dan solat malamnya sebagai sunnah. Siapa saja yang bertaqarrub di dalamnya dengan sebuah kebajikan, ia seperti melaksanakan kewajipan pada bulan yang lain. Siapa saja yang melaksanakan satu kewajipan di dalamnya, ia seperti melaksanakan 70 kewajipan pada bulan lainnya. Ramadan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan penglipur lara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Sahabat berkata: Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meskipun dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Iringi ucapan istighfar dengan taubat bersungguh-sungguh

Posted by epondok di Julai 29, 2011

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

BANYAK ayat dalam al-Quran menegaskan perintah Allah kepada hamba-Nya supaya sentiasa bertaubat kepada-Nya. Demikian juga pesanan disampaikan Nabi SAW bahawa Allah mengajar kita bagaimana untuk bertaubat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, kami menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, pasti kami akan termasuk orang yang rugi.” (Surah al-A’raf, ayat 23)

Sesetengah daripada kita beranggapan taubat itu cukup sekadar melafazkan ucapan lisan seperti beristighfar sedangkan ucapan itu mestilah seiringan dengan isi hati dan juga segala gerak laku anggota badan yang lain.

Ingatlah bahawa ucapan istighfar pada lafaz di mulut saja tanpa disertai dengan usaha serta tindakan meninggalkan perbuatan yang bertentangan dengan syarak adalah perbuatan orang yang berdusta.

Fudhoil bin ‘Iyadh berkata: “Istighfar yang tidak terhenti daripada melakukan dosa adalah suatu taubat dari seorang pembohong.”

Hebatnya kekuatan istighfar itu sehingga syaitan pun takut serta binasa dengan sebabnya. Justeru, digalakkan kita sentiasa beristighfar sebagai pendekatan secara lisan untuk memohon keampunan daripada Allah, kemudian diikuti dengan amalan soleh.

Ibnu Jauzi mengatakan: “Iblis pernah berkata: Aku binasakan manusia dengan dosa, tetapi mereka membinasakanku dengan istighfar dan lafaz ‘tiada Tuhan melainkan Allah.”

Dalam satu pesanan yang panjang, Robi’ bin Khutsaim mengatakan, “Bermohonlah dengan penuh kerendahan diri dan berdoalah kepada Tuhan dalam keadaan lapang, sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: Barang siapa berdoa kepada-Ku di waktu lapang, nescaya Aku mengabulkan permohonannya di waktu dia kesusahan.

Barang siapa meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya. Barang siapa yang merendahkan hatinya untuk-Ku, nescaya Aku mengangkat darjatnya. Barang siapa yang tetap mengabdikan dirinya kepada-Ku, nescaya Aku merahmatinya. Dan barang siapa yang beristighfar kepada-Ku, nescaya Aku mengampuninya.”

Sebenarnya ramai ilmuwan Islam dan ulama terdahulu yang meninggalkan pesanan mengenai kepentingan bertaubat antaranya Qatadah berkata, al-Quran menunjukkan kepada kamu penyakit dan ubat bagi kamu. Adapun penyakit kamu itu adalah dosa dan ubatnya ialah istighfar.

Memang benar, kerana dalam kehidupan seharian kita sentiasa dilingkungi pelbagai dosa yang mungkin kita sendiri tidak menyedarinya. Justeru, melakukan taubat melalui pengucapan lisan beristighfar adalah mekanisme paling mudah dilaksanakan.

Saidina Ali Abi Talib berkata: “Sungguh aneh bagi orang yang dibinasakan, sedangkan dia mempunyai jalan keselamatan. Lalu beliau ditanya, apakah jalan keselamatan itu? Kata Ali: Istighfar. Kemudian dia menyambung penerangannya: Allah tidak mengilhamkan istighfar kepada seorang hamba jika Dia ingin menurunkan azab kepadanya.”

Jika kita ikuti perjalanan hidup Luqman al-Hakim, persoalan istighfar juga sangat difokuskan olehnya tatkala menasihati anaknya. Kata Luqman: “Wahai anakku, ada masa tertentu bagi Allah di mana Dia tidak menolak permintaan bagi sesiapa yang meminta, maka perbanyakkanlah istighfar.”

Begitulah Luqman al-Hakim yang sentiasa membimbing anaknya meniti jalan suci menuju kehidupan dunia dan akhirat yang diredai Allah. Isteri Nabi SAW, Aishah juga pernah mengatakan berbahagialah sesiapa yang mendapati banyak istighfar pada buku lembaran amalannya.

Sementara Abu Minhad pula memberitahu: “Tiada jiran yang lebih dicintai oleh seorang hamba ketika berada di alam kubur, selain daripada istighfar.”

Memperbanyak beristighfar adalah komoditi berharga yang akan menjadi teman akrab kepada seseorang di alam barzakh nanti. Inilah penyinar kegelapan kubur dan mampu menjadi benteng diri dari azab Allah.

Salah satu manfaat istighfar ialah Allah menjadikannya wadah untuk mencegah daripada terkena azab dan seksa. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, walaupun kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedangkan mereka meminta keampunan.” (Surah Al-Anfal, ayat 33)

Menyentuh hal itu, Abu Musa al-Asha’ari berkata: “Ada dua perkara yang melindungi kita daripada turunnya azab, salah satunya adalah adanya Rasulullah SAW antara kita, dan satu lagi ialah istighfar yang mengikuti kita. Jika sudah tidak ada lagi istighfar, nescaya kita semua akan binasa.”

Bertaubat dengan memperbanyak ucapan lisan beristighfar juga akan menjadi bekalan untuk Allah mengangkat darjat hamba-Nya di syurga. Malah istighfar seorang anak yang soleh memberi manfaat besar kepada kedua-dua ibu bapanya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Atasi panas baran dengan bacaan ruqyah

Posted by epondok di Julai 29, 2011

Soalan:

SAYA mempunyai suami yang panas baran. Dulu tidaklah sebaran ini, ia masih boleh dikawal. Sekarang tak boleh tanya atau tegur sikit pasti dia melenting. Kalau bergaduh dia suka keluar malam dan balik pukul 2-3 pagi. Saya cuba berlembut dengan mengikut rentak dia tapi saya rasa tertekan. Beban keluarga diletakkan di atas bahu saya. Anak sakit, perbelanjaan anak-anak, duit dapur hampir semua saya yang urus.

Perasaan syak kuat menguasai saya. Mana tidaknya dia pernah ada perempuan lain. Banyak kali perkara ini terjadi tapi saya maafkan dia kerana fikirkan anak-anak. Saya cuba berbincang tapi semua usaha saya berakhir dengan pergaduhan. Sikapnya itu membuatkan saya tawar hati dengannya. Namun saya masih sayangkan dia dan pernah ajak dia dapatkan kaunseling tapi saya dimarahi.

Kadang-kadang hendak rasanya berpisah dengan dia tapi memikirkan anak-anak, saya batalkan niat itu. Hingga sekarang saya cuma mampu bersabar dan berdoa supaya dia lembut hati dan menjadi suami yang penyayang serta prihatin kepada keluarga. Apa yang merisaukan saya, kadang-kadang marah saya agak keterlaluan dan menyimpan perasaan dendam terhadapnya. Rasa bersalah memang ada tapi bila bergaduh semua itu saya tolak tepi. Apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan:

Saya turut bersimpati di atas apa yang terpaksa puan tempuhi. Namun, begitulah pahit maung ujian kehidupan, bukan hanya puan seorang malah setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti ada suratan ujian masing-masing yang tidak dapat dielakkan seperti firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ 

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup – untuk menguji dan menzahirkan siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun. (67:02)

Walau bagaimanapun, Allah SWT telah memaklumkan kepada kita mengenai hal ini seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 155:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Bahawasanya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut serta kelaparan, dan menghadapi masalah kekurangan harta benda, kehilangan jiwa dan berkurangannya hasil tanaman serta buah-buahan. Maka berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT kemudiannya ‘mendidik’ kita tentang apa yang perlu dilakukan apabila ujian kehidupan mengundang dalam ayat seterusnya (2:156):

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka lantas berkata: “Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.

Jadi, perbanyakkanlah lagi sabar sambil berzikir ayat ini: “Inna lillahi wa inna ilayhi raaji’un”. Allah SWT telah menjanjikan orang-orang yang membuat amalan ini dengan tiga perkara:

1. Doa (kurniaan),

2. Rahmat dan

3. Hidayah daripada-Nya di dalam ayat seterusnya (2:157):

أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Mereka itulah orang-orang yang akan dilimpahi dengan berbagai-bagai kurniaan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang sentiasa mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Bagi mengatasi masalah baran suami puan, cubalah membaca ruqyah (sejenis doa atau ‘jampi’ syar’ie) dengan ayat 69 dalam Surah al-Anbiyaa’ ini semasa barannya muncul:

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ

Wahai api, jadilah engkau sejuk kepada Ibrahim dan peliharalah kesejahteraannya! (21:69)). Mudah-mudahan Allah menyejukkan barannya seperti mana api yang membakar Nabi Ibrahim disejukkan dengan izin Allah. Amin.

Apabila berhadapan dengan sikap keras hati suami puan, bolehlah mencuba bacaan ruqyah dari Surah al-Naml, ayat 30:

إِنَّهُ مِنْ سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Sesungguhnya (perutusan itu) dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (27:30).

Ia bersempena kisah Nabi Sulaiman yang mengajak Ratu Saba’ yang bernama Balqis agar memeluk Islam. Akhirnya, hati baginda menjadi lembut untuk memeluk Islam setelah membaca kepala surat perutusan daripada Nabi Sulaiman di atas. Mudah-mudahan bacaan ruqyah puan walaupun dalam diam akan melembutkan hati suami puan untuk kembali bertanggungjawab kepada keluarga dan bersedia untuk berbincang elok-elok dengan puan dengan izin Allah. Amin.

Bagi pihak puan juga, perlulah melakukan muhasabah diri. Contohnya mengkaji sama ada waktu puan mengajukan cadangan untuk berbincang itu sesuai atau tidak. Orang lelaki biasanya ada anginnya yang tersendiri terutamanya tidak mahu diganggu ketika sedang sibuk dengan sesuatu, dan biasanya apabila puan bertanyakan sesuatu ketika dia lapar, mengantuk, bersedih, penat atau tertekan akan membangkitkan kemarahannya.

Puan juga digalakkan memperbanyakkan istighfar kerana dalam Surah Hud, ayat 3 Allah menjanjikan kebahagiaan dan kesenangan bagi orang-orang yang memohon keampunan dari-Nya dan bertaubat (pulang menyerah diri untuk taat kepada-Nya)

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ ۖ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).

Berdoa adalah sinonim dengan kehidupan seseorang Muslim, hatta solat itu pun maksud asalnya doa. Amalan berdoa menjadi simbol penyerahan diri kita kepada Allah dan betapa kita sentiasa memerlukan Allah al-Samad – tempat bergantung. Puan boleh bermunajat kepada-Nya, pohonlah apa jua permintaan puan dalam bahasa Melayu sekalipun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Allah kan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Serulah dari 99 Nama-nama-Nya yang Indah (Asma’ Allah al-Husna) dalam doa puan, seperti Ya Razzaq Ya Fattah agar Allah melimpahkan rezeki keluarga puan dan seumpamanya, semoga ia segera dimakbulkan. Amin.

Sebagai satu alternatif, puan juga boleh mencuba bacaan ruqyah dari ayat 200, Surah Ali Imraan yang bermaksud:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), kentalkanlah daya kesabaranmu, sabarkanlah di antara kamu, perkukuhkanlah ikatan sesama kamu dan bertakwalah kepada Allah. Semoga Allah Menentukan kamu akan Berjaya (akhirnya). (3:200)).

Satu lagi amalan baik untuk perlindungan keluarga puan, bacalah Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi shay’un fil ardhi wa la fissama’ wa huwassami’ul alim.

بِسْمِ الله الّذِي لا يَضُرّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرْضِ وَلا في السّمَاءِ وَهُوَ السّمِيعُ العَلِيمُ،

(Maksudnya: Dengan nama Allah yang terpelihara segala sesuatu dengan nama-Nya daripada apa-apa yang memudaratkan sama ada di bumi atau di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.) Menurut baginda, sesiapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu petang; begitu jugalah apabila ia dibaca tiga kali pada waktu petang, maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu pagi. [Sumber: Sunan Abu Daud, juzu’ 3, hal. 132, bil. 5088].

Semoga keluarga puan terpelihara di dalam perlindungan Allah terutamanya anak-anak puan daripada mudarat perceraian. Amin

Posted in Amalan Pilihan, Klinik Agama | 1 Comment »

Bicara al-Quran mengenai kurma

Posted by epondok di Julai 29, 2011

Oleh DR. MOHD. ASMADI YAKOB

BULAN Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun
ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa
rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.

Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.

Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma.
Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam
al-Quran.

Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma
atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan
beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.

Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam
al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh
kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut
sekali.

Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma.
Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala
al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.

Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala
perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma
yang tidak mengeluarkan ‘ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang
paling bermutu.

Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan
sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang
mempunyai maksud yang sama.

Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma
yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda
kekuasaan-Nya.

Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan
mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan
Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan
dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari
tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman
yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai
tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami
keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa.
Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah)
kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda
(kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
(al-An’am: 99)

Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan
menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma,
anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan
tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.

Nikmat yang wajib disyukuri

Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia
yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara
menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah
kurma tersebut kepada fakir miskin.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang
menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon
kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang
serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari
buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah
haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir
miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang yang berlebih-lebihan.
(al-An’am: 141)

Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma
dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.

Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum ‘Ad yang dimusnahkan Allah
kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.

Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun’aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).

Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu
perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak
dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak
ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun
ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik,
sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.

Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan
terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah
tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti
kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar,
musnah dan terbakar.

Golongan yang ingkar

Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang
kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah
sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka
mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.

Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan
baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan
anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.

Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada
tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.

Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki
tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan
menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat
keadaan mereka.

Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua
orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang
kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi
kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak
meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai
hukuman di atas kesombongannya.

Kisah Maryam

Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam
semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit
sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit
tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya
sekiranya dia mati sebelum ini.

Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril
agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di
bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma
yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma
yang masak kepadanya.

Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.

Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah
larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa
memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma
sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.

Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.

Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.

Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat
ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada
kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma
dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh
kajian sains moden.

Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu
juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa
berbuka maupun ketika sahur.

Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka
semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa
bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda
kekuasaan Allah SWT jua.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Mengejar Puasa Sempurna

Posted by epondok di Julai 28, 2011

Oleh : Haji Abdul Kadir Haji Muhammad
(Ahli Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan)  

Dikeluarkan oleh :
Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

بسم الله الرحمن الرحيمالحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين .Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya : Wahai mereka yang telah beriman ! Telah difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana telah difardukan ke atas mereka sebelum kamu, supaya kamu bertakwa. (Al-Baqarah : 183)

Hendaklah diketahui dan diinsafi bahawa : Tiadalah dimaksudkan dengan berpuasa itu sekadar menahan makan minum dan menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan rupa puasa (rangka bentuknya yang zahir). Maksud sebenar yang dituju ialah bekasnya atau kesan-kesannya iaitu : Menahan diri dari menuruti segala rupa keinginan yang diperintahkan kita menentangnya dengan senjata-senjata yang tajam (Sabar dan takwa). Hal ini tidak dapat dicapai oleh seseorang kecuali dengan menahan lidah dari menuturkan kata-kata yang keji, umpat, fitnah, dusta, pertengkaran mulut dan menahan pendengaran dari segala yang tidak disukai dan seterusnya menahan penglihatan dari melihat segala yang berlawanan dengan takwa atau bakti kepada Allah.

Ayat di atas menerangkan bahawa difardukan puasa “supaya kamu bertakwa”. Dari itu nyatalah bahawa puasa itu menjadi pemelihara yang mendindingi antara kita dengan keinginan-keinginan nafsu yang angkara dan ingin kepada kemungkaran. Sabda Nabi SAW. :

الصّيامُ جُنّة, فلا يَرْفثْ ولا يَجْهَلْ. وإِنِ امرُؤٌ قاتَلَهُ أو شاتَمَهُ فلْيَقُلْ: إِني صائمٌ

(رواه البخاري)

Ertinya : Hanya puasa itu adalah perisai, maka apabila salah seorang kamu berpuasa, janganlah ia menuturkan perkataan yang keji dan jangan bersifat jahil, dan apabila seseorang mahu berkelahi dengannya atau memakinya, hendaklah ia katakan : Saya berpuasa (dari hadis riwayat Bukhari)

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Ramadhan mempunyai kelebihan-kelebihan yang besar yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain , sebagaimana sabda Nabi SAW. :

الصّلَوَاتُ الْخَمْسُ. وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ. وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ. مُكَفّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنّ. إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

(رواه مسلم)

Ertinya : Sembahyang yang lima, Jumaat ke Jumaat, dan Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus-penghapus dosa di antaranya, apabila dijauhi dosa-dosa besar.

Dan sabdanya juga :

مَنْ صامَ رَمَضانَ إيماناً واحْتِساباً غُفِرَ لهُ ما تَقدّم مِنْ دَنْبه

(متفق عليه)

Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mahukan pahala ,  diampunkan baginya apa-apa yang telah lalu dari dosa-dosanya.

CARA BERPUASA

Apabila telah masuk malam pertama dari bulan Ramadhan , maka berniatlah pada malam itu, bahawa kita akan berpuasa esok hari kerana menjunjung perintah Allah Taala. Mulai malam itu kerjakanlah “tarawih” dengan berjemaah.

Sesudah bersahur dengan mengikut adab-adabnya, bersihkan mulut dengan sebersih-bersihnya, dan menanti waktu subuh, dan amat baik penantian waktu subuh itu diisi dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim.

Apabila telah terbit fajar, tahanlah diri dari makan minum, mendekati isteri dan dari segala yang merosakkan puasa dan pahalanya. Sesudah selesai mengerjakan sembahyang subuh , bacalah Al-Quran  sekadar yang disanggupi. Dan pada siang hari hendaklah menjauhkan diri dari segala perbuatan yang haram, bahkan hendaklah menjauhkan diri dari segala yang makruh dan sia-sia. Dan seterusnya berusahalah supaya segala sembahyang fardu dapat dikerjakan dengan berjemaah.

Seboleh-bolehnya pada tiap-tiap hari sesudah sembahyang zuhur dan asar disediakan waktu yang tenang untuk membaca Al-Quran.

Bila yakin matahari telah terbenam, bersegeralah berbuka dengan sedikit makanan yang manis lazat, sesudah itu tunaikanlah sembahyang maghrib, dan sesudah itu barulah disempurnakan makan dengan dituruti adab-adab berbuka.

Apabila tiba likur yang ketiga, tambahkan ibadat dengan jalan beriktikaf dan berusaha memperolehi “Lailatul Qadar” yang terletak dalam salah satu malam yang ganjil dari malam-malam yang kedua puluh satu sehingga malam terakhir Ramadhan.

ADAB-ADAB BERPUASA

Segala rahsia dan hikmat berpuasa yang begitu tinggi iaitu : takwa, sabar, kesihatan badan, melemahkan nafsu angkara, mengalahkan syaitan, mewangikan mulut di sisi Allah, menjernihkan hati, keampunan dosa, ganjaran yang besar, martabat yang tinggi di akhirat , bersifat dengan sifat-sifat malaikat dan diperdampingkan dengan Allah SWT, tidak akan dapat diperolehi oleh orang-orang yang berpuasa sekiranya mereka tidak memelihara dan menjaga adab-adab berpuasa dengan sebaik-baiknya.

Supaya puasa anda menjadi sempurna, selamat dari segala keaiban, kecacatan, dan tercapai tujuan dan hikmat dari kewajipan berpuasa itu, maka hendaklah diikuti adab-adab berikut :

1. Bersahur, kerana Rasulullah SAW bersabda :

تَسَحّروا, فإِنّ في السّحورِ بَرَكةً

Ertinya : bersahurlah, kerana pada sahur itu ada berkat.

Dan sabdanya lagi :

اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ. وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ

Ertinya : Makanlah sahur bagi meringankan di siang hari, dan tidurlah seketika di siang hari bagi meringankan Qiamullail.

Makin dilewatkan bersahur adalah makin baik, supaya orang yang berpuasa tidak tersangat lapar. Dan berihtiath dengan menahan diri dari makan minum ketika imsak, supaya tidak terjatuh dalam syak.

2. Segera berbuka setelah nyata masuk waktu maghrib, kerana sabda Nabi SAW. :

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ وأخروا السحور

Ertinya : Sentiasalah manusia itu dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melewatkan bersahur.

3. Berbukalah sebelum sembahyang maghrib dengan sedikit makanan, dan sesudah sembahyang maghrib baharulah disempurnakan makan. Makanan yang utama buat berbuka ialah makanan yang mengandungi zat manis, yang menyegarkan badan dan tidak dikenai api seperti kurma di tanah arab. Sabda Nabi SAW :

إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ, فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ. فَإِنْ لَمْ يَجِدْ, فَلْيُفْطِرْ عَلَى الْمَاءِ. فَإِنّهُ طَهُورٌ.

Ertinya : Apabila berbuka puasa, berbukalah dengan kurma, sekiranya tidak ada maka berbukalah dengan air, sesungguhnya air itu penyuci.

Dan diriwayatkan dari Anas RA , katanya :

كانَ النبيّ صلى الله عليه وسلم يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلّيَ على رُطَبَاتٍ, فإِنْ لم تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْراتٌ, فإنْ لم تَكُنْ تُمَيْراتٌ حَسَا حَسَواتٍ مِنْ مَاءٍ.

Ertinya : Adalah Nabi SAW berbuka sebelum sembahyang maghrib dengan beberapa biji rutob, ketika tidak ada rutob, ia berbuka dengan beberapa biji tamar, dan jika tidak ada tamar ia meneguk beberapa teguk air.

(Riwayat At-Tirmizi)

4. Mandi dari hadas besar sebelum fajar, supaya dapat ditunaikan ibadat puasa dalam keadaan bersih.

5. Merebut peluang kedatangan Ramadhan yang mulia dengan membanyakkan membaca Al-Quran Al-Karim, kerana malaikat Jibril setiap malam menemui Nabi SAW lalu mentadarus Al-Quran (Maksud hadis).

6. Menjaga lidah dari bercakap dusta, mengumpat, mengacum, memaki, mengeji dan menuturkan kata-kata yang berdusta, kerana sabda Nabi SAW :

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ, فَلَيْسَ ِللهِ حَاجَةٌ أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ.

Ertinya : Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata Zuur (dusta, umpat keji dan segala kata-kata yang mendatangkan kemurkaan Allah dan merenggangkan hubungan dengan manusia) dan melakukannya maka tidak ada bagi Allah apa-apa keperluan dari tidak makan dan tidak minumnya (yakni : puasanya tidak diterima Allah atau tidak diberi pahala).

Ibnu Umar RA berkata :

ليس الصيام من الشراب والطعام وحده , ولكنه من الكذب والباطل واللغو

Bermaksud : Bukanlah berpuasa itu dari minum dan makan semata-mata, tetapi berpuasa juga dari dusta, perbuatan salah dan perkara yang sia-sia.

Berkata Maimun b. Mahran :

إن اهون الصيام ترك الطعام والشراب

Bererti : Bahawa puasa yang paling rendah nilainya ialah puasa meninggalkan makan dan minum (sahaja).

7. Janganlah kerana berpuasa, anda jadi pemarah, pongah, memarahi atau berontak kerana sebab-sebab  yang kecil, kerana sayugia  bagi orang berpuasa, puasanya menyebabkan ia selalu tenang, bukan menyebabkan jadi pongah dan berontak.

Apabila anda diuji oleh si jahil atau si pengecam / pencaci, maka janganlah dibalas seumpamanya, bahkan hendaklah anda menasihatinya, dan menolak dengan sebaik-baik jalan, kerana Nabi SAW ada bersabda :

الصّيَامُ جُنّةٌ فَإذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ فَإنْ شَاتَمَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إنّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

(رواه النسائي)

Bermaksud : Berpuasa itu perisai, maka apabila pada hari kamu berpuasa, janganlah berkata kotor dan jangan hingar bingar , dan sekiranya ada orang memaki atau mahu berkelahi, hendaklah dikatakan : “Saya puasa”.

Perkataan seumpama ini adalah untuk menahan diri dari melawan caci maki dengan pemaki itu, dan juga sebagai pengingat kepadanya bahawa apa yang sepatutnya dilakukan pada bulan puasa ialah berhenti dari memaki dan mengeji.

8. Keluar dari puasa dengan penuh bertakwa kepada Allah, ingat dan bersyukur kepadanya serta tetap atas dasar istiqamah.

Sekiranya kesan baik dapat anda capai, dan sentiasa mengikuti anda sepanjang tahun, maka (ketahuilah) bahawa buah hasil dari ibadat puasa yang awal-awal sekali ialah : “Takwa”. Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Bererti : Wahai orang-orang yang beriman ! Telah difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah difardukan puasa itu ke atas umat sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa. (Al-Baqarah : 183)

9. Hendaklah menjaga nafsu keinginan, supaya tercapai, dan puasa itu biarlah benar-benar menjadi pematah kepada kehendak hawa nafsu. Jabir RA berkata :

إذا صمت فليصم سمعك وبصرك ولسانك عن الكذب والمآثم ، ودع أذى الخادم وليكن عليك وقار وسكينة يوم صيامك ولا تجعل يوم فطرك ويوم صيامك سواء

Ertinya : Apabila engkau berpuasa maka hendaklah turut berpuasa pendengaran engkau, pemandangan engkau dan lidah engkau daripada berdusta dan perkara-perkara dosa, jauhilah dari menyakiti orang-orang gaji, dan hendaklah berkeadaan terhormat, dan tenang pada hari kamu berpuasa. Dan jangan jadikan hari kamu tidak berpuasa sama dengan hari engkau berpuasa itu.

10. Hendaklah makanan anda dari yang halal. Apabila anda telah menjauhi dari yang haram pada hari-hari selain Ramadhan, maka menjauhinya dalam bulan Ramadhan adalah lebih-lebih lagi. Adalah tidak bererti sama sekali berpuasa dari yang halal yang tetapi berbuka dengan yang haram.

11. Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan bersahur, jauhilah dari tabiat rakus di kala berbuka dan tabiat loba di kala bersahur. Jangan jadikan Ramadhan bukan menjamu selera, dan membalas dendam berlapar sepanjang hari dengan menjamu sepuas-puasnya dan sekenyang-kenyangnya pada waktu berbuka. Kalaulah hal ini berlaku maka puasanya tidak lagi menjadi pisau untuk memotong hawa nafsu atau alat untuk mematahkan syahwat yang berlebih-lebihan , bahkan menjadi tambah bergelora nafsu dan keinginan syahwat perut. Memang benar kita disukai meluaskan nafkah di bulan Ramadhan atau di hari-hari berpuasa, tetapi itu dengan cara membanyakkan pemberian kepada kaum kerabat  yang berhajat dan kepada fakir miskin, dengan menjemput mereka ke rumah untuk dijamu atau sebagainya atau dengan jalan mengeluarkan sedekah di jalan Allah – bukan dengan memperbanyak makan sendiri.

12. Membanyakkan derma dan sedekah, dan pemurah dengan segala kebaikan.

كَانَ رَسُولُ اللّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ, وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ.

(رواه مسلم)

Ertinya : Adalah Rasulullah SAW manusia yang paling pemurah dengan kebaikan, dan ia lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadhan.

13. Mengerjakan sembahyang tarawih : Sabda Nabi SAW :

إنَّ اللّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى فَرَضَ صِيَامَ رَمَضَانَ عَلَيْكُمْ وَسَنَنْتُ لَكُمْ قِيَامَهُ فَمَن صَامَهُ وَقَامَهُ إِيمَاناً وَاحْتِسَاباً خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

(رواه أحمد والنسائي)

Ertinya : Bahawa Allah Taala telah memfardukan ke atas kamu puasa Ramadhan, dan aku mensunnahkan Qiam Ramadhan (tarawih), maka sesiapa berpuasa dan beribadat malamnya (sembahyang tarawih) dengan penuh keimanan dan mahukan pahala, nescaya keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya.

14. Beriktikaf – Walaupun sekejap – disalah sebuah masjid. Iktikaf adalah sunat, dan dikerjakan pada sepuluh yang akhir dari Ramadhan adalah lebih afdhal. Bagi mendapatkan lailatul Qadar, Sayyidatina Aisyah RA ada berkata : Adalah Rasulullah SAW apabila masuk ke sepuluh yang akhir dari Ramadhan, ia menghidupkan malam (dengan beribadat) dan mengejutkan keluarganya. Ia bersungguh-sungguh serta mengemaskan sarungnya (yakni tidak menggauli isterinya) – dari riwayat Bukhari dan Muslim.

15. Membaca ketika berbuka puasa :

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

Ertinya : Ya Allah ! kerana Engkau aku berpuasa, dan dengan rezeki Engkau aku berbuka.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.

1. Jimak .

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya : Telah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW , lalu berkata : Binasalah saya wahai Rasulullah ! Nabi bertanya : Apa yang membinasakan kamu ? Katanya saya telah menyetubuhi isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan. Nabi bertanya : Adakah kamu sanggup memerdekakan seorang hamba ? Jawabnya : Tidak. Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup puasa dua bulan berturut-turut ? Jawabnya : Tidak . Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup memberi makan enam puluh orang miskin ?  Jawabnya juga tidak. Kata Abu Hurairah : Kemudian Nabi duduk, lalu dibawa datang sekarung buah tamar, dan Nabi bersabda : Ambillah ini dan sedekahkan. Maka lelaki itu bertanya : Adakah kepada orang yang lebih miskin daripada saya wahai Rasulullah ? Demi Allah ! Tidak ada di Madinah ini orang yang lebih berhajat / lebih miskin daripada saya ! Maka Nabi tergelak sehingga nampak gigi siungnya. Kemudian baginda bersabda : Pergilah, dan berilah makan kepada ahlimu.

(Dari hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Maksud dari riwayat di atas : Bahawa seseorang yang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan mengetahui haramnya wajiblah atasnya kafarah, iaitu memerdekakan seorang hamba, dan kalau tak kuasa / tak ada, wajib atasnya puasa dua bulan berturut-turut. Kalau tidak kuasa, maka wajib atasnya memberi makan enam puluh orang miskin, secupak bagi tiap-tiap seorang. Adapun perempuan yang disetubuhinya itu tidak terkena kafarah atasnya, mengikut faham mazhab Syafie dan Auza’ie , tetapi pada fahaman mazhab-mazhab yang lain : Wajib atas perempuan itu kafarah, kerana ia menyertai sama perbuatan jimak.

Mengikut mazhab Syafie, hanya perbuatan jimak sahaja yang mewajibkan kafarah, tetapi imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Orang yang berbuka puasa dengan sengaja makan / minum, wajib (dikenakan) kafarah seperti batal puasa dengan persetubuhan.

2. Makan Minum

مَنْ أفْطَرَ يَوماً مِنْ رَمَضَانَ فِي غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخَّصَهَا الله لَهُ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صِيَامُ الدَّهْرِ وإن صامه

Ertinya : Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, sabdanya : Sesiapa berbuka sehari dari Ramadhan dengan tiada keuzuran yang dibenarkan Allah baginya, maka tidak ada ganti baginya (untuk mendapatkan pahala yang begitu besar yang telah luput itu) dengan puasa setahun, sekalipun ia sanggup berpuasa sepanjang tahun itu.

Mengikut faham Jumhur (termasuk As-Syafie) orang yang sengaja berbuka ini, wajib atasnya Qada’ dan tidak wajib kafarah. Dalam mazhab Malik dan Hanafi : Wajib kafarah. Dan sepakat imam-imam bahawa berbuka dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.

Perhatian :

i . Makan / Minum kerana terlupa, tidak membatalkan puasa.

Sabda Nabi SAW :

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمّ صَوْمَهُ. فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللّهُ وَسَقَاهُ

Ertinya : Sesiapa yang terlupa, sedang ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia teruskan puasanya. Sebenarnya Allah yang memberinya makan dan minum.

ii. Jika ia makan dan minum kerana disangkakan telah maghrib, tetapi ternyata belum lagi maghrib, nescaya batal puasanya dan wajib Qadha’ .

Dari Asma’ Bt. Abi Bakar RA katanya : Kami telah berbuka di masa Nabi SAW pada hari redup (kerana menyangka telah maghrib), kemudian kelihatan matahari masih ada, lalu ditanya orang yang meriwayatkan hadis ini (Hisyam) : Adakah mereka telah disuruh Qadha’ ? Maka katanya : Ya, Mesti Qadha’.

(Riwayat Al-Bukhari)

iii. Berdasarkan riwayat ini, imam empat sependapat mengatakan : Sesiapa yang menyangka telah maghrib lalu berbuka, kemudian ternyata belum maghrib, wajib ia berhenti dari makannya kerana menghormati waktu puasa dan wajib atasnya Qadha’ kerana puasanya telah batal, dan tidak ada kafarah ke atasnya. Begitu juga orang yang makan kerana menyangka belum subuh lagi, kemudian ternyata siang telah menjelang, maka wajiblah ia menahan diri dari yang membatalkan puasanya sepanjang hari dan wajib atasnya Qadha’ kerana puasanya telah rosak.

Termasuk dalam makan minum yang membatalkan puasa ialah :

Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan (perut) dengan sengaja, melalui pilihan sendiri dan tahu … dan sampainya ke dalam rongga / perut melalui saluran masuk yang biasa di tubuh yang dikira oleh syarak, seperti mulut, hidung dan telinga, termasuklah :

iv. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (nusyuk) melalui hidung.

v. Suntikan melalui dubur, manakala suntikan di kulit atau urat darah, tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak masuk ke dalam rongga perut dan tidak melalui saluran biasa. Tetapi lebih baik, jika ada kemudahan , suntikan dilakukan selepas waktu berbuka.

iv. Suntikan makanan atau menambah vitamin adalah membatalkan puasa.

vii. Menelan sisa makanan yang terlekat di celah-celah gigi. Sedang ia boleh membezanya dan boleh membuangnya, adalah membatalkan. Begitu juga tertelan air kerana berkumur-kumur atau istinsyak (menghisap air ke hidung) yang melebihi kerana termasuk dalam sengaja.

viii. Menelan liur, tertelan lalat dengan tidak sengaja, tertelan debu jalan, asap kayu dan lain-lain jenis asap / gas yang tidak boleh dielak adalah tidak membatalkan.

3. Muntah dengan sengaja

Membatalkan, kerana sabda Nabi SAW :

مَنِ اسْتَقَاءَ, فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Yakni : Sesiapa muntah dengan sengaja hendaklah ia qadha’ puasanya. Adapun muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah rosak puasanya. Mengeluarkan balgham (kahak) dari dalam dan membuangnya keluar juga tidak merosakkan puasa.

4. Keluar mani dengan sengaja

Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya, atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya adalah membatalkan puasa, tetapi jika keluar kerana bermimpi tidak membatalkan.

PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH

1. Memamah makanan atau merasanya di lidah meludahnya, kecuali kerana perlu seperti tukang masak, maka tidak makruh.

2. Melebihi berkumur-kumur atau menyedut air ke hidung semasa wuduk.

3. Mencium isteri atau menyentuhnya atau memandangnya dengan nafsu atau berfikir hal jimak.

4. Memamah ranting-ranting kayu.

5. Berkumur-kumur tidak kerana wuduk dan tidak kerana ada keperluan.

PERKARA-PERKARA YANG DIHARUSKAN DAN YANG DIMAAFKAN.

1. Menggosok gigi / bersugi.

2. Menyejukkan tubuh dengan air ketika panas.

3. Memamah makanan untuk anak-anak kecil yang terpaksa dengan syarak tidak tertelan.

4. Memakai bau-bauan / wangi-wangian.

5. Termakan dengan tak sengaja.

6. Masuk sesuatu ke dalam perut melalui air liur dengan tidak disedari atau lemah untuk membuangnya.

7. Menelan air liur walaupun banyak selama belum sampai ke mulut.

8. Apabila terbit fajar, sedang di dalam mulut masih ada makanan, lalau membuang serta merta , sah tetapi kalau ditelan juga selepas itu batallah puasanya.

9. Bangun pagi dalam berkeadaan berjunub.

10. Bermimpi …

ORANG YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA (TETAPI WAJIB QADHA’)

1. Orang sakit, yang kerana puasanya bertambah sakitnya.

2. Orang yang berjalan jauh yang harus qasar sembahyang.

3. Perempuan haid dan nifas, wajib berbuka, tidak sah puasanya.

4. Orang yang sedang mengandung atau sedang menyusu anaknya, jika puasanya memudaratkan dirinya atau anaknya atau kedua-duanya.

5. Perempuan istihadhoh wajib puasa sebagaimana sembahyang.

6. Orang tua yang tidak kuasa puasa, wajib fidyah.

7. Orang yang tersangat lapar atau dahaga yang melebihi batasan yang boleh ditanggungnya.

والله اعلم . وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »