Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Jun 2011

Ketaatan isteri ikut syariat jamin kebahagiaan rumahtangga

Posted by epondok di Jun 29, 2011

Wanita perlu tahu hak jika suami gagal tunai amanah

APABILA ketaatan isteri menjadi debat yang panjang, penulis tertarik dengan pelbagai pandangan awam diutarakan, antaranya isteri harus membuktikan medan ranjang mereka tidak mampu ditawan sesiapa, melainkan mereka suami isteri.

Ada yang yakin mengikut kata suami lambang ketaatan, sekali gus menafikan kepentingan syura dalam rumah tangga. Isteri kurang arif perintah agama menganggap setiap suruhan dan tindak tanduk suami adalah perintah Allah dan Rasul, hatta maksiat pun ditaati.

Setiap isteri akan cuba sedaya upaya menjadi isteri yang taat kerana mereka tidak mahu meredah jalan sukar menuju ke syurga. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, mentaati suami dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan padanya: Masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki.” (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Antara ketaatan isteri terhadap suami yang dimaksudkan hadis Rasulullah SAW ialah tidak berpuasa sunnah tanpa izin suami, tidak membenarkan tetamu memasuki rumah tanpa izin suami dan tidak berinfak harta tanpa izin suami.

Ketaatan kepada suami tidak semudah yang dinyatakan semua orang. Ia bermula seawal kesediaan menjadi isteri. Ramai tidak mampu menunjukkan rasa hormat lantaran mereka tidak menganggap suami sebagai pemimpin rumah tangga yang fungsinya menyediakan ilmu, keperluan rohani dan jasmani kepada setiap ahli keluarga.

Puncanya kerana suami tidak menjalankan tanggungjawab diamanahkan Allah sehingga menyebabkan isteri dan anak mengabaikan amanah masing-masing.

Dalam Islam, isteri wajib taat selagi suami tidak melanggar perintah Allah dan Rasul. Memang setiap isteri salihah berusaha memberi layanan terbaik buat suaminya.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Tidak dibolehkan seseorang sujud kepada sesama manusia. Jika dibolehkan sujud kepada sesama manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami atas isterinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Bazzar)

Hadis itu menekankan hak suami yang banyak membuatkan isteri wajib mentaati suami. Namun, hak itu hanya layak dituntut suami jika menunaikan tanggungjawab sebagai pelindung dalam rumah tangga.

Hak dalam Islam hanya menjadi milik sah seseorang jika ia tidak mengabaikan tanggungjawab yang harus ditunaikan kepada orang lain. Prinsip sama terpakai dalam hubungan suami isteri dan perlu difahami dengan jujur, bukan hanya menjadikan perumpamaan perintah bersujud kepada suami sebagai alat memperdaya isteri.

Jika suami tidak menunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak, isteri dibenarkan menggunakan harta suami tanpa pengetahuan dengan jumlah secukupnya dan dengan cara baik.

Hal ini bukan bermakna isteri tidak taat, kerana apa dilakukan isteri sekadar mengambil haknya yang tidak ditunaikan suami dan dibenarkan Rasulullah SAW.

Setiap isteri harus menjadi matang dalam menerajui rumah tangga. Tidak dapat dinafikan isteri yang bijaksana akan menyumbang kepada keharmonian rumah tangga bersama suami salih.

Tetapi jika wanita bersuamikan orang yang tidak mematuhi syariat, ia tidak bermakna jalan keluar hanya perceraian. Isteri salihah akan membantu suami mencari cinta Ilahi, bersabar menyiram kasih mengikut panduan agama sehingga ia subur di halaman rumah tangga.

Ibnul Jauzi, seorang faqih menukilkan kisah dalam kitabnya Ahkamun Nisa, mengenai lelaki salih, rajin berpuasa dan bersolat malam bernama Syu’aib bin Harb.

Ketika menikahi seorang wanita, Syu’aib berkata kepada wanita itu beliau lelaki yang buruk akhlaknya. Dengan penuh santun, wanita itu menjawab, orang yang lebih buruk akhlaknya darimu ialah orang menjadikan akhlakmu seperti itu.

Hanya dengan jawapan itu, Syu’aib menyedari wanita bakal dinikahinya ialah wanita matang dan bijaksana. Justeru, beliau yakin wanita itu layak mendampinginya.

Kisah itu menunjukkan wanita cenderung mentaati suami mempunyai minda cemerlang dan tidak menjadikan masalah dalam rumah tangga sebagai sebab berselisih faham, sebaliknya menekuni kekeruhan dengan bijaksana.

 

 

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pentingnya beriman kepada perkara ghaib

Posted by epondok di Jun 29, 2011

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ALLAH berfirman yang bermaksud: “(Orang yang bertakwa itu adalah) orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat dan membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka,”(Surah al-Baqarah, ayat 3).

Salah satu ciri orang bertakwa kepada Allah ialah beriman kepada perkara ghaib. Istilah ghaib bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasai pancaindera manusia yang lima kerana ia terlalu jauh atau pancaindera manusia tidak berupaya menjangkauinya.
Walaupun tidak dapat dilihat atau dirasai oleh pancaindera yang lima, manusia mengakui serta meyakini perkara ghaib dengan jalan pemerhatian dan fikiran berdasarkan dalil yang boleh diterima akal sempurna seperti wujud Allah dan sifat-Nya, malaikat, hari akhirat, syurga dan neraka.
Umumnya, manusia mendiami alam semesta terbahagi kepada dua kategori iaitu pertama, manusia yang hanya percaya kepada benda nyata dan dapat dilihat saja, bahkan mereka tidak mengakui ada sesuatu yang lain di sebalik bumi yang nyata ini.

Dalam hal ini, mereka tidak percayakan ada Tuhan atau malaikat dan dengan sendirinya mereka tidak percaya adanya kehidupan lain selain kehidupan dunia yang dirasai kini. Mereka inilah terdiri daripada golongan komunis, ateis dan sosialis.

Kedua, golongan yang percaya bahawa di sebalik kehidupan dunia bersifat sementara ini, ada satu alam ghaib yang tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Perkara ghaib itu sebenarnya berada di bawah Ilmu Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Semakin bertambah pengalaman hidup diperoleh seseorang manusia maka akan semakin bertambah mendalam kepercayaan dan keimanan seseorang Muslim kepada perkara ghaib.
Kepercayaan kepada perkara ghaib bukan hanya pada agama Islam bahkan penganut agama samawi seperti Kristian, Yahudi dan Buddha turut mempercayai perkara ghaib yang terdapat dalam ajaran masing-masing.

Setiap orang Islam yang mukalaf dan berakal waras wajib percaya atau beriman kepada perkara ghaib kerana Allah yang disembah adalah Zat yang Maha Ghaib. Zat Allah tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia sebaliknya hanya dapat dicapai dan dirasakan oleh jiwa yang beriman serta bertakwa.

Kewujudan Allah dan kehadiran-Nya akan menjadi jiwa sanubari orang beriman menjadikannya tenang dan tenteram.

Selain itu, Allah juga menciptakan banyak makhluk yang tidak dapat dilihat serta disaksikan pancaindera manusia seperti malaikat, jin dan syaitan. Ketiga-tiga makhluk itu mempunyai karektor berbeza antara satu sama lain.

Malaikat adalah makhluk Allah yang diciptakan daripada cahaya, memiliki sifat atau watak tetap iaitu sentiasa taat dan patuh melaksanakan segala diperintahkan Allah. Syaitan pula makhluk yang Allah ciptakan daripada api, hakikatnya adalah musuh Allah yang selalu menggoda dan mendorong manusia supaya ingkar kepada Allah.

Oleh itu, syaitan dan sekutunya memiliki watak antagonis iaitu membisik dalam jiwa manusia supaya tidak percayakan Allah di samping mendorong mereka melakukan pelbagai kejahatan di atas muka bumi ini.

Sebaliknya, jin adalah makhluk yang Allah ciptakan daripada api juga, tetapi memiliki karektor sama dengan manusia. Dalam kalangan jin, ada yang ingkar dan kufur kepada Allah, ada pula taat dan beriman kepada Allah.

Jin pada hakikatnya tidak dapat mempengaruhi manusia kerana mereka sendiri mendapat godaan dan bisikan syaitan sama seperti manusia. Oleh sebab itulah kalangan jin ada yang beriman dan kafir.

Ketiga-tiga jenis makhluk itu adalah makhluk Allah yang hidup di alam ghaib yang memang tidak dapat dijangkau pancaindera manusia.

Termasuk dalam pengertian ghaib ialah umat Islam zaman ini beriman kepada Rasulullah kerana walaupun tidak pernah melihat atau mengenal wajah sebenar Rasulullah, mereka tetap beriman kepadanya.

Bagi orang yang beriman, dia dapat merasakan seolah-olah Rasulullah tetap hidup biar pun Baginda sudah wafat sejak 1400 tahun lalu.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat aku dan beriman kepada aku; dan berbahagialah juga bagi sesiapa yang beriman pada aku sedangkan dia tidak pernah melihat aku.” (Hadis riwayat Ahmad, Tabrani, Hakim dan Bukhari)

Perlu diinsafi, matlamat utama kepercayaan terhadap perkara ghaib ialah untuk menguji keimanan setiap Muslim ke hadrat Ilahi. Rukun iman yang menjadi pegangan setiap Muslim berasaskan kepada perkara ghaib bermula dari beriman kepada Allah hinggalah beriman terhadap qada dan qadar Allah

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »