Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 23 Jun 2011

Jadi suami romantik sehebat nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Jun 23, 2011

Oleh Muhammad Asyraf

Sunnah Nabi Muhammad pererat hubungan pasangan

RASULULLAH SAW adalah gedung segala sifat kesempurnaan yang tiada tandingan. Allah membimbing Baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Sifat sempurna itulah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW, hati mereka mencintai Baginda, bahkan berapa ramai yang dulunya bersikap keras berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak serta budi Nabi SAW.

Sukarnya menggambarkan kemuliaan akhlak dimiliki Baginda, Saidatina Aisyah menisbahkan keperibadian Rasulullah SAW dengan kitab suci al-Quran.

Walaupun Rasulullah SAW seorang panglima perang dan pemimpin tertinggi umat Islam, baginda dipenuhi nilai kasih sayang dan romantis dengan isteri-isterinya. Namun, sunnah ini seakan dilupakan suami masa kini yang sering menggambarkan diri mereka pemegang kuasa keluarga, perlu sentiasa kelihatan bengis dan egois.

Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas rasa tawaduk dan romantisnya Baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.

Diceritakan, Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan Aisyah berkata: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.”

Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir menunjukkan ia satu sunnah terutama selepas melakukan hubungan intim bersama pasangan.

Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa dibebani tugas, kita masih boleh mengambil sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.

Contohnya, menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti dilakukan Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehingga Nabi SAW berkata: “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” (Hadis Bukhari dan Muslim)

Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian Baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri Baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta.”

Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dulu. Apabila waktu cuti hujung minggu atau malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukan sekadar tips dari seorang pakar motivasi tetapi sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya.

Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim: “Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”

Rasulullah juga membawa Aisyah makan bersama di luar sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka jika isterinya Aisyah tidak diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)

Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disaran suami menyuap makanan ke mulut isterinya. Seperti dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”

Malangnya, romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya.

Tetapi jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ia dihalalkan.

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Konsep larangan pastikan kehidupan manusia aman

Posted by epondok di Jun 23, 2011

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh

KITA berada jauh ke hadapan dalam teknologi dan ilmu pengetahuan. Kemudahan komunikasi dalam kehidupan lebih jauh berbanding masa silam. Kita melihat kemajuan berlari pantas walaupun ada kebaikan dan keburukan hasil kemajuan itu.

Ilmuwan semakin ramai tetapi masih tidak mampu dibandingkan dengan cendekiawan terdahulu. Kita masih ketandusan pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Cara pemikiran berbeza dan permasalahan baru kian banyak melanda manusia.

Perkara ini dijelaskan Baginda SAW dalam sabdanya bermaksud: “Akan datang satu masa di mana kamu akan mendapati amat ramai mereka yang belajar tetapi sukar melahirkan ulama berwibawa.”

Syariat Islam dan lain-lain syariat tidak sunyi daripada lima perkara asas yang perlu dijaga dan dipertahankan iaitu agama, jiwa, akal, harta dan kehormatan.

Kesempurnaan syariat Islam dalam memelihara lima perkara itu terkadang datang dalam bentuk nas atau dalil nyata, daripada pandangan ulama atau qias.

“Kaedah terakhir dalam hal ini ialah konsep menutup pintu untuk menyelamatkan umat dari kehancuran atau konsep keterbukaan jika tiada sebarang risiko kerosakan dalam masyarakat,”

Konsep menutup pintu atau larangan itu atas dasar mengelak sesuatu yang lebih besar selain menjaga kemaslahatan umum seperti firman Allah melarang umat Islam mencerca penyembahan orang kafir.

Tujuannya adalah untuk menjaga kesucian nama Allah daripada dicerca orang lain walaupun cercaan terhadap sembahan selain daripada Allah itu adalah diharuskan.

Larangan Allah kepada orang beriman supaya menutup serta menjaga pandangan mereka (menutup ruang) walaupun perkara itu diharuskan kerana nikmat penglihatan adalah anugerah Allah.

Bagaimanapun, pandangan lelaki terhadap wanita atau sebaliknya adalah jalan kepada fitnah dan kerosakan, maka Islam melarang meletakkan pandangan melainkan kepada mereka yang dihalalkan saja.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad kepada orang beriman lelaki dan wanita supaya menutup pandangan mereka.” (Surah Nur, ayat 30-31)

Perkara ini juga dijelaskan melalui hadis Baginda SAW berkaitan melepak di tepi jalan serta melihat orang lalu lalang sedangkan duduk di sana adalah sesuatu yang diharuskan.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Janganlah kamu melepak di tepi jalan. Lalu jawab sahabat: Bagaimana dengan kelompok perbincangan kami di sana? Jawab Baginda SAW: Jika begitu, hendaklah kamu memberi hak kepada mereka yang menggunakan jalan itu. Sahabat bertanya: Apakah hak mereka wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW:

Hendaklah kamu menjaga pandangan, jangan mengganggu, jawab salam, menyeru kepada perkara baik dan mencegah kemungkaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Larangan itu cara Islam mementingkan prinsip menutup pintu demi keselamatan umum dengan meletakkan syarat tertentu bagi mencapai konsep keterbukaan.

Dari pandangan akal, konsep ini dapat dilihat apabila ibu melarang anaknya memakan gula-gula bagi memelihara kesihatan gigi walaupun ia bukan kesalahan, tetapi demi kesihatan anaknya.

Begitu juga ketetapan had laju kenderaan bagi menyelamatkan pengguna jalan raya, isyarat lalu lintas untuk mengelakkan kemalangan, antara contoh prinsip ini dalam kehidupan.

Di sinilah peranan hukum fikah bagi memastikan kehidupan manusia aman. Keperluan ulama berwibawa menangani isu semasa adalah kemestian kerana mereka yang arif syariat dan ehwal semasa dapat menangani masalah ini.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »