Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Jun 2011

Perihal batu besar tergantung di Masjidil Aqsa

Posted by epondok di Jun 28, 2011

Dato’ Dr Haron Din
Fri | Jul 03, 09 | 11:29:06 am MYT
SOALAN: Dato’, saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato’ perjelaskan apakah yang sebenarnya. – ZAINAL AHMAD JAWAPAN: Ulama umumnya berpendapat Rasulullah s.a.w. bermikraj dari satu tempat di Biatulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis.Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud ‘Tempat Nabi bermikraj’, disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): “Berkatalah al-Imam Aku Bakar Ibnul ‘Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT.”Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.

“Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi s.a.w. berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda s.a.w maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.

“Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain.”

Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul ‘Arabi.

Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad s.a.w tergantung-gantung.

Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi.

Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.

Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.

Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan.

Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya.

Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.

Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang dijelaskan di atas.

Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.

Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap.

Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi.

Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar Ibnul ‘Arabi seperti dalam bukunya.

Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat. Wallahua’lam

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

3 syarat bina keluarga bahagia

Posted by epondok di Jun 28, 2011

Oleh Nik Salida Shuhaila

Mawaddah, musyawarah, amanah sempurna rumah tangga

INSTITUSI kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga.
Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan ahli keluarga yang lain.
Rumah ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga bertanggungjawab serta sarat kasih sayang.

Rumah tangga yang pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin, maka tidak akan mencapai objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti mana dituntut agama.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju ke akhirat.

Tujuan perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)
Melalui perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah berpasangan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah dan bertolak ansur sesama insan.

Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, juga keperluan jiwa dan nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi pasangan bagi berkongsi susah dan senang.

Mawaddah berasaskan nafsu serakah semata-mata akan menghilangkan rahmah dalam kehidupan berumah tangga sehingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.

Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, justeru cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi, menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak lagi diterapkan dalam rumah tangga.

Amanah menjadikan pasangan suami isteri lebih bertakwa kepada Allah kerana ia memberi ‘sesuatu’ kepada suami dan isteri supaya bertanggungjawab terhadap pemberian itu. Ia sekali gus menjadikan mereka amanah dan amanah menjadikan mereka bertakwa.

Bagaimanapun, perkahwinan menjadi kehidupan sukar buat setiap pasangan yang tidak mampu mencapai objektif perkahwinan dalam Islam. Rumah tangga yang tidak mampu ditegakkan dengan mawaddah, musyawarah dan amanah akan mudah ranap dan runtuh.

Memang benar perceraian paling dibenci Allah, tetapi tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.

Jika perkahwinan menjadi penyebab manusia semakin galak melakukan maksiat dan mengingkari perintah Allah, sudah tentu perkahwinan itu perlu dijauhi.

Sebab itulah walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana diamalkan oleh Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu.

Malah, perkahwinan diharamkan jika suami tidak mampu membina mawaddah, musyawarah dan amanah, seperti menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin.

Justeru, tiada rasionalnya untuk meneruskan sebuah perkahwinan jika ia menjadikan manusia semakin jauh daripada kasih sayang Allah. Suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah menjadikan pasangannya tidak taat, setia, sekali gus merosakkan rumah tangga dibina.

Malah ia berkemungkinan mengakibatkan berlakunya perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah. Perceraian bukanlah keseronokan, ia bukan juga penentu sebuah kehidupan baru yang akan dibina akan lebih baik dari sebelumnya, tetapi ia adalah jalan keluar dari kesukaran

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Solat hadiah berharga dekati Allah

Posted by epondok di Jun 28, 2011

Oleh Ustaz Zawawi Yusoh

PERINTAH menunaikan solat adalah ketetapan daripada Allah. Ia bukannya datang daripada ciptaan atau direka-reka oleh manusia. Sebenarnya jika kita benar-benar fahami dan amati solat itu cukup hebat.

Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya, tetapi terasa kebesaran-Nya.

Maka di situ cukup terasa kesempurnaan Allah.

Kita boleh minta apa sahaja daripada Allah dan Dia pasti memenuhi permintaan hamba-Nya. Solat itu satu modul Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia.

 

Dalam solat ada ubat, pil, tonik dan vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung.

 

Boleh timbul pelbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya dan faham, bahkan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.

Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat positif:

 

1. Rajin – Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas

Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat. Ia mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.

Di dalam solat kita memuja dan memuji Tuhan. Kita akui Allah Maha Suci, Tuhan pentadbir dunia dan akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar.

Kita rasa, Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.

Solat dan ibadat dipisahkan walhal solat pun ibadat juga. Itu tandanya solat itu ibadat penting, utama dan pertama dari ibadat lain, sama ada yang wajib atau sunat.

Kita bertungkus-lumus melakukan semua ibadat. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ia perkara ibadat, boleh jadi tidak.

Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadat ataupun tidak. Tetapi kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita menjadikannya ibadat. Jadi mana boleh rehat-rehat.

Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Ini dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak.

Segala macam perkara yang menjadi ibadat kita lakukan. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadat. Maknanya solat itu membunuh sifat kemalasan.

Orang yang kuat hubungannya dengan Allah, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Jika betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itu sepatutnya natijah atau hasil dari solat.

 

2. Berjiwa besar

Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itu yang kita rasa, akan timbul rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertakwa itu, Allah kata (maksudnya): “Dia orang Aku.” Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya pelbagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.

Apa janji Allah kepada orang mukmin, orang bertakwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya keselamatan, kewangan, kehidupan, kepandaian dan kemenangan.

Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Allah boleh arah mereka bertindak.

Kalau begitu keyakinan kita hasil dari solat, dari solat itu kita akan beroleh jiwa yang besar. Orang yang sudah menjadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain.

Orang melihat gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana berasa insaf dengan kebesaran Tuhan.

Tetapi dengan melihat orang yang bertakwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertakwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan.

Dia tidak boleh tengok orang susah. Apabila tengok orang pasti dibantunya kerana dia simpati dengan kesusahan itu. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya.

Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya.

Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak, tetapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka.

Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »