Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 30 Jun 2011

Pintalah kepada Allah dalam semua perkara

Posted by epondok di Jun 30, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
ALLAH suka  hambanya yang  meminta dan berdoa kepada-Nya.

KITA masih membicarakan maksud sebenar sabda Rasulullah SAW: “Apabila
kamu meminta maka pintalah kepada Allah”. Yang zahirnya seperti
melarang kita meminta pertolongan selain daripada Allah.

Sebenarnya hadis ini tidak mengandungi pegangan atau dalil putus bagi
menegah daripada memohon syafaat atau bertawassul. Sesiapa yang
memahami dari sudut zahir hadis ini bahawa kita ditegah daripada meminta
dan bertawassul kepada selain Allah secara mutlak, maka sesungguhnya
dia telah tersilap jalan.

Ini kerana mereka yang menjadikan para nabi dan orang soleh sebagai
wasilah mereka kepada Allah untuk mendapatkan kebaikan daripada-Nya atau
menolak kemudaratan. Mereka tidaklah meminta melainkan kepada Allah
yang Esa agar memudahkan apa yang diminta atau menjauhkannya daripada
apa yang dikehendakinya dalam keadaan bertawassul kepada-Nya melalui
orang yang diizinkan bertawassul dengan mereka.

Dalam hal ini, dia hanya mengambil sebab musabab yang ditentukan
Allah bagi seseorang hamba mencapai hajatnya daripada Allah. Orang yang
mengambil atau menggunakan sebab yang sememangnya diperintahkan oleh
Allah untuk diikuti bagi mencapai keinginannya, bukanlah meminta kepada
sebab tersebut tetapi meminta kepada Pencipta sebab tersebut (Allah).

Maka seseorang yang berkata: “Wahai Rasulullah! Aku mahu tuan
mengembalikan mataku semula, atau menghapuskan bala bencana daripadaku,
atau menyembuhkan penyakitku,” bermaksud meminta perkara-perkara
tersebut daripada Allah dengan perantaraan syafaat Rasul-Nya.

Orang tersebut seolah-olah berkata: “Doakanlah untukku supaya terhasil hajat ini, syafaatkanlah untukku dalam perkara ini”.

Kedua-dua bentuk ayat di atas tidak ada bezanya, cuma ayat yang kedua
lebih jelas maksudnya daripada ayat yang pertama. Sebagai contoh bagi
kedua jenis permohonan tersebut ataupun yang lebih jelas ialah perkataan
orang yang bertawassul: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu
dengan nabi-Mu supaya memudahkan manfaat ini, atau menolak kejahatan
ini”.

Maka orang yang bertawassul dengan semua jenis tawassul tersebut
tidaklah meminta ditunaikan hajat mereka kecuali kepada Allah SWT.

Dengan ini, kita dapat fahami bahawa menegakkan hujah melarang
bertawassul dengan sabda nabi SAW: “Apabila kamu meminta, pintalah
kepada Allah,” adalah suatu kesilapan yang besar. Ia membatas hadis ini
kepada makna zahir yang rosak atau tidak betul, iaitu tidak sah
seseorang itu meminta kepada selain Allah dalam apa keadaan sekalipun.

Justeru, sesiapa yang memahami hadis ini dengan makna tersebut, maka
dia telah benar-benar tersalah. Sebagai menjelaskan kesalahan tersebut,
cukuplah dengan berdalilkan hadis ini juga yang merupakan jawapan kepada
soalan Ibnu Abbas r.a perawi hadis selepas Rasulullah SAW merangsangnya
supaya bertanya: “Wahai anak muda! Mahukah aku ajarkan kamu beberapa
kalimah yang akan membuatkan Allah memberikan manfaat kepada kamu
dengannya”.

Apakah tarikan untuk bertanya yang lebih indah daripada ini? Ibnu
Abbas r.a menjawab: “Ya”. Maka Rasulullah SAW menjawab dengan hadis ini.

Jika kita mengikut sangkaan yang salah ini, maka tidak boleh orang
yang jahil bertanya kepada orang alim, tidak boleh orang yang ditimpa
kemusnahan meminta tolong kepada orang yang dapat menyelamatkannya
daripada kesusahannya.

Orang yang berhutang tidak boleh meminta orang yang dapat melunaskan
hutangnya melangsaikan hutangnya dan orang yang memerlukan pinjaman
meminta pinjaman. Bahkan juga, tidak boleh manusia meminta syafaat
kepada para nabi pada hari kiamat.

Begitu juga, tidak boleh Nabi Isa a.s menyuruh mereka meminta syafaat
kepada Penghulu para Rasul, Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya dalil yang
mereka sangkakan bersifat umum akan membawa kepada penafian apa yang
kami sebutkan di atas dan hal-hal seumpamanya.

Maka sekiranya mereka berkata: Sesungguhnya yang dilarang adalah
memohon kepada para Nabi a.s dan orang soleh daripada ahli kubur yang
berada di alam barzakh kerana mereka tidak mempunyai kuasa.

Sangkaan atau pemahaman keliru seperti ini juga telah dijawab secara
panjang lebar dalam perbahasan yang lepas. Secara ringkasnya kami
katakan: “Sesungguhnya mereka itu hidup, dapat mendengar dan berkuasa
untuk memberi syafaat dan mendoakan.

Kehidupan mereka yang berupa kehidupan barzakhiyyah itu sesuai dengan kedudukan mereka; yang dengannya mereka boleh dimanfaatkan untuk berdoa dan memohon keampunan”.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

5 adab, kaedah sambut kelahiran bayi dalam Islam

Posted by epondok di Jun 30, 2011

Azan, akikah antara amalan tanda syukuri kehadiran orang baru

Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;

Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah.

Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ulama’ iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”

Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya

seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.

Hendaklah ditahnikkan bayi itu.

Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).

Mencukur rambut bayi.

Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”

Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing

seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.” Demikianlah, wallahua’lam.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »