Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 27 Jun 2011

Kejayaan kekang nafsu bentuk insan terbilang

Posted by epondok di Jun 27, 2011

SEORANG yang memiliki sifat unggul sangat beruntung kerana ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Keadaan itu membuatkan ia dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling.

Manusia unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebaik-baiknya serta sentiasa dapat memenuhi tuntutan rohani dan jasmani dengan terkawal. Aspek rohani dan jasmani manusia terdiri daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat.

Aspek rohani dan jasmani itu akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi.

Akal fikiran diciptakan Allah adalah mahkota berharga yang menampilkan imej manusia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta menyampaikannya kepada orang lain.

Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah serta petunjuk Allah menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian alam dan ajaran yang disampaikan orang lain.

Al-Quran menggesa manusia menggunakan akal fikiran, memerhati dan mengkaji kejadian alam. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai faedah besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup yang kemudian menemui hakikat kebesaran Allah sebagai Pencipta Maha Agung.

Selaku makhluk yang mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah dengan penuh kesedaran dan melaksanakan kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju keredaan Allah.

Roh dan nyawa komponen utama manusia. Terlalu sulit untuk diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah. Walau demikian, ia amat mustahak kerana dengannya manusia boleh hidup, bernafas, mendenyutkan nadi, memberikan dorongan dan kekuatan perasaan.

Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot, urat, darah, tulang dan anggota pancaindera lain. Masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan menyempurnakan antara satu sama lain sesuai dengan kejadian manusia dijadikan Allah sebagai sebaik-baik kejadian.

Seseorang terdidik dengan nilai unggul, jasadnya akan bergerak di atas panduan yang betul. Dia akan menggunakan kudratnya melakukan kerja yang baik, rehat dan tidur dengan seimbang, memakan makanan bersih dan halal, menjaga kesihatan diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudaratan.

Firman Allah yang bermaksud: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Jelasnya jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu keunggulan hidup seseorang.

Unsur seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia sesuatu yang sukar dikawal. Jika nafsu dapat dididik dan dikawal, ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan manusia.

Tetapi jika ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa saja kemahuan yang lebih cenderung kepada keburukan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang yang sudah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).” (Surah Yusuf, ayat 53)

Bagi memenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Justeru, umat manusia akan berkembang dengan cara yang betul di samping sebagai salah satu nikmat kurniaan Allah dalam hidup berkeluarga.

Jelasnya, kejayaan atau kegagalan seseorang melaksanakan tanggungjawab khususnya kepada diri sendiri bergantung kepada berjaya atau gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara itu. Aspek ini asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kreativiti cemar tauhid, batasan akhlak ditolak

Posted by epondok di Jun 27, 2011

Oleh Muhamad Razak Idris

Klip video karya Gambit bukan hasil kreatif tahap ibadah

BERBUDAYA kreatif ialah sebahagian daripada ajaran Islam. Justeru, banyak ayat al-Quran menyeru dan mengajak umat manusia supaya memanfaatkan daya fikir dan kuasa akal yang dikurnia Allah bagi meneliti dan mempelajari hikmah tersirat dari seluruh kejadian alam dan kehidupan ini. Tentu menerusi penelitian ini akan menimbulkan fikiran baru yang bersifat kreatif untuk memenuhi keperluan hidup manusia dalam segala bidang kehidupan mereka di muka bumi.
Bagi memastikan budaya hidup kreatif menjadi satu bentuk ibadah, ia harus direalisasikan secara bersungguh-sungguh dan mesti berada dalam kerangka ajaran tauhid dan batasan tatasusila luhur berpandukan prinsip akhlak Islamiah. Ia bermaksud, daya usaha kreatif harus mendorong kepada penemuan keagungan Ilahi dan menggalakkan setiap individu ke arah pembangunan martabat diri berteraskan nilai akal budi yang tinggi. Kreativiti yang terhasil dalam apa juga ruang kehidupan yang memenuhi maksud dan cita-cita ini adalah satu bentuk amal ibadah dan sebahagian daripada amal salih yang akan dihitung sebagai satu sumbangan jariah kita sebagai seorang Muslim di hari akhirat kelak. Sebarang bentuk kreativiti yang melanggari prinsip tauhid dan batasan akhlak hendaklah ditolak kerana ia bukan ibadah. Kreativiti bersifat sebegini adalah amal buruk yang menyalahi ajaran mulia agama Islam.
Berasaskan kerangka pemikiran ini, kita amat bersetuju dengan banyak komentar yang mengkritik secara terbuka karya muzik yang dihasilkan Gambit Saifullah dalam bentuk klip video yang membabitkan dua artis baru, Prema Yin dan Shahz Jazle baru-baru ini. Ternyata selepas meneliti klip ini, ia bukan sebuah hasil kreatif yang boleh dikategori sebagai suatu ibadah. Ia begitu terpengaruh dengan corak seni bebas masyarakat asing dan dalam masa sama begitu berani melakukan gaya dan aksi mengghairahkan. Karya sebegini secara jelas sudah melanggari kerangka susila dan prinsip akhlak dianjurkan ajaran agama Islam dan tidak wajar ditonton dan berada di pasaran.

Timbul beberapa persoalan dalam fikiran saya apabila meneliti perkembangan seni sebegini di Malaysia. Dalam kes video ini, apakah mereka yang terbabit dalam pembikinan hasil seni sebegini sudah hilang sensitiviti terhadap persekitaran masyarakat di negara ini yang amat kuat pegangan agama dan nilai ketimuran? Adakah perkara ini suatu yang memang disengajakan dengan agenda tersendiri bagi menimbulkan provokasi kepada masyarakat Islam? Apakah kita boleh menjadikan kes ini sebagai petanda iaitu dunia seni di negara ini dalam keadaan hilang arah panduan sehingga sanggup menggadaikan prinsip akhlak hanya semata-mata memperoleh populariti dan keuntungan? Ini antara beberapa persoalan yang bermain di benak fikiran selepas mengikuti kontroversi kes ini.

Adalah jelas iaitu suatu penelitian terhadap keadaan semasa dan masa depan dunia seni dan hiburan di negara kita memerlukan langkah dan tindakan segera daripada pihak bertanggungjawab. Karya seni dalam apa juga bentuk seharusnya membawa imej dan jati diri kenegaraan. Ia tidak sepatutnya sebuah karya yang bercorak mengulangi citra nilai yang bebas oleh masyarakat asing. Karya seni ialah wajah masyarakat Malaysia dan seharusnya tergambar dalam segala perlakuan dan perwatakan seniman yang sebenarnya ialah duta kebudayaan negara. Orang luar boleh mengasihi dan menghormati kita sebagai sebuah bangsa menerusi hasil karya budaya dan seni yang halus, indah dan berjiwa luhur.

Namun, keadaan dunia seni tanah air kita masih belum mencapai tahap diimpikan. Dalam keadaan tertentu ia menyedihkan. Tanpa menafikan beberapa karya seni yang baik dan terpuji, namun jumlahnya masih belum mampu menenggelamkan citra seni yang masih menekankan unsur bebas, seram, lawak dan ganas secara keterlaluan.
Mungkin satu kajian terperinci harus dilakukan secara bersama oleh badan sivil negara kita bagi mencari jalan keluar terhadap isu yang sudah lama dibahaskan dalam media. Kita tidak boleh lagi menyerahkan tugas membina dan membentuk model seni dan budaya yang berjati diri kepada perkumpulan seniman saja. Ahli akademik, aktivis sosial, tokoh agama dan pembuat dasar negara harus bersama-sama bagi membentuk satu ekosistem yang sihat untuk kecemerlangan dunia seni tanah air.

Pengajaran yang jelas daripada kes klip video ini ialah, kita yang selama ini hanya menjadi penonton kepada hasil kreatif golongan seniman tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan menerimanya tanpa sebarang kritikan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »