Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Jun 2011

Permulaan solat 5 waktu selepas Isra’ Mikraj

Posted by epondok di Jun 26, 2011

Oleh Mohd Fadly Samsudin

BULAN Rejab mencatat dua peristiwa sedih dalam sejarah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w (juga dikenali sebagai ‘Aam al Huzni).

Dua peristiwa sedih itu ialah kematian isteri kesayangan, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Khadijah banyak berkorban harta benda dan wang ringgit bagi membantu berdakwah mengembangkan syiar Islam. Selepas Siti Khadijah meninggal dunia disusuli pula kematian Abu Talib yang begitu rapat dengan Baginda.

Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah.

 

Pemergian dua insan yang disayangi itu amat dirasakan Baginda. Selepas itu, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy.

 

Baginda mendapat tentangan, ejekan serta mendapat ancaman. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif, tetapi malangnya di Taif juga Rasulullah turut menerima ejekan dan cacian daripada penduduk di sana.

Maka Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah ketika itu cukup berat dan melihatkan keadaan Baginda itu, Allah s.w.t memerintahkan Jibril membawanya menjalani peristiwa Israk Mikraj.

Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda. Ia memberi hikmah dan pelajaran kepada Baginda, sekali gus menjadi cerminan buat umatnya pada masa akan datang.

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj amat sukar dimengertikan. Namun ia membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai seluruh alam ini termasuk langit dan bumi.

Hikmah yang terkandung di dalamnya perlu direnungi dengan teliti agar dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan peningkatan ibadah kepada Allah.

Peristiwa itu dicatatkan di dalam al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Menurut ulama, Israk dan Mikraj Nabi Muhammad itu adalah pergerakan roh dan jasadnya sekali. Ia bukan nya satu mimpi, tetapi realiti di mana perkara berkenaan termasuk salah satu daripada mukjizat yang Allah kurniakan kepada Baginda.

Justeru, tidak mustahil bagi Allah untuk ‘membenarkan’ tubuh badan Rasulullah ‘menembusi’ tempat yang terlalu jauh di langit dengan melainkan dengan kehendak-Nya.

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dalam tempoh semalaman saja.

Jelas dengan kekuasaan Allah, Dia berkuasa ‘membenarkan’ Baginda diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang teramat singkat.

Sebelum itu, dada Rasulullah dibedah oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda dicuci dengan air zamzam kemudian dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.

Selepas pembedahan itu, bermulalah Israk Baginda de ngan menaiki sejenis binatang iaitu yang dinamakan Buraq.

Menurut sarjana, kecepatan Buraq itu membolehkan Nabi Muhammad pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Dalam sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi Buraq iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai, tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut Buraq mencecah bumi.”

Baginda bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menunggangnya, ia melangkah kakinya dengan cepat sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis.”

Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi Malaikat Jibrail dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat antaranya di Thaibah (Madinah) iaitu tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina serta Baitul-Laham yakni tempat Nabi Isa dilahirkan.

Selepas itu, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitulmaqdis dengan menunggang Buraq pulang ke Makkah pada malam yang sama.

Baginda kemudian naik pula ke langit sampai ke Sidratul Muntaha sehingga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Selepas itu Baginda kembali semula ke Makkah. Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.

Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah yang menjadi salah satu Rukun Islam.

Daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “…(Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang… lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurang kan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga ting gal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: ‘Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.’” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam ‘pengembaraan’ luar biasa itu juga Rasulullah menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan yang diterima manusia akibat melakukan kemungkaran di dunia.

Antaranya Nabi Muhammad melihat wanita digantung de ngan rambutnya dan otak di kepalanya mendidih kerana tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

Wanita yang digantung de ngan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung, minyak panas dituang kan ke dalam kerongkong kerana mereka suka menyakiti hati suami.

Ada wanita digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya kerana perempuan itu menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Kemudian, wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka akibat mereka suka mema sy hurkan diri supaya orang melihat perhiasannya.

Begitulah antara seksaan yang menimpa wanita ketika peristiwa Nabi Muhammad melakukan Israk dan Mikraj. Ia membuatkan Rasulullah berasa sangat sedih setiap kali mengenangkan peristiwa berkenaan.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata sebelum Nabi Muhmmad melakukan Israk dan Mikraj hati Baginda dibersihkan menunjukkan bahawa hati adalah elemen penting dalam kehidupan manusia.

“Untuk menerima satu tanggungjawab besar seseorang itu perlu memiliki hati yang bersih dan bersemangat kental.

“Pembentukan individu hebat tidak cukup sekadar membabitkan pengetahuan, kemahiran, fizikal semata-mata, tetapi memerlukan kepada pembentukan hati yakni jiwa dan rohani,” katanya.

Beliau berkata kehilangan dua insan yang menjadi tulang belakang kepada Baginda sudah tentu memberi kesan psikologi yang mendalam.

“Pada tahun ke-11 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda menghadapi dua musibah akibat kehilangan dua insan paling berjasa dan disayanginya.

“Dalam melalui kehidupan apatah lagi melaksanakan pelbagai amanah dan tanggungjawab bermacam dugaan terpaksa dihadapi.

“Melalui peristiwa Israk dan Mikraj, ia bukan sekadar perjalanan untuk berlibur, tetapi Rasulullah menerima satu tanggungjawab besar untuk dilaksanakan Baginda dan umatnya iaitu fardu solat,” katanya.

Rahimi berkata secara analoginya perjalanan itu boleh dikatakan sebagai satu bentuk lawatan sambil belajar yang dilalui Baginda.

“Sesuatu perjalanan tidak dinafikan boleh membangkit kan kegembiraan dalam jiwa seseorang.

“Tetapi apa yang dilalui baginda ialah setiap langkah dalam perjalanan itu mengandungi unsur pengajaran, pemberitahuan bahkan petunjuk kepada baginda melaksanakan amanah dakwah,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan riwayat permohonan untuk mengurangkan kuantiti solat yang diwajibkan ke atas umat ini bukanlah dilakukan berdasarkan kehendak Baginda sendiri, tetapi berdasarkan nasihat beberapa orang rasul terdahulu.

“Nasihat itu mungkin timbul daripada kesedaran mereka mengenai karakter umat akhir zaman ini dan Baginda sendiri dapat menjangkakan keadaan umatnya sendiri.

“Jadi, permohonan itu adalah tanda kasih sayang Baginda kepada kita sebagai umatnya. Jika Baginda tidak memohon kelonggaran itu sudah tentu ramai kalangan umat Baginda berhadapan dengan kemurkaan Allah disebabkan gagal memenuhi kewajipan yang menjadi tiang agama itu,” katanya.

Rahimi berkata peristiwa Israk dan Mikraj menguji umat Islam sama ada percaya atau tidak kepada Baginda.

“Ujian seumpama ini melahirkan dua kelompok manusia iaitu kelompok pertama yang beriman dengan Rasulullah setelah mereka yakin terhadap kebenaran peristiwa yang berlaku selepas mereka mengemukakan persoalan bertujuan mengukuhkan fakta yang disampaikan kepada mereka.

“Kelompok kedua pula ialah mereka yang semakin jauh dalam kesesatan apabila mendustakan perkhabaran yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi Muhammad s.a.w,” katanya.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Maksiat undang bala daripada Allah

Posted by epondok di Jun 26, 2011

Oleh Dr. Burhanuddin Abdul Jalal
Kejadian bencana alam seperti banjir besar adakalanya adalah natijah daripada perbuatan manusia sendiri. – Gambar hiasan

SEJARAH membuktikan umat terdahulu dibinasakan Allah SWT akibat
maksiat yang dilakukan. Iblis diusir oleh Allah daripada syurga kerana
maksiat yang dilakukan. Begitu juga kisah umat Nabi Nuh yang tenggelam
dilanda banjir juga kerana maksiat.

Firman Allah yang bermaksud: Maka Kami bukakan pintu-pintu langit,
dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi
memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air
(langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah
ditetapkan.
(al-Qamar: 11 dan 12)

Allah menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya juga kerana
maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan (rujuk ayat 40 surah al-Qasas).

Begitu juga yang berlaku terhadap kaum Lut yang mengingkari hukum dan
ketetapan Allah. Orang lelaki dari kaum Lut mengamalkan seks songsang
sesama lelaki iaitu liwat atau homoseksual. Perbuatan ini amat dilaknat
oleh Allah.

Allah menghantar malaikat Jibrail kepada kaum Lut dan malaikat
Jibrail menggunakan hujung sayapnya mengangkat perkampungan mereka dan
menghempaskan kembali ke bumi (rujuk ayat 74 surah al-Hijr).

Selain itu, Allah juga telah melenyapkan Kaum Ad dan kota mereka yang hebat itu (rujuk ayat sembilan surah al-Ahzaab).

Selanjutnya adakah kita tidak mengambil iktibar terhadap musibah
akibat maksiat yang dilakukan oleh kaum Bani Israel. Allah memberikan
gambaran tentang hukuman yang dikenakan terhadap Bani Israel.

Allah berfirman yang bermaksud: Maka apabila sampai masa janji
(membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan)
itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan
amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di Segala ceruk rantau
(membunuh dan membinasakan kamu); dan (Sebenarnya peristiwa itu) adalah
satu janji yang tetap berlaku
. (al-Israk: 5).

Berdasarkan kisah-kisah umat yang telah dihukum oleh Allah, tentu
sekali kita dapat menganalisis atau muhasabah diri tentang dosa-dosa
atau maksiat yang telah dilakukan sama semalam, kelmarin atau dosa-dosa
100 tahun yang lalu.

Semuanya menjadi sebab musabab malapetaka yang perlu kita hadapi selagi kita keseluruhannya tidak memohon taubat kepada Allah.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bila terjadi
maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberikan azabnya untuk
semua (riwayat Ahmad).”

Oleh yang demikian, sewajarnya kita merenung pengertian yang tersurat
dan yang tersirat daripada hadis tersebut. Ini kerana secara realitinya
memang berlaku terhadap umat yang terdahulu, kerana akibat dosa yang
telah mereka lakukan mengakibatkan umat telah binasa dan dihukum oleh
Allah.

Dalam satu kisah peperangan, setelah tentera Muslim menewaskan
pasukan musuh dan menawan Qubrus dengan mengalahkan tentera Rumawi,
keseluruhan tentera Islam bergembira merayakan kemenangan. Tetapi Abu
Dardak seorang sahabat besar menangis.

Apabila ditanya mengapa beliau dalam kesedihan, Abu Dardak menjawab:
“Aku menangisi umat yang telah melakukan kemaksiatan dan Allah telah
meminggirkan mereka.”

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Solat tanda bersyukur

Posted by epondok di Jun 26, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan jumhur ulama. Sedangkan pendapat al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah pula bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Ia mengandungi tiga ayat dan diturunkan selepas surah al-‘Adiyat.

Hubungan dengan surah al-Ma’un

Dalam surah al-Ma’un disebutkan golongan yang mendustakan agama dengan empat sifat iaitu kikir, tidak mengerjakan sembahyang, riak dan menolak memberi pertolongan.

Dalam surah ini Allah SWT menyebut anugerah kepada Rasulullah SAW dalam bentuk kebajikan dan keberkatan. Kemudian dinyatakan bahawa Dia menganugerahkan al-Kauthar kepada Nabi yang bererti kebajikan yang banyak, memelihara sembahyang, sentiasa mengerjakannya secara ikhlas dan bersedekah kepada orang fakir.

Sebab turunnya surah ini

Orang musyrik Mekah dan orang munafik Madinah mencela dan mengejek Nabi perkara berikut:

l Hanya golongan yang lemah sahaja menjadi pengikut baginda dan tidak terdapat pun para pemimpin serta pembesar yang mengikut baginda.

Jika agama yang dibawa itu benar pasti para pembelanya terdiri daripada golongan fakir yang mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakatnya. Ucapan mereka itu bukanlah perkara baru kerana hal ini juga berlaku ke atas kaum Nabi Nuh a.s yang berkata kepadanya (lihat surah Hud ayat 27).

Sudah menjadi sunnah Allah kepada makhluk-Nya, pada kebiasaannya mereka mudah menerima ajakan rasul kerana mereka tidak memiliki harta yang dibimbangkan musnah untuk kepentingan ajakan yang baru, tidak memiliki kedudukan dan kekuasaan yang dikhuatiri dimiliki oleh pembawa ajakan baru itu.

Para pemimpin dan pembesar kebiasaannya tidak mahu menerima ajakan itu, sehingga mereka masuk ke dalam agama Allah dalam keadaan yang tidak suka.

Oleh yang demikian, terjadilah perdebatan antara para pemimpin itu dengan Rasulullah. Kemudian mereka mulai lemah kerana dikalahkan dakwaan mereka itu satu demi satu dan Allah menolong para rasul-Nya dengan meneguhkan kedudukan mereka.

Begitulah penduduk Mekah menghadapi Rasulullah. Oleh sebab itu, para pemimpin dan pembesar Mekah pada umumnya tidak menerima orang yang menganut Islam lantaran kedengkian kepada Nabi Muhammad dan golongan yang lemah lagi hina.

l Apabila mereka mendapati putera-putera Nabi Muhammad meninggal dunia lantas mereka berkata: “Nama Muhammad telah berakhir, kini keturunan Muhammad sudah terputus.” Mereka memandang perkara itu sebagai celaan dan cemuhan serta menjauhkan manusia daripada mengikut Baginda.

l Apabila mereka melihat bencana yang menimpa kaum muslimin, maka mereka bergembira, menunggu-nunggu agar kecelakaan itu menimpa kaum muslimin dan kekuasaan mereka hilang sehingga kedudukan mereka yang diporakperandakan oleh agama baru itu tegak kembali.

Oleh sebab itu, surah ini diturunkan untuk menguatkan hati Rasul-Nya bahawa kegoncangan yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin itu adalah suatu dugaan dan ujian untuk membersihkan jiwa orang yang masih belum kuat hatinya.

Ini untuk menolak tipu daya kaum musyrikin di hadapan mereka serta memberitahu kepada mereka bahawa rasul itu pasti memperolehi pertolongan dan para pengikut baginda termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.

Firman Allah: Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

Muhammad Quraish Shihab berkata: “Kata al-Kauthar diambil dari kata kathir.”

Ia digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang banyak bilangannya atau tinggi mutunya. Bahkan seorang manusia merupakan tokoh yang banyak berjasa dinamakan Kauthar.

Ulama berbeza pendapat tentang makna tersebut. Pendapat yang popular adalah sungai di syurga. Ia dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Muslim dari sahabat Nabi Anas bin Malik.

Pendapat ini ditolak oleh segelintir Ulama’ yang berpendapat yang menyatakan al-Kauthar bermaksud sungai di syurga baru diterima sebagai keyakinan apabila riwayatnya mutawatir.

Namun demikian, ada Ulama’ yang meragukan mutawatir hadis tersebut kerana tulisannya lebih jauh. Kemutawatiran satu riwayat tidak sah kalau hanya pendapat sekelompok orang atau sebahagian ulama.

Kemutawatiran riwayat seperti apa yang anda lihat pada keadaan al-Quran. Ia dikenali dan diakui oleh thabaqat (kelompok atau generasi demi generasi) dan diriwayatkan oleh sejumlah orang yang dipercayai dan mustahil untuk berbohong, seterusnya riwayat itu sampai kepada anda dan tidak ditolak oleh kaum muslimin. Ia dinamakan mutawatir yang dapat menghasilkan keyakinan.

Pendapat kedua tentang al-kauthar banyak disebut ulama tafsir keturunan Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan antara lain oleh Abu Hayyan, al-Alusi sambil menyatakan mereka itu telah memenuhi seluruh penjuru.

Demikian juga al-Qasimi yang mengambil pendapat Ibn Jinni sambil menyatakan pendapat ini indah dengan sebab nuzul surah ini. Dan maksud keturunannya ialah anak cucu Sayyidah Fatimah puteri Rasulullah.

Dinyatakan di sini beberapa pendapat yang lain sebagaimana dinukilkan daripada kitab Zad al-Masir:

Kebaikan yang banyak yang dikurniakan kepada Nabi. Inilah pendapat Ibn Abbas.

Ilmu dan quran sebagaimana pendapat al-Hasan.

Kenabian seperti pendapat Ikrimah.

Kolam Nabi di mana manusia berhimpun padanya pada hari Akhirat. Inilah pendapat Ata’.

Ramainya pengikut Nabi dan umatnya, seperti pendapat Abu Bakar bin ‘Iyash.

Firman Allah SWT: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Berkenaan dengan solat di sini ada tiga pendapat:

i. Solat hari raya haji, seperti pendapat Qatadah.

ii. Solat Subuh di Muzdalifah, sebagaimana pendapat Mujahid.

iii. Solat lima waktu. Inilah pendapat Muqatil.

Berkenaan dengan perintah korban pula ada lima pendapat:

i. Sembelihlah pada hari raya seperti riwayat Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas. Inilah pendapat Ata’, Mujahid dan jumhur.

ii. Diletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat seperti riwayat Abu al-Jauza’.

iii. Mengangkat kedua tangan dengan bertakbir hingga ke leher seperti pendapat Abu Ja’far Muhammad bin Ali.

iv. Dengan makna solatlah kerana Allah dan korbanlah kerana Allah seperti pendapat al-Qurazi.

v. Hendaklah menghadap kiblat ketika korban sebagaimana dihikayatkan oleh al-Farra’.

Sayid Qutub berkata: “Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin.”

Firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Ulama khilaf siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada lima pendapat:

i. Al-‘As bin Wa’il al-Sahmi, seperti pendapat Ibn Abbas. Ini juga pendapat Said bin Jubair, Mujahid dan Qatadah.

ii. Abu Jahal, sebagaimana pendapat Ibn Abbas.

iii. Abu Lahab, seperti pendapat Ata’.

iv. Uqbah bin Abi Mu’it, sebagaimana pendapat Syamar bin ‘Atiah.

v. Himpunan di kalangan orang Quraisy, seperti pendapat Ikrimah.

Al-Maraghi berkata: “Orang yang membenci kamu dalam apa jua keadaan adalah orang yang terputus penyebutannya untuk memperoleh kebaikan dunia dan akhirat.”

Sebab utama mereka membenci petunjuk dan hikmah yang diajarkan baginda menampakkan kejahilan fikiran mereka, mencela sembahan mereka, menyeru ajaran yang berbeza dari apa yang telah mereka biasa ikuti.

Al-Hassan berkata: “Orang musyrik menyatakan keadaan Nabi Muhammad SAW itu terputus, maksudnya baginda telah menerima kegagalan, sebelum tujuan baginda tercapai. Akan tetapi Allah SWT menjelaskan bahawa musuh baginda itulah yang mengalami keadaan yang sedemikian.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »