Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 Jun 2011

Israk, Mikraj bukti kukuh kehidupan di akhirat

Posted by epondok di Jun 24, 2011

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

 

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerusalem, manakala Mikraj pula perjalanan Rasulullah SAW menuju ke langit ketujuh, Sidratul Muntaha, ‘Arasy dan Singgahsana (Kursi) Allah dan menerima wahyu dari Allah Yang Maha Besar.

Peristiwa ini menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan umat Islam sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal sekali gus pemangkin kebangkitan umat.

Di masjid itulah, umat Islam memulakan kehidupan seharian mereka seterusnya meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang seperti diasaskan Rasulullah SAW seperti firman Allah bermaksud: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah, ayat 18)

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan peristiwa biasa dan bukan sekadar perjalanan melihat kehebatan alam semesta. Lebih dari itu, perjalanan Israk dan Mikraj mempunyai hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya.

Imam Fakhrurrazi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan, apa yang dimaksudkan firman Allah dalam surah al-Isra’ memberi pengertian Allah mahu memperlihatkan apa disediakan sebagai balasan kepada hamba-Nya di akhirat, keindahan syurga dan kecelakaan neraka.

Baginda SAW diperjalankan dengan makhluk Allah bernama Buraq menjelajah bumi dan angkasa menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah, maka ini menambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa Baginda untuk terus berusaha menyampaikan risalah tauhid.

Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu pada malam itu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril

Pensyariatan solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah. Solat adalah tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai mengalir di depan rumah yang kita mandi lima kali sehari bagi membersihkan diri. Ini perumpamaan dibuat Rasulullah bagi menggambarkan kelebihan solat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan serta keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Ia bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadat secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji untuk meraih keredaan Ilahi serta kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat.

Tanggal 27 Rejab setiap tahun, umat Islam di seluruh pelosok dunia akan menyambut peristiwa Israk dan Mikraj. Majlis memperingati peristiwa itu disambut penuh meriah dengan majlis ceramah supaya umat Islam mengambil iktibar terkandung dalam peristiwa terbabit.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Kaedah berinteraksi dengan al-Quran

Posted by epondok di Jun 24, 2011

BERINTERAKSI dengan al-Quran bermaksud bertindak dengan bentuk
tindakan melalui perhubungan yang sewajarnya terhadap kalam Allah. Ini
sesuai dengan statusnya sebagai sumber hidayah dalam setiap perkara yang
menyentuh keseluruhan hidup manusia.

Bentuk interaksi atau hubungan tersebut mestilah bersifat ta’abbudi
iaitu bermatlamatkan ibadah dalam erti kata membina diri sebagai hamba
Allah yang mahu diredai oleh Allah selaku Tuhan yang menurunkan
al-Quran.

Iman sebagai asas interaksi

Iman merupakan pemangkin dan pemacu kepada seseorang Muslim dalam membentuk interaksinya dengan al-Quran.

Tanpa iman tidak mungkin seseorang Muslim itu mengetahui, menyedari
dan akhirnya meletakkan al-Quran di tempat yang selayaknya dalam
kehidupannya.

Seseorang Muslim wajib beriman bahawa al-Quran menjadi sumber hidayah yang menjamin kebahagiaan hidupnya di dunia dan akhirat.

Dia perlu mengetahui bahawa al-Quran telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah yang bermaksud:
Alif, Laam, Raa’. ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu
(Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya
dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka –
ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
(Ibrahim: 1)

Al-Mawardi dalam tafsirnya menerangkan bahawa terdapat empat jenis kegelapan dan empat jenis cahaya iaitu:

*Kegelapan berbentuk keraguan kepada cahaya keyakinan.

*Kegelapan bidaah kepada cahaya sunnah.

*Kegelapan kesesatan kepada cahaya petunjuk.

*Kegelapan kufur kepada cahaya iman.

Iman yang mantap terhadap al-Quran akan mencorakkan gaya berfikir dan
cara bertindak seseorang Muslim yang merupakan sebahagian daripada
konteks interaksinya dengan al-Quran.

Interaksi tanpa iman tidak membawa kepada hidayah. Contohnya para
orientalis beria-ia mengkaji al-Quran tetapi apabila iman tidak menjadi
asas disulami pula dengan pelbagai bentuk prejudis terhadap Islam dan
umat Islam, segala kajian tersebut hanya sekadar hasil akademik
semata-mata.

Al-Quran antara qiraah dan tilawah

Membaca merupakan interaksi terawal seseorang dengan al-Quran. Wahyu
pertama sangat jelas dalam menunjukkan kepentingan membaca al-Quran.

Perkataan iqra’ yang diulang dua kali cukup membuktikan betapa
pentingnya pembacaan al-Quran itu sebagai agenda tetap dalam diari
seorang Muslim.

Al-Tantawi menyatakan bahawa pengulangan perkataan tersebut
menunjukkan bahawa sesuatu bacaan itu mesti diulang-ulang bagi
memantapkannya.

Dalam al-Quran pembacaan itu dirujuk dengan dua kalimah iaitu qiraah
dan tilawah. Para ulama seperti al-Raghib al-Asfahani dalam al-Mufradat menyatakan bahawa walau pun kedua-duanya hampir sama tetapi qiraah sifatnya lebih umum dan ia membawa maksud al-jam’ iaitu mengumpulkan segala sesuatu.

Penghafalan al-Quran suatu keistimewaan

Al-Quran adalah satu-satunya kitab suci yang mendapat jaminan Allah
SWT daripada sebarang bentuk penyelewengan. Allah menjadikan umat Islam
ini berpeluang untuk menghafal setiap perkataan dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya! Kami telah
mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah
sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
(al-Qamar: 17)

Al-Farra’ mentafsirkan kemudahan yang dimaksudkan adalah dalam
menghafalnya dan tiada kitab yang lebih mudah dihafal selain daripada
al-Quran. Ia merupakan salah satu keistimewaan al-Quran.

Tadabbur suatu proses penghayatan

Seorang Muslim sewajarnya tidak hanya berpuas hati dengan kebolehan
membaca al-Quran dengan baik, sebaliknya mestilah berusaha dalam
meningkatkan interaksinya dengan al-Quran melalui proses bertadabbur makna-makna al-Quran.

Tadabbur bermaksud melihat dengan teliti sesuatu hingga ke penghujungnya dan menatijahkan kesimpulan.

Sheikh Dr. Farid al-Ansari menyatakan, tadabbur hendaklah
bermula dengan kefahaman melalui penelitian pelbagai pentafsiran
al-Quran. Tadabbur bukan tafsir tetapi memahami tafsir. Pentafsiran
merupakan ilmu khusus dalam menyingkap dan menerangkan kehendak-kehendak
Allah dalam al-Quran.

Memahami tafsir bererti mengambil sebanyak mungkin pengajaran dan
Fiqh al-Ayat daripada pentafsiran tersebut. Pendekatan pentafsiran ulama
yang pelbagai menjadikan seseorang yang bertadabbur itu semakin banyak
maklumatnya.

Walau bagaimanapun ia tidak semestinya dengan mengkaji
sedalam-dalamnya setiap karya tafsir yang ada. Tadabbur lebih berupa
mengambil pengajaran melalui kefahaman secara umum tentang makna-makna
ayat yang dibaca.

Apa yang penting ia tidak terpesong daripada tafsiran para ulama
muktabar. Ia juga sesuatu yang menyuntik perasaan kerana merasa
ayat-ayat al-Quran itu ditujukan terus kepadanya.

Penyair Mohd Iqbal pernah dipesan oleh ayahnya: “Bacalah al-Quran seolah-olah ia diturunkan kepadamu.”

Muslim yang menghayati al-Quran akan merasa gementar hati dan
perasaan seterusnya membawa kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi
terhadap perintah Allah dalam al-Quran. Ini merupakan natijah daripada
tadabbur yang sebenar.

Tadabbur melalui pentafsiran saintifik

Dewasa ini pentafsiran al-Quran secara saintifik sangat giat
dilakukan. Ia menyentuh ayat-ayat al-Quran yang bersifat al-Kauniyyah
iaitu ayat-ayat tentang penciptaan alam, manusia, haiwan,
tumbuh-tumbuhan dan sebagainya yang dihubungkaitkan dengan fakta-fakta
sains yang disepakati.

Kajian-kajian mereka membantu kita dalam bertadabbur dan menambahkan keimanan kita
kepada Allah, Rasulullah SAW dan al-Quran.

Ringkasnya tadabbur itu melibatkan tafahhum (memahami secara umum atau khusus), tafakkur (berfikir tentang kaitan makna ayat dalam konteks tertentu) dan tadhakkur (mengambil pengajaran daripada natijah kedua-dua proses sebelumnya).

Pelaksanaan bukti keimanan

Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan difahami tetapi hendaklah
dilaksanakan segala isi kandungannya. Segala hukum yang terkandung dalam
al-Quran wajib dilaksanakan.

Ia merupakan satu kewajipan bukan pilihan. Allah berfirman (maksudnya):

Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut
kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah
datang kepadamu dari kebenaran. bagi tiap-tiap umat yang ada di antara
kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib
diikuti oleh masing-masing)
…(al-Maidah: 48)

Penerimaan sepenuh hati bukti ketaatan

Pelaksanaan terhadap hukum Allah dalam al-Quran mesti didahului
dengan penerimaan sepenuh hati terhadap semua hukum-Nya tanpa memilih
sebahagian dan menolak sebahagian.

Al-Quran menyatakan hal ini dalam firman Allah (bermaksud): Maka
demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga
mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul
di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka
sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka
menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(al-Nisa’: 65)

Berdakwah menyampaikan al-Quran

Berinteraksi dengan al-Quran dalam konteks menyampaikan
isi kandungan dan pengajarannya merupakan tugas dakwah yang amat mulia.
Ia sama ada melibatkan proses al-ta’lim atau al-tabligh atau
kedua-duanya sekali merupakan tanggungjawab setiap umat Rasulullah SAW.

Firman Allah (bermaksud): Oleh itu, berilah peringatan dengan al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azab-Ku. (Qaf: 45)

Kesimpulannya, interaksi dengan al-Quran mesti diimplementasikan
dalam bentuk praktikal bukan retorik selain hendaklah bersifat aktif,
konsisten, istiqamah, tidak bersifat sementara, tidak bermusim dan
melampaui batas geografi dan masa.

Kehidupan seorang Muslim tidak bermakna tanpa penghayatan dalam
berinteraksi dengan al-Quran. Natijahnya interaksi manusia keseluruhan
dengan alam ini akan harmoni dan sejahtera kerana interaksi sempurna
mereka dengan wahyu Allah Pencipta Alam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »